Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sekarang dikatakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 yang diramal diadakan sebelum sambutan tahun baru Cina.
Perwakilan dan pemerhati parti dari seluruh negara kecuali Sarawak, seperti lazimnya, menyambut baik saranan dan nasihat presiden parti terutama yang bersangkut paut dengan pemilihan calon pilihan raya akan datang.
Semuanya berjanji akan patuh menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh kepimpinan parti. Itulah gambaran yang dilakarkan oleh media terutama media yang dikawal atau dikuasai Umno.
Namun demikian, kita percaya bukan semua ahli yang secara jujur dan ikhlas menyokong apa yang dinyatakan oleh presiden parti, terutamanya mereka yang bercita-cita dan mengharapkan untuk dipilih sebagai calon.
Presiden dan timbalan presiden UMNO mengakui bahawa pilihan raya umum ke-13 bukanlah sesuatu yang mudah dan disifatkan oleh orang nombor dua dalam parti itu sebagai 'ibu segala pilihan raya'. Ini bermakna UMNO sedar bahawa bukan senang bagi parti itu dan rakan-rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN) untuk menang.
UMNO sendiri sedar bahawa parti itu mesti meletakkan calon yang boleh menang, iaitu calon yang boleh diterima oleh rakyat dan ia tidak semestinya calon yang dipilih dari kalngan pemimpin peringkat bahagian. Calon yang boleh menang mungkin berada di luar bahagian berkenaan atau ahli biasa yang tidak menetap di kawasan yang ditandinginya.
Persoalannya, mahukah kepimpinan peringkat bahagian menerima calon berkenaan kerana selama ini, UMNO mengamalkan cara pemilihan calon yang bersandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Inilah cabaran yang mesti dilalui oleh parti kerana ia bukan sesuatu yang mudah.
UMNO sedar bahawa parti itu menghadapi berbagai masalah, kesulitan dan dugaan di kalangan ahlinya sendiri selain menghadapi cabran hebat parti lawan terutama PAS. UMNO telah melalui penyusunan dan perubahan sejak parti itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk terus kekal relevan dalam arena politik Melayu.
Perubahan yang dilakukan didorong oleh keperluan semasa tetapi ia belum mencukupi untuk menjamin kelangsungan hidup parti terutama di kalangan generasi muda yang mepunyai selera dan naluri kehidupan yang jauh berbeza dengan golongan dewasa. Di sinilah letakn ya kelemahan utama UMNO berbanding dengan parti-parti lawan.
Banyak isu dan kejadian yang membabitkan tokoh-tokoh UMNO sama ada secara langsung atau tidak dilihat sebagai barah yang sedikit demi sedikit memusnahkan kepercayaan. Isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kehidupan mewah, kedudukan dan pangkat tidak terlepas daripada perhatian rakyat.
Perkara ini berlaku kerana di kalangan kepimpinan UMNO semua peringkat, ada diantaranya yang tidak menyedari akan tangungjawab, tidak mengutamakan kepentingan parti dan ahli-ahlinya kecuali kepentingan diri sendiri.
Seperti yang ditegaskan oleh presiden UMNO, pemimpin dan ahli parti kena berubah, jika tidak mereka akan diubah. Perubahan pasti akan berlaku pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya UMNO salah pilih calon dan apa yang dapat dikatakan ialah hampir separuh daripada wakil rakyatnya yang ada mesti diubah untuk mengelak parti itu rebah.
6 comments:
revolusi membawa perubahan
Tuan Syed,
1.Berbanding parti kerdil, sebuah parti besar seperti UMNO/BN yang mempunyai infrastuktur dari peringkat yang paling bawah sehingga paling tinggi dan telah berkuasa semenjak merdeka, kekalahan dalam PRU 2008 adalah satu tragedi yang melanda parti itu. Untuk bangkit semula dan menebus kekalahan tersebut tidak mudah dan amat mencabar. Antara lain,ianya menuntut pengorbanan besar setiap ahli dan meletakkan kepentingan parti di atas segala-galanya. Apakah mereka telah melakukannya dan akan terus bersedia melakukanya?
2.Beberapa siri 'postmortem' telah dilakukan untuk mengenalpasti punca-punca kekalahan tersebut. Sejauh mana kah pucuk pimpinan parti telah merangka langka-langkah mempastikan semua punca tersebut tidak berulang dalam PRU ke-13 nanti? Atau 'postmortem' yang telah diadakan sekadar melepaskan batuk ditangga tanpa menepati objektif ianya diadakan.
4.Pucuk pimpinan parti telah memberi penekanan kepada calun-calun yang boleh menang (winnable candidates).Sepengetahuan saya, selain dari memilih calun yang boleh diterima pengundi tanpa mengira kedudukan dalam parti, tidak ada kriteria-kriteria yang jelas digariskan siapakah 'winnable candidates). Kalau begitu keadaannya, sesiapa juga boleh mengaku dialah 'winnable candidate' apa lagi kalau dia seorang Ketua Bahagian atau memegang mana-mana jawatan penting dalam parti.
5.Apabila seseorang yang menganggap dirinya sebagai (winnable candidate) tidak terpilih sebagai calun, tindakan sabotaj terbentang luas. Kekhuatiran ini jelas terbayang di kalangan pucuk pimpinan parti apabila mereka sering memperkatakan mengenainya. Terakhir, Najib, dalam taklimat kepada parti, meminta diadakan bai'ah supaya memperkuatkan lagi taat setia ahli kepada parti. Saya teringat kumpulan Al-Maunah beberapa ketika dahulu dalam mana upacara bai'ah diadakan untuk ahil-ahlinya. Kumpulan ini akhirnya tumpas.
6.Dalam analisis terakhir, UMNO perlu berkerja kuat hingga ke saat akhir. Kaji dan kenalpasti kekuatan dan kelemahan sendiri dan juga pihak lawan. 'Complacency' adalah musuh utama.
ZMS
azra,
UMNO telahpun mengadakan revolusi mental tetapi masalah menjadi bertambah rumit kerana mentaliti pemimpin dan ahli yang jauh menyimpang daripada asas perjuangan.
ZMS,
Saya harap orang UMNO juga sedar akan kedudukan parti seperti apa yang saudara nukilkan. Bagi saya, itu adalah satu kebenaran yang semestinya diterima oleh UMNO.
UMNO memerlukan kepimpinan hebat seperti allahyarham Tun Dr Ismail dan pemimpin jujur yang tidak mementingkan diri seperti allahyarham Tun Ghafar Baba. Banyak lagi contoh yang boleh diberikan tetapi cukup sekadar dua orang tokoh berkenaan.
Tun Dr Ismail bukan sahaja seorang pencinta bangsa dan watan tetapi seorang pemimpin yang berani dan berpendirian tegas. Allahyarham mengorbankan tenaga, masa dan kesenangan hidup untuk bangsa dan tanah air. Alangkah bertuahnya UMNO jika mempunyai pemimpin sehebat Tun Dr Ismail.
Allahyarham Tun Ghafar adalah contoh seorang pemimpin yang taat dan setianya kepada parti tidak boleh dipertikaikan. Tun Ghafar tidak mementingkan kedudukan dan jawatan. Dia pernah disisih, diketepikan daripada memegang jawatan tetapi dia tetap setia kepada parti. Walaupun pernah diperlekehkan tetapi dia tidak undur tetapi terus maju memperjuangkan parti dan bangsa.
Saya tidak nampak adanya pemimpin yang hebat seperti Tun Dr Ismail atau yang taat setia sehebat Tun Ghafar Baba. Mungkin kerana itulah perjuangan UMNO mula merudum dan jauh terkeluar landasan asal perjuangan.
Dalam ucapan dasarnya, Datuk Seri Najib mengingatkan partinya mengenai sebab musebab kejatuhan empayar Melaka, empayar Othmaniah, empayar Rum dan dinasti China. UMNO boleh mengelak musibah yang serupa jika barisan kepimpinan dan ahli kembali kepada asas perjuangan parti. Saya tidak dapat menyatakan sama ada ia dapat dilakukan kerana apa yang berlaku ialah kepentingan diri mengatasi kepentingan parti. Ianya berlaku di mana-mana sahaja, di semua peringkat dan sayap parti.
kita tengok PRU13, parti mana yg teguling. sembang bab perubahan tapi pemimpin umno sendiri yg tak berubah dari dulu kini forever. abihtu dok sembang bab peubahan..revolusi. lembu NFC pun bole sembang. kalo tak pecaya tanya kak jat tgk. betoi dak.
jtg
Tuan Syed,
Setuju sepenuhnya dengan pandangan Tuan Syed ke atas dua orang pemimpin hebat Malaysia iaitu Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Ghaffar Baba.
Melewati perjalanan politik yang berbeza, mereka tidak syak lagi telah mempertunjukkan pengorbanan diri yang amat besar demi kepentingan parti dan negara. Taat setia mereka juga tidak boleh dipersoalkan.
Tun Dr Ismail, berhadapan dengan masalah kesihatan juga berpegang teguh kepada prinsipnya, meletak jawatan pada Mei 1967. Tetapi apabila diminta oleh Tun Abd Razak untuk sama-sama menangani tragedi 13 Mei, beliau tidak ragu-ragu memenuhi permintaan tersebut pada Me1 1969 demi kepentingan negara.
Manakala Tun Ghafar pula, walaupun tersingkir dari jawatannya sebagai Tim.Presiden UMNO dan Tim Perdana Menteri oleh Anwar, pendiriannya terhadap parti dan negara tetap kental seperti Tuan Syed huraikan.
Oleh itu, apabila saya membangkitkan persoalanan tentang pengorbanan pemimpin dan ahli-ahli UMNO sekarang, dalam komen di atas, saya amat ragu mereka boleh mencontohi walau secebis daripada pengorbanan Tun Dr Ismail dan Tun Ghafar. Kepentingan diri telah begitu berakar umbi kerana didorong kepentingan materialisme.
Nampaknya pucuk pimpian UMNO,khususnya Najib masih lagi bernostalgia tentang sejarah kejatuhan Empayar Melaka dan Empayar Othmaniah kerana Dr Mahathir sendiri telah juga berbuat demikian beberapa kali sebelum ini dalam perhimpunan agung dan lain-lain perjumpaan parti. Hakikat yang ianya masih lagi disentuh jelas menunjukkan UMNO terus berhadapan dengan potensi ianya menjadi tidak relevan malah 'extinct'kecuali sesuatu tindakan drastik dibuat.
Setuju dengan pandangan Tuan Syed, semuanya berpaksi kepada kesanggupan ahli-ahli UMNO mengorbankan kepentingan diri. Namun, saya ragu seperti yang saya nyatakan di atas.
ZMS
Post a Comment