Wednesday, April 03, 2013

PARLIMEN BUBAR HARI INI, PILIHAN RAYA MESTI DIADAKAN DALAM TEMPOH 60 HARI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan  Parlimen dibubarkan hari ini, Rabu 3 April  setelah diperkenan oleh Yang diPertuan Agong. Najib mengumumkan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat  Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Pengumuman itu disiarkan ke seluruh negara oleh media elektronik.

Berikutan pembubaran Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi. SPR dijangka bermesyuarat esok.

Berdasarkan Fasal 55 (4) Perlembagaan Malaysia, apabila Parlimen dibubarkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu.

Ekoran pembubaran Parlimen, Kabinet pimpinan Najib akan bertindak selaku 'caretaker government" atau kerajaan sementara sehinggalah terbentuk sebuah kerajaan baru. Dalam tempoh itu, kerajaan sementara tidak boleh membuat sebarang dasar atau melaksana projek baru tetapi sekadar memastikan perjalanan pentadbiran hari ke hari berjalan lancar.  


No comments: