Wednesday, December 14, 2011

PENGISYTIHARAN SPB AGONG V DAN XIV

Selesai sudah majlis bersejarah iaitu istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan dan istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV dan Timbalan YDP Agong. 

Media elektronik dan media cetak saban hari, sebelum dan selepas peristiwa bersejarah itu, mengulangi akan betapa bermaknanya istiadat itu kerana Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, buat kali kedua dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menjadi ketua negara.  Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah adalah SPB YDP Agong V yang bersemayam atas takhta Kerajaan Malaysia bermula 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Media juga mengulangi kenyataan bahawa semasa Tuanku Abdul Halim menjadi ketua negara, Perdana Menteri yang menerajui pentadbiran negara adalah almarhum Tun Abdul Razak dan kini, apabila Tuanku Abdul Halim menaiki takhta negara buat kali kedua, anak almarhum Tun Razak, Datuk Seri Najib pula menerajui pentadbiran negara.  

Ia adalah sesuatu yang ditakdirkan dan kita tidak seharusnya membuat apa-apa andaian atau  tafsiran dan jauh sekali daripada membuat sebarang perbandingan kerana kedua-dua peristiwa itu berlaku pada dua era yang berlainan dari sudut politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan ulasan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia [UKM] Tan Sri Prof. Dr Sharifah Hapsah Shahabuddin dalam entri Face Booknya yang menyebut dua persamaan, iaitu pembacaan pengisytiharan oleh Perdana Menteri.

Prof Dr Sharifah Hapsah menulis ''PM Najib reading pengisytiharan SPB YDP Agong baru. His father did d same 4 d same Agong 41 years ago.''

Menurutnya, PM Najib membaca pengiystiharan itu sama seperti yang dibuat oleh almarhum bapanya 41 tahun lalu untuk SPB Agong yang sama. Saya agak ragu-ragu sama ada kenyataan Naib Canselor itu tepat atau sebaliknya.

Saya ragu-ragu kerana semasa Tuanku Abdul Halim menaiki takhta Kerajaan Malaysia buat kali pertama, Perdana Menteri ketika itu bukan Tun Razak tetapi almarhum Tunku Abdul Rahman. Oleh kerana Perdana Menteri orang yang membaca pengisytiharan, sudah tentu bukan Tun Razak tetapi Tunku. Almarhum Tunku berkhidmat sebagai PM di bawah SPB Tuanku Abdul Halim sehari sebelum meletak jawatan.

Untuk mendapat kepastian, saya merujuk kepada tulisan almarhum Tunku dalam bukunya ''Viewpoints'' dan mendapati bahawa Tunku adalah Perdana Menteri semasa Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai SPB Agong dan bukan Tun Razak. Selepas Tunku letak jawatan, barulah Tun Razak menyambung khidmat di bawah Tuanku Abdul Halim sebagai Perdana Menteri.

Tunku menulis di bawah tajuk ''The Yang Dipertuan Agong'' seperti berikut - '' I had the pleasure and the honour of serving as Prime Minister under five Agungs; [1] HRH Tuanku Abdul Rahman of Negeri Sembilan, [2] HRH Tuanku Hishamuddin Alam Shah of Selangor, [3] HRH Tuanku Syed Putra of Perlis, [4] HRH Tuanku Ismail of Trengganu and [5] HRH Tuanku Halim Shah of Kedah, for one day.''

Sebagai Perdana Menteri, sudah tentulah Tunku yang membaca pengisytiharan tersebut dan bukan orang lain dan oleh kerana ia adalah catatan sejarah, maka kepastian  perlu dicari.

Saya tetap ragu-ragu kecuali ada pihak yang tampil dengan fakta. 




7 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,

Dari google, saya perturunkan di bawah tarikh-tarikh yang saya rasa relevan dalam perbincangan ini :-

23 Jul 70- Majlis Raja-Raja memilih Tuanku Abd Halim sebagai SPBYDP Agung ke-V

21 Sep 70- Tuanku Abd Halim mengangkat sumpah sebagai SPBYDP Agung ke-V

22 Sep 70- TUN ABD RAZAK DILANTIK SEBAGAI PM MENGGANTIKAN TUNKU ABD RAHMAN

20 FEB 71- Tuanku Abd Halim ditabalkan sebagai SPBYDP Agung ke-V

Oleh itu, saya bersetuju dengan pandangan Tuan Syed dalam posting ini iaitu semasa Tuanku Abd Halim mengangkat sumpah sebagai SPBYDP Agung ke-V, Tunku Abd Rahman masih lagi PM Malaysia.

ZMS

Anonymous said...

Tuan Syed,

Tambahan..

Sebagaimana Tuan Syed sedia maklum, negara ketika itu berada dalam keadaan Darurat ekoran Tragedi 13 Mei 1969. Pentadbiran negara terletak di bawah MAGERAN yang ditubuhkan pada 16 Mei 1969 dan dipengerusikan oleh Tun Abd Razak, Tim Perdana Menteri. MAGERAN hanya dibubarkan pada 1971.

Jadi apakah peranan Tun Abd Razak, Pengerusi MAGERAN, jika ada, ketika majlis angkat sumpah Tuanku Abd Halim pada 21 Sep 1970? Secara teknikalnya, Tunku Abd Rahman masih lagi PM.

ZMS

Syed Imran said...

ZMS,

Terima kasih atas maklumat yang diberikan.

Saya masih ingat peristiwa itu kerana pada waktu itu saya berkhidmat di Bernama.

Benar, pada waktu itu MAGERAN masih wujud tetapi jawatan Perdana Menteri pun wujud. Mengikut amalan lazim, Perdana Menteri yang membacanya.

Seingat saya, salah satu sebab Tunku letak jawatan ialah kerana prinsip. Kita sedia maklum Tuanku Abdul Halim adalah anak saudara Tunku dan almarhum mungkin keberatan menghadap anak saudara sendiri sekali setiap minggu untuk urusan rasmi sebelum mesyuarat Kabinet.

Anonymous said...

Saya setuju dengan pandangan Tuan Syed bahawa perletakan jawatan Tunku kerana prinsip.

ZMS

Anonymous said...

Tuan Syed,

Syukur kepada Allah swt atas perlantikan Tuanku Abdul Halim sebagai SPB Agong V serta dirgahayu kepada baginda.

Dalam pada itu, saya amat terharu bercampur sedih betapa karya seorang sasterawan negara menjadi mangsa kepada permainan politik pihak-pihak tertentu.

Setelah sekian lama bermain tarik talik berhubung penggunaan novel 'Interlok' sebagai buku sastera di sekolah, akhirnya Najb mengalah. Betapa kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Betapa maruah seorang sasterawan negara yang juga seorang Melayu dikorbankan demi memenuhi tuntutan melampau dan tidak bertempat kaum minoriti. Mungkin inilah agaknya gagasan 1Malaysia.

ZMS

Syed Imran said...

ZMS,

Sesuatu yang mengaibkan apabila kerajaan tunduk kepada tekanan politik.

Kita sedih karya sastera dalam bentuk novel boleh dijadikan alasan modal politik paling kotor dan kerajaan, khususnya UMNO yang menjadi tulang belakangnya, tunduk, serendah-rendahnya dengan menarik balik novel tersebut.

Kita tidak tahu entah apa lagi yang akan dijadikan isu pada masa depan oleh golongan minoriti ke atas majoriti.

Muhamad Ekbar Senin said...

Tuan Syed,

Adakah mageran masih wujud hingga kini?