Tuesday, February 21, 2012

Debat MCA-DAP bangkitkan persoalan hukum Hudud

Debat antara presiden MCA, parti gabungan Barisan Nasional, dan setiausaha-agung DAP, parti perkongsian Pakatan Rakyat, tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh selain membangkitkan isu-isu yang merupakan perbalahan politik di kalangan masyarakat Cina. 

Debat yang dilangsungkan dalam bahasa Mandarin itu tidak mampu diikuti secara langsung atau sepenuhnya oleh majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham sama sekali bahasa Mandarin, iaitu bahasa kebangsaan Republik Rakyat China dan bukan bahasa 'rasmi' di Malaysia.

Mungkin menyedari bahawa perdebatan mereka tidak mendapat liputan seluas-luasnya, maka SU Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng minta diadakan debat kedua sama ada dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan Malaysia atau bahasa Inggeris.

Guan Eng dan presiden MCA Chua Soi Lek yang terkenal dengan rakaman 'CD' tertentu, harus sedar bahawa selaku pemimpin politik peringkat kebangsaan, mereka sepatut dan semestinya mengutamakan bahasa kebangsaan. 

Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hanya mampu mengikuti laporan media berkaitan perdebatan yang dikatakan tidak menepati tajuk sepenuhnya itu. Oleh itu, ulasan yang mampu saya lakukan juga terbatas kepada topik tertentu. Saya memilih topik hukum Hudud yang dibangkitkan oleh Soi Lek.

Apabila memperkatakan hukum Hudud, bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak tahu atau samar-samar mengenainya tetapi sejumlah besar umat Islam pun keliru. Oleh kerana itu, apabila disebut hukum Hudud maka timbul  bantahan dan tentangan termasuk oleh pemimpin-pemimpin politik, sama ada yang membentuk kerajaan peringkat negeri mahupun pusat atau yang bergelar pembangkang.

Soi Lek menjadikan hukum Hudud peluru hidupnya untuk memusnahkan hujah Guan Eng. Sedikit sebanyak dia berjaya kerana Guan Eng gagal menyahut cabaran tersebut. Mungkin Guan Eng terbayang akan wajah pengerusi DAP Karpal Singh yang berkata "langkah mayat saya  dahulu" jika  hendak melaksanakan hukum Hudud. Kita tidak tahu selama mana  hayat Karpal Singh untuk membolehkan mayatnya dilangkahi.

Perlu diingatkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Namun begitu, pelaksanaan hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan selagi Kerajaan Persekutuan tidak memberi kebenaran.  Inilah kenyataan yang mesti diketahui. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berkata perbezaan pandangan antara PAS dengan DAP dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Namun begitu, sehingga sekarang Kerajaan Negeri Kelantan tidak dapat melaksana hukum Hudud.

Saya ingin merujuk kepada Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Walaupun Malaysia mengamalkan dwi-sistem kehakiman,   iaitu undang-undang lazim dan undang-undang Syariah,  tafsiran dibuat bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, ia hanya meliputi atau berkuatkuasa  ke atas umat Islam. Pada hakikatnya, ia meliputi persoalan undang-undang keluarga seperti pernikahan, pewarisan harta dan isu murtad. Walaupun ada negeri yang memperuntukkan kesalahan jenayah Syariah, ia  terbatas  kepada hukuman denda yang tidak melebihi RM5,000.00 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kita sedar bahawa mencuri, merompak, membunuh, berzina, rogol dan  sumbang mahram, sebagai contoh, adalah antara kesalahan mengikut undang-undang Islam,  tetapi,  semuanya jelas berada di bawah kuasa undang-undang lazim (kuasa Kerajaan Persekutun). Oleh itu, ia tidak boleh dilaksana diperingkat negeri melalui undang-undang yang berlawanan.

Ini kerana semuanya termasuk dalam Kanun Keseksaan atau Penal Code, iaitu undang-undang kesalahan jenayah utama yang mengandungi tidak kurang daripada 511 seksyen  meliputi banyak kesalahan jenayah yang boleh dijatuh hukum oleh mahkamah. 

Selain Kanun Keseksaan, terdapat undang-undang khusus dan tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Akta Senjata Api (hukuman lebih berat) 1971,  untuk memperluas kawalan dan penguatkuasaan ke atas kes-kes jenayah tertentu.

Oleh itu, hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana kesalahan jenayah seperti yang terkandung dalam senarai kesalahan jenayah Syariah di bawah hukum Hudud, sudahpun berada dalam senarai di bawah Kanun Keseksaan. Ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri dan  ia hanya boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan suara majoriti dua-pertiga ahli Dewan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat berhasrat untuk melaksanakan hukum Hudud, ia perlu terlebih dahulu memenangi pilihan raya dengan majoriti melebihi dua-pertiga. 

Persoalan yang harus difikirkan oleh PAS terutamanya, mahukah DAP ataupun PKR  menyokong pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat jika Pakatan menguasai Parlimen? Tanpa sokongan DAP dan PKR, sudah tentu sukar bagi PAS untuk melaksana hukum Hudud. 

Saya tidak yakin DAP mahupun PKR akan menyokong PAS dalam isu hukum Hudud. 

       

  

6 comments:

Anonymous said...

Chua serang peribadi, The Star bohong lagi.

THE STAR yang tak ada maruah!!

contoh pembohongan yang jelas dilakukan oleh MCA selaku pemilik akhbar The Star di mana LGE terpaksa menulis surat kepada Ketua Pengarang Kumpulan akhbar itu kerana mengada-adakan berita secara palsu.

Di bawah artikel “What they said” di muka surat 6 akhbar The Star pada 19 Februari 2012, Lim dilaporkan kononnya berkata:

“We do not agree the Prime Minister must always be Malay because we want the people to decide.”

(“Kami tidak bersetuju bahawa Perdana Menteri mesti sentiasa terdiri daripada orang Melayu kerana kami mahu rakyat yang membuat keputusan.”)

“Disebabkan The Star adalah milik MCA, saya menghormati hak The Star untuk menyiarkan ‘laporan berat sebelah’ mengenai pendebatan tersebut.

“Walau bagaimana pun, petikan yang dikeluarkan itu adalah palsu dan tidak benar kerana tiada sebarang rujukan atau apa juga sekali pun pernah dibuat oleh saya mengenai isu ini ketika perbahasan. Saya kesal bahawa The Star tidak mencetak surat saya dan hanya mengakui kesilapan tersebut dengan berat hati dalam edisinya semalam (Isnin),” katanya.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Sebenarnya, mengikut fahaman saya, tidak pula Chua Soi Lek menyebut secara khusus tentang hukum hudud tetapi beliau mempersoalkan hubungan PAS dengan DAP dalam pakatan.

Hubungan berkenaan adalah persoalan Parti PAS dalam pentadbiran yang beliau memberi contoh di Kedah dimana lelaki dan perempuan terpaksa dipisahkan dan juga di Bangi dimana panggung wayang tidak dibenarkan.

Soi lek mengatakan bahwa sekiranya Pakatan Rakyat menang di dalam pilihanraya maka rakyat cina akan terpaksa menerima akibat pengaruh Islam dalam hidup mereka.

Soi lek juga mengatakan bahawa DAP akan diperkuda oleh PAS iaitu terbalik dengan apa yang diberitahukan oleh UMNO yang mana PAS diperkudakan oleh DAP.

Pendekata, PAS dan peranan Islam merupakan perkara yang paling besar yang dibangkit oleh Soi Lek dalam debat termasuk juga anggota MCA yang menanyakan soalan.

Dalam suratkhabar STAR nampaknya memberikan persepsi bahawa Soi Lek lebih baik dalam perdebatan tetapi pada pemerhatian saya yang sedikit sebanyak faham bahasa mandarin (SRJK (C) di JB) Lim Guan Eng lebih baik penyampaiannya.

Mungkin Tuan Syed boleh dapatkan transkrip penuh debat dalam bahasa inggeris atau melayu.

Mungkin lain kali debat dalam bahasa inggeris atau melayu lebih efektif.

Orang Johor

Syed Imran said...

Orang Johor,

Kita tunggu debat dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris untuk lebih memahami pendirian kedua tokoh berkenaan. Satu kebetulan mereka berdua dari daerah yang sama di Johor. Melalui perdebatan sedemikian, kita boleh fahami pendirian masyarakat Cina yang diwakili oleh DAP dan MCA. Sekurang-kurangnya mereka tidak bercelaru, haru-biru dan berkecamuk seperti apa yang sedang berlaku di kalangan politik/NGO yang berselindung di sebalik politik Melayu - UMNO, PAS, PKR, KITA, Perkasa dan lain-lain.

Anonymous said...

Tuan Syed,

The time has come for more public debates

Bilakah kita boleh saksikan debat antara PM dengan Anwar??

Beranikah UMNO terima cabaran ini?


Perang mulut only

Anonymous said...

tuan, terdapat pihak yang kelihatan sangat anti-Yahudi tetapi tergamak menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

Pihak-pihak ini hakikatnya hanyalah ayam jantan yang berkokok gagah sedangkan ekornya bergelumang najis!

apa pendapat tuan? minta tuan ulas pd artikel seterusnya.

org PP

Anonymous said...

Nampaknya ramai yang berharap akan ada debat dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Kalau macam tu, kita pakat tunggulah kalau berlaku debat antara Anwar dan Najib.

Semoga akan adalah mana mana sekor kucing yang akan tumbuh tanduk.