Tuesday, November 01, 2011

Politik Melayu terus bercaca-marba

Yang pasti Melayu akan terus berbalah lantaran perbezaan fahaman politik tetapi sukar untuk bersatu atas kepentingan agama. Cina Malaysia pula sukar digoda apatah pula dipecahkan walaupun berlainan amalan politik.

Melayu terbahagi kepada dua golongan besar dari sudut politik, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO dan Partai Islam Se-Malaysia atau PAS. Tetapi, Melayu menubuhkan terlalu banyak badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang sebenarnya berkiblatkan kedua-dua pertubuhan politik berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat serpihan sama ada UMNO ataupun PAS yang membentuk pertubuhan politik masing-masing termasuk PKR dan KITA serta NGO seperti PERKASA.

Masing-masing ada agenda tertentu yang pada akhirnya bermatlamat politik, sama ada menyokong UMNO atau PAS. Di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, NGO berkenaan bergerak bagi pihak UMNO dan parti-parti komponen BN manakala di negeri-negeri pentadbiran BN, mereka mewakili kepentingan PKR, DAP ataupun PAS.  Yang nyata, majoriti adalah NGO Melayu.

Jika dilihat dari sudut nisbah Melayu-Bumiputera, kedudukan tidak melebihi 56 peratus daripada keseluruhan penduduk dan jika dibahagikan pula kepada dua golongan besar, iaitu UMNO dan PAS, maka nisbah tersebut turun kepada antara 25 dan 35 peratus.

Kedudukan itu melemahkan politik Melayu-Bumiputera dan sebab itulah kita dapati timbul tuntutan demi tuntutan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk berani mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan memurtadkan umat Islam.

Kita bersyukur kerana kuasa politik pada masa ini masih berada dalam tangan Melayu tetapi setakat manakah ia mampu bertahan? Apakah Melayu akan terus berkuasa dan mencorakkan politik serta  pentadbiran negara?

Jawapannya ialah tiada jaminan sama sekali selagi Melayu tidak bersatu dalam satu wadah perjuangan   yang benar-benar berjati dirikan Melayu dan Islam yang mampu berdepan dengan nilai-nilai dan kesan-kesan sarwajagat yang cukup hebat melalui kemajuan teknologi dan produk teknologi.

Tetapi, kedudukan dan keberadaan politik Melayu hari ini yang terus bercaca-marba ditambah pula dengan kewujudan bermacam jenis NGO yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu, tidak memperlihatkan sesuatu yang positif. Perjuangan politik Melayu menjelang 2020 dan abad seterusnya tetap menjadi tanda tanya... kerana  ia bergantung kepada azam politik Melayu itu sendiri.

Bersatu teguh, bercerai roboh!



 

 

5 comments:

Anonymous said...

Memang benar, Melayu sukar bersatu walaupun atas nama agama. Berbeza dengan Cina, walaupun berlainan pegangan politik mereka boleh bersatu jika sesuatu itu menyangkut kepentingan dan survival mereka.

Orang Melayu akan terus berpolitik tanpa mengira masa dan tempat kononnya Melayu tidak akan hilang di dunia. Mereka tidak sedar yang mereka adalah Pak Pandir modern yang hanya menang sorak tetapi kampung tergadai.

Kalau dulu sebelum merdeka mungkin kita boleh menuduh penjajah Inggeris sebagai petualang yang menggerakkan strategi halusnya sehingga golongan agama keluar dari UMNO dan menubuhkan PAS. Tetapi sekarang siapa?

Pada saya antara petualangnya adalah mereka yang menganggap diri mereka sebagai Melayu liberal yang kononya tidak lagi memerlukan DEB. Walaupun majoriti daripada mereka mungkin tidak berada dalam UMNO tetapi dengan kuasa ekonomi dan pengaruh yang mereka ada, mereka mencucuk jarum di sana sini supaya tidak berlaku penyatuan ini.

Mereka khuatir dengan kemasukan PAS,kononnya UMNO akan 'diIslamkan'. Mereka juga khuatir dasar-dasar seperti DEB yang mereka anggap sebagai archaic dan membelenggu orang Melayu untuk mejadi Melayu liberal seperti mereka tidak dapat dihapuskan.

Hakikatnya mereka adalah tamak. Mereka khuatir kek yang sedia ada akan terbahagi kepada bilangan orang yang lebih ramai lagi.

Saya juga ingin mempersalahkan akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Melayu yang tidak henti-hentinya mencari peluang mencaci-cerca dan mengutuk PAS habis-habisan kononnya
Harakah juga berbuat demikian. Utusan seharusnya lebih memahami psycological make-up orang-orang Melayu. Kalaulah Utusan menukar pendekatannya dengan lebih berhemah, matang dan berdecorum dalam menghadapi PAS, saya yakin akan banyak suara orang Melayu bertanya kenapa UMNO dan PAS tidak boleh bersatu semula. Biarlah Utusan menjadi pencetus atau catalyst kepada perpaduan orang Melayu.

Sebaliknya, The Star kepunyaan MCA, jarang melakukannya terhadap DAP sebagaimana Utusan lakukan terhadap PAS.

ZMS

Anonymous said...

Tuan Syed,

Kalau kita hendak menganalisakan statistik, kini statistik tahun ini menunjukkan angka pelajar di universiti adalah dengan nisbah 70:30 antara perempuan dan lelaki.

http://www.asiaone.com/News/AsiaOne%2BNews/Malaysia/Story/A1Story20110908-298320.html

Ini menunjukkan satu tanda yang sangat negatif untuk masadepan orang melayu sekiranya pelapis / generasi melayu tidak ada minat untuk belajar.

Bagaimanakah kita hendak martabatkan orang melayu sekiranya orang melayu tidak habis berpolitik (dengan politik yang tidak sihat) tetapi tidak berminat untuk menimba ilmu dan memajukan diri.

Slogan Cemerlang, gemilang dan terbilang memang ungkapan yang enak di dengar tetapi sebelum itu ada lagi perkara yang perlu diselesaikan.

Hashimoto

Unknown said...

ZMS, saya sependapt dalam banyak perkara dengan apa yang saudara nukilkan. Kita lihat saja apa yang telh dn sedang berlaku terutama selepas UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi KL. Perjuangan tidak lagi untuk parti dan negara dalam erti kata sejujurnya. Yang menjadi rebutan - jawatan, kedudukan, pangkat dan habuan, walaupun bukan semua tetapi hampir semua pemimpin dari peringkat cawangan hinggalah ke MT.

Hashimoto, Melayu sememangnya ketinggalan dalam bidang pelajaran/pengajian tinggi. Bayangkan jumlah yang layak ke U jika tiada kuota dan kelonggaran kemasukan termasuk wujudnya sistem metrikulasi yang diadakan khusus untuk membantu Melayu.

snow white said...

bro syed,
seperkara yang kita semua perlu tahu ialah tentang hobi dan minat suku kaum terbesar di malaysia iaitu melayu, cina dan india. minat melayu memang suka berpolitik dan bersembang; cina suka berniaga dan india pula suka berpersatuan. itu senario dahulu dan tak banyak bezanya dengan sekarang.
memandangkan semua kaum mengikuti peredaran zaman, semua suku kaum di malaysia, termasuk yang berada di sabah dan sarawak suka minat menubuhkan persatuan bukan kerajaan (ngo) dengan tujuan untuk memperjuangkan kepelbagaian kepentingan masing-masing. jumlah ngo seperti cendawan tumbuh selepas hujan. kita boleh lihat perkasa, amanah, sisters in islam, bersih dan banyak lagi yang sayapun tak dapat nak ingat yang diluluskan oleh pendaftar pertubuhan. malah ramai daripada kita yang tidak tahu hala tuju ngo ini selain dari mengadakan pelbagai perjumpaan dan majlis untuk mendesak kerajaan membuat itu dan ini. dan kita mungkin tidak terperanjat apabila ada di kalangan ngo ini yang akan bertanding sebagai parti politik dalam pilihan raya umum akan datang kerana masing-masing tidak berpuas hati dengan parti-parti politik yang ada sekarang.
media arus perdana pula tak henti-henti menghentam parti-parti pembangkang. namun, kita jangan menyalahkan mereka kerana mereka terpaksa mempertahankan 'tuan punya' organisasi mereka sepertimana kumpulan utusan dan media prima serta new straits times press mempertahankan umno. begitu juga dengan star yang mempertahankan mca dan turut didokong oleh the sun;dan tidak lupa kepada makkal osai, tamil nesan dan malaysia nanban yang mempertahankan mic. akhbar cina seperti guang ming, sin chew, oriental daily, kwong wah yit poh, china press dan nanyang siang pau yang memperjuangkan dasar mca.ini belum dikira lagi jumlah media di sabah dan sarawak.
dalam konteks ini, siapa yang harus kita persalahkan? apakah kita akan menyalahkan para penulis blog yang secara terang-terang menyebelahi parti-parti politik tertentu.apa yang jelas, kebanyakan bloggers yang asalnya bukan wartawan, begitu senang-senang memaki hamun para pemimpin tertentu samada dari kalangan kerajaan mahupun pembangkang tanpa ada sebarang etika penulisan! nasib baiklah, kita mempunyai bekas wartawan yang menjadi bloggers seperti bro syed kuda ranggi, ahiruddin rocky bru, jailani harun just read whatever, ibrahim yahya tiger, kadir jasin, ahmad talib pahit manis (masih bergelar wartawan) dan ruhanie ahmad kuda kepang yang masih mempunyai etika kewartawanan dalam setiap penulisan mereka.

Unknown said...

Terima kasih Snow White atas pemerhatian saudara. Kemunculan blog dan wadah lain dalam atau atas talian memberi ruang kepada mereka yang ingin mencurahkan isi hati, pendapat atau sokongan kepada pihak tertentu. Seperti yang saudara katakan, majoriti daripada mereka tidak mempunyai latar belakang penulisan, sama ada sebagai wartawan atau penulis. Oleh itu mereka main hentam saja termasuk menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya terhadap orang lain. Mereka menyalahgunakan kebebasan yang wujud dalam alam siber. Itu saja yang dapat saya katakan.