Thursday, March 14, 2013

Tarikh luput Parlimen 29 April 2013

Banyak orang yang bertanya kenapa Parlimen belum dibubarkan sedangkan tarikh 9 Mac 2013 sudahpun berlalu. Kenapa 9 Mac? Mereka berkata pada tarikh itu usia Parlimen yang ada sekarang cukup lima tahun dan secara automatik Parlimen terbubar. Ini kerana pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Tidak betul. Itulah jawabannya.

Parlimen atau Dewan-Dewan Undangan Negeri akan bubar secara automatik bukan berasaskan tarikh pilihan raya tetapi tarikh mesyuarat pertamanya. 

Parlimen yang ada sekarang memulakan mesyuarat pertamanya pada 28 April 2008 hingga 29 Mei 2008 dan bermula pada tarikh itulah hayat lima tahun dikira, bukan bermula dari tarikh pilihan raya umum pada 8 Mac 2008. Ini bermakna jangka hayat Parlimen sekarang berakhir pada 29 April 2013, iaitu tarikh Parlimen terbubar secara automatik. Ada yang berpendapat pada 28 April dan ada pula yang berkata 30 April. Walau apapun, akhir bulan April depan. Itu yang pasti.

Perkara ini jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Fasal (3) Perkara 55 -  Parlimen dibubarkan selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama.

Perkara 55 (3)  memperuntukkan ...."Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar."

Perkara 55 (2) pula menyatakan "Yang diPertuan Agong boleh memberhenti atau membubarkan Parlimen." 

Oleh kerana perkara ini belum berlaku tetapi masih boleh berlaku, kita tidak boleh tolak sama sekali yang Parlimen berkemungkinan dibubar sebelum hujung bulan April. Itupun jika Yang diPertuan Agong perkenan akan nasihat Perdana Menteri untuk berbuat demikian. 

Apabila Parlimen dibubarkan, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti menjalankan urusan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu dan selepas itu, Parlimen yang baru dipilih hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu. Bermula dari tarikh mesyuart peratam itulah hayat Parlimen diambil kira, bukan dari tarikh pilihan raya.


 

No comments: