Sunday, June 24, 2012

Bahaya rasuah, tidak amanah dan salahguna kuasa

Rakyat Malaysia akan menghadapi pilihan raya umum tidak berapa lama lagi dan salah satu perkara yang harus diberi perhatian serius ialah amalan rasuah, tidak amanah dan salahguna kuasa, iaitu satu penyakit yang cukup bahaya dan boleh memufliskan negara.

Penyakit  ini bukanlah wabak baru tetapi sejenis pekung atau kanser yang belum dapat diubati atau dihapuskan kerana sifat manusia yang tamak kekayaan dan kuasa. Ia berlaku hampir di semua negara dan Malaysia tidak terkecuali, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan-Kerajaan Negeri,  termasuk yang ditadbir oleh parti yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

Kita kerap dihidangkan dengan cerita dan berita mengenai penyakit berkenaan dari sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya termasuk yang melibatkan pembelian aset pertahanan dan keselamatan negara. 

Kita juga diberitakan mengenai pemimpin-pemimpin dari kedua-dua pihak yang memiliki kekayaan yang tidak setimpal dengan pendapatan dan ada yang memiliki berpuluh akaun bank di dalam dan luar negara sehingga ada yang berjumlah berbilion ringgit.

Cerita mengenai pemimpin yang mengutamakan kroni dan yang mengamalkan pilih kasih juga bukan perkara baru selain pelantikan 'penyokong' untuk menduduki kerusi lembaga pengarah atau mengetuai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan walaupun mereka tidak layak dan tidak sepatutnya dilantik.

Skandal demi skandal membabitkan puluhan juta dan bilion ringgit didedahkan dan ada diantaranya yang telah dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Penyakit ini menjadi pemandangan yang kita lihat hampir setiap hari, ia menjadi wabak  yang  menjangkiti dan menyerang sendi-sendi kehidupan masyarakat. Ia bukan sekadar penyakit  di kalangan orang perseorangan atau kumpulan tertentu, tetapi seolah-olah menjadi satu wabak yang tiada penawar.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewarisi bidang tugas tanpa kuasa pendakwaan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) nampaknya 'tidak menang tangan' untuk cuba mengubati dan menghapuskan penyakit tersebut. Ia bukan satu amanah yang mudah dan boleh dilaksanakan dengan cepat. Ia adalah satu penyakit yang sukar diubati tanpa kesungguhan dan sikap serta sifat amanah dan takut akan balasan hukuman sama ada di dunia ataupun di akhirat oleh mereka yang dijangkiti penyakit itu.

Bagi umat Islam, sikap amanah semestinya menjadi pegangan kuat terutama oleh mereka yang diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir, sama ada  orang politik atau penjawat awam. 

" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui." (al-Baqarah, ayat 188)

Apa yang dimaksudkan memakan harta benda dengan cara yang batil selain  mencuri termasuk melalui perbuatan rasuah dan tidak amanah.

" Barangsiapa menzalimi (mengambil) tanah orang satu jengkal, maka pada hari kiamat Allah akan menimpakan kepadanya tujuh kali ganda dari tanah yang diambilnya." (hadis riwayat Bukhari,  Muslim)

Perbuatan rasuah disebut juga sebagai perbuatan zalim kerana mereka yang melakukannya telah meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya, umapamnya sesuatu yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat,  diguna untuk diri sendiri atau keluarga dan golongan tertentu termasuk kroni dan penyokong politik. 

Rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan amalan pilih kasih sebenarnya satu perbuatan khianat, orang yang melakukannya telah menyelewengkan amanah. Orang yang tidak amanah tidak layak dipilih sebagai pemimpin atau untuk mewakili kita sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan-Dewan Undangan Negeri. 




7 comments:

Anonymous said...

pemandu teksi dapt tayar baru free
apa macam??
kahkahkah!!


taxi driver

Unknown said...

taxi driver,

Saya melihat perkara ini begini:-

1. Ia boleh dikatakan satu pemberian untuk meraih sokongan jika ia tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan saksama kerana ia melibatkan wang rakyat. Semua pemandu teksi yang sah seharusnya diberi habuan itu termasuk di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti lawan dan yang berada di Sarawak dan Sabah.

2. Agihan tayar hendaklah telus dan tidak untuk mana-mana golongan atau syarikat yang menyokong parti politik yang memerintah.

3. Syarikat yang dipilih atau dilantik untuk membekal tayar hendaklah dibuat secara 'tawaran terbuka' bukan tertutup kerana di sini syarikat-syarikat kroni mungkin menjadi pilihan.

Jika ketiga-tiga perkara di atas dilaksanakan, maka ia boleh diterima walaupun ia tidak dapat mengelak syak dan wasangka.

Apa yang perlu diingati ialah semua pemberian yang dilabelkan sebagai "1 Malaysia" membabitkan wang rakyat, bukan wang parti politik. Oleh itu ia mesti telus dan terbuka kerana rakyat berhak mengetahuinya.

Pemberian itu harus diterima tetapi ia tidak semestinya diterjemah kepada sokongan untuk parti politik kerana undi adalah rahsia dan hak mutlak pengundi.

Anonymous said...

Tuan Syed,
Adakah lepas ini,

i. nelayan akan diberi pukat / speed bot

ii.pekebun sayur di Cameron akan dapat baja tahi ayam free ?

taxi driver

Unknown said...

taxi driver,

Apa salahnya jika dilaksana secara telus, adil dan saksama.

Sebelum inipun nelayan dan petani mendapat bantuan pukat, injin sangkut dan baja, tetapi ia dilaksana secara tidak telus.

Pengagihan selalunya bersandarkan faktor politik bukan atas keperluan sebenar penerima. Inilah masalah besar yang dihadapi dalam pengagihan bantuan dan subsidi kerajaan.

Kerajaan Persekutuan mengutip cukai pendapatan bukan pentadbiran negeri. Oleh itu tanggungjawabnya jauh lebih besar dan ia sepatutnya dilaksanakan secara telus, adil dan saksama terutama dalam pengagihan bantuan dan subsidi kepada rakyat.

Anonymous said...

Apa pun bagi tayar free tu adalah satu rasuah sebab dah dekat pilihanraya ni...Kenapa sekarang baru nak bagi?Dah nak terberak baru nak gali lobang.Lebih baik gali lobang kubur sendiri.Itu lebih Afdal..

Unknown said...

Saya harus lihat pada kenyataan. Pemberian tayar yang dibuat secara terbuka dan diketahui umum tidak boleh dikatakan sebagai rasuah. Ia bukan satu sogokan yang dibuat secara sembunyi dan tidak diketahui umum. Yang harus diutamakan ialah ketelusan dan kesaksamaan apabila menghulur bantuan. Semua pemandu teksi yang sah mesti mendapat faedah, bukan segelintir yang menyokong parti politik tertentu.

Saya setuju ia ada kaitan dengan pilihan raya, sama seperti bantuan lain yang dihulurkan kebelakangan ini. Namun begitu, dari sudut undang-undang, ia bukan rasuah. Kenyataan ini harus diakui walaupun kita boleh tahu dan agak apa tujuannya yang sebenar.

Seperti yang saya berulang kali nyatakan, rakyat boleh menerima semua pemberian itu kerana ia datangnya dari sumber hasil maksul negara termasuk cukai yang dibayar oleh rakyat. Tetapi, apabila tiba masa untuk mengundi, rakyat tidak terikat untuk memangkah mana-mana parti tertentu terutama parti yang memerintah. Terpulang kepada rakyat untuk buat pilihan. Itu yang penting.

Anonymous said...

Rasuah mati parti pemerintah akan mati dan negara akan hidup dan menjadi negara pendatan tinggi.