Sunday, April 14, 2013

PRU-13 - apa kedudukan Rais Yatim?

"Brother Syed, ex-boss you bertanding lagi?" Orang yang dimaksudkannya ialah Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Itulah persoalan yang ditujukan kepada saya oleh seorang sahabat. Walaupun saya dah lama bersara, tetapi masih ada yang menyangka saya ada saluran maklumat berkaitan mantan bos saya itu. Jawabnya 'tidak'.

Sama ada dia bertanding lagi, berundur secara sukarela atau digugurkan oleh presiden UMNO merangkap pengerusi BN, Datuk Seri Muhammad Najib Abdul Razak, bukan urusan saya. Namun begitu, saya mampu memberi pendapat 'sekupang dua' berhubung perkara tersebut. 

Saya berkhidmat dengan Dr Rais hampir lima tahun selaku setiausaha akhbar di Jabatan Perdana Menteri dan buat seketika di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Jadi, sedikit sebanyak saya tahu latar belakang dan pendirian politiknya serta 'peranan' isteri beliau dalam sepak terajang politik dan kerjayanya. 

Dr Rais kini berusia 71 tahun dan telah mencurah khidmat bakti di bawah pentadbiran lima orang Perdana Menteri, almarhum Tun Abdul Razak, almarhum Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib.

Kerjaya politiknya bermula sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (1974-76), Timbalan Menteri Undang-Undang (1976-77), Timbalan Menteri Dalam Negeri (1977-78), Menteri Besar Negeri Sembilan (1978-82),  Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Menteri Penerangan (1984-86) dan Menteri Luar Negeri (1987). 

Beliau digugurkan daripada Kabinet Dr Mahathir ekoran daripada tindakannya memihak kepada kumpulan penentang Mahathir yang diketuai oleh 'gandingan tidak serasi' Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam.  Pasukan yang dikenali sebagai "Team B" dalam pertarungan merebut kepimpinan UMNO itu kemudian 'membakar jambatan' dan membentuk apa yang dikenali sebagai Parti Melayu Semangat  1946 atau Semangat 46.

Pada pilihan raya November 1999, Dr Mahathir memilih beliau untuk bertanding semula bagi kerusi Parlimen Jelebu dan berikutan kemenangannya, dia dilantik sebagai Menteri,  Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Ini berikutan pembubaran Semangat 46 dan kemasukan semula ahali-ahlinya ke dalam UMNO.

Tidak dapat dinafikan yang Dr Rais Yatim seorang yang banyak pengalaman dan antara tokoh UMNO yang 'pintar'. Oleh itu, saya yakin dia akan membuat keputusan yang 'pintar' bagi membolehkan ketuanya, Datuk Seri Najib, mudah membuat pilihan.

Dr Rais seharusnya mengikut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya seperti  Syed Hamid Albar,  Rafidah Aziz,  Tajol Rosli dan  Dr Ng Yen Yen. Semua mereka lebih muda daripada Dr Rais dan berpendirian 'realistik' dengan memberi peluang kepada calon yang lebih muda mewakili parti pada PRU-13 ini. Mereka sedar yang mereka tidak dapat 'menongkat dunia'.

Jawaban saya kepada persoalan sahabat berkenaan adalah seperti berikut:

"Orang semenda, di tempat semenda,
Jika cerdik, teman berunding;
Jika bodoh disuruh arah.
Tinggi banir tempat berlindung,
Rimbun dahan tempat bernaung.
Orang semenda pergi kerana suruh,
Berhenti kerana tegah".  






  


2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Jika kita ingin memandang kedepan sebagai sebuah negara, eloklah kita tinggalkan Rais Yatim.

Rais Yatim sudah tidak lagi relevan dengan kehendak dunia semasa. Ideanya lapuk, hujahnya ketinggalan masa dan tidak akan membawa generasi baru Malaysia untuk melalui zaman serba mencabar, iaitu masa depan.

Biarlah si Rais Yatim dan isteri kesayanganya dibersarakan. Tuntutan jawatan menteri hari ini tidak lagi sesuai untuk manusia yang berusia lebih 50 tahun, berfikiran sempit dengan politik kesukuan seperti semangat Minang dan Pagar Ruyong serta kegagalan mentafsir, yang masih terikat dengan kenangan dan nostalgia zaman puluhan tahun dahulu dan tidak memenuhi aspirasi golongan muda generasi Malaysia.

Biarlah si Rais Yatim dengan radio Klasik Nasionalnya. Mungkin itu satun-satunya perkara yang kita patut tinggalkan untuk dia.....

Anonymous said...

Sallam Tuan Syed,

Saya amat setuju dengan Anon. 1.34pm.

Adalah amat sesuai bagi Rais Yatim dijadikan sebahagian daripada sejarah dalam negera kita.

Dizaman sekarang kereta sudah dilengkapi dengan GPS, Airbag,Auto gearbox dll.

Kereta sperti Austin/Morris zaman P.Ramlee tak sesuai untuk orang zaman sekarang. Hanya untuk orang yang jiwa nostalgia sahaja.

Orang Johor

Sallam