Tuesday, May 10, 2011

Perlantikan PM mesti diperkenan oleh Agong

Saya pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger.

Walaupun saya sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan, iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak disiarkan untuk bacaan umum.

Tetapi, apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat sedikit ulasan.

Benar, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan. Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera Kristian dari Sabah.

Saya akur dengan apa yang dijelaskan oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak, walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi kenyataan.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan tugas-tugas Baginda.

Perkara 43 juga menyebut bahawa terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dua perkara yang jelas adalah  kuasa perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

Begitu juga dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.''

Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.

Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau  upacara meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Berbalik kepada perlantikan Perdana Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang  bukan beragama Islam.

Saya percaya semua pihak yang waras dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya.


8 comments:

Anonymous said...

Saudara Syed,

Pada pandangan saya, rencana di utusan adalah sesuai bagi bacaan untuk mereka yang mempunyai kelulusan antara SRP dan SPM dan juga mungkin bagi mereka yang tidak berfikiran jauh. Saya tidak fikir mereka yang berpendidikan tinggi, yang mempunyai ijazah akan mengambil utusan sebagai sumber ilmiah.

Seperti artikel saudara ini, kemungkinan untuk orang bukan Islam menjadi PM agak sukar menjadi kenyataan. Di Perak pun, semasa Pakatan menang, menteri besar adalah orang melayu, apatah lagi kalau Perdana Menteri.

Saya ingat dahulu ada beberapa orang islam menyamar masuk kedalam gereja disebabkan berita yang mengatakan ada aktiviti orang islam ramai masuk kristian. Berita ini ternyata palsu dan menimbulkan kemarahan orang kristian apabila orang yang menyamar itu pecah tembelang.

Saya rasa budaya politik dan isu yang dipermainkan di negara kita ini amat tidak sihat. Sepatutnya isu-isu yang lebih penting seperti tahap ekonomi, keselesaan hidup dan perkara-perkara yang lebih munusabah dikeluarkan kerana PR semakin hampir, bukanlah membuang masa memperdebatkan isu seperti, video, personaliti, sumpah dan lain-lain.

Kalau ini berterusan, nampaknya kita akan ketinggalan.

OrangKL

Anonymous said...

orangKL kata rencana di utusan adalah sesuai untuk bacaan mereka yang mempunyai kelulusan antara SRP dan SPM dan mereka yang tidak berfikiran jauh, tentunya sangat menyinggong dan merendah-rendah pencapaian mereka bertaraf demikian.

Seharus OrangKL berkata, pengarang utusan mempunyai taraf pemikiran yang sangat cetek dan bebal dengan rencana yang diterbitkannya, walau apa pun hasrat yang tersembunyi disebalik penyiaran dimuka hadapan Utusan.

Anonymous said...

Kepada anonymous 5.49pm,

Saya ada kenal orang yang kelulusan sekolah rendah sahaja tetapi fikirannya baik dan matang. Walaunagaimanapun, ternyata ada ramai orang di kalangan kita yang membaca sumber bacaan yang tahap intelektualnya sangat rendah.

New Straits Times umpamanya menyokong/pro pemerintah yang sedia ada tetapi lebih munasabah beritanya kerana ditujukan kepada pembaca yang tertentu. Tahap kewartawanan adalah berbeza.

Maaf sekiranya menyinggong mana-mana.

OrangKL

he he he said...

Saudara,

Pejuang Parti Melayu yang ekstrim itu memang seronok sangatlah kalau berita panas macam tu disensasikan.

Soal benar atau tidak bukan persoalan bagi mereka, yang penting ialah isu. Orang yang nak lemas akan bergantung kepada apa saja objek yang boleh dicapai.

Banyak keuntungan yang mereka dapat, antaranya boleh mengalih perhatian rakyat dari bebanan hidup kerana kenaikan harga barangan.

Keuntungan yang lain ialah, isu itu boleh menjadi satu power yang akan menarik sokongan orang Melayu kepada mereka. Orang Melayu memang mudah ditipu dulu, kini dan selamanya.

Yang penting tentulah undi sebab dengan banyak undi baru boleh menang pilihan raya.

Cheguman said...

Salam,
Mengambil contoh Singapura, bagaimanakah bukan Melayu boleh menjadi ketua seterusnya menguasai politik di pulau itu?

Ya, ada banyak cara dan muslihat bagi menguasai sesuatu kawasan, pulau, hatta sebuah semenanjung.

Orang yang sering melihat permainan silap mata bukan bermakna tidak boleh ditipu lagi oleh pemain silap mata.

Justeru jangan terlalu yakin yang perlembagaan kita itu tidak boleh dimanipulasi.

Peristiwa di Perak adalah sesuatu yang boleh dianggap 'nasib baik' kerana sultan bertindak cepat.

Memang Nizar jadi MB tetapi dalam formula demokrasi, undian terbayak yang dikira bagi membuat keputusan.

Berapa YB PAS, berapa YB Melayu PKR dan berapa YB bukan Melayu ketika Nizar jadi MB?

Unknown said...

Cheguman,

Singapura tidak boleh dijadikan contoh. Sejak negara pulau itu belum menyertai Persekutuan Malaysia, ketua pentadbirannya selepas penjajah Inggeris semuanya bukan Melayu seperti Leong Yew Koh dan David Marshall. Semasa ia menjadi kerabat Malaysia, ketua kerajaan adalah Lee Kuan Yew. Belum pernah orang Melayu menjadi ketua kerajaan, hanya ketua negara. Itupun sekali sahaja apabila allahyarham Yusof Ishak dilantik sebagai Yang Dipertua Negara dan kemudian Presiden. Kita semestinya maklum Melayu adalah minoriti dalam Singapura moden. Tak sampaipun 15 peratus jumlah penduduknya. Pentadbiran Singapura, selepas dikeluarkan daripada Malaysia, mengamalkan pengambilan warga asing, terutama Cina dari Malaysia, Indonesia, Hong Kong dan China untuk diberi taraf warganegara selepas satu tempoh tertentu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk adalah keturunan Cina. Langkah itu dibuat atas kelangsungan hidup politik. Perkara yang hampir serupa dilakukan di Sabah satu ketika dahulu membabitkan warga dari selatan Filipina dan Indonesia. Oleh itu, kita tidak boleh samakan apa yang berlaku di Malaysia dengan Singapura, banyak bezanya termasuk dari sudut Perlembagaan.

Merujuk kepada Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah bertindak mengikut undang-undang tubuh negeri dengan mendapat pengesahan bahawa seseorang pemimpin itu mendapat sokongan majoriti ahli dewan atau tidak. Dato Nizar hilang sokongan majoriti berikutan daripada tindakan dua ahli PKR dan seorang ahli DAP keluar parti dan menarik balik sokongan. Itu yang dilakukan oleh Sultan Perak. Tetapi perkara yang sama tidak boleh dirujuk kepada tindakan Mahkamah. Itu cerita lain dan boleh dipertikaikan jika kita merujuk kepada konsep atau amalan pengasingan kuasa. Yang pasti di Perak adalah pada pilihan raya umum 2008 lalu, rakyat tidak memilih BN untuk mentadbir negeri itu. BN memperolehi teraju pentadbiran negeri semata-mata kerana tiga ADUN berkenaan melompat parti. DAP yang menguasai pentadbiran PKR di Perak sebelum itu sedar bahawa MB mestilah seorang yang beragama Islam dan sebab itu Dato Nizar dipilih untuk mengetuai kerajaan PKR sebelum ditumbangkan oleh perbuatan tiga ADUN berpaling tadah.

Anonymous said...

HANYA ISLAM DAPAT MENYATUKAN BANGSA DAN NEGARA..PILIHLAH KETUA SEORANG ULAMA UNTUK MEMIMPIM NEGARA KITA YANG SEMAKIN TENAT. -SAYA XMPUNYAI IJAZAH-

Nik Mohd Rostam said...

As salam.. Saya ada terbaca yg undang2 singapura telah menetapkan 'membolehkan' orang melayu menjadi pm(mgikut giliran)... Cuma dalam soal pm malysia, walaupun perlembagaan tidak mewajibkan(menyatakan) pm malaysia MESTI orang melayu n islam TETAPI lantikan tersebut hendaklah melalui satu lagi peringkat IAITU Agong(melalui mesyuarat majlis raja2) jadi mengikut logik n akal Agong(majlis mensyuarat raja2 PASTI tidak akan setuju calon pm adalah BUKAN ISLAM kan? Harap ada yg bg pencerahan..!