Friday, June 22, 2012

Budaya seharusnya jadi penyatu bukan pemisah

Saya tidak tahu sampai bila atau kata orang Indonesia kapan isu seni dan budaya masyarakat yang dikatakan serumpun di Nusantara Melayu, jangan pula ada yang membantah perkataan Melayu, akan terus dijadikan polimik politik sempit.

Seni dan budaya yang diamal di Indonesia dan Malaysia selain Singapura dan Brunei adalah sama atau hampir sama. Seni dan budaya itu milik masyarakat bukan negara. Sebab itu ia diamal sama ada secara meluas atau bermusim di negara-negara serantau.

Di Malaysia, umpamanya, wujud hampir semua suku kaum dan masyarakat yang menghuni Nusantara Melayu - ada masyarakat Jawa, Minang, Bugis, Aceh, Boyan, Iban atau Dayak dan Banjar, umpamanya.

Mereka berasal dari Nusantara bahagian Indonesia dan sudah lama menetap dan menjadikan Malaysia sebagai tanah tumpah darah masing-masing. Nenek moyang mereka ke Tanah Melayu dan pulau Borneo bukan sebatang karah atau sehelai sepinggang, mereka turut membawa seni dan budaya masing-masing dan mengamalkannya di bumi bertuah bernama Malaysia.

Seni dan budaya yang dibawa milik masyarakat atau suku kaum itu sendiri, bukan milik negara tertentu. Itulah kelebihan seni dan budaya yang melangkaui batas sempadan politik. Ia menjadi wadah penyatuan mereka yang dipelihara dan dilindungi zaman berzaman. 

Amat penting difahami bahawa seni dan budaya Nusantara tiada sempadan dan bebas diamalkan di negara-negara serantau yang dikatakan serumpun sehinggalah sempadan politik dibentuk apabila satu demi satu negara 'merdeka' daripada dijajah oleh bangsa Eropah. 

Apabila sempadan politik wujud maka dengan sendirinya wujud sekatan dan kawalan terutama kebebasan untuk keluar-masuk antara negara. Namun begitu, kebebasan untuk mengamal seni dan budaya masyarakat tidak dapat disekat atau dibatasi oleh sempadan politik.

Masyarakat Jawa, umpamanya, bebas mengamalkan seni dan budaya mereka walau di mana mereka berada. Oleh itu, seni dan budaya Jawa yang menetap di Malaysia ataupun Singapura dan yang kekal di pulau Jawa adalah sama dan menjadi hak dan warisan orang Jawa, bukan hak sama ada Indonesia mahupun Malaysia sebagai identiti politik. Begitu juga dengan seni dan budaya Minang, Bugis, Banjar ataupun Aceh.

Oleh itu, apa yang berlaku kebelakangan ini di Jakarta dimana kedutaan besar Malaysia menjadi sasaran penentangan segolongan manusia yang jahil mengenai asal-usul dan warisan seni dan budaya milik masyarakat serantau, amat dikesali. 

Seni dan budaya seharus dan semestinya dijadikan wadah dan alat penyatuan, bukan sumber penentangan dan permusuhan. 

Saya tidak setuju bagi sama ada Indonesia ataupun Malaysia mengisytihar seni dan budaya serumpun sebagai warisan negara masing-masing. Ia tidak betul kerana masyarakat di kedua-dua negara mengamalkan seni dan budaya yang sama. Seni dan budaya itu seharusnya diisytihar sebagai warisan Nusantara bukan warisan negara masing-masing.

Jadikan seni dan budaya wadah pengukuhan bangsa serumpun, itulah sewajarnya dilakukan oleh pemerintah Indonesia dan Malaysia.  

    
  

No comments: