Friday, September 04, 2009

Tanjong To'kong - secebis kisah

Satu demi satu kampung Melayu hilang atas nama pembangunan. Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan atas tapak bekas perkampungan Melayu di Pulau Pinang disempurnakan oleh kedua-dua pihak, iaitu pemaju swasta dan agensi pemerintah atau syarikat berkaitan kerajaan.

Di kawasan bandar raya George Town, tiada lagi perkampungan Melayu dalam erti kata yang sebenar. Yang masih tegak tetapi tidak semestinya tidak akan rebah ialah beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Makam (wakaf Sheikh Kassim) dan saki baki perkampungan Melayu di Tanjong Tokong.

Di mukim Kelawai, umpamanya, kampung Melayu termasuk yang berada di sepanjang pantai yang kini terkenal dengan Plaza Gurney, Hotel G, Hotel Gurney dan Hotel Evergreen Laurel telah lama berkubur.

Antara Kelawai dan Tanjong Bunga, kampung Melayu yang sebenarnya hanya wujud di Tanjong Tokong kerana beberapa buah kampung di Bagan Jermal, Bagan Atas dan Tanjong Tokong sendiri telah hilang ditelan pembangunan.



Kondo mewah di tepi pantai Tanjong Bunga ini (kiri) pada asalnya sebuah penempatan atau kampung Melayu yang bergantung hidup sebagai nelayan. Kondo ini berharga satu juta ringgit ke atas dan tidak mampu di beli atau dimiliki oleh orang Melayu yang merupakan penduduk asal di situ.








Inilah wajah Kampung Haji Mahmood, Tanjong Tokong setelah ia dibersihkan daripada rumah-rumah kayu berbumbungkan atap nipah.

Inilah bangunan yang bakal menghiasi Kampung Haji Mahmood. Sebuah unit kondo mewah berharga tidak kurang daripada 850 ribu ringgit.




Kampung Melayu Tanjong Tokong adalah antara perkampungan Melayu yang awal wujud di Pulau Pinang. Semasa nakhoda kapal Syarikat Hindia Timur atau East India Company (EIC) bernama Francis Light mendarat di Tanjong Penaga (dekat Padang Kota Lama), kampung Melayu Tanjong Tokong sudah pun wujud. Ia bukan sebuah kampung yang dibuka selepas kedatangan Inggeris pada tahun 1786 tetapi jauh lebih awal. Ia adalah warisan bangsa.

Malangnya, atas nama pembangunan, satu demi satu kampung Melayu antara Kelawai dan Tanjong Bunga dilenyapkan. Kini nasib perkampungan Melayu Tanjong Tokong berada dihujung tanduk.

Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk membangun semula Tanjong Tokong dan tugas itu diserahkan kepada UDA Holdings Bhd. Penduduk kampung dilabelkan sebagai setinggan sedangkan nenek moyang mereka telah menghuni perkampungan itu sejak 200 tahun lalu. Inilah nasib kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang.

Musibah yang menimpa Kampung Buah Pala sebenarnya telah dialami jauh lebih awal oleh beberapa buah kampung Melayu termasuk di Ayer Itam, Kampung Rawa, Kampung Rawana, Jelutong, Sungai Nibong, Gelugor dan Bayan Lepas.

Pembangunan semula perkampungan Melayu Tanjong Tokong dikatakan akan menelan belanja 800 juta ringgit hingga satu bilion ringgit. UDA Holdings menjangkakan pembangunan semula itu akan dapat dilaksanakan antara lapan hingga 10 tahun dalam empat fasa, membabitkan pembangunan bercampur rumah kediaman dan unit-unit komersil. Keseluruhan projek pembangunan itu membabitkan kawasan seluas 30 hektar termasuk tanah pantai (laut) yang dipulih guna.

Cadangan pembanguna semula itu membabitkan 870 keluarga yang akan dan telah dipindahkan ke penempatan sementara secara berperingkat. Menurut laporan media, 250 keluarga telahpun dipindahkan pada tahun 2007 yang membolehkan fasa pertama projek berkenaan dimulakan.

Yang pasti, pembangunan semula perkampungan Melayu Tanjong Tokong akan sekali gus melenyapkan sebuah kampung tersusun yang menjadi lambang warisan Melayu Pulau Pinang kerana kampung-kampung lain dalam kawasan bandar raya dan pinggir bandar sudah menjadi sejarah.


Setiap kali pulang ke Pulau Pinang, saya dan isteri pasti ke Tanjong Tokong awal pagi untuk membeli kuih-muih Melayu. Inilah salah satu keistimewaan kampung Melayu Tanjong Tokong, iaitu mengekalkan penghasilan kuih tradisional Melayu.

Tanjong Tokong melahirkan beberapa tokoh yang berjasa kepada negara seperti pejuang kemerdekaan dan tokoh wartawan yang tidak didendang, Allahyarham Ibrahim Mahmood (Kampung Haji Mahmood sempena nama bapanya), Allahyarham Datuk Mohamad Sopiee Sheikh Ibrahim (sebatang jalan di kampung itu dinamakan sempena nama bapanya) dan anaknya Allahyarham Tan Sri Dr Nordin Sopiee, dan mantan datuk bandar KL Tan Sri Elyas Omar.

Penduduk Tanjong Tokong bukan menentang pembangunan tetapi mereka mahu mengekalkan satu-satunya kampung Melayu yang tersusun yang masih wujud dalam kawasan bandar. Kampung Melayu Tanjong Tokong adalah warisan bangsa, warisan negeri dan warisan negara.

Kita bimbang nasib yang menimpa satu-satunya perkampungan masyarakat India/Tamil di Pulau Pinang, iaitu Kampung Buah Pala, akan menimpa sebuah lagi kampung Melayu. Apakah tidak cukup pengorbanan perkampungan Melayu selama ini? Apakah sukar untuk mengekalkan sebuah kampung yang benar-benar kampung tradisional Melayu Pulau Pinang?

Nampaknya begitu. Arah aliran pembangunan di Pulau Pinang yang melibatkan pembangunan kediaman pencakar langit terutama kondo mewah kini sudah menular ke kampung-kampung Melayu di Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Batu Maung dan seterusnya akan merebak ke Balik Pulau.

Di Bayan Lepas, beberapa buah kampung termasuk yang berjiran dengan kampung kelahiran mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad sudahpun hilang dan digantikan dengan pangsapuri dan kondo mewah.

Bukit-bukau turut ditarah termasuk yang menghadap laut di antara Tanjong Bunga dan Telok Bahang. Semasa membesar di Pulau Pinang, saya tidak pernah mendengar apatah melihat tanah runtuh di Tanjong Bunga hingga ke Telok Bahang. Sekarang ia menjadi kenyataan akibat daripada pembangunan kediaman mewah atas bukit.

Berbalik kepada pembangunan semula Tanjong Tokong, UDA Holdings akan menukar wajah kampung Melayu kepada dua buah projek yang dinamakan Warisan Tanjung (tak tahu pula saya warisan apa yang dimaksudkan sedangkan warisan sebenar dihapuskan) yang akan mengandungi 15 blok rumah pangsa lima tingkat (1,350 unit) dan sebuah bangunan komersil. Perlu diiangatkan pembangunan rumah pangsa lima tingkat tidak perlu disediakan lif. Ya, orang Melayu cukup gagah untuk memanjat tangga, barangkali itulah sebabnya didirikan rumah pangsa lima tingkat. Atau, itulah bentuk kediaman yang sesuai didiami oleh orang Melayu.

Projek kedua yang akan dimajukan atas tapak pulih guna (tambak laut) dinamakan Tanjung West, akan mengandungi rumah pangsa berharga sederhana rendah, pangsapuri, kondo dan bangunan komersil. Ia membabitkan kawasan seluas 16.6 hektar.

Episod Kampung Buah Pala sudahpun di penghujung jalan dan penduduk kena akur dengan kehendak undang-undang, sama ada ianya betul atau sebaliknya, kini nasib penduduk kampung Melayu Tanjong Tokong yang cuba mempertahankan warisan datuk nenek mereka sedang diuji dan kita boleh menjangkakan apa yang menimpa penduduk Kampung Buah Pala akan berulang di Tanjong Tokong.

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja,
jika dikenang nasib Melayu,
tentu menitis si air mata.

Inilah serangkap pantun lama warisan Melayu Pulau Pinang yang saya ubah sedikit (nasib Melayu) untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa.




20 comments:

Anonymous said...

Macam mana kedudukan Kampung Melayu di Air itam....akan turut dihaouskan juga nampak gayanya. Lanjutan geran tanah selepas 99 tahun tak tahu kedudukannya. Ada sebarang maklumat? - anak jati Kpg Melayu.

-thethinker- said...

harus ditekankan , yg diberi lesen merobohkan warisan Melayu( tok sah dok tekankan "melayu" tuu , janji warisan harus dikekal) ialah UDA . Unit kerajaan Pusat yg dipertanggungjawabkan utk membantu masyarakat luar bandar yg kebetulan majoritinya melayu.

Macam kes kg buah pala , sapa empunya tanah tuu ? sapa yg lulus ? Kerajaan BN lulus bagi kat Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri ... dua dua depa sapu.. yg kena halau , penduduk kg buah pala.

Ini laa yg dikatakan , harapkan pagar , pagar makan padi.

Unknown said...

Kedudukan Kampung Melayu, Ayer Itam agak selamat jika janji Ketua Menteri Lim Guan Eng dipenuhi.

Guan Eng telah mengumumkan bahawa taraf pemilikan tanah Kampung Melayu yang dalam bentuk pegangan pajakan ditukar kepada pegangan kekal/bebas.

Yang membimbangkan saya ialah sama ada ianya akan ditunaikan kerana apa yang dijanjikan kepada penduduk Kampung Buah Pala tidak ditunaikan.

Penduduk Kampung Melayu mesti bersatu untuk segera bertindak bagi mempastikan pegangan tanah ditukar kepada taraf kekal/bebas sebelum terlambat kerana janji orang politik tidak boleh dipercayai sepenuhnya.

Kita tidak mahu episod Kampung Buah Pala berulang di Kampung Melayu mahupun di kampung-kampung lain di Pulau Pinang.

Kepada -thethinker- penekanan terhadap 'Melayu' penting dan kita tidak boleh lari daripada hakikat.
Jika tidak, anak cucu anda sendiri yang tidak akan mengenali bagaimana rupa sebuah kampung Melayu Pulau Pinang. Lihat saja "Kampung Melayu" di Geylang Serai, Singapura untuk mendapat gambaran.

Masalah UDA sama seperti agensi-agensi kerajaan yang lain, iaitu tidak lagi mengutamakan tujuan asal penubuhannya apabila diswastakan atau bertukar menjadi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Yang mereka kejar hanyalah kentungan bukan tanggunjawab sosial. Contoh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang bertukar kepada Syarikat Padiberas Nasional - siapa yang untung - petani, pengguna seperti saya dan anda atau syarikat itu sendiri? Harga beras semakin mahal dan menjadi bahan makanan utama yang tidak mampu dibeli oleh mereka yang bertaraf miskin tegar.

Anonymous said...

Sdr SIA,

Untunglah masih ada juga saki baki orang Melayu yang bersemangat untuk memperjuangkan atau sekurang-kurangnya mengambil peduli tentang nasib Melayu Pulau Pinang macam sdr dan pembahas lain. Nak harapkan ahli politik Melayu, aah dah lama dah, dok macam tu jugaklah, malah makin parah nasib Melayu Pulau Pinang. Cakap pun tarak guna. Buat kering ayaq lioq saja.

Unknown said...

Segala pembangunan membabitkan perkampungan Melayu dibuat sebelum pentadbiran DAP/PR/PAS wujud di Pulau Pinang. Hakikat ini perlu diketengahkan. Ini bermakna ia diluluskan oleh Exco BN yang termasuk wakil rakyat UMNO.

Malahan, pada satu ketika, ada percubaan untuk menyentuh harta wakaf oleh mantan timbalan ketua menteri (dari UMNO), contoh Masjid Simpang Enam nak dirobohkan dan didirikan sebuah kompleks dan masjid akan berada dalam kompleks (satu lantai) tetapi gagal apabila waris pewakif ambil tindakan undang-undang dan menang di Mahkamah Tinggi. Jika tidak habislah harta wakaf.

Benarlah apa yang saudara katakan berkaitan ahli politik Melayu Pulau Pinang.

Anonymous said...

Sdr SIA,

Saya nak tambah sikit lagi berkaitan ulasan saya tentang ahli politik Melayu Pulau Pinang tadi. Depa ni ibarat kata orang tua-tua kita, 2x5 saja. Agaknya tok nenek kita dulu dah dapat mengagak apa yang akan menimpa negeri dan anak cucu depa satu hari nanti apabila depa mencipta pantun berbunyi:

Balik Pulau Bayan Lepas,
Sana Terpelau sini terlepas.

Kepada siapa lagi yang boleh orang Melayu Pulau Pinang harapkan untuk membela nasib mereka?

Balanglama

Anonymous said...

Kepada Sdr Anwar Ibrahim???????

SuperStarRajinikanth said...

inilah perancangan 50 tahun gerakan dibawah Lim Chong Eu, keluarkan semua melayu ke tanah besar dan pulau diisi oleh cina. Selepas itu muncul lah pemimpin-pemimpin melayu di Tg.Tokong yang kononnya ingin membantu melayu, yang aku tahu pemimpin-pemimpin ini yang asalnya hanya naik motor kapchai, lepas tu duduk di kondo-kondo mewah dan naik kereta-kereta besar, cakap pun apa lagi..? lagi besar laa ...

norkuyow said...

salam kuda ranggi,
Hanya Anwar yang dapat menyelamatkan orang Melayu di Pulau Pinang,kerana bukan kah Anwar orang Melayu?dan KM Melaka kan dengar cakap Anwar?

salam
norkuyow

Anonymous said...

Kemana perginya Cerdik pandai Melayu cakapnya berdegar-degar.
Ayam jantan mana ada telur cara lojiknya kan.

Anonymous said...

kalau kita baca subuah buku nipis tapi powerful keluaran penguins dgn jodol the property machine (di UK), tidak heranlah perkara spt yg dibahaskan berlaku juga di negara pasaran bebas spt malaysia termasuklah pulau pinang. atas nama urban renewal lah dan entah apa lagi...

dalam ceramah pilihanraya umum kt, mat sabu org penang cerita perkara yg sama. tak tahulah kut2 ada org politik spt dia yg kawan baik dgn CM dan ada juga yg menyebut brader Anwar tidak tergolong dlm perumpamaan 2X5:)?

semasa saya kecil2 dulu selalu juga politikus bila berucap bawak cerita Singapura dan Pulau Pinang. dan saya waktu kecil kali pertama ke S'pura dilanda cultural shock juga apabila melihat semua pekerja lori sampah di sana dari kalangan satu bangsa sementara eksekutif dan bos2 plak dari satu kaum yg lain.

sebenaqnya memang tepat tuan syed mengutarakan tajuk ini dari sudut who wins? who loses? dlm projek2 mega yg dirancang/ dijalankan itu.

di UK dikatakan pemaju, pembiaya, kalangan profesional yg berkaitan dan beberapa pihak lagi termasuk ahli politik "bersekongkol". akibatnya yg lemah terpaksalah menerima fait accompli ke atas mereka dan keluarga.

dlm kes kampung2 Melayu PP, siapa yg kuat dan siapa yg lemah? Grand design siapa yg menjadi dan pelan siapa pulak yg tidak masak atau tidak dapat dilaksanakan dgn baik, mengambil kira hak, warisan dan kepentingan org2 Melayu di sana? Setakat manakah org2 Melayu betul2 mampu mengambil peluang dari kemajuan pembangunan yg dicanang dgn hebat sekali?

Adakah trend yg sama telah dan akan berlaku dlm satu projek raksaksa di selatan tanah air? Grand design siapa plak ni?

Ke mano agak anak cucu cicit kita nak pi?

Amuraria said...

Pantang untuk menyerah tapi itu lah kes macam di Jelutong lebih 10 tahun ,umno punya Syarifah Amineeh & orang kuat umno Cikgu Ya pi mana ? Dok pi balik pi balik negotiate dengan CM buah sukun ooops Koh Tsu Koon yang nampak pijak semut tak mati tapi tak jadi apa hanya perlahan-lahan dok lingkup ! Tapi di Tg Tokong & Bagan lebih 20 tahun lepas UDA dok ambik tanah suruh orang Melayu dok flat tapi Kg Pulau, Weld Quay semua kebal.! Di Komtar Penang bila ada meeting nampak ramai pegawai kerajaan negeri tapi orang luar yang banyak dari Perak ,Kedah & etc., bila ada orang merungut kes teruknya Tg Tokong depa hangguk macam belatuk ,lepas tu pi buat kerja macam biasa !
Barua Mdm Khee Phaik Chin besak punya hipokrit ! Awal-awal dah declare kawasan depa heritage !
.
Kalau wakil atau ahli jawatankuasa penduduk dari awal satu hati ,tau hak-hak dan tegas bersuara mungkin berhasil tambahan jika dekat-dekat pilihanraya tapi sayang dah la lembik ,bila termakan budi atau dapat VIP treatment sikit mula la jadi barua orang tengah pulun la 10% apa lagi !

Amat terkilan dengan federal goverment yang dungu ni, hampa cubala focus, ambik tau pasal orang Melayu Penang. Depa dok usyar Perak (dah rampas kuasa pun) dok usyar Kedah , Selangor. Penang depa tak pandang. Semua hanya boleh bergerak untuk political mileage. Setiausaha kerajaan negeri pun kebanyakkan mana mai tak tau....yang baru bersara Dato Jamaluddin tu orang Kedah ! La dok Laguna Merbuk Sg Petani. Dia dok rajin tulis complain orang kampong di Jeniang, Sik tadak telefon & internet kat Telekom, konon tanya kenapa tak amal 'rakyat di dahulukan'? Walhal Telekom bagi jawapan kawasan tu ganti kabel, hilang dah berkali-kali ....bila siasat lagi oh... dia riuh sampai komplain kat Pengerusi TM pasal anak & menantu buat bisnes di situ so nak streamyx. Balik-balik kepentingan sendiri depa ni, nak tanya kat dia masa dia jadi SN Penang tau tak anak melayu Penang.yang top jadi penagih dadah, ekonomi
Melayu Penang yang paling tercorot...harap dok gelak tengok wayang Mami Jarum la, Mami Tanjung la....
Tak boleh pakai punya Melayu yang depa hantar mai ke Penang pun , dah la Melayu Umno yang dok ada semua 'al buaya' semua tuuuurrr punya !

Mat Jerman said...

orang Melayu patut menggunakan penamaan kampung sebagai heritage UNESCO supaya tidak sewenang-wenang kena pau.

kampung puah pala would not be the last. which kampung next? BN ke PR ke tak penting....kerana duit sapa pun sanggup.

Amuraria said...

SELAMA 50 TAHUN LEBIH BARUA-BARUA UMNO-BN PERINTAH PULAU PINANG APA KEMAJUAN DAH DEPA BUAT UNTUK MELAYU/ISLAM PULAU PINANG ? APAKAH PASAL FULUS MELAYU KENA TOLAK TEPI ? APAKAH MELAYU HANYA LAYAK DOK DIFLAT @ SARANG BURUNG MERPATI ? MELAYU UMNO LAH PENGKHIANAT BESAK SEKALI !

Anonymous said...

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cita lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih semua mimpi
Hapuskan sengketa teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara (2x)

Renung2kan...

Anonymous said...

Hmmm... sekarang bawah PR nih pun sama je, apa bezanya. Sekarang nih melayu mana yang ada jangan kira la parti pe pun, janji melayu. Nak harap parti sampai bila takda. PR ka, BN ka, pa ka, sama la. Formula dulu dok pakai sampai sekarang, dulu melayu mesti dok kat timbalan ketua menteri, la nih, pun sama juga, tapi mana ada jaga kepentingan melayu pun. Aku nih, tak mampu beli la apa kondo ka kat pulau nih, kena la travel jauh hari2. Dah orang melayu sendiri pun tak mau jaga orang melayu, parti apa pun, sama juga. Walaupun parti tupperware. Entahlah, memang penang nih, belah pulau, aku tengok semakin hari macam serupa dengan temasek. Pi mampuih la singapura tu, aku suka lagi nama temasek hahahahaha.... terasa la ada elemen melayu dia. Melayu kat pulau nih harapkan kem askar tu ja la, usm, silap2 tu pun kena alih, duit punye pasal. Haih, melayu.... melayu....

Jamal.

Anonymous said...

Saya terpanggil untuk memberikan komen kepada saudara selepas membaca ringkasan artikel ini dalam sinar harian. Situasi yang sama seperti Tanjung To'Kong sedang berlaku di kawasan dekat dengan KLCC. Tanah Rezab melayu di kawasan kampung termasuk Kampung Bandar Dalam menunggu masa untuk dirampas atas nama pembangunan. Penduduknya dilabelkan sebagai penduduk kawasan SETINGGAN USANG dan projek yang bakal dibangunkan di situ adalah perumahan mewah yang pasti tidak akan mengekalkan status rezab melayu lagi berserta dengan pembinaan tempat pembakaran mayat dan gereja..
Penduduk di situ pasti tidak berniat menolak pembangunan tetapi pembangunan sepatutnya ikhlas untuk membangunkan dan menempatkan kembali mereka yang mempunyai hak. Kalau kita kesana bileh kita lihat sepanduk yang tertulis selamatkan Kampung Warisan yang hampir lusuh. Datuk Bandar sudah dikunjungi untuk memohon pertimbangan semula...Luluh hati para generasi kedua dan ketiga selepas nenek moyang mereka berhempas-pulas membuka penempatan itu berpuluh tahun lalu.
Renungkanlah

Anonymous said...

Melayu tak penting. Yang Penting PR mesti menang. Elok lah tu

Anonymous said...

Salam Tn Syed,
Dulu, ada sekali saya tanya Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera, pasal Melayu terpinggir di kawasan Parlimen Bukit Bendera...jawapannya, dia marah sampai terbeliak biji mata. Dia kata, di kawasan dia tak dak Melayu terpinggir, semua okay, semua maju dan moden. Saya kata, apahal dengan Melayu Tanjong Tokong? Dia kata, Melayu Tanjong Tokong tidak terpinggir dari arus pembangunan. Saya pun malas nak berbalah dengan dia, sebab orang tengah dok menyinga. Lepas tu, dekat dengan pemilihan Agong Umno, isu Melayu terpinggir dibangkitkan semula. Si Mamat ni, masa mesyuarat bahagian dia, berdentum-dentam bercakap pasal Melayu Terpinggir, macam mana orang Melayu di kawasan dia diabaikan oleh Tsu Koon. Saya punya nak tergelak...boleh pulak dia mengaku..itu pun selepas dia diisytihar muflis dan dia marahkan tsuo koon kononnny menganiaya dia yang merupakan pemimpin orang Melayu. Kononnya apabila dia teraniaya, orang melayu juga dianiaya dan maruah orang melayu juga tercalar. Itulah pemimpin melayu yang dok ada. Yang pengikut ni pulak, setia sangat. Tepuk tangan macam nak rak, bagi sokongan moral kat dia. Mungkin sokongan tu dibayar kot???

Unknown said...

Betul tu. Saya pernah dengar pada majlis tertentu ada penyokong yang akan berteriak "Hidup (sebut namanya)" dan disambut oleh segelintir hadirin. Ia memperlihatkan betapa egonya seseorang pemimpin sehingga hampir meletakkan dirinya sebagai pemimpin besar sedangkan nasib orang bawahan tidak terbela. Saya dah bosan melihat karenah pemimpin politik Melayu Pulau Pinang, menang sorak kampung tergadai.