Friday, May 25, 2012

Daripada mendakwa kepada membela

Ada pihak yang kurang senang apabila mantan Peguamcara Negara II (SG II) Datuk Mohamad Yusof Zainal Abiden bertindak menyertai pasukan pembelaan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman.

Mereka mempersoal kewibawaan dan keprofesionalan Yusof yang pernah bertindak selaku ketua pendakwa apabila Anwar menghadapi tuduhan liwat, untuk kini bertindak membela Anwar. Kepada mereka, Yusof tidak boleh bertindak sedemikian malah ada pula yang mempersalahkan Yusof atas kegagalan untuk mensabitkan Ketua Pembangkang itu.

Antara yang mempersoal kewibawaan Yusof  ialah Ahli Parlimen (MP) Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamad yang juga Pengerusi UDA, MP Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman (pengerusi FELCRA), mantan MB Selangor Dr Mohd Khir Toyo dan ketua MCA Kuantan yang juga seorang peguam Datuk Ti Lian Ker.

Mereka turut menuduh tindakan Yusof sebagai tidak profesional dan boleh menimbulkan kesangsian terhadap pembebasan Anwar daripada kes  liwat.

Bagaimanapun, tindakan Yusof itu disifatkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertangungjawab ke atas hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebagai sesuatu yang tidak salah kerana Yusof bebas untuk mewakili sesiapapun yang dia pilih. Tiada sekatan ke atasnya slaku seorang peguam.  Nazri yakin  Yusof akan bertindak secara profesional.

Yusof adalah seorang pengamal  undang-undang yang profesional. Semasa bertugas dan diamanahkan  di Jabatan Peguam Negara, dia menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan sikap profesionalismenya itu diakui oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang percaya  Yusof akan bertindak profesional selaku peguam bela. 

Oleh itu, orang ramai terutama ahli-ahli politik UMNO atau Barisan Nasional tidak seharusnya mempertikai dan mempersoal tindakan Yusof untuk menyertai pasukan pembelaan Anwar kerana itu haknya selaku peguam.   

Yusof bukanlah orang pertama dari Jabatan Peguam Negara yang sama ada bersara wajib atau bersara pilihan ataupun meletak jawatan untuk membuka firma guaman sendiri atau menyertai tetuan sedia ada sebagai rakan kongsi.

Antara mantan Timbalan Pendakwa Raya atau DPP yang kini cukup terkenal sebagai seorang peguam bela "orang kenamaan" dan tokoh politik atau korporat ialah Datuk Shafee Abdullah yang memiliki firma guaman sendiri dan hidup senang-lenang.

Seorang lagi ialah mantan DPP Sallehudin Saidin yang memohon untuk bersara awal bersama-sama Yusof dan kini memiliki firma guamannya sendiri. Permohonan Sallehudin dilulus oleh Peguam Negara tetapi permohonan Yusuf ditolak. Yusuf kemudian dilantik sebagai SG II sehinggalah dia bersara awal tahun ini.

Kenyataan Nazri dan Gani memadai untuk menangkis sebarang tuduhan atau andaian terhadap Yusof yang berhijrah daripada seorang pendakwa  kepada seorang peguam bela. Kepada mereka yang mengenali Yusof, mereka tahu sikap profesionalisme yang dipegang olehnya.







 

3 comments:

Anonymous said...

Kalau saya yang jadi Datuk Yusof, saya tak mau menolong seorang yang dipandangan mata saya dah buat kerja terkutuk(liwat).

Tindakan beliau menjawap segala persoalan, walaupun hanya beliau sahaja yang tahu apa sebenarnya terjadi.

snow white said...

bro syed,
tindakan dato' yusof, bekas peguam cara negara untuk turut serta dalam pasukan pembelaan anwar ibrahim memang tidak salah dari segi perundangan. walau bagaimanapun, apa yang dipertikaikan oleh orang ramai ialah etika beliau sendiri yang suatu ketika dahulu mengetuai pasukan pendakwaan bagi pihak kerajaan dan sekarang beralih 'angin' pula untuk membela nasib anwar ibrahim. agak sukar untuk memberi sebarang komen, malah rakan-rakan peguam juga tertanya-tanya - apa sudah jadi dengan dato' yusof ini? apakah nilai wang ringgit yang menjadi pertaruhannya ataupun etika peribadi beliau sendiri yang membuatkan beliau membuat keputusan untuk menyertai pasukan pembelaan anwar ibrahim.mungkin dato' yusof sendiri perlu memberikan penjelasan yang terperinci mengenai perkara ini kerana ianya menyentuh soal integriti beliau sebagai seorang bekas peguam cara negara!

Unknown said...

Snow White,

Saya lihat dari satu sudut lain, iaitu kes liwat dan kes yag dihadapi sekarang, adalah dua pertuduhan yang jauh berbeza.

Dalam kes liwat, Yusof bertindak selaku ketua pasukan pendakwaan atau pendakwa utama. Itu tugasnya dan dia telahpun memperaku kepada Jabatan Peguam Negara supaya membuat rayuan atas pembebasan Anwar. Itu tugas dan tanggungjawabnya selaku ketua pasukan pendakwaan.

Selepas bersara, dia membuka firma guaman sendiri dan menerima permohonan untuk menyertai pasukan pembelaan Anwar atas satu pertuduhan yang tidak kena mengena dengan kes liwat.

Saya percaya Yusof tidak akan menerima permintaan untuk menyertai pasukan pembelaan Anwar dalam kes rayuan berkaitan pertuduhan liwat.

Kes liwat dan pertuduhan menyertai perhimpunan yang dilarang amat jauh bezanya. Mungkin itulah rasional kenapa Yusof menerima permintaan untuk menyertai pasukan pembelaan Anwar.