Monday, March 18, 2013

Hubungan "Sultan Sulu" dengan politik Malaysia

Hubungan tokoh-tokoh politik Malaysia dengan "Sultan Sulu" bukan perkara baru. Ada juga "Sultan Sulu" yang pernah menjadi ahli UMNO di Sabah.

Gambar di atas menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama "Sultan Esmail Kiram II" manakala sekeping lagi menunjukkan Tun Abdullah Ahmad dengan "Sultan Sulu" yang sama. "Sultan Esmail Kiram II" adalah saudara "Sultan Jamalul Kiram III" yang bertanggungjawab menghantar "tentera dirajanya" menceroboh Sabah.

Kita tidak tahu sejauh mana hubungan kepimpinan UMNO dengan "Sultan Sulu" dan kita tidak mahu pula melempar tuduhan atau fitnah hanya dengan memaparkan foto sedemikian rupa termasuk yang dikaitkan dengan Nur Misuari atau pemimpin Moro yang lain.

Kita melihat hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan silatur-rahim antara saudara seagama. Kita sedar di kalangan keluarga terdekatpun berlaku perbalahan inikan pula antara sahabat yang berlainan negara. Hari ini berkawan dan esok lusa boleh berlawan.

Oleh itu, rakaman foto masa lalu tidak boleh dijadikan alat atau alasan untuk melempar tuduhan kepada sesiapapun kerana pada waktu itu mereka bersahabat dan tidak bermusuhan. Permusuhan hanya berlaku apabila sahabat bertindak menceroboh dan membunuh. 

Benar, Datuk Seri Najib dan Pak Lah bersahabat dengan "Sultan Sulu" tetapi kita tidak boleh mengaitkan mereka dengan apa yang berlaku di Sabah sekarang. Begitu juga dengan tokoh politik lain yang bersahabat dengan pihak yang sama. 

Kita juga tahu bahawa seorang lagi "Sultan Sulu" pernah menjadi ahli UMNO di Sabah. Datu Mohamad Akjan bin Datu Ali Muhammad pernah mendakwa yang dia adalah "Sultan Sulu ke-33" iaitu keturunan langsung "Sultan Sulu" yang terakhir, Paduka Mahasari Maulana Almarhum Shariful Hashim I.

Datu Mohamad Akjan adalah warga negara Malaysia yang dilahirkan di Kudat, Sabah. Selepas "pelantikannya" sebagai "Sultan Sulu ke-33" dia melepaskan keahliannya dalam UMNO atas sebab-sebab tertentu.

Hubungan antara "Kesultanan Sulu" dengan kepimpinan politik Malaysia bukan sesuatu yang baru dan tidak boleh dinafikan yang Malaysia memberi bantuan tertentu kepada mereka termasuk menerima mereka bekerja dan menetap di Sabah. Ramai yang diberi kerakyatan dan kad pengenalan (sekarang MyKad). 

Malangnya, segelintir mereka tidak menghargai dan berpaling tadah dengan menceroboh wilayah Malaysia di Sabah atas alasan negeri di bawah bayu itu milik mereka.  

Kerajaan Malaysia telah memberi banyak peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka tetap berkeras kepala dan bertindak kejam dan ganas dengan membunuh anggota pasukan keselamatan kita. Mereka adalah pengganas dan oleh itu, mesti ditentang dan dihapuskan. 

Pemimpin mereka yang mendakwa sebagai "Sultan Sulu" telah mengkhianati persahabatan kita, pertolongan dan bantuan yang negara berikan kepada mereka. Pengkhianatan mereka mesti ditamatkan.

Rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kepada Pasukan Keselamatan - ATM dan PDRM - yang sedang mempertahan dan membebaskan bumi di perairan timur Sabah daripada ancaman musuh.

SELAMAT BERJUANG. 



5 comments:

Anonymous said...

askar polis disuruh pergi berjuang najib rosmah berhibur dan menghabiskan wang rakyat dengan program.kemudian buat muka sedih tentang kematian askar dan polis

Anonymous said...

Semua orang boleh berkawan dengan Orang Filipina.Tetapi jika Penceroboh nak rampas Sabah kita semua hendaklah bersatu padu mempertahan Negara.

Anonymous said...

lain macam je nampak gambar DS Najib..saiz macam x logik je..hahaha

Syed Imran said...

Foto itu dikutip daripada FB Esmail Kiram II (Ismael Kiram II). Saizya dah macam tu, nak buat macam mana?

Menurut laporan, foto itu dirakam sempena Hari Raya dan semasa Najib berjawatan Menteri Pertahanan. Begitu jua dengan foto bersama Pak Lah.

Foto itu dah pun ditarik keluar oleh pihak tertentu.

Mesej yang cuba saya bangkitkan jelas, iaitu kita tidak boleh kaitkan rakaman foto dengan apa yang sedang berlaku di Sabah. Ia juga dirujuk kepada foto yang mengaitkan Anwar Ibrahim dengan Nur Misuari. Seperti yang dijelaskan, kawan boleh jadi lawan dan musuh boleh bertukar menjadi sekutu.

Anonymous said...

Siapakah yang memperalatkan media untuk memulakan agenda memfitnah.....? Sebab tu jangan suka suka menuduh orang. Kalau orang tuduh kita pula, pandai nak melatah.