Tuesday, December 06, 2011

Mana lebih penting - calon atau parti boleh menang?

Setelah berakhirnya perhimpunan agung UMNO, orang kebanyakan  terutama 'orang UMNO' masih memperkatakan mengenai pilihan raya umum ke-13 dan soal 'calon boleh menang' yang seharusnya diutamakan oleh parti.

Soal sama ada bila PRU-13 akan didakan bukan menjadi tajuk perbincangan utama tetapi soal calon parti yang boleh menang atau berdaya menang.

Bermacam andaian dan pendapat dibuat oleh sama ada pemerhati politik dari dunia akademik yang tidak semestinya pakar dan pengamat tidak profesional di warung-warung kopi dan gerai rakyat bawahan yang tidak pernah atau amat jarang menjejak kaki ke "Coffee House" hotel berbintang-bintang yang sering dijadikan tempat  melepak 'orang UMNO' bergelar, berjawatan  dan berpangkat.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan yang juga mantan menteri kabinet, Tan Sri Anuar Musa yang saya dapati jauh lebih tepat dan kena dengan keberadaan politik semasa.

Anuar berpendapat bahawa soal calon boleh menang tidak dapat menjamin atau gerenti boleh menang sekiranya parti, iaitu UMNO, tidak diterima dan tidak boleh menang. Oleh itu, yang lebih penting ialah soal parti boleh menang, bukan calon boleh menang.

UMNO sepatutnya meninjau suasana dan penerimaan rakyat akar umbi sama ada mereka menerima kehadiran parti itu atau tidak, UMNO harus sedar bahawa bukan semua orang Melayu adalah 'orang UMNO" dan bukan semua 'orang UMNO' akan mengundi calon UMNO atas sebab-sebab tertentu termasuk soal calon.

UMNO juga harus sedar bahawa rakan-rakan kongsinya dalam Baisan Nasional,  MCA, MIC dan Gerakan, belum tentu dapat menarik sokongan pengundi Cina dan India untuk menyokong calon BN dari UMNO. UMNO mesti sedar bahawa ia amat memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk menang dan inilah salah satu fakta yang perlu ditangani segera jika parti itu ingin menang.

Jika dilihat pada senarai wakil rakyat UMNO yang berkhidmat sekarang, saya berani menyatakan bahawa lebih separuh daripada mereka bukan calon yang berdaya menang termasuk sebilangan besar anggota Kabinet.

Oleh itu, UMNO mesti serius mencari calon-calon 'muka baru' yang tidak semestinya dari kalangan 'orang muda' dari sama ada Pemuda atau Putri UMNO. Calon 'muka baru' berada di mana-mana sahaja termasuk di kalangan pengkhidmat awam, sektor korporat dan golongan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Beranikah UMNO memilih mereka untuk bertanding pada PRU-13 dan mahukah 'orang UMNO' yang menerajui bahagian-bahagian parti menerimanya?

Budaya UMNO selama ini yang mengutamakan calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian - sama ada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan AJK - mesti diubah dan pemilihan calon seharusnya dibuat secara menyeluruh. Calon tidak semestinya menjadi ahli di bahagian berkenaan tetapi anak tempatan yang bermastautin di tempat lain. Sebagai contoh, calon yang dipilih untuk bertanding di Titiwangsa mungkin anak Kampung Baru yang menetap di Johor.  Yang penting calon itu diterima dan boleh menang, asalkan UMNO boleh menang.

Masalah yang lazim menghantui UMNO ialah kepimpinan bahagian berkenaan yang terlalu mengidam untuk menjadi calon tetapi apabila tidak dipilih, dia enggan bekerjasama atau memberi sokongan sepenuhnya kepada calon yang dipilih.

Dalam hubungan ini, kenyataan Anuar Musa bahawa yang penting ialah  parti boleh menang, bukan calon boleh menang mesti diutamakan.  Jika parti boleh menang, soal calon tidak menjadi masalah tetapi jika calon dikatakan boleh menang tetapi parti ditolak rakyat, maka ia adalah satu masalah besar.

Seperti yang disebut oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat mesti undur untuk memberi peluang kepada muka baru yang boleh menang dan saya ingin menambah mereka yang  menjadi 'beban' kepada parti seharusnya sedar dan undur.

Contoh yang dapat saya berikan ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Dia kini lebih merupakan 'beban' kepada UMNO dan dia harus sedar akan keadaan itu dan tidak semata-mata 'menyerah' kedudukannya kepada presiden parti untuk membuat keputusan. Mentimun dan pisau berada di tangan Shahrizat, bukan di tangan orang lain.

Kepada 'orang UMNO' yang berada dalam kedudukan sedemikian, mereka harus sedar bahawa hari sudah terang dan mereka tidak perlu lagi bersuluh.


  

 

6 comments:

mr edz said...

saya tidak akan mengundi UMNO.. jamaluddin jarjis... maaf saya tak kan undi kamu.

Unknown said...

mr edz,

Nampaknya saudara lebih ke hadapan. Tolak calon dan tolak parti.

Teringat saya akan satu insiden membabitkan JJ di sebuah hotel di KL Sentral.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Parti politik seperti UMNO tidak wujud dalam vakum. Ia mempunyai struktur, perlembagaan dan falsafah perjuangan serta pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli yang mendokongnya.

UMNO, sebuah parti besar, telah banyak berjasa dan menabur bakti - memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Di peringkat awal, kepentingan agama, bangsa dan negara adalah segala-galanya di hati nurani pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang sebahagian besarnya nasionalis. Imej parti amat bersih dan disanjung tinggi oleh rakyat jelata. Justeru, letaklah sesiapa jua pun sebagai calon dalam pilihan raya, dia akan menang. Tegasnya, UMNO adalah 'winnable party.'

Ketika ini, imej UMNO telah begitu tercalar malah luka parah. Jangan salahkan pembangkang yang telah dimaki-hamun dan caci-cerca dalam Perhimpunan Agung baru-baru ini. Semuanya adalah angkara segolongan pemimpin dan ahli parti sendiri yang menganggap UMNO begitu 'dominant' dan 'dominating',maka mereka menjadi tamak-haloba, rakus dan lintah darat. Kepentingan parti dihumban jauh-jauh. Jadi, UMNO bukanlah lagi 'winnable party.'

Apa yang mendesak sekarang ialah mencari 'winnable candidates' dalam PRU ke-13, untuk meletakkan UMNO semula di landasan perjuangan asal - demi agama, bangsa dan negara. Seterusnya merintis jalan ke arah menjadikan UMNO 'winnable party' semula.

Dalam mencari 'winnable candidates,' saya menyokong penuh saranan Tuan Syed 'calon tidak semestinya menjadi ahli di bahagian berkenaan tetapi anak tempatan yang bermastautin di tempat lain.'

Untuk itu, buktikan guruh dan kilat 'baiah' tidak hanya bergempita dan bersabung di Dewan Merdeka tetapi diikuti hujan lebat di luar.

ZMS

Anonymous said...

Memang kita akui bahawa UMNO perlukan sokongan pengundi bukan melayu untuk terus bertahan. Najib dah cuba bermacam-macam cara untuk menambat hati kaum bukan melayu. Contohnya 1Malaysia. Mungkin sedikit berjaya. Tapi kesilapan terbaharu yang beliau lakukan adalah terlalu menyokong dan berjanji untuk membantu sebuah pertubuhan NGO 'extreme' melayu. Kaum bukan melayu hanya memerhati dan menanti PRU yang akan datang..

Chris Tan

Unknown said...

Chris Tan,

Benar apa yang saudara nukilkan. Parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim pun kecewa dengan nada perkauman tebal dan kata-kata hasutan di kalangan pemimpin UMNO baru-baru ini. Beliau membayangkan bahawa KITA akan sokong Pakatan Rakyat.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Nampaknya kes Shahrizat berhubung NFC makin parah.

Semasa diadakan kenyataan akhbar, Salleh (suami Shahrizat ) yakin ada kes saman yang kuat untuk difailkan terhadap mereka yang membuat tuduhan. Ini disokong super lawyer Shafie.

Tapi kini mereka senyap-sunyi. Malah Khairy yang kuat berkokok menyokong Shahrizat turut membisu.

Sebaliknya, selepas Dr M mengeluarkan kenyataan, seorang lagi Ahli Parlimen dari Sabah mendesak Sharizat meletak jawatan.

Khuatir nanti 'winnable candidates' dari UMNO/BN bertukar menjadi 'losing candidates' kerana Shahrizat.

ZMS