Wednesday, November 23, 2011

Tiada penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Johor

Saya menjunjung kasih atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Negeri Johor Darul Ta'zim kerana tidak mengurniakan sebarang darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 26 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 22 November 2011.

Inilah kali kedua baginda berbuat demikian dan rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya, sudah tentu gembira dan menyambut baik keputusan baginda itu.

Mungkin orang politik, ahli-ahli perniagaan dan pegawai perkhidmatan awam yang ternanti-nantikan gelaran 'datuk' dan sebagainya,   kecewa kerana tidak berpeluang mengumpul gelaran dan anugerah. Saya kata mengumpul kerana itulah yang berlaku walaupun bukan di kalangan majoriti tetapi memang berlaku.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menganugerah terlalu banyak gelaran dan pingat serta bintang kebesaran di dunia. Manakan tidak, setiap negeri berbuat demikian selain Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Macam-macam gelaran diwujudkan sehingga ada yang melucukan.

Tindakan Sultan Ibrahim untuk tidak menganugerahi darjah dan bintang kebesaran serta pingat mengingatkan saya kepada tindakan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Iskandar semasa menjadi SPB Agong ke-8.

Menurut pegawai yang pernah bekhidmat di Istana Negara ketika itu, setiap kali senarai pencalonan dikemukakan untuk pertimbangan atau perkenan baginda, Almarhum Sultan Iskandar  akan bertanya dua perkara - berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat (sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan).

Baginda hanya akan perkenan penganugerahan kepada pegawai berumur 45 tahun ke atas kerana, menurut baginda, jika seseorang itu telah berumur 45 tahun pastinya beliau telah berkhidmat selama 20 tahun atau lebih.

Almarhum Sultan Iskandar cukup teliti dengan soal penganugerahan darjah atau bintang kebesaran semata-mata untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan. Ya, mereka yang benar-benar layak.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk begitu ramai. Sesetengahnya dua atau tiga kali menerima, cuma grednya berbeza. Ada yang dapat  dua  darjah kebesaran  dalam satu tahun, dari dua  negeri berlainan.

Selain itu, tidak kurang juga yang berumur bawah 40 tahun dan ada yang tidak sampai 30 tahun menerima anugerah tersebut sedangkan khidmat bakti mereka terlalu kecil malahan tiada sama sekali kepada negeri mahupun negara. Yang mereka miliki kekayaan dan wang ringgit. Ada juga yang mendapat atau diberi anugerah  kerana sering bermain badminton dengan anak 'orang besar'  dan ada pula yang menerimanya kerana tidak lokek mengeluar perbelanjaan untuk keluarga pihak berkenaan.

Ada negeri yang setiap  tahun  memberi anugerah yang membawa gelaran datuk kepada mereka yang tidak berjasa kepada negeri berkenaan tetapi atas pertimbangan dan kepentingan politik atau kepentingan media (nak dapat publisiti).

 Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad pernah berkata bahawa penganugerahan pingat dan darjah kebesaran perlu dibuat dengan lebih teliti dan itulah yang diputuskan oleh Kabinet pada mesyuarat mingguannya November 2003. Kabinet meminta PM menyampaikan kepada Majlis Raja-Raja butiran, maklumat, pandangan atau panduan supaya penganugerahan darjah kebesaran lebih tersusun, profesional dan lebih dihormati.

Nampaknya saranan Kabinet pada November 2003 itu tidak lagi dihormati oleh pihak negeri jika dilihat dari sudut bilangan orang yang diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Bak kata orang tua-tua, apa yang diberlaku pada tahun 2003 tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Oleh itu, apa yang diputuskan oleh Sultan Ibrahim, Sultan Johor,  adalah sesuatu yang bijak dan seharusnya disanjung tinggi oleh rakyat yang semakin muak dengan sikap dan tindakan negeri-negeri yang seolah-olah berlumba-lumba memberi anugerah datuk.

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila rakyat sering berjenaka mengenai gelaran datuk, iaitu mengenai balingan sebutir batu yang pasti  menimpa kepala seorang datuk,  dan ada pua kumpulan rock yang mengarang lagu mengenainya.....ala, ala, latuk, ala, ala latuk, tuk, tuk, tuk.



  
  

12 comments:

-thethinker- said...

negeri yg paling byk memberi pingat kebesaran ialah Melaka - negeri yg takda sultan .. cissh .. buat malu je

Anonymous said...

Betoi tu tuan, mamatmamat bangla..indon.. pun dah pandai perli...latuk latuk.....
thethinker....di Melaka..tu sarkas...budak baru beranak pun depa nak bagi pingat...pasai tarikh 11111!!!!buat malu..

pedang malam said...

Tu termasuk yang bayar RM100K untuk dptkan gelaran DATUK... dengar kata kat negeri 9 senang nak beli. Betul ka???

Unknown said...

-thethinker- - betul. Ramai orang 'luar' Melaka terima gelaran termasuk orang politik dan pengamal media arus perdana.

pedang malam - mungkin ada kebenaran kerana orang politik yang mencadangkan nama kepada kerajaan negeri dan ada yang dapat habuan untuk itu. Orang yang rapat dengan istana pun sama juga. Saya tidak merujuk kepada mana-mana negeri tetapi ada kes yang di bawa ke mahkamah.

Anonymous said...

ular ular cina dalam parti politik
yang selalu dapat gelaran
Datuk.
sesuatu yang memalukan

-thethinker- said...

anon 6.43 pm === melayu totok ameno , apa apa pun salahkan cina... padahal yg mintak orang melayu ..

Anonymous said...

bak kata pepatah org muda. ameno totok juga yg tau ajaq melayu. hahaha. lembu depa takmau bagi pingat ka?? cuba tanya sharizat & geng.

Anonymous said...

-thethinker-

Di Melaka, bukan sahaja Yang Di-Pertua Negeri menganugerahkan pingat dan darjah kebesaran, ada seorang lagi yang mengaku sebagai waris Sultan Melaka juga telah berbuat demikian.

Itulah hebatnya negeri Melaka termasuk KMnya yang mana mukanya senantiasa kelihatan di Bunga Raya, KLIA setiap kali PM balek atau keluar negeri.

ZMS

Anonymous said...

Sdr,
Pasai apa pereka cipta terkenal kita Sdr Zulkifli Harun dari Zul Design tak diberi gelaran kebesaran. Koman sangat ka dia berbanding sesetengah artis?

--BALANGLAMA

Unknown said...

-BALANGLAMA-

Bukan saja Zulkifli tak diberi pengiktirafan melalui penganugerahan bintang kebesaran, dia turut menghadapi kesukaran untuk mendapat bantuan kewangan selama beberapa tahun. Zulkifli dan ramai lagi warga yang layak diberi penghargaan sedemikian atas sumbangan berguna kepada negara melalui kepakaran masing-masing, tidak dihargai sementara orang lain yang tidak sewajarnya dihargai mendapat gelaran datuk dan sebagainya.

Inilah realiti atau kenyataan di Malaysia sejak sedekad dua lalu. Perkara sedemikian tidak berlaku semasa era pentadbiran almarhum Tunku Abdul Rahman, almarhum Tun Razak dan almarhum Tun Hussein Onn. Pada era awal pentadbiran Tun Mahathir pun ia tidak berlaku tetapi kemudian ia menular ke dalam pentadbirannya.

Jika dilihat ke dalam dunia media, dulu hanya seorang dua tokoh media yang hebat diberi anugerah bintang kebesaran. Sekarang, hampir semua editor utama media bergelar datuk, seolah-olah ia satu kemestian.

Allahyarham P Ramlee tidak dihargai semasa hayatnya berbanding dengan sebegitu ramai penyanyi, pelakon dan orang seni yang bergelar datuk sekarang. Seperti yang saudara bangkitkan, apakah sumbangan mereka sebesar atau sehebat Zulkifli, anak Melayu kampung yang berjaya menghasilkan sebegitu banyak rekaan yang setanding dengan hasil pereka luar negara.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Pingat dan darjah kebesaran sudah menjadi komoditi politik.

ZMS

Unknown said...

ZMS,

Tepat dan betul.