Thursday, October 09, 2008

Majlis Silatulrahim PEMENANG


Saya tidak akan melepas peluang untuk menghadiri majlis-majlis anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) sekiranya berpeluang dan berkesempatan berbuat demikian. Bagi saya, setiap majlis anjuran PEMENANG ada keistimewaan tersendiri.

Pada hari Rabu, 8 Oktober, saya dan isteri sekali lagi ke Pulau Pinang untuk menghadiri Majlis Makan Malam Silatulrahim sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri anjuran PEMENANG di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Persiaran Gurney (Kelawai), Pulau Pinang. Kami menaiki bas dari stesen KTM Kuala Lumpur ke Sungai Nibong, Pulau Pinang kerana lebih murah berbanding memandu kereta dari KL ke Pulau Pinang.




Hotel dimana majlis itu diadakan hanyalah sepelaung, kata orang suatu ketika dahulu, dari rumah kami di Jalan Burma.

Dewan besar hotel berkenaan penuh dan yang cukup menarik perhatian saya ialah kehadiran wakil semua kaum yang bermastautin di Pulau Pinang. Inilah sesuatu yang unik pada majlis anjuran PEMENANG.

Ini diakui oleh Presiden PEMENANG, Dato' Seri Haji Mohamad Yussof Latiff bahawa istimewanya majlis pada tahun ini adalah kehadiran wakil-wakil dari persatuan-persatuan etnik/kaum di negeri Pulau Pinang yang dijemput khas.

Kehadiran wakil-wakil orang Sikh, Serani (Eurasian), India dan Cina serta rumah-rumah anak yatim Islam, Hindu dan Kristian (Salvation Army) menandakan semangat muhibbah di kalangan masyarakat majmuk Pulau Pinang.



Saya juga tertarik dengan kata-kata yang terkandung dalam perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetapi agak terkilan kerana beliau tidak dapat menghadiri majlis itu dan mewakilkan Timbalan Ketua Menteri (1) Mohammad Fairus Khairudin.

Antara lain, Guan Eng berkata perpaduan yang tulen tidak hanya terbatas kepada satu-satu kaum tetapi secara menyeluruh.

"Seperti mana yang saya faham, ini turut bersesuaian dengan makna Islam sebagai agama yang Syumul atau universal. Ad-Din atau cara hidup Islam itu adalah menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ianya tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama. Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ianya akan menjadi teras atau tapak kepada usaha merapatkan silatulrahim antara kaum di negara ini," tegas Guan Eng.

Apa yang diperkatakan oleh Gun Eng adalah sesuatu yang cukup bermakna dan seingat saya, belum pernah disuarakan oleh mana-mana pemimpin MCA, MIC mahupun Gerakan.

Sesungguhnya, Majlis anjuran PEMENANG ini merupakan majlis sambutan dan perayaan semua kaum dan semua lapisan masyarakat Pulau Pinang.


Kepada teraju kepimpinan PEMENANG terutama presidennya, Dato' Seri Yussof Latiff, timbalannya Dato' Haji Azmi Merican, naib-naib presiden Dato' Abdul Rashid Ismail, Haji Abdul Karim Khan, Hajjah Azizah Dato' Daud dan setiausaha kehormat Haji Shaik Mohamed Shaik Abdul Kadir, saya rakamkan ucapan syabas dan tahniah atas daya usaha dan kejayaan menganjurkan majlis yang benar-benar memancarkan cahaya silatulrahim antara kaum yang ada di negeri Pulau Pinang.

11 comments:

Anonymous said...

Syed Imran,

Begitulah hidup bermasyarakat, bertemu dan jumpa sesama kita dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim. You bernasib baik mempunyai satu badan +pemenang+ yang giat dalam mewujudkan hubungan baik antara masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Tapi dalam cerita you, tak nampak pun pemimpin-pemimpin tinggi UMNO negeri turut serta> Why? Mana pi ADUN dan MP UMNO Penang pada majlis PEMENANG.

Syed Imran said...

Sayapun tercari-cari mana dia pemimpin tertinggi UMNO Pulau Pinang. Mana dia Abdul Rashid yang pernah jadi TKM, mana dia Azhar yang kini ketua pembangkang. Saya tak nampak. Mungkin mereka hadir tapi saya tak nampak. Yang turut hadir seorang Exco dari DAP dan Speaker DUN P Pinang, Abdul Halim Husain. Ahmad Ismail yang bangkit isu pendatang pun tak nampak muka hidungnya. Pemimpin UMNO mungkin sibuk berkempen menjelang pemilihan parti Mac depan.

Mat Jerman said...

Majlis PEMENANG tadak kontrak, buat apa depa nak pi.

Depa dok berebut duit kena taboq ataih jalan undi undi bahagian....

Buloq ka apa ka...

Sembang buat bimbang saja. Auta saja....

Sutera Timur said...

MUNGKIN ITU MAJLIS PARTI PEMBANGKANG KOT.BUAT APA ORG UMNO NAK PI.Nak tunjuk bersekongkol dgn mereka yg selama ini tidak lgsung menghormati melayu ke.Jangan you terpergkap dlm mainan mereka sudahla....

Syed Imran said...

Sutera Timur,

Bukan majlis pembangkang. Sejak penubuhannya pada tahun 1927, PEMENANG tidak pernah sekongkol dengan pembangkang tetapi lebih condong kepada UMNO. Hampir semua pemimpinnya adalah orang UMNO. Presiden sekarang adalah mantan ketua UMNO bhagian Jelutong manakala timbalannya setiausaha kerja UMNO Negeri.

Tahun lepas, majlis yang serupa ihadiri oleh menteri kewangan kedua dan hampir semua pemimpin UMNO negeri hadir.

Syed Imran said...

Cucupakkasim,

Saya tidak masukkan ulasan anda tetapi ingin memberi sedikit penjelasan.

Anda mempersoalkan taraf "keMelayuan" pemimpin PEMENANG. Anda mungkin lupa bahawa itulah ciri-ciri Melayu Pulau Pinang. Melayu "tulen" memang sukar ditemui di Pulau Pinang.

Mengenai Syed Idrus, untuk pengetahuan anda beliau berada di KL dan tidak terlibat dengan majlis itu. Beliau adalah abang ipar dan bukan adik ipar orang yang anda sebutkan. Harap maklum.

LAWYERBUROK said...

Askum Salam Aidilfitri,
Pulau Pinang dibahagi dua iaitu Melayu dan Bumiputera Sahaja. PEMENANG hanya hebat dari segi nama bukan dari segi perjuangan kepada bangsa melayu jauh sekali menjenguk keadaan nasib orang orang kampong di kawasan pulau atau diseberang perai. Semasa banjir dalam bulan puasa dua kali tahun ini tidak nampak muka pemenang pun, dalam pemberian zakat atau sumbangan aidilfitri tiada apa pun pemenang lakukan, dalam keadaan daif orang kampong terdiri bangsa melayu dan bumiputera tiada racangan apa apa pun dilakukan oleh Pemenang. Hanya sambutan aidilfitri dihotel lima bintang untuk meraikan orang kasta tinggi dan pertengahan itu menjadi kemegahan sahaja serta yang turut hadir pertubuhan semua kaum menjadi kebangaan pemenang. Buat apa pi mai pi mai orang yang sama hadir bukan nya meraikan orang kampong. Pemenang buat lah perubahan beri sedekah dan beri makan pada orang kampong itu lah dinamakan perjuangan bangsa yang dibanggakan.
MAA ZAHIR BATIN

Syed Imran said...

Lawyerburuk,

Untuk pengetahuan saudara, setiap tahun PEMENANG mngagihkan bantuan dan zakat kepada yang layak menerimanya. Mjlis itu diadkan di premis PEMENANG, Jalan Pemenang, Pulau Pinang.

Selain itu, PEMENANG turut terlibat aktif dalam pengurusan Wisma Yatim.

Harap saudara tidak bersikap buruk sangka kerana tidak mengetahui perkara yang sebenar.

Hambali ® said...

Salam Pak Syed,

Selamat hari raya.

Bolehkah orang luaq (bukan lahir dan asai Penang) tapi bekerja dan bermastautin di Penang menyertai Pemenang ni?

Syed Imran said...

Sdr Hambali,

orang Melayu dari mana-mana negeri yang bermastautin di Pulau Pinang boleh menjadi ahli PEMENANG.

Syed Imran said...

cheqPelesit,

Terima kasih atas ulasan saudara. Saya dimaklumkan bahawa bantuan yang diberikan di premis PEMENANG setiap bulan Ramadhan adalah oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Pulau Pinang dan bukan oleh PEMENANG. Harap maaf. Begitu juga dengan lawyerburuk. Harap maaf.

Yang pasti, sejak penubuhannya 81 tahun lalu, PEMENANG yang ketika itu dikenali sebagagai Penang Malays Association (PMA) turut menjadi salah satu pertubuhan/persatuan yang mengasaskan UMNO pada 1946. PMA juga bertanggungjawab memperjuangkan pembentukan sebuah penempatan Melayu yang kini dikenali sebagai Kampung Melayu, Air Itam. Penempatan Melayu itu diwujudkan kerana Pulau Pinang tidak dapat mewujudkan tanah simpanan Melayu seperti negeri-negeri Beraja/Bersultan.

PEMENANG juga merupakan salah satu persatuan/badan yang diluluskan di bawah Akta Cukai Pendapatan untuk mengeluarkan bantuan biasiswa.

Penubuhan badan yang mengurus bantuan dan rumah perlindungan anak yatim Islam turut diusahakan oleh PMA dan sebilangan besar AJK yang mengendalikan Wisma Yatim Lelaki dan Perempuan sekarang adalah mereka yang aktif dalam PEMENANG. Inilah hubungan yang saya maksudkan dalam pengurusan rumah anak yatim Islam.