Wednesday, May 02, 2012

Pendirian dan gesaan NUJ tepat dan berasas

Sebagai mantan orang media, saya kesal dan sedih membaca laporan mengenai tidak kurang daripada 10 pengamal media yang cedera atau dikasari semasa bertugas membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu di ibu negara.

Berdasarkan laporan, pihak yang mengasari petugas media adalah anggota Polis, kecuali satu kes yang melibatkan jurukamera TV Alhijrah, sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Seperti anggota Polis, petugas media juga ke kawasan sekitar Dataran Merdeka kerana amanah yang dipikul selaku pelapor,  tidak kiralah untuk majikan mana atau pertubuhan media yang sama ada memihak kepada kerajaan atau pembangkang. Tugas tetap tugas. Sudah tentu mereka tidak akan ke sana jika bukan kerana tugas, sama seperti anggota Polis.

Saya sedar dan akur akan tekanan yang dihadapi oleh anggota Polis yang panas telinga mendengar kata-kata kesat seperti 'anjing' yang dilemparkan oleh segelintir manusia biadab yang menyertai perhimpunan itu, dan dengan itu tidak dapat menahan marah lalu bertindak kasar, tetapi tidak seharusnya keatas wartawan atas apa alasan sekalipun. 

Anggota Polis dilatih dan disemai dengan semangat jati diri dan disiplin yang tinggi dan tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang bukan menurut arahan atau perintah. Perkara inilah yang perlu ditangani kerana jika anggota Polis tidak berdisiplin, maka huru-haralah jadinya.

Walaupun anggota Polis yang bertindak kasar itu amat kecil jumlahnya, ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak atasan pasukan di Bukit Aman dan saya menyanjung tinggi pendirian tegas Ketua Polis Negara yang berjanji untuk menyiasat dn mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam hubungan ini, saya menyambut baik gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) yang mahu sebuah jawatankuasa bebas dan bukan pasukan Polis menyiasat dakwaan serangan Polis terhadap wartawan dan jurufoto media.

Presiden NUJ, Chin Sung Chew dalam kenyataannya berkata siasatan harus dijalankan oleh badan bebas  kerana tuduhan itu serius yang melibatkan tindakan Polis melakukan keganasan ke atas petugas media.

NUJ mencadangkan jawatankuasa bebas itu dianggotai sekurang-kurangnya oleh seorang mantan hakim mahkamah tinggi, mantan presiden Majlis Peguam dan seorang ahli akademik yang ahli dalam jurusan undang-undang kewartawanan. 

Saya menyokong penuh saranan NUJ itu kerana perkara yang hendak disiasat  bukan sahaja serius tetapi  ada kaitan rapat dengan amalan demokrasi dan kebebasan media seperti yang diamalkan di Malaysia. Saya yakin sebuah jawatankuasa bebas, bukan satu pasukan yang ditubuh oleh Bukit Aman, dapat menjalankan tugas dengan adil dan saksama kepada kedua-dua pihak, iaitu Polis dan Media.

Sementara itu, Malaysiakini.com melaporkan bahawa kerajaan dilihat cuba memulihkan hubungan dengan pertubuhan media melalui   pertemuan dengan kepimpinan media di Bukit Aman hari ini.

Walau apapun berlaku, kita tidak ingin melihat hubungan baik yang dijalinkan selama ini antara Media dan Polis 'terjejas'  dek "kerbau yang membawa lumpur".

Polis ada peranan dan tugas, begitu juga pihak Media. Polis dan Media adalah   seperti aur dengan tebing. 

  
     

No comments: