Friday, September 11, 2009

Umno Adalah Parti Islam, Kata Najib


PM Datuk Seri Mohamad Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa UMNO adalah parti Islam walaupun ia tidak menggunakan perkataan Islam untuk parti itu.

Ma'af Datuk Seri, saya berbeza pendapat.

Hanya manusia yang menganuti agama, bukan benda yang tidak bernyawa seperti pertubuhan atau persatuan dan parti politik.

Yang lebih tepat UMNO adalah sebuah parti yang dianggotai oleh umat Islam. Ahli UMNO adalah orang Islam, bukan UMNO itu sendiri.

PAS pun bukan parti Islam tetapi sebuah pertubuhan politik yang dianggotai oleh orang Islam.

PAS pernah mendakwa bahawa ia adalah PARTI ALLAH atau HIZBULLAH. Inipun tidak tepat. Yang nyata ialah PAS sebuah parti HIZBUL MUSLIMIN, sama seperti UMNO walaupun kedua-dua parti dah pun buka pintu kepada bukan Islam.

Kedua-dua parti - UMNO dan PAS - mewakili umat Islam dan memandangkan majoriti ahlinya orang Melayu, maka kedua-duanya adalah parti orang Melayu.

Hak mewakili orang Melayu mahupun umat Islam bukan hak ekslusif mana-mana parti tetapi hak setiap parti yang dipimpin dan dianggotai oleh orang Melayu dan umat Islam.

Yang paling penting ialah umat Islam itu bersaudara. Orang UMNO dan orang PAS adalah bersaudara dalam agama tetapi bermusuhan dalam perjuangan siasah. Itu tidak mengapa asalkan permusuhan itu tidak menjejas tali persaudaraan dalam Islam.

Klik di bawah untuk membaca laporan Bernama.

BERNAMA - Umno Adalah Parti Islam, Kata Najib

Shared via AddThis

8 comments:

Anonymous said...

Sdr SIA,

Orang UMNO dan PAS dah lama dok bercakaran pasai politik. Macam mana kalau kita minta mana-mana pertubuhan Melayu bukan politik atau kita ajak UMNO dan PAS sama-sama anjurkan satu majlis Aidilfitri sebagai langkah untuk merapatkan kembali hubungan sesama mereka atas dasar persaudaraan Islam. Mungkin boleh ajak sekali pemimpin Melayu yang menganggotai parti lain menyertai majlis itu. Buat apalah kita dok bersengketa kerana hal-hal tertentu mengenai politik, sedangkan orang lain bersatu padu walaupun depa nampak macam tak sebulu dalam gerakan siasah mereka. Kita semua tak nampak ka kedudukan orang kita yang semakin terhimpit dalam serba-serbi sekarang ni?

-- Balanglama

Hambali ® said...

Minta maap Pak Syed.

Sekadar pendapat saya.

Bagi saya, kita suka sangat berbincang/berbahas/berforum/bertelagah benda2 atau perkara2 yang bersifat "remeh" atau "ranting" macam ni sedangkan agenda pokoknya kita lupa.

Contohnya dalam sembahyang terawih, kita tak habis2 berbalah pasai bilangan rakaat sejak dari kecil sampaila ke tua. Yang penting, sembayang tu.

Begitu juga dalam solat itu sendiri, tak habis2 dibincangkan perkara2 kecil contohnya kedudukan tangan mana yang betul untuk qiam (sama ada ada atas perut, atas pusat, atas dada malah di Iran, terus tangan diletak di tepi).

Yang penting sekali, orang itu sembahyang.

Kembali pada perkara di atas, kita masih lagi bertelagah sapa yang lebih "Islam" sedangkan orang lain sudah sampai ke bulan. Kita masih tak putus untuk berbalah mengenai sapa yang lebih alim, sapa yang memperjuangkan islam, sapa itu sapa ini sedangkan dalam masa yang sama orang lain secara pelan-pelan mengambil hak kita. Akhirnya jadila macam kisah Tanjong Tokong yang Pak Syed cerita dalam entry yang sebelum ini.

Tapi itulah realiti politik. Di Malaysia, kuasa politik itu terlalu besar. Sebab itu ramai tergila-gilakannya. Orang lupa bahawa menceburi politik sebenarnya membawa amanah bukannya mengejar harta.

Kuasa politik, lebih2 lagi di negeri Pulau Pinang yang tiada berSultan ata Beraja (sekadar ada Mee Sultan dan Mee Agong CRC)adalah pencatur kepada keadaan negeri ini. Kerana politiklah, negeri ini tergadai (atau hampir sangat dah nak tergadai). Kakitangan kerajaan tak boleh kata apa bila mana arahan datang dari pemimpin yang merupaakan ahli politik. Pak Syed lebih maklum sebagai orang lama.

Saya rasa nak berhenti di sini. Makin lama saya menulis, makin syiok pulak. Makin jauh menyimpang pula.

Itu saja pandangan saya Pak Syed. Sekadar pandangan.
Tapi sekanyiaq-kanyiaq golongan muda, apakah mereka yang menyebabkan Pulau Pinang jatuh ke tangan orang lain dan orang Melayu Pulau Pinang menjadi merempat di tempat sendiri?

Syed Imran said...

Balanglama,

Masalahnya orang politik selalunya mementingkan atau meletak di tempat paling atas soal ideologi politik. Seperti kata saudara, orang lain bersatu tetapi orang politik lain pula hala tujunya.
Saya pun tak tahu apa yang orang politik nampak - kuasa? kekayaan? pangkat dan kedudukan?

Hambali,

Saya bangkitkan perkara ini kerana ia sudah terlalu lama dimainkan oleh orang politik. Masing-masing mengaku yang dia betul. Aku lebih Islam daripada kamu, umpamanya.

Bab perbalahan dalam isu ibadah, ia tidak akan selesai sehingga akhir zaman kerana itulah sifat manusia termasuk mereka yang bergelar ulama atau ahli dalam bidang agama. Sebagai contoh, antara mantan Mufti Perlis Dr Mohamad Asri Zainal Abidin (yang dikatakan taksub dengan ajaran Almarhum seorang ulama Saudi) dengan beberapa orang tokoh agama Mazhab Syafie termasuk Mufti Perak. Bayangkan orang lain yang bukan ahli dalam bidang agama bertelagah mengenai soal ibadah.

Perbalahan dalam isu agama bukan berlaku di kalangan umat Islam sahaja tetapi dalam semua agama samawi atau sebaliknya. Perbalahan masih berlaku dalam agama Nasrani (antara mazhab Katolik, Protestan, Adventis, Presbyterian, Anglikan dan Ortodoks dan sebagainya) dan Yahudi (ortodoks dan beberapa mazhab serpihan), begitu juga di kalangan pengikut Budha dan Hindu yang turut mempunyai cabang-cabang tertentu. Selagi manusia itu bernam manusia, selama itulah mereka akan bertelagah dan berbeza pendapat mengenai agama.

Alizul said...

DS Najib tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia menunjukkan sikap defensif. Sesuatu yang saya sebagai rakyat Malaysia tidak ingin melihat ialah sikap defensif dari seorang pemimpin negara kerana ia menunjukkan kelemahan diri serta kelemahan dan ketidakbijaksanaan kepimpinan.

Mengapa perlunya Najib berkata demikian sedangkan umum tahu apa yang UMNO telah lakukan untuk Islam? Tidak perlulah Najib berkata "UMNO adalah parti Islam walaupun ia tidak menggunakan perkataan Islam untuk parti itu," kerana yang lebih penting bukanlah "perkataan" tetapi "perbuataan". Apa yang UMNO telah buat untuk umat Islam di negara ini sudah pun terbukti. Malah Najib atau kerajaan tidak perlu menunjukkan apa-apa bukti bahawa UMNO telah memperjuang dan mempertahankan Islam semenjak merdeka. Bukti-buktinya terpampang luas di seluruh negara - masjid, surau, madrassah, sekolah agama, institusi perbankan/kewangan, dan lain-lain. Orang-orang Islam, baik dari UMNO, PAS atau PKR, bebas mengamalkan Islam - bersolat, berceramah, menganjurkan aktiviti keagamaan, dll.

Jika kita hendak ajukan soalan siapa lebih Islam, ianya sepatutnya ditujukan kepada PAS. Ini memandangkan segala kenyataan dan tindakan parti itu semenjak PRU 2008 yang jelas terpesong daripada Islam sebenarnya, tanpa mengambil kira kesannya terhadap hubungan sesama orang Islam. Politik tu politik jugak, tetapi janganlah sampai kepada perbuatan yang tidak membawa manfaat kepada orang/agama Islam

Bukanlah tujuan kita hendak melagakan orang Islam, baik dalam UMNO atau PAS. Namun, apa yang menyedihkan ialah perbalahan antara orang UMNO dan PAS menunujukan mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa mereka orang Islam, walhal mereka sebenarnya hanya boleh disatukan di atas satu landasan, iaitu ISLAM itu sendiri. Islam melarang umatnya berpecah-pecah. Jadi mengapa perlunya mereka terus bercakaran dan bermusuh-musuhan?

Langkah yang terbaik bagi mereka ialah kembali kepada ajaran Islam sebenarnya, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Sepatutnya PAS dan juga UMNO mengambil langkah ke belakang sejenak dan merenung kembali apa yang telah mereka lakukan dan bertanya samada ia baik atau tidak untuk orang Melayu/Islam dan Negara. Kedua-duanya perlu menyoal samada apa yang mereka fikir dan lakukan menyumbang kepada perpaduan ummah serta keharmonian dan kestabilan negara.

Masalah Melayu/Islam adalah juga masalah Negara. Jika Melayu/Islam tidak bersatu dan tidak stabil, maka kestabilan negara akan terjejas. Adakah itu yang mereka mahu? Jarum musuh-musuh Islam sentiasa bersedia untuk mencucuk orang-orang Islam yang lemah dan tidak beriman.

Anonymous said...

Membaca komen-komen di atas, ternyata masih ramai yang tidak faham dengan perjuangan Parti Pas. Pas dianggotai oleh para ulama yang tujuannya tidak lain tidak bukan, hanya untuk mengembalikan pemerintahan Islam dalam pentadbiran negara. Hukum menjalankan perintah Allah dalam mentadbir adalah wajib,banyak ayat-ayat Al Quran menekankan kewajipan itu, surah Al Maidah misalnya.

Kalau Nik Aziz hendakkan harta dunia, beliau boleh sangat mendapatkannya. Beliau sudah 20 tahun memerintah Kelantan, sedangkan Khir Toyo yang baru 8 tahun perintah Selangor pun dah boleh bina mahligai 24 juta! Haji Abdul Hadi pun, cuba tengok rumahnya. Cuma sebuah rumah kampung berdinding kayu!

Penyokong PAS hanya inginkan kebenaran dan keredhaan Allah s.w.t. Tiada istilah politik suku agama suku. Politik adalah sebahagian dari Islam yang wajib diperjuangkan menurut lunas-lunas yang dibenarkan Islam itu sendiri. Bagi penyokong PAS mdah saja, anda ikut Islam, kami sokong. Anda menyeleweng, kami bangkang. Apakah dengan berketuakan orang macam Najib yang penuh dengan cerita-cerita busuk yang tidak dibicarakan secara terbuka di mahkamah dapat meyakinkan kita bahawa Najib orang bersih? Anwar Ibrahim telah membuktikan dirinya bersih dengan melalui proses mahkamah yang rumit, dipenjarakan selama 6 tahun atas tuduhan rasuah yang tidak melibatkan wang kerajaan walaupun satu sen,dipaksa melalui deraan fizikal dan mental..dan masih berterusan ke hari ini. Itulah pemimpin yang benar-benar bersih di mata kami, penyokong PAS. Tapi UMNO yang ada Najib?

Kamu kelihatan sangat jelek di mata kami!

Anonymous said...

Perkataan UMNO bermakna United Malay National Organization dalam bahasa Melayu ianya adalah satu pertubuhan politik yang terdiri daripada orang Melayu.

Syarat untuk menjadi ahli UMNO (seperti dalam website UMNO online) seorang itu mesti keturunan Melayu atau bumiputra (tidak nyatakan mesti berugama Islam). Seorang muallaf yang bukan melayu tetapi Islam, tidak menepati syarat untuk menjadi ahli UMNO.

Kata kata seperti UMNO adalah Parti Islam adalah lebih kepada kata kata politik bermotifkan tujuan yang tertentu, tidak lebih dari itu.

Jay Bee

Anonymous said...

Pak Syed,
Teringat saya semasa berada di Sabah pada zaman Allayrham Tun Mustapha ia itu awal tahun 1980. Pada satu majlis perasmian pengislaman beramai-ramai yang diadakan di Keningau. Semua yang memeluk Islam mendapat habuan-habuan masing-masing daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Arab Saudi. Semua seronok, gembira dan suka hati. Esok harinya Ketua Pemuda UMNO pada masa itu melawat sebuah kampong untuk meningjau perkembangan saudara-saudara baru itu, bertapa terkejutnya beliau melihat saudara-saudara baru dan keluarga masing-masing masih lagi bermain-main dengan babi-babi erliharaan mereka. Bila diberitahu kepada mereka bahawa babi adalah HARAM dlam Islam. Mereka dengan spotan berkata bahawa babi-babi mereka adalah Islam kerana bagi mereka jika mereka Islam binatang-binatang perliharaan mereka juga secara otomatik jadi Islam. Rasionalnya, jika UMNO terdiri daripada orang Islam, maka UMNO juga tdersendirinya jadi Islam. zaman berubah tetapi pemikiran masih tak berubah.

Kawan lama.

Mat Jerman said...

Cakap saja tak guna kalau tindakan, pemikiran dan fahaman bertentangan dengan Islam.

Semakin hari, saya tengok benda yang dialungkan dan yang di depan mata, takdak kena mengena, sesuka hati main cakap tanpa ada komitmen dan tanggungjawab dalam kebenaran.

Bagai hidup dalam dunia sendiri sambil mengangkat bakul.

Sama saja dengan Samy Vellu, "Pengundi marah BN, bukan saya".

Sindrom hidup dalam kepompong dan bercakap berlandaskan speechwriter dan spur of the moment's public interest makin ketara.

Bagai wayang kulit yang tiada tabir, dah nampak dah semua.