Wednesday, October 07, 2009

Bangga sebagai rakyat Malaysia

Ketepikan soal politik mahupun ras, kita semestinya bangga sebagai rakyat Malaysia apabila melihat betapa waras dan bertangungjawabnya warga negara kita berdepan dengan tindakan sekumpulan bahlol (fools) dari negara jiran terhadap negara kita.

Perbuatan biadap kumpulan bahlol yang menuduh kita dan negara kita sebagai pencuri dan membakar bendera kebangsaan kita, Jalur Gemilang, serta melempar bermacam-macam tuduhan dan fitnah termasuk mahu berperang dengan kita.

Kumpulan bahlol itu mahu menyerang negara kita dengan menggunakan buluh runcing! Ini memperlihatkan sejauh mana bodohnya mereka dan betapa ceteknya pemikiran berkaitan isu hubungan antara negara dan hidup berjiran.

Jika benar mereka begitu bersemangat untuk berperang mempertahankan sesuatu, dalam hubungan ini kononnya nak membalas dendam atas "kezaliman" kita ke atas pembantu rumah warga negara mereka dan perbuatan kita "mencuri" budaya dan seni mereka termasuk tarian pendet yang majoriti rakyat kita tidak pernah lihat, kenapa mereka biarkan Timor Timur terlepas dengan begitu senang? Ke mana semangat juang mereka untuk mempertahankan hak dan wilayah mereka?

Kita tidak boleh pandang ringan ancaman kumpulan bahlol ini walaupun mereka adalah golongan kecil di kalangan rakyat negara mereka kerana orang bahlol begitu mudah melakukan sesuatu yang bodoh tanpa berfikir panjang. Kita yakin dan percaya pihak berkuasa negara mereka akan mengambil langkah dan tindakan sewajar sekiranya mereka melampaui batasan dalam hubungan dua hala antara dua negara yang merdeka dan berdaulat.

Kita bangga sebagai rakyat Malaysia kerana kita utamakan persahabatan dan keprihatinan terhadap musibah yang menimpa saudara kita di seberang Selat Melaka. Rakyat Malaysia memperlihat kewarasan dan belas kasihan terhadap saudara mereka di Sumatera Barat khususnya Padang yang ditimpa bencana gempa bumi.

Kita amat simpati dan mengambil berat terhadp kesengsaraan dan kesusahan yang dihadapi oleh saudara kita di bumi Minang. Kita tidak bermain politik atau sentimen kenegaraan tetapi bertindak sebagai insan yang insaf dan simpati atas musibah yang menimpa mereka.

Malaysia adalah antara negara yang awal menghulur bantuan dan kita terus membantu atas nama kemanusiaan. Bantuan bukan sahaja dihulurkan oleh pemerintah tetapi badan dan pertubuhan sukarela seperti Mercy Malaysia, Islamic Relief Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Rakyat Malaysia yang ke sana tidak mengira bangsa mahupun keturunan - Melayu, Cina, India dan Bumiputera dari Sarawak dan Sabah - yang ke sana atas nama negara Malaysia.

Rakyat Malaysia mewakili semua kaum terus memberi sumbangan kepada beberapa tabung bantuan yang ditubuhkan oleh media dan badan sukarela. Inilah semangat Malaysia yang sebenar.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semesinya bangga dengan apa yang kita lakukan walaupun kita dihina, dicerca dan dilempar bermacam tuduhan termasuk apabila kita menghulurkan bantuan. Kita ketepikan semuanya itu atas nama kemanusiaan dan keprihatinan sejagat.

Semoga kewarasan kembali bertapak di kalangan mereka yang kurang waras.


3 comments:

mr edz said...

biarlah orang buat jahat janagn kita terikut macam diorang.. bagi saya orang yang macam ni tak perlu di layan.. kita menolong biarlah ikhlas.. jadikan kisah nabi berdakwah kepada punduduk taif sebagai pengajaran dan teladan

Hambali ® said...

Salam pak syed.

Lama tak menulis nampak?

Selamat hari raya pak syed.

Unknown said...

mr edz,
Ikhlas dan atas sifat belas kasihan.

Hambali,
Terima kasih Hambali. Ada kala dan ada ketika kita kena rehatkan minda.