Dalam usahanya untuk memenangi semula sokongan rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, Barisan Nasional atau BN, terutamanya UMNO, mula mengadakan ceramah dan taklimat politik atau yang mereka lebih suka menyebutnya sebagai 'road show'.
Begitu juga dengan Pakatan Rakyat atau PR yang menurunkan barisan peneraju-peneraju PAS, DAP dan PKR untuk berceramah mengenai kedudukan semasa. Kedua-dua pihak berbuat demikian dengan alasan untuk memberi 'penerangan sebenar' mengenai apa yang sedang berlaku dalam kancah politik tanah air.
Dua hari lepas, Pemuda UMNO mengadakan ceramah di Bukit Gadong, Sungai Ara, Pulau Pinang. Ceramah tersebut diadakan di bawah tajuk 'Ayat-ayat Cinta Pakatan Rakyat' dan penceramah utamanya ialah Lokman Nor Adam.
Lokman ialah mantan setiausaha Angkatan Muda Keadilan yang melompat parti ke UMNO. Dia kemudian diserap ke dalam jabatan ehwal khas dan dilantik sebagai ketua untuk melatih penceramah-penceramah UMNO.
Atas pelantikannya itu, kita boleh kata yang Lokman adalah seorang yang hebat sehingga UMNO mendapati dia cukup layak untuk diletakkan dalam bahagian khas dan diberi amanah melatih bakal-bakal penceramah parti. Jika begitu, amat rugilah PKR.
Sejauh mana kehebatan Lokman selaku penceramah boleh dinilai daripada apa yang dibangkitkannya semasa 'berpidato' di Bukit Gadong.
Antara lain, Lokman membangkitkan perkara yang begitu remeh, iaitu gaya hidup presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kepada Lokman, soal peribadi Wan Azizah lebih penting daripada soal kehidupan hari-hari rakyat, soal ekonomi, soal kesihatan dan soal kebajikan.
Lokman 'mendedahkan' kepada kira-kira 80 orang yang hadir pada majlis ceramah itu yang hampir separuh daripada mereka adalah ahli parti-parti komponen BN dari luar kawasan Bukit Gadong, bahawa semasa Anwar Ibrahim menjadi Timbalan PM, Wan Azizah membelanjakan sehingga RM8,000 untuk sepasang pakaian. Dalam setahun Wan Azizah menempah 20 pasang pakaian.
Kepada Lokman, pendedahannya itu semestinya hebat dan boleh menumbangkan pentadbiran 'pembangkang' di Pulau Pinang berbanding dengan masalah-masalah lain yang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang, tak kira sama ada Melayu, Cina ataupun India.
Saya tertanya-tanya adakah ini yang seharusnya dibangkitkan dalam ceramah-ceramah UMNO ataupun BN untuk memenangi hati dan sokongan rakyat? Tentu tidak!
Apakah Lokman tidak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu bahawa pihak 'lawan' boleh dengan mudah menangkis serangan peribadi itu dengan menghumbankan balik ke gelanggang BN atau UMNO soal yang sama?
Saya pernah berkhidmat di JPM sebagai salah seorang pegawai menteri dan saya tahu bahawa semua isteri menteri, dari PM hinggalah ke timbalan menteri, mengamalkan gaya hidup yang serupa seperti Wan Azizah, merekapun menempah pakaian mahal dan berjenama. Ia tidak menjadi persoalan atau satu kesalahan. Oleh itu, kenapa ia harus dibangkitkan dalam ceramah sedangkan ia adalah perkara biasa di kalangan isteri orang-orang kenamaan termasuk menteri?
Banyak pihak melihat tindakan Lokman membangkitkan soal gaya hidup Wan Azizah sebagai 'serangan peribadi' dan saya difahamkan bahawa Wan Azizah telah merujuk perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya, jika perlu.
Lokman harus sedar bahawa pihak lain boleh membangkitkan banyak persoalan berkaitan isteri PM atau isteri TPM dan isteri para menteri lain sama seperti yang dibangkitkan olehnya. Umpamanya, berapa harga kalung mutiara yang sering dipakai oleh isteri PM? Berapa harga pakaian yang ditempahnya untuk ke majlis-majlis di dalam dan luar negeri? dan banyak lagi soalan berkaitan gaya hidup.
Saya tidak tahu sama ada itulah strategi yang diguna pakai oleh UMNO dan oleh Lokman sendiri selaku 'ketua pengajar atau pelatih' bakal penceramah parti untuk melemahkan lawan dan mendapat sokongan rakyat. jika benar, maka ia adalah satu kesilapan besar.
Jika UMNO mahupun BN ingin mendapat semula sokongan rakyat terutamanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh PR, ubahlah strategi dan pendekatan. Carilah isu yang benar-benar penting yang memerlukan pembelaan, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh Lokman.
Masalah besar yang dihadapi UMNO, terutamanya, ialah penceramah-penceramah yang handal dan hebat yang mampu membuatkan rakyat berfikir dan akhirnya kembali menyokong mereka. Bukan penceramah yang hanya pandai bermain kata-kata mempersenda pihak lawan, memburuk-burukkan lawan dan mengungkit-ungkit hal-ehwal peribadi pihak lain. Itu bukan caranya untuk mendapat sokongan rakyat.
UMNO perlu mencari pemidato-pemidato hebat yang dapat memukau khalayak dengan ucapan-ucapan berfakta, bersemangat dan yang mampu menyemai kesedaran dan keinsafan berkaitan isu-isu semasa dan kehidupan rakyat. UMNO perlu mencari pengganti almarhum Syed Jaafar Albar dan almarhum Ustaz Othman Abdullah, kerana pada hakikatnya, UMNO ketandusan penceramah hebat.
.
10 comments:
tuan nak tanya sahaja.. ceramah umno masih diminati orang ker?
Tuan,
Sejak PRU12, saya rasa UBN masih tergamam tak sudah.
Mereka masih bertanya adakah mereka bermimpi?
Ini kerana dalam harapan mengambil balik Kelantan, mereka kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Mana mungkin kata mereka ...
Rakyat Malaysia secara umum juga telah memberi mereka kemenangan mudah tetapi bukan 2/3 di Parlimen.
Kalau kita kaji secara umum, mereka menyalahkan pilihan rakyat yang dah muak dan meluat. Rakyat ni mesti 'bodoh' kot kerana tak terus pilih mereka.
Apa yang mereka lupa ialah, rakyat sekarang dah cukup matang, bukan boleh digula-gulakan seperti dulu lagi. Contohnya jelas, PRK2 yang telah berlalu dan sedang dalam proses adalah bukti kukuh.
Bab penceramah ini, kalau kita tengok sekarang adalah reject PKR yang menjadi baluci mereka, tak tahulah berapa ramai yang nak percaya.
Kita perlu memperkukuhkan Sistem 2 Parti/Kumpulan, kerana kita dapat menilai kumpulan terbaik untuk mentadbir Malaysia tercinta.
Cinta Alam Malaysia
A.Ashukor
mr edz,
Seperti yang saya bayangkan dalam blog ini, sambutan amat kurang sehingga mereka terpaksa membawa 'orang sendiri' untuk penuhkan tempat. Dalam ceramah 'orang hebat' seperti Lokman, saya kata dia hebat sebab UMNO lantik dia untuk melatih penceramah mereka, hanya 80 orang hadir. Itupun bukan semuanya orang tempatan atau setempat. Inilah hakikatnya sekarang.
Sdr A Alshukor,
Saya sependapat dengan saudara terutama bab kematangan rakyat. Rakyat, lebih-lebih lagi golongan muda dan berpendidikan, tidak mudah dipergula-gulakan. Lihat saja kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir, bukankah orang muda atau generasi Internet yang membangkitkan kesedaran? UMNO mahupun BN dan tidak terlepas jua parti-parti politik lain perlu sedar dan terima kenyataan bahawa keadaan sudah berubah dan mereka kena ubah taktik dan strategi 'berperang' dalam gelanggang politik. Penguasaan atau kawalan ke atas media cetak dan elektronik seperti yang berlaku di sini tidak berguna kerana ada pesaing dalam bentuk media baru. Itulah yang berlaku di Mesir walaupun rejim Mubarak cuba menyekat dan menafikan akses Internet. Mereka gagal dan akhirnya tumbang. Pemimpin Malaysia mesti sedar dan keluar daripada kepompong keselesaan yang dikecapi selama ini.
kalu takat tu saja modal si lokman adam tu........
nampak sangat dia nie 'pencacai totok' BN..........
tak dak hebat tara mana pun dia nie......
jngn-jngn dia 'perli' BN ka apa???.....
cari makan maa......
Amat setuju dgn ulasan Tuan Syed.
Saya tak terperanjat jika orang ramai makin meluat dengan UMNO angkara budak setengah masak ni.
sebenarnya dia perli rosmah..ramai yg tak fhm isi tersurat..bila dia ckp camtu..secara automatik org akan serang rosmah..kira hebat jgk la lokman ni..konon2 la..
Pagi tadi pergi pasar. Beli santan dulu (tahun lepas bukan 10 tahun dulu) 1 peket kecil RM1.30 - RM1.40) sudah naik jadi RM 2.00 se peket. Bermakna kos untuk kuih muih dan juga nasi lemak juga meningkat melainkan dikurangkan penggunaan santan. Tahun lepas beli sayur-sayur RM15 - RM20. Kuantiti dan kapasiti yang sama meningkat RM30.
DIULANG - beli di PASAR bukan kedai runcit.
Hari-hari dok perhati rega minyak dunia makin turun, kita? Tapi bila naik beri alasan bergantung kepada rega pasaran sedunia maknanya kalau dah rega pasran dunia naik, minyak terpaksa naik jugak (RON97) - tok ayah dia- harga TAPIS BLEND Malaysia sendiri tak pernah cecah USD105 kata rega RON97 terpaksa naik sebab minyak dunia naik USD10-USD105. Walhal masa tempoh tu maksima TAPIS BLEND USD102 dan rega OPEC MAKSIMA USD101.88 itupun satu hari aje lepas tu semua bawah USD100.
PERSOALANNYA - Penceramah ni faham tak masalah rakyat marhaen ni? Nasib baik aku tak perlu bayar bil air dah sebab kerajaan negeri dah bayarkan sebab penggunaan sebulan kurang RM11.
bila lompat masuk umno hebat sungguh depa...puji sampai melambung2...gah sungguh, karisma ,integriti unggul,...kalau hebat sungguh ngape x calonkan masa pru 13 nanti ....tengok la..puak2 ni jgn haraplah amno nak calonkan...sory le...geng2 yg lompat masa zaman reformasi pun sampai la tarak jawatan ..inikan pulak anak2 didik brahim ali...deme ni mcm keldai cucuk hidung ....masih x sedaq diri...lepas ni dah le kome...dok le diam2...bila press bagi susu(mikropon) jgn lupa merapu balik...
faiz
hahaha...depa bab meqepek nombot 1 laa. jahanam.
Post a Comment