Wednesday, December 03, 2008

Tiada anugerah datuk untuk orang politik di Selangor

Saya menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas keputusan Sultan Selangor untuk tidak menganugerahkan sebarang bintang dan darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran "dato"' atau "datuk" kepada orang politik sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Baginda yang akan datang.

Sebenarnya, orang politik tidak seharusnya diberi pertimbangan dari sudut keutamaan atas beberapa sebab.

Saya dapati di kebanyakan negeri sebilangan besar orang politik yang diberi penganugerahan tersebut sebenarnya tidak layak dari sudut perkhidmatan cemerlang, kerja-kerja sukarela dan kebajikan dan tempoh lama perkhidmatan.

Kriteria yang diberikan apabila memilih orang politik, oleh pentadbir negeri yang juga orang politik, termasuklah apa sumbangan orang politik berkenaan kepada pemimpin negeri, sama ada dia penyokong pemimpin negeri dan berapa banyak sumbangan yang dihulurkan untuk "perbelanjaan politik" pihak-pihak tertentu.

Jika ditinjau, kita akan dapati ramai orang politik yang berjawatan ketua bahagian parti politik tertentu yang hanya setahun jagung menjadi pemimpin dan tiada pula khidmat lama dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarela kepada masyarakat dan negeri dan yang masih muda, menerima bermacam gelaran datuk.

Ini jauh berbeza dengan keadaan antara tahun-tahun awal negara Merdeka hingga lewat tahun 1970-an dimana bukan senang untuk seseorang itu diberi anugerah bintang dan darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk.

Sekarang, gelaran itu diterima oleh hampir setiap lapisan masyarakat dengan agak mudah sehingga ramai yang menganggap gelaran datuk itu tiada makna dan terlalu murah harganya.

Sudah menjadi satu kelaziman bagi pembuka pintu hotel atau "door man" di hotel-hotel utama sekitar Lembah Kelang yang akan menyapa setiap tetamu sebagai "datuk" sekiranya mereka tidak mengenali orang berkenaan. Mereka berbuat demikian atas kesedaran bahawa ramai orang yang bergelar datuk atau yang belum bergelar datuk akan berasa bangga apabila di sapa sebagai "datuk". Inilah "budaya" yang menjalar di negara ini.

Tidak tahu pula saya sama ada gelaran "datuk" yang menjadi hambatan orang politik dan juga orang "berniaga" yang kononnya "orang korporat" itu boleh dijadikan "saham akhirat" sehingga ada yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkannya.

Teringat saya akan perbualan dua orang politik (ketua cawangan sebuah parti politik di KL) pada satu majlis ilmu yang saya hadiri beberapa tahun lalu. Semasa majlis berhenti rehat untuk jamuan ringan, saya mendengar dengan jelas perbualan mereka (saya cukup mengenali kedua-duanya) seperti berikut:

"Sapa dapat?" tanya si A. "Belum tau lagi. Lis belum keluar," jawab si B.

"Bos (ketua bahagian) rekomen sapa untuk datuk," tanya si A dan dijawab oleh si B "timbalan" (bermakna timbalan ketua bahagian) dan memberitahu si A bahawa dia (si B) di rekomen untuk salah satu pingat.

Perbualan antara dua orang ketua cawangan itu dengan jelas memperlihatkan bahawa bagi kebanyakan orang politik, pangkat, bintang kebesaran dan pingat adalah sebahagian daripada "perjuangan" politik. Dahulu, bapa, emak, datuk dan nenek mereka masuk politik untuk menyokong dan menyertai perjuangan tertentu (spesifik) seperti menuntut kemerdekaan dan mempertahankan hak dan kepentingan bangsa. Bukan untuk mengejar jawatan, pangkat, kedudukan dan kekayaan.

Oleh itu, tindakan Sultan Selangor amat tepat dan seharusnya mendapat sokongan rakyat Darul Ehsan. Masanya sudah tiba untuk memberi anugerah bintang dan darjah kebesaran kepada mereka yang benar-benar layak dan patut dihargai berasaskan sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan terutama secara sukarela kepada Negeri dan Negara.


4 comments:

tajudin said...

sampai dah jadi peribahasa tak rasmi >>> kalau baling batu boleh terkena kepala datuk...

Anonymous said...

Satu berita baik bagi menjaga prestij gelaran Datuk yang sebelum ini dilihat diberikan kepada yang tak layak atau kurang layak... Sekarang ni ramai sangat yang ada gelaran Datuk tapi perangai macam setan. Tak semua, hanya segelintirlah... Apapun tahniah tuanku...Ampun tuanku...

Anonymous said...

"“The present state government is barely eight months old. Even a pregnancy is nine months,” the Sultan said in an interview at Istana Mestika here."

nicely said there.yeah.

elok juga dihadkan pemberian title ni bagi mengekalkan "prestij" gelaran tersebut.kalau dah ramai sangat yang ada gelaran datuk nanti,gelaran tu nanti boleh nampak jadi "murah" sebab senang sangat nak dapat.

Sultan juga harus dipuji sebab sudi untuk mengurangkan kos dan keraian bagi amalan berjimat-cermat.buat apa hendak membazir.

Unknown said...

elok lah juag dihadkan pemberian title datuk ni.dah ramai sangat dan senang sangat nak dapat title ni.Shah rukh khan pun dah ada title ni!.kena kaji semula la kriteria pemberian title ni.beri pada mereka yang benar-benar layak sahaja.dah bersepah-sepak Datuk yang ada sekarang.