Tuesday, April 15, 2008

Foto Perhimpunan Raksasa Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman

Foto Perhimpunan Raksasa Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur yang diadakan pada 14 April, 2008. Foto berikut adalah ehsan daripada MODERATOR, theindiestory.blogspot.com untuk tatapan pelawat ke laman blog ini. Jutaan terima kasih disampaikan kepada MODERTOR atas kebenaran memaparkan foto berkenaan dalam blog ini.






Monday, April 14, 2008

Tren laju - siapa yang untung?

Hasrat YTL Corporation nak bangun sistem kereta api (tren) laju antara Kuala Lumpur dan Singapura harus difikirkan tentang pihak mana yang bakal meraih keuntungan. Malaysia atau Singapura?

Tren yang dikatakan dapat menuju destinasi sama ada dari KL mahupun Kota Singa dalam tempoh masa 90 minit itu bakal meninggalkan kesan mendalam kepada kedua-dua negara jika dilaksanakan.

Jika diteliti, yang bakal meraih faedah dan keuntungan yang lebih besar ialah Singapura, bukan Malaysia.

Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) akan terjejas teruk sekiranya wujud satu sistem pengangkutan laju seperti tren yang dicadangkan itu. Sebaliknya, lapangan terbang Changi akan mendapat faedah. Akibatnya, KLIA akan menjadi sebuah lapangan terbang gajah putih.

Bayangkan apa yang boleh ditawarkan oleh pihak Singapura terutama syarikat penerbangan Singapura (SIA) sekiranya wujud perkhidmatan tren laju antara KL dan republik itu. Dengan tawaran yang cukup menarik, para penumpang sudah tentu akan memilih untuk ke Changi dan tidak lagi ke KLIA untuk ke destinasi antarabangsa.

Pihak Singapura juga pasti akan mengadakan beberapa pakej percutian dan pelancongan dengan menawarkan sama perkhidmatan tren laju sebagai salah satu tarikan. Malaysia juga boleh berbuat demikian tetapi daya tarikan melalui Changi jauh lebih besar dan lebih banyak berbanding KLIA.

Malaysia sebenarnya tidak memerlukan perkhidmatan tren laju antara KL dan Singapura. Memadailah dengan menaik taraf perkhidmatan tren KTM yang ada sekarang kepada landasan berkembar menggunakan tren berkuasa letrik, bukan lokomotif diesel seperti sekarang.

Sunday, April 13, 2008

Bersedia hadapi peningkatan kos hidup

Dunia kini menghadapi krisis makanan. Beberapa buah negara dah mula merasai tempiasnya dan rakyat yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri seperti petani dan nelayan di negara dunia ketiga paling ketara akan sengsara.

Harga beras dan gandum sudah melambung tinggi di pasaran dunia dan kesannya pasti akan dirasai di Malaysia dalam tempoh yang terdekat ini walaupun kerajaan menyatakan bekalan adalah mencukupi. Soal bekalan dan soal harga adalah dua perkara yang berlainan. Walaupun bekalan ada dan mencukupi, harganya pasti akan naik.

Negara paling kaya di dunia, Amerika Syarikat, sedang menghadapi kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai dolar. Di bumi yang bangga dengan kebebasan itu mula menghadapi penurunan dalam harga hartanah (kediaman), beban hutang isi rumah berlipat ganda dan kerugian serta ketaktentuan dalam sistem perbankan memungkinkan ekonomi Amerika Syarikat melalui satu zaman kemalapan yang agak teruk.

Langkah-langkah yang diambil untuk menangani ancaman itu mengakibatkan peningkatan dalam bekalan dolar dan dalam masa yang sama, tekanan ke atas inflasi berlaku berikutan daripada kenaikan harga makanan, tenaga (kuasa) dan komoditi.

Saya memberi gambaran tentang apa yang sedang dan mungkin akan berlaku di Amerika Syarikat kerana seperti yang diketahui umum, jika Amerika bersin seluruh dunia akan dijangkiti selsema.

Spekulator pasaran wang terkemuka, George Soros menyatakan bahawa krisis kewangan semasa adalah yang paling buruk sejak 1930-an. Beliau membuat penganalisaan itu berdasarkan pengalamannya selama 50 tahun dalam pasaran dan teori filosofikal berkaitan corak pasaran yang dihalusinya dalam tempoh tersebut.

Dalam kita menghadapi kancah politik, sama ada yang berkaitan isu kepimpinan UMNO ataupun antara Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Persekutuan dengan lima buah kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, kita seharusnya bersiap sedia menghadapi krisis yang lebih besar, iaitu krisis makanan.

Perbelanjaan hidup seharian naik setiap hari dan kenaikan paling ketara akan berlaku apabila ia membabitkan harga beras. Ia tidak dapat dielakkan kerana harga dalam pasaran dunia sudah melambung dan keperitannya sudahpun dirasai di negara-negara jiran.

Kita bukan tidak mahu menjadi pengguna yang bijak kerana soal harga bukan bergantung kepada kebijaksanaan, ia berada di luar kawalan kita. Sejauh mana yang boleh, kita cubalah berjimat dalam perbelanjaan hidup. Beli apa yang perlu dan jauhkan daripada berbelanja untuk benda yang kita tidak begitu memerlukannya.


Thursday, April 10, 2008

Zahrin Yasin dan Pak Lah

Saya diminta memberi pendapat mengenai Zahrin Yasin a.k.a. Sang Kelembai yang dikatakan mencium tangan Pak Lah. Bagi saya mudah sahaja, itu hak Zahrin dan tidak salah dari segi adat dan budaya.

Walau apapun masalah antara Zahrin dan Perdana Menteri merangkap presiden UMNO, ia tidak seharusnya berpanjangan dan berterusan sehingga akhir hayat. Dalam politik mana ada kawan yang setia dan musuh yang kekal.
Setiap orang ada pendirian, ada pegangan hidup dan ada jati diri masing-masing tetapi semuanya itu tidak kekal. Ia tidak ubah seperti putaran roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah.


Perbezaan pendapat dan pegangan politik tidak seharusnya memutuskan silaturahim. Walaupun kita mengkritik seseorang itu, ia tidak semestinya kita bermusuhan dan tidak berkawan dengannya. Kawan tetap kawan dan kritik tetap kritik.

Kita adalah manusia biasa.

Sunday, April 06, 2008

Radio dan bahasa penyiaran (Bahasa Melayu)

Radio-Televisyen Malaysia (RTM) atau lebih tepat lagi Radio Malaysia telah merayakan ulang tahun penubuhannya yang ke-62 baru-baru ini. Pihak berwajib di Kementerian Penerangan, khasnya di Jabatan Penyiaran, memilih tahun 1946 sebagai tarikh bermulanya siaran radio di Malaya ketika itu. Itu sejarah Radio Malaya tetapi sebelum itu wujud stesen-stesen radio lain di Pulau Pinang dan Singapura.

Sempena ulang tahun itu, saya ingin memperkatakan mengenai penggunaan Bahasa Melayu di radio seperti yang saya ketahui sejak tahun 1950-an hingga sekarang.

Pada awal tahun 50-an, saya masih ingat betapa teliti dan indahnya para juruhebah radio menggunakan bahasa Melayu apabila ke udara. Oh ya, pada masa itu mereka dikenali sebagai juruhebah bukan Dee Jay (DJ) seperti sekarang. Para juruhebah ketika itu menggunakan apa yang disebut sebagai bahasa surat dan mereka tidak menggunakan loghat-loghat daerah atau bahasa rojak (campuran dengan bahasa Inggeris).

Warga emas tentu masih ingat nama para juruhebah yang hebat seperti Abu Bakar Ahmad, Hashim Amir Hamzah, Siti Hawa Zain (Mak Iti), Dom Mahdzi, Aziz Abu Hassan dan Zainal Alam. Selepas era mereka timbul pula juruhebah yang tidak kurang hebatnya seperti Jamsari Mohamad, Siti Hawa Majid, Karim Mohamad, Nor Azah Aziz dan Asiah Omar Idros.

Mereka bukan sahaja teliti dan cermat dalam penggunaan bahasa yang betul tetapi memiliki suara yang sedap di dengar.


Suatu ketika dahulu, pendengar radio hanya mengetahui dua jenis lagu iaitu langgam dan asli. Pertandingan Bintang Radio juga mengadakan dua jenis kejohanan iaitu johan langgam dan johan asli. Pendengar radio mahupun penonton tv masa kini mungkin tidak tahu apa itu irama atau lagu langgam. Ia adalah irama lagu yang digemari ramai dan istilah itu merujuk kepada semua irama yang bukan Melayu Asli.


Juruhebah masa lampau juga menggunakan istilah lagu tanpa gurindam, tanpa syair atau tanpa nyanyian kepada apa yang disebut sebagai lagu instrumental hari ini. Pendek kata, mereka menggunakan istilah bahasa Melayu selagi ada istilah berkaitan sesuatu benda atau perkara. Istilah pinjaman jarang digunakan kecuali tiada istilah dalam Bahasa Melayu.


Sekarang, RTM sendiri menggunakan istilah pinjaman sedangkan wujud istilah dalam Bahasa Melayu. Umpamanya, informasi menggantikan maklumat sehingga diwujudkan perkataan inforia dan sebelum itu infotainmen. Ke mana perginya jiwa dan semangat Bahasa Melayu?


Kita akui bahawa zaman beredar pusaka bergilir, tetapi dalam mengekori kemajuan era teknologi digital dan internet, kita tidak seharusnya menodai Bahasa Melayu sehingga menenggelamkan istilah atau perkataan yang ada.


Kita amat sedih melihat dan mendengar ada diantara DJ radio mahupun tv tidak dapat menggunakan Bahasa Melayu yang betul tetapi yang bercelaru, ada kala sekerat Melayu dan sekerat Inggeris. Bahasa Melayu tidak bahasa Inggeris pun bukan.

Penggunaan bahasa rojak amat ketara oleh DJ stesen-stesen swasta dan dalam usaha untuk menarik minat pendengar, beberapa orang yang bergelar artis diambil sebagai DJ. Tidak semua artis berkenaan mahir dalam penggunaan Bahasa Melayu mengikut nahu dan sebutan yang betul.


Mungkin pada masa lepas, para juruhebah menggunakan Bahasa Melayu sedangkan DJ yang ada sekarang menggunakan Bahasa Malaysia. Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia sebenarnya tidak sama walaupun berakar umbi kepada Bahasa Melayu. Bahasa Malaysia sebenarnya sedang membunuh Bahasa Melayu sedikit demi sedikit.




(Datuk Zainal Alam, tokoh penyiar, penyanyi dan pengacara hebat, ketika mengikuti kursus di Australia)


Berbalik kepada sejarah radio di Malaysia, mengikut Radio Heritage Foundation, siaran radio bermula pada tahun 1937, iaitu tahun dimana British Broadcasting Corporation (BBC) mula memberi pertimbangan terhadap penubuhan sebuah stesen penyalur di Asia. Pada ketika itu, terdapat sebuah stesen radio yang dikendalikan secara komersil di Singapura iaitu, BMBC atau "the British Malaya Broadcasting Corporation".

BBC berhasrat untuk 'membeli' stesen tersebut dan kemudian menaikkan taraf sebagai sebuah stesen radio gelombang pendek antarabangsa untuk menyalur rancangan-rancangan terbitan BBC ke seluruh Asia.

Pada tahun 1939, perancangan dibuat untuk memasang satu unit gelombang pendek berkuasa 100 kW di stesen pemancar baru yang sedang dibina di Jurong, berdekatan dengan Taman Burung Jurong yang ada hari ini. Pada tahun 1940 sebuah unit pemancar Marconi yang dipesan dari kilang Chelmsford, England dihantar dengan kapal, tetapi kapal itu tidak sampai ke Singapura apabila ia ditenggelamkan oleh serangan torpedo musuh.

Selepas itu, sebuah pemancar RCA berkuasa 50 kW dihantar dari Amerika Syarikat tetapi apabila tiba di Singapura, ia didapati tidak sesuai kerana transformer kuasanya tidak selari dengan sistem tenaga kuasa voltan tempatan.

Pada bulan Ogos 1942, sebuah alat pemancar ZHJ, Marconi 7 1/5 kW yang beroperasi di Pulau Pinang dipindahkan ke Jurong dan ia mula ke udara sebagai "Radio Shonan". Siaran terakhir yang disiarkan oleh stesen itu ialah pada 3 Februari, 1945. Ini bermakna siaran radio telahpun wujud di Pulau Pinang sebelum tahun 1940.


Selepas tamat Perang Dunia II, petugas radio dari stesen-stesen radio British di India dan Sri Lanka ditukar ke Singapura untuk membantu memulihkan siaran radio dibawah BMA atau British Military Administration.


Pada peringkat itu, tiga entiti telah ke udara dengan rancangan masing-masing tetapi menggunakan kemudahan yang sama. Entiti-entiti itu ialah BMA, SEAC (South East Asia Command) dan BFEBS (British Far Eastern Broadcasting Station).


Siaran radio SEAC berakhir pada bulan Jun 1946 dan dalam masa yang sama Radio BMA dengan rasminya ditukar namanya kepada Radio Malaya.


Kepada semua juruhebah atau DJ yang bertugas di stesen yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa siaran, tolong jangan nodai keindahan Bahasa Melayu kerana Bahasa adalah Jiwa Bangsa.

Wednesday, April 02, 2008

Malaysians has matured in thinking

In April 2006, the misinformed Information Minister said that the thinking of Malaysians had yet to reach the level of maturity as those in the West.

He said "it is a long way to go, it is not the time yet. We have to democratise them first, then only they will not think in terms of race".

He said that in reply to Teresa Kok (Seputeh MP) who was not happy that RTM's "Parlimen Hari Ini" programme had only invited government MPs to give their views.

The has been minister from Kedah claimed that Malaysians were still thinking a lot along racial lines, unlike the audience in Europe.

Well, the 12th general elections clearly demonstrated the maturity of Malaysians not only in thinking but also in decision making. They did not vote along racial nor religious lines.

In a matter of two years, based on the misinformed minister's statement in 2006, Malaysians has matured.

Tuesday, April 01, 2008

Exco Bayangan atau bayang-bayang?


Barisan Nasional (BN) melalui UMNO Pulau Pinang yang merupakan satu-satunya komponen BN yang mengisi kerusi parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, telah membentuk apa yang disebut sebagai Exco Bayangan.

Pembentukan Exco Bayangan parti pembangkang itu disambut baik oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng (Foto sebelah).

Ketika mengumumkan pembentukan tersebut, pengerusi BN Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon berkata semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang mewakili BN, akan mengawasi pentabiran kerajaan negeri.

Exco Bayangan itu diketuai oleh ADUN Penaga yang juga setiausaha UMNO Perhubungan Negeri, Azhar Ibrahim. Untuk ingatan, Azhar adalah pemimpin UMNO yang mengepalai tunjuk perasaan tanpa kebenaran polis di KOMTAR dan dia jugalah orang yang mendesak pemecatan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir oleh ketua pemuda UMNO tanpa menyedari bahawa ketua pemuda tiada kuasa untuk berbuat demikian.

Exco Bayangan akan bertemu dari masa ke masa untuk menilai pencapaian kerajaan negeri dan memberi maklum balas kepada pihak atasan BN. Tidak tahu pula kita sama ada barisan yang diketuai oleh Azhar ini dapat berbuat demikian atau mampukah mereka berbuat demikian.

Tsu Koon berkata matlamat pembentukan Exco Bayangan itu untuk memastikan kerajaan negeri menunaikan semua janjinya yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan Azhar menambah mereka akan membuat yang terbaik untuk rakyat. Apakah kerajaan BN yang turut disertai Azhar sebelum ini telah melaksanakan yang terbaik untuk rakyat?

Azhar dipertugaskan mengawasi portfolio pertanian dan industri asas pertanian, kemajuan luar bandar, dan penanganan masalah banjir.
Dr Hilmi Yahya yang pernah menjadi timbalan ketua menteri mengawasi perdagangan antarabangsa dan pembangunan industri, hal-ehwal tanah dan pembangunan tanah; Shabudin Yahaya untuk hal-ehwal agama Islam, kemajuan usahawan dan koperatif, dan hubungan masyarakat; Jahara Hamid mengawasi perancangan ekonomi, pelajaran dan sumber manusia, sains teknologi dan inovasi; Arif Shah Omar Shah pula berkaitan kerajaan tempatan, pengurusan trafik dan alam sekitar; Roslan Saidin mengawasi perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna; Jasmin Mohamad ke atas kerja raya, kemudahan awam dan pengangkutan; Mohamad Farid Saad ke atas pembangunan pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan; Mahmud Zakaria mengawasi kesihatan dan kebajikan dan masyarakat penyayang; Syed Ameruddin Syed Ahmad ke atas perancangan bandar dan desa dan perumahan; manakala Zabariah Wahab mengawasi belia dan sukan, pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Pembentukan Exco Bayangan diharap dapat mewujudkan satu sistem pengawasan dan pengimbangan yang mampu mengawasi perjalanan kerajaan negeri. Itulah harapan ketua menteri Lim Guan Eng.

Tetapi, beliau berkata ia tidak akan memberi kesan sekiranya tidak bersifat konstruktif (membina), objektif (bermatlamat) dan memainkan peranan yang benar-benar sihat. Pendek kata, ia tidak sekadar satu sandiwara politik.

Guan Eng, sama seperti majoriti rakyat Pulau Pinang, tidak ingin melihat pembentukan Exco Bayangan oleh BN sebagai satu cara untuk cuba 'menutup' tindakan-tindakan kerajaan BN yang lepas.

Saya melihat pembentukan Exco Bayangan itu sebagai satu tindakan yang baik tetapi sejauh mana keberkesanannya belum boleh dihuraikan. Semuanya bergantung kepada sama ada semua 11 ADUN UMNO (BN) itu benar-benar bersemangat dan beriltizam tinggi untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberikan itu.

Jika dilihat daripada prestasi mereka yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Exco dalam kerajaan negeri pimpinan Tsu Koon, dan mereka yang bergelar ADUN sebelum ini, kita mungkin kurang yakin. Semasa kerajaan BN memerintah, apa yang tidak ada untuk mereka membantu dan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi masalah masih wujud dan ketidakpuasan rakyat diperlihatkan pada pilihan raya 8 Mac lepas.

Kita harap Exco Bayangan tidak akan menjadi Exco Bayang-bayang, hilang cahaya hilanglah bayang-bayang.


Lim Guan Eng - Ketua Menteri yang menjanjikan pembaharuan dalam pentadbiran negeri. Rakyat perlu memberi peluang kepada pentadbiran pimpinan Guan Eng untuk membuktikan kemampuan mereka. Guan Eng dan barisan Exco DAP-PKR pasti akan melakukan yang terbaik kerana mereka tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal. Rakyat berpeluang membuat perbandingan kerajaan mana yang lebih baik - BN atau DAP-PKR-PAS apabila tempoh kerajaan negeri tamat kelak. Sekiranya rakyat berpuas hati dengan pentadbiran Guan Eng, mereka sudah tentu akan memberi mandat yang lebih besar kepadanya, dan jika buruk prestasi maka kerajaan Guan Eng akan dicampak sama seperti mereka mencampak kerajaan BN. Berilah peluang kepada Guan Eng untuk membuktikan kemampuan dan kebolehannya mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang