Tuesday, May 31, 2011

Retak menunggu belah – tanah runtuh di Taman TAR

P5250035 P5250036 P5250037 Tiga keping foto ini memperlihatkan bahaya yang sedang menanti penghuni-penghuni rumah mewah di lereng bukit Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Bencana alam yang berpunca daripada perbuatan manusia itu sendiri sukar dielak. Semuanya kerana perbuatan dan sikap rakus manusia menebang pokok dan meratakan bukit atas nama pembangunan.

Negara kita diberkati tuhan dengan tanah yang amat luas untuk dibangunkan projek perumahan tetapi ramai yang memilih bukit-bukau. Kerosakan ke atas 'pasak bumi' bukan sahaja menjejas sistem ekologi tetapi mampu membawa kecelakaan kepada manusia.

Ada yang bukan sahaja mendirikan 'istana' di atas bukit tetapi membina tapak helikopter mendarat yang bukan sahaja mengganggu ketenteraman penduduk tetapi boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Manusia tidak boleh mempersalahkan alam atau cuaca apabila bencana menimpa. Salahkan kerakusan dan ketamakan untuk mengaut untung. Kumpulan Berjaya milik Vincent Tan, umpamanya, telah meratakan bukit di Taman TAR semata-mata untuk mewujudkan sebuah taman kediaman mewah.

Keadaan di sekitar Taman TAR boleh diibaratkan seperti retak menunggu belah. Menunggu masa ...untuk rebah.

Friday, May 27, 2011

Pemilihan timbalan presiden PAS

Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden PAS kali ini bakal memperlihatkan hala tuju parti itu sekurang-kurang untuk satu tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dicabar oleh Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pusat Mat Sabu. Ketiga-tiga mereka memiliki latar belakang yang berlainan.

Mampukah Nasharudin mempertahankan kedudukannya pada pemilihan kali ini?

Persoalan ini menarik kerana dia dicabar oleh dua orang tokoh PAS yang boleh dikatakan antara langit dengan bumi. Tuan Ibrahim seorang ulama manakala Mat Sabu lebih dikenali sebagai seorang yang bijak berpidato dan diminati ramai di peringkat akar umbi.

Tuan Ibrahim mendapat sokongan golongan ulama dan veteran parti dan dilihat sebagai pencabar utama kepada Nasharudin. Namun demikian, kekuatan Mat Sabu tidak boleh diketepikan kerana dia juga mempunyai sokongan di kalangan ahli PAS.

Tuan Ibrahim, mantan pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi yang satu ketika dahulu sering muncul dalam rancangan Forum Perdana RTM bersama-sama Prof. Haron Din dan Dr Hassan Ali, tidak kurang hebatnya sebagai seorang pemidato yang mampu memukau khalayak. Sama seperti Haron Din dan Hassan Ali, dia tidak muncul dalam rancangan terbitan RTM itu apabila aktif dalam PAS. 

Mat Sabu pula dikatakan dapat membantu presiden parti, Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku 'panglima jihad' berbanding dengan Nasharudin yang bersikap sederhana dan tidak agresif dalam menghadapi musuh politik terutama Umno. Nasharudin dilihat sebagai searang yang  condong kepada perpaduan 'ummah' termasuk sanggup bekerjasama dengan Umno.

Kesederhanaan Nasharudin yang mudah mesra dengan pemimpin-pemimpin Umno atas semangat persaudaraan Islam tidak begitu disenangi oleh mereka yang serik dan rasa telah dipermainkan oleh Umno. Mat Sabu dilihat sebagai tokoh yang mampu mengembalikan semangat juang PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Namun demikian kehadiran Tuan Ibrahim mampu menggugat harapan Mat Sabu dan ini mungkin membolehkan  Nasharudin mempertahankan jawatannya. 

Tuesday, May 17, 2011

Lagi-lagi kuota, bila nak dewasa?

Orang Melayu di Malaysia nampaknya tidak boleh dipisahkan dengan kuota. Apa saja mesti ada kuota seolah-olah Melayu tidak boleh hidup tanpa kuota.

Dengan bersandarkan kuota, kita memperlihatkan kelemahan, bukan kekuatan untuk berjuang, untuk bersaing dan untuk berjaya.

Orang Melayu di Singapura tidak bergantung kepada kuota untuk berjaya walaupun mereka menghadapi banyak tekanan, ketidak adilan dan mangsa pilih kasih. Mereka terus berjuang dalam bidang pelajaran, perniagaan dan kerjaya lain untuk berjaya dan ramai yang membuktikan bahawa mereka mampu berdikari dan berjaya tanpa kuota. Saya tahu kerana pernah tinggal di republik itu hampir lima tahun dan melihat sendiri kehebatan orang Melayu walaupun ramai di Malaysia yang tidak tahu akan kebenaran tersebut.

Begitu juga dengan orang Melayu yang berhijrah ke luar negara seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Mereka berjaya tanpa kuota tetapi atas semangat bekerja kuat dan ingin berjaya.

Saya mengupas mengenai kuota memandangkan Wanita dan Pemuda Umno dah ulangi desakan meminta kuota untuk calon pilihan raya.  Wanita minta kuota 30 peratus calon manakala Pemuda pun mahu jumlah tertentu untuk dipilih sebagai calon. 

Kuota sekali lagi dijadikan alasan untuk mendapatkan sesuatu sedangkan yang lebih penting dan harus diutamakan bukan kuota tetapi kelayakan. Pemilihan calon berlandaskan kuota bukan pilihan terbaik yang boleh menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

Jika berpandukan kuota, maka pemilihan calon akan disandarkan kepada jawatan dalam parti bukan sama ada calon itu benar-benar layak. Kita tahu dalam pemilihan parti, bukan semua yang menang itu benar-benar layak tetapi dipilih berdasarkan banyak faktor lain termasuk rasuah, pilih kasih dan puak dalam parti. Inilah hakikatnya.

Wanita dan Pemuda Umno harus sedar bahawa pemilihan calon melalui kuota merupakan satu pengunduran bukan satu langkah ke hadapan. 

Mereka sepatutnya mendesak kepimpinan parti melaksanakan sistem pemilihan calon berdasarkan kelayakan termasuk kelayakan akademik, bersih daripada amalan rasuah dan mampu menjalankan amanah dengan jujur dan ikhlas bukan untuk mencari kekayaan melalui politik.

Jika Umno mampu melaksanakan pemilihan tanpa kuota, adalah tidak mustahil lebih banyak calon wanita dan pemuda, iaitu mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, akan dipilih bertanding. Ini kerana dalam Umno sekarang, wanita adalah majoriti dan ramai daripada mereka memiliki kelayakan akademik yang baik. Begitu juga dengan Pemuda Umno, ramai yang berkelayakan dan boleh dipilih sebagai calon. Oleh itu, Wanita dan Pemuda tidak memerlukan kuota untuk dipilih sebagai calon.

Yang terbaik bukan ketua bahagian, ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian mahupun jawatankuasa bahagian. Yang terbaik mungkin ahli biasa yang menyertai parti bukan untuk berebut jawatan atau meminta itu dan ini daripada kerajaan.  Kita boleh lihat keadaan ini dalam hampir semua bahagian Umno di mana mereka berebut jawatan parti untuk dijadikan landasan untuk mendapatkan sesuatu atas kepentingan peribadi, keluarga dan kroni. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, kita lihat saja kemewahan hidup mereka dan kaji latar belakang pendidikan, kerjaya dan taraf hidup mereka sebelum menduduki atau memegang jawatan dalam bahagian. Di situ, kita akn dapat jawapannya.

Jika sistem kuota dilaksanakan, maka orang seperti inilah yang akan dipilih sebagai wakil rakyat. 

Saya mengulas mengenai permintaan kuota oleh Wanita Umno dan Pemuda Umno kerana tidak ingin melihat pemilihan calon yang tidak tepat jika dilandaskan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Umno mesti berubah dan keluar daripada kepompong bahagian. Banyak butir mutiara yang ada di luar kepompong bahagian dan disitulah terdapat bakal-bakal calon.   

Saya bukan ahli Umno dan membuat ulasan sebagai seorang Melayu (keturunan Arab) yang mengikuti perkembangan politik parti-parti yang mewakili kepentingan Melayu terutama Umno dan PAS. Saya adalah pengundi kawasan Parlimen Ampang dan sedar kekalahan calon Umno pada pilihan raya lepas kerana parti itu meletak calon yang salah sedangkan ramai ahli Umno di kawasan itu yang jauh lebih layak dan lebih sesuai diletak sebagai calon walaupun mereka bukan menduduki jawatankuasa bahagian.

ADUN kawasan saya adalah dari parti PAS manakala Ahli Parlimen adalah dari PKR. Sejumlah besar pengundi adalah penghuni taman-taman perumahan termasuk Taman Tun Abdul Razak dan taman-taman lain dalam kawasan Ampang Jaya yang ditakrifkan sebagai kawasan kelas pertengahan hingga kelas atasan.  Umno dan BN mesti kaji kenapa mereka memilih calon PAS, seorang kontraktor berasal dari Baling, Kedah sebagai ADUN dan seorang wanita bertudung sebagai Ahli Parlimen.

Umno mesti keluar daripada kepompong kuota untuk terus relevan dalam arena politik tanah air.



Monday, May 16, 2011

Anwar diperintah bela diri atas tuduhan liwat

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela diri atas tuduhan meliwat mantan pembantunya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mengambil masa hampir dua jam membaca penghakimannya, mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan ada kes terhadap Anwar.

Anwar, 64, diperintah membela diri. Perbicaraan kes liwat ini mendapat liputan luas di dalam dan luar negeri dan berjalan selama 52 hari.

Wednesday, May 11, 2011

Ahli politik Singapura undur pabila kalah, ahli politik Malaysia lain ceritanya

Saya menghormati sikap ahli politik Singapura yang kalah pada pilihan raya republik itu baru-baru ini yang bukan sahaja menerima kekalahannya dengan tenang tetapi mengambil keputusan untuk terus bersara daripada politik.

Brig-Jen George Yeo, Menteri Luar Singapura dan salah seorang yang pernah disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri republik itu, gagal mempertahan kerusi GRC Aljunied yang diwakilinya.

Kekalahan beliau dan rakan-rakan GRCnya adalah yang pertama membabitkan seorang menteri kanan dan turut memeranjatkan kepimpinan PAP yang memerintah. Sebelum memegang portfolio Kementerian Luar, beliau menerajui Kementerian Penerangan dan Kebudayaan.

Mantan panglima tentera Singapura itu dilihat sebagai seorang 'gentleman' dalam politik Singapura dan ada ketikanya dikatakan mampu menggugat kedudukan PM Lee Hsien Loong. Mungkin itulah antara sebab kenapa Lee Kuan Yew enggan bersara kerana dia mahu mempertahankan kedudukan anaknya itu.

Tindakan BG Yeo bersara daripada politik melambangkan sikapnya yang tegas menerima penghakiman rakyat atau pengundi. Jika rakyat sudah tidak menerimanya, maka diapun berundur sebagai tanda menghormati kehendak rakyat.

Sebaliknya di Malaysia, ahli politik yang kalah pada pilihan raya atau pemilihan parti, amat sukar untuk berundur apatah lagi bersara terus daripada politik. Ia seolah-olah harta warisan yang tidak boleh dilepakan ke tangan orang lain.

Mereka akan menunggu peluang untuk dilantik sebagai Senator atau pengerusi mana-mana agensi, syarikat berkaitan kerajaan atau badan-badan berkanun seperti MARA, RISDA, FELDA, PERDA, KEDA, MADA, KADA, DARA, PETRONAS, SIME DARBY, FINAS, MAS dan banyak lagi.

Perkataan bersara atau berundur tidak berada dalam perbendaharaan kata mereka. Yang ada hanyalah 'habuan, habuan dan habuan' untuk meneruskan keselesaan hidup  yang dinikmati menerusi kegiatan politik.

Sebab itulah saya hormati sikap BG George Yeo yang terus bersara apabila kalah pada pilihan raya. Sikap sedemikian tiada pada ahli-ahli politik 'cari makan' di Malaysia.

Tuesday, May 10, 2011

Perlantikan PM mesti diperkenan oleh Agong

Saya pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger.

Walaupun saya sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan, iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak disiarkan untuk bacaan umum.

Tetapi, apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat sedikit ulasan.

Benar, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan. Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera Kristian dari Sabah.

Saya akur dengan apa yang dijelaskan oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak, walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi kenyataan.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan tugas-tugas Baginda.

Perkara 43 juga menyebut bahawa terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dua perkara yang jelas adalah  kuasa perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

Begitu juga dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.''

Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.

Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau  upacara meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Berbalik kepada perlantikan Perdana Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang  bukan beragama Islam.

Saya percaya semua pihak yang waras dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya.


Monday, May 02, 2011

OSAMA BIN LADEN SYAHID DI PAKISTAN


Pemimpin al-Qaeda, Osama Bin Laden, mati syahid dalam satu gerakan tentera Amerika Syarikat jauh dalam wilayah Pakistan awal hari ini.

'Kejayaan' pasukan khas Tentera Amerika Syarikat itu diumumkan secara rasmi oleh Presiden Obama ke seluruh dunia dari White House seperti yang disiarkan oleh semua stesen tv satelit utama dunia.

Obama berkata Osama dibunuh dalam satu operasi yang dirancang rapi oleh pihak keselamatan Amerika Syarikat yang mendapat kerjasama pihak berkuasa Pakistan.

Osama dibunuh dalam serangan menggunakan helikopter  yang berlepas dari Afghanistan di sebuah bandar bernama Abbottabad, 60 km dari ibu negara Pakistan, Islamabad. Turut terkorban salah seorang anak lelaki Osama dan seorang wanita.

Selepas sedekad memburu Osama, Amerika Syarikat mungkin berfikir bahawa mereka boleh menarik nafas lega tetapi perlu diingati bahawa ketiadaan Osama tidak bermakna berkuburnya al-Qaeda. Tidak mustahil lebih ramai Osama akan muncul untuk meneruskan perjuangan Osama Bin Laden.

Benar, Osama Bin Laden telah mati, tetapi ia tidak bermakna perjuangannya juga mati.  Kenyataan ini tidak boleh diketepikan oleh Obama atau sesiapa sahaja yang dimusuhi oleh al-Qaeda.