Monday, June 28, 2010

Tanah KTMB di Singapura

Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura adalah milik republik itu. Kenyataan ini tidak dinafikan, tetapi apa yang perlu disebutkan ialah selagi tanah itu digunakan untuk perkhidmatan keretapi, maka pihak berkuasa Singapura tidak boleh ganggu-gugat sama sekali.

Perlu disebutkan di sini bahawa perjanjian penggunaan tanah dan stesen keretapi dibuat pada tahun 1918 dengan kerajaan atau pentadbiran Negeri-negeri Selat atau Straits Settlements yang termasuk Pulau Pinang dan Singapura.

Dalam perjanjian tersebut, tanah berkenaan dipajak untuk tempoh 999 tahun, ini bermakna tempoh pajakan hanya akan tamat pada tahun 2917. Oleh itu, KTMB berhak ke atas tanah itu selagi ia mengendalikan perkhidmatan tren atau rel ke Tanjong Pagar.

Seperti yang kita sedia maklum, nilai tanah di Tanjong Pagar, Bukit Timah dan Keranji telah berpuluh kali berlipat ganda dan kini bernilai bukan dalam jutaan dolar Singapura (SD) tetapi berbilion SD. Sebab itulah Singapura, yang mewarisi hartanah pentadbiran Negeri-negeri Selat, mahukan sangat tanah KTMB.

Dalam penjelasan di Dewan Rakyat hari ini oleh seorang tiimbalan menteri, Dewan diberitahu bahawa sekiranya perkhidmatan rel tidak dijalankan, maka tanah tersebut akan dikembalikan kepada pihak Singapura tanpa apa-apa pampasan. Dewan tidak diberitahu bahawa selagi KTMB mengendalikan perkhidmatan rel, Singapura tiada hak untuk meminta KTMB berpindah ke Woodlands atau ke mana-mana dari Tanjong Pagar.

Ada pihak di Malaysia yang berkata persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Najib dan Lee Hsien Loong, di republik itu sebagai 'menang-menang' atau 'win-win situation' bagi kedua-dua pihak.

Siapa yang menang dalam erti kata sebenar?

Jawapannya sama seperti kes Batu Putih yang juga disifatkan oleh Menteri Luar ketika itu, Dr Rais Yatim sebagai 'menang-menang', dan kes dua blok telaga minyak di luar pantai Limbang, Sarawak yang diserahkan kepada Negara Brunei Darussalam.

Malaysia Boleh!




Thursday, June 17, 2010

Orchard Road di Singapura jadi Orchard River

Sepandai mana sekalipun manusia merancang dan membina kemudahan asas, ia tidak boleh menghalang kuasa alam semula jadi. Singapura, yang bangga dengan kehebatan perancangan pembangunannya, tersentak apabila kawasan sekitar Orchard Road dan Scotts Road, dinaiki air ekoran daripada hujan lebat pada 16 Jun.

Orchard Road yang terkenal sebagai pusat membeli-belah utama di Singapura, bertukar menjadi Orchard River atau Sungai Orchard.





Tuesday, June 15, 2010

NASA SAHKAN KEMUNGKINAN MATAHARI AKAN TERBIT DARI BARAT



Sains astronomi ada menyebut bahawa kelajuan putaran planet Marikh sedang perlahan sedikit demi sedikit ke arah laluannya ke timur. Para saintis agensi angkasa lepas kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pula mendapati pergerakan planet itu terhenti ke arah laluan tersebut.

NASA kemudian mendapati planet Marikh telah menukar laluannya ke arah yang bertentangan, iaitu ke arah Barat, ini bermakna matahari akan terbit dari arah barat Marikh. Fenomena yang ganjil itu disebut sebagai "retrograde motion".

Kebanyakan saintis Barat berpendapat bahawa semua planet akan melalui fenomena yang serupa dan ini termasuklah planet Bumi. Apabila ianya berlaku, maka matahari akan terbit dari Barat!

Subhanallah! Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa salah satu tanda besar yang hari kiamat akan tiba ialah apabila matahari terbit dari Barat.

Pihak NASA telahpun mendapati tanda-tanda matahari akan terbit dari Barat semasa ahli sains astronominya mengkaji pergerakan planet Marikh. Yang mereka tidak dapat pastikan ialah tempoh masa yang bakal diambil sehinggalah semua planet melalui fenomena yang serupa.

Dapatan sains oleh NASA itu semestinya memperkukuhkan lagi iman umat Islam akan tanda-tanda kiamat. Manusia tidak tahu bila ianya akan berlaku walaupun sudah ada banyak tanda-tandanya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.



Sunday, June 06, 2010

Selamat pulang wira kemanusiaan ke tanah air



Semua 12 orang saudara kita telah selamat pulang ke tanah air setelah melalui pengalaman yang amat dahsyat semasa ditawan oleh pengganas Zionis Yahudi di Laut Meditterranean. Mereka digelar sebagai wira setibanya di LTAB KL. Sememangnya mereka adalah wira bangsa, agama dan lebih-lebih lagi kemanusiaan.

Sewajarnyalah kepulangan mereka dengan pesawat MAS disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Bunga Raya, iaitu terminal orang kenamaan dan pembesar negara, kerana mereka adalah VIP.

Mereka turut diraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis sarapan pagi di kediaman peribadinya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Hajat saya untuk ke LTAB Subang tidak kesampaian atas sebab kesihatan tetapi saya tidak melepas peluang menonton Astro Awani dan amat terharu melihat sanak saudara dan warga Malaysia yang berada di sana untuk menyambut kepulangan mereka.

Saya tumpang berbangga melihat Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hassan Al-Haddad, satu-satunya insan yang amat dikenali yang turut pulang. Sudah pasti kaum keluarga beliau yang berada di Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Johor turut berbangga .

Sebelum itu, saya sempat melihat wajah Dr Syed Haleem, sukarelawan Persatuan Perubatan Islam Malaysia, memberi bantuan rawatan/perubatan kepada aktivis kemanusiaan yang cedera ditembak pengganas Zionis Yahudi seperti yang disiarkan oleh stesen tv antarabangsa, Al-Jazeera.

Seperti aktivis lain yang sudah berumah tangga, Dr Syed Haleem sanggup meninggalkan anak-anak dan isteri untuk membantu dalam misi ke Gaza. Beliau mempunyai sebuah klinik perubatan, Al-Hikmah, di Shah Alam, Selangor.

Dalam semangat menyambut kepulangan mereka, saya lihat ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyelitkan unsur-unsur politik kepartian. Ini seharusnya tidak berlaku kerana ia tidak membabitkan politik kepartian Malaysia kerana mereka ke sana semata-mata atas faktor kemanusiaan. Mereka ke sana bukan mewakili mana-mana parti politik walaupun dalam kapal Rachel Corrie ada seorang Ahli Parlimen BN dan dia juga ke sana atas sebab dan faktor yang sama, iaitu kemanusiaan.

Kepada 12 orang aktivis kemanusiaan, setinggi-tinggi tahniah. Semoga apa yang anda lakukan dapat membawa perubahan kepada rakyat Palestin, Islam dan Kristian, yang selama 60 tahun hidup sengsara dan derita dalam penjara terbuka Zionis Yahudi di bumi tumpah darah mereka.

Semoga Allah memberkati dan merahmati anda dan mereka yang sama-sama berusaha untuk membantu rakyat Palestin.


Saturday, June 05, 2010

DAULAT TUANKU


DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU.

Semoga Allah merahmati Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, sempena Hari Keputeraan Rasmi seri Paduka Baginda pada 5hb Jun, 2010 bersamaan 22 Jamadilakhir 1431H.

Thursday, June 03, 2010

Kabinet Najib

Media di negara ini nampaknya masih tidak tahu mengenai Kabinet atau Jemaah Menteri apabila semua laporan menyebut mengenai rombakan kecil kabinet baru-baru ini.

Apa yang dilakukan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah memenuhi keperluan perubahan dalam kepimpinan MCA kerana rombakan sebenarnya membabitkan pengguguran Ong Tee Keat selaku Menteri Pengangkutan dan menaikkan pangkat Chor Chee Heung daripada timbalan menteri ke menteri penuh.

Portfolio pengangkutan kini disandang oleh mantan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Kong Cho Ha manakala Chor, mantan timbalan menteri kewangan, mengambil alih portfolio Kong.

Perubahan itu sahaja yang melibatkan Kabinet.

Jemaah Menteri atau Kabinet merujuk kepada menteri penuh dan tidak membabitkan timbalan menteri. Timbalan menteri bukan anggota Kabinet. Timbalan menteri tidak boleh menghadiri mesyuarat Kabinet.

Apabila seseorang menteri bercuti atau menjalankan tugas rasmi di luar negara, timbalannya tidak boleh memangku jawatannya, menteri berkenaan perlu meminta seorang menteri lain untuk memangku portfolio tersebut dengan kebenaran Perdana Menteri.

Oleh itu, perlantikan beberapa orang sebagai timbalan menteri tidak melibatkan Kabinet dan laporan yang menyebut sebaliknya adalah tidak tepat. Timbalan menteri bukan anggota Kabinet.