Wednesday, September 30, 2009

Kebebasan media yang disalahgunakan


Beberapa pihak di Indonesia menyifatkan serangan bertubi-tubi yang penuh dengan pembohongan dan pemalsuan berita oleh media mereka sebagai melambangkan kebebasan akhbar yang wujud di sana.

Kita tidak menafikan kebebasan itu tetapi kebebasan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebar berita palsu dan yang sengaja diada-adakan untuk membakar minda dan semangat rakyat membenci Malaysia.

Menteri Luar Anifah Aman juga hairan kenapa media Indonesia masih meneruskan serangan ke atas Malaysia, terutama berkaitan tarian pendet yang popular di kalangan masyarakat Bali beragama Hindu, sedangkan penjelasan telah dibuat oleh pihak Discovery Channel dan penafian oleh pihak berkuasa Malaysia.

Saya percaya tiada seorangpun rakyat Malaysia yang mendakwa bahawa tarian pendet milik kita kerana majoriti warga Malaysia tidak tahu dan tidak pernah melihat tarian itu.

Sebagai seorang berpengalaman 32 tahun dalam industri berkaitan media, saya tidak faham kenapa media Indonesia masih enggan menerima hakikat atau kenyataan. Mereka terus bermain dengan sentimen sempit dan penuh dengan onak semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia.

Nama Malaysia sendiri dipermain-mainkan dengan panggilan "Malingsia" iaitu negara pencuri kerana kita ditubuh mencuri adat dan budaya mereka.

Adat dan budaya adalah milik manusia dan kita hairan kenapa media Indonesia enggan menerima kenyataan bahawa beberapa adat dan budaya yang sama diamalkan di kedua-dua negara kerana sebilangan besar rakyat Malaysia berhijrah dari Indonesia dan membawa bersama-sama mereka adat dan budaya. Mereka juga berhak ke atas adat dan hudaya yang diamalkan oleh nenek-moyang mereka sama ada di tanah Jawa, bumi Minang, Bugis mahupun Aceh.

Adakah media Indonesia nak menafikan hak rakyat Malaysia keturunan Jawa, Minang, Bugis, Boyan, Banjar atau Aceh daripada mengamal adat dan budaya yang mereka warisi?

Sekarang Indonesia sibuk mendaftar beberapa adat, budaya, seni, makanan dan tanaman sebagai waisan mereka. Mereka telah berjaya menjadikan batik sebagai warisan negara dan yang terkini mereka mahu mendaftarkan temulawak, sejenis herba yang dijadikan ramuan ubatan tradisional, sebagai warisan negara mereka. Apakah semuanya itu perlu?

Kementerian Pelancongan Malaysia juga sedang berusaha untuk mendaftar beberapa jenis makanan sebagai warisan negara dan ia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan negara jiran yang turut mempunyai makanan yang sama. Apakah ianya perlu?

Berbalik kepada media Indonesia, masih segar dalam ingatan mengenai "wartawan sampul surat" yang menjadi amalan di sana.

Budaya "sampul surat" boleh mengakibatkan seseorang wartawan lupa akan etika kewartawanan, lupa akan tanggungjawab untuk membuat laporan yang benar dan tidak berat sebelah, lupa untuk mengamalkan kejurujuran dan ketelusan dalam menjalankan tugas.

Di Malaysia, walaupun media dikatakan bebas tetapi ada sekatan dan batasannya. Media yang digelar sebagai "arus perdana" dikuasai atau dikawal oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan pemerintah. Laporan yang dibuat lazimnya memihak kepada pemerintah.

5 comments:

Anonymous said...

"Nama Malaysia sendiri dipermain-mainkan dengan panggilan "Malingsia" iaitu negara pencuri kerana kita ditubuh mencuri adat dan budaya mereka"

Salam sejahtera Tuan Syed,

Sebenar salah kita jugak..Samada secara rasmi atau pun mengikut pintu belakang (legal and illegal) kita "benarkan" lebih kurang 3 juta golongan muda Indonesia memasuki negara kita (jumlah mereka lebih daripada jumlah keseluruhan anggota UMNO). Sangka kita, kemasukan beramai-ramai ini akan memberikan kelebihan atau pun advantage dan dalam pada itu dapat "mengawal" kebangkitan kaum bukan majoriti TETAPI sangkaan tersebut nyata meleset dan akhirnya menjadi seperti kata pepatah "SENJATA MAKAN TUAN".

Sudahlah banyak peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan kecil-kecil rakyat tempatan dirampas secara indirect oleh mereka, sumbangan mereka terhadap JENAYAH BERAT pula begitu berleluasa sehingga mereka begitu berani melakukan rompakan bukan sahaja ke atas rakyat biasa tetapi sehingga ke rumah VIP seperti Menteri dan juga Pegawai Polis DAN sekarang mereka sudah naik ke satu tahap lagi dengan memberontak dan mengancam keselamatan rakyat kita sendiri gara-gara isu tarian pendet, lagu negaraku. Bukankah ianya seperti "Melepaskan Anjing Tersepit" sekarang kita pula digigitnya...... Madu kita beri, tuba pula dibalas.

Inilah akibatnya ataupun balasan daripada perbuatan kita yang menganaktirikan rakyat kita sendiri hanya kerana mereka adalah minoriti dan berbeza fahaman politik.

Saya harap kepada pihak-pihak yang berkenaan... Segeralah perbetulkan kesilapan kita sebelum nasi jadi bubur dengan melayan seluruhan rakyat kita sama rata tanpa mengira parti atau pun fahaman politik mereka, kaum, agama dan lain-lain perbezaan KERANA sekiranya sesuatu yang tidak diingini melanda negara kita, maka mereka inilah rakyat-rakyat kita yang akan menitiskan darah mereka demi pertahankan maruah negara kerana inilah satu-satunya negara tanah tumpah mereka.

Apa komen Tuan Syed?

Sekian dan terima kasih

Unknown said...

Saya amat bersetuju dengan pendapat saudara. Kita sering memperkatakan tentang saudara serumpun sedangkan saudara serumpun, terutama di Pulau Jawa, tidak melihat kita sebegitu. Kita lebih dekat dengan saudara di Palembang, Minangkabau, Riau dan Aceh.

Anonymous said...

Salam Tuan Syed

saya bukanlah nak ungkit.tetapi kita negara yang bersikap menjaga hubungan dgn negara jiran..biar kita ni ditohmah dgn banyak tuduhan tetapi saya lihat kita tidak melatah..indonesia baru2 ni dikejutkan dgn tsunami..dan sebelum ni di acheh..adakah kita tidak sama sekali menolong? menolong bukan setakat sebulan dua kejadian..tetapi berlarutan sampai ke hari ini? jadi bila isu tarian atau makan ke lagu pun mereka seolah menganggap kita sebagai musuh? apa tujuan buluh runcing dihunus? adakah Malaysia dgn indonesia ni mcm hubungan korea selatan dan korea utara? memang segelintir org indonesia yang berbuat demikian.tapi bila isu ini diutamakan oleh media indonesia.menampakkan di dunia bahawa Malaysia ini teruk.kalau kita boleh bersabar dan bersikap terbuka..kenapa mereka mengamalkan sikap tertutup?sedangkan duit kita sendiri mengalir masuk ke negara mereka? adakah satu tindakan tidak mengenang budi?negara kita kecil kita perlu jaga hati rakyat kita..saya setuju jika kita mula mengusi keluar pendatang2 haram mereka.jenayah mereka lebih teruk..banyak antara mereka mengganas? kalau lah kita melakukan provokasi macam media mereka apakah hasilnya? sebab itu sy berkata..Malaysia memang suka bertoleransi..tapi awas..jgn sampai sakit sendiri..


pada yang berkuasa..mulakan lah langkah2 yang berkesan skrg..jgn hanya dipandang atas dasar pembangunan..hak rakyat patut juga dibela..hadkan lah pekerja dari luar.memang kita perlukan org luar utk membangunkan negara..tapi jangan lah sampai mereka mengambil peluang merampas peluang rakyat Malaysia utk berdikari..sesuatu harus dilakukan..

sekian

from penang with love

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Saudara Syed,

Saya kira kita harus halusi apakah sebenarnya sebab terdapatnya sentimen yang negatif antara indonesia dan Malaysia.

Mungkin ada isu politik dimana Negara jiran kita ada banyak krisis dalaman dan serangan media mungkin digunakan untuk mengalihkan perhatian.

Mungkin ada hal hal lain. Saya pernah mengusulkan pertanyaan ini kepada warga indonesia dan salah seorang dari mereka ada nyatakan yang terdapat persepsi negatif kepada negara ini kerana mereka manganggap orang Malaysia ini angkuh.

Ini disebabkan berapa insiden tertentu yang memdapat liputan besar di negara tersebut. Antaranya (saya tidak dapat pastikan kesahihannya) insiden isteri duta Indonesia yang ditangkap dan dimasukkan dalam lori oleh RELA.

Isu mencuri budaya ini besar kemungkinan pencetus terakhir setelah terjadinya isu isu yang lain.

Kesimpulannya, saya rasa kita harus meneliti dengan terperinci apa sebenarnya yang berlaku antara hubungan dua negara.

Hubungan dua hala dengan indonesia adalah sangat penting kerana ianya adalah jiran yang terdekat. Negara kita terdapat sedikit pergeseran politik dengan Singapura. Kita juga ada masalah dengan jiran di Utara. Kita tidak perlu pergaduahan degan Indonesia.

Wassallam.

Jay Bee

Anonymous said...

Tuan,
Cakap pasal media, apa kedudukan terkini Bernama TV. Dengar-dengar dah ada pengurusan baru, betulke?