Monday, February 28, 2011

Dr Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin bukan pengganas



Saya sedih membaca laporan yang mengaitkan ulama terkenal dunia Islam, Dr Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin atau Muslim Brotherhood dengan pertubuhan atau pergerakan pengganas. Tuduhan tidak berasas dan liar itu didalangi  oleh Amerika Syarikat, puak Zionis dan Barat. Kita tahu kenapa mereka berbuat demikian.

Tetapi, yang lebih menyedihkan apabila ada negara dan pemimpin beragama Islam yang terperangkap dan terjerumus ke dalam kancah fitnah dan terikut-ikut dengan musuh Islam itu seperti kerbau dicucuk hidung.

Sebelum digulingkan, mantan presiden Mesir menindas dan menghumban ke penjara pemimpin-pemimpin  Ikhwanul Muslimin dan mengharamkan Dr Yusuf, seorang rakyat Mesir, daripada negaranya sendiri. Hosni Mubarak takut akan bayang-bayangnya sendiri dan melihat gerakan persaudaraan Islam itu sebagai ancaman besar terhadap kepimpinannya. Akhirnya, dengan kehendak Allah tumbang juga dia dan Ikhwanul Muslimin serta Dr Yusuf kembali bersinar di bumi Mesir..

Saya membawa cerita itu semata-mata kerana Perdana Menteri kita sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ulasan atau komen yang agak kurang senang mengenai Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi sendiri  semasa berada di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Benar, Najib telah menafikan yang dia melemparkan tuduhan tidak berasas itu terhadap Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf,  tetapi dia tidak menafikan yang dia ada menyentuh mengenai kedua-duanya. Amat biasa sekali kita membaca pemimpin membuat penafian atau menyalahkan pemberitaan apabila apa yang diucapnya menikam balik. Itulah yang berlaku.

Ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Kerdau di Temerloh semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa dia tidak pernah melabelkan Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai pengganas.

"Saya tak kata Muslim Brotherhood ini kumpulan pengganas. Saya kata Muslim Brotherhood boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ektremis...", itulah antara lain kata-kata Najib seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Saya ingin memetik kata-katanya."...dengan syarat menolak keganasan. dan fahaman ekstremis.." bukankah kata-kata sedemikian menunjukkan bahawa Najib percaya yang Ikhwanul Muslimin mendokong keganasan, jika tidak kenapa perlu mengenakan syarat agar mereka menolak keganasan. Siapakah Najib untuk mengenakan syarat sedemikian kepada Ikhwanul Muslimin? Mungkin itu yang akan ditanya oleh mereka kepada kita. 

Mengenai Dr Yusuf al-Qaradawi, ulama berusia 84 tahun yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia dengan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Antarabangsa 2009 kerana jasa dan sumbangannya yang tidak ternilai bukan sahaja kepada dunia Islam tetapi kepada kemanusiaan itu sendiri, Najib mengeluarkan kata-kata yang menzahirkan kebimbangan yang amat sangat terhadap tokoh yang disegani itu.

(Najib said he has "some concerns, deep concerns" about Yusuf al-Qaradawi, the Muslim Brotherhood's spiritual leader. Those concerns center on Qaradawi's  support and justification for terrorism, which carries a great of weight given Qaradawi's credibility as an Islamic scholar. It is exactly that type of Muslim leader that has led the Middle East astray, according to Najib.)

Bukankah kata-kata Najib itu satu pandangan yang selari dan senada dengan apa yang telah dan sedang diperkatakan oleh golongan Zionis, Amerika Syarikat dan Barat terhadap Dr Yusuf al-Qaradawi, tokoh yang Malaysia melihat sebagai cukup layak dan bertepatan untuk diberi anugerah tertinggi Ma'al Hijrah. 

Bolehkah kita samakan Malaysia sebagai pendokong dan penyokong kegananasan kerana kita sendiri memberi anugerah kepada seorang yang dituduh sebagai menyokong dan mewajarkan  keganasan? (Qaradawi's support and justification for terrorism)

Mungkin Najib tidak mendapat nasihat yang betul daripada para penasihatnya termasuk penasihat media yang berpengalaman luas sehingga dia tidak kenal siapa itu Dr Yusuf al-Qaradawi dan apa itu Ikhwanul Muslimin.

Oleh itu, elok juga diperturunkan sedikit sebanyak mengenai cendekiawan Islam yang dilahirkan di Shaft Turaab, Kaherah atau Cairo, Mesir pada 9 September 1926.

Pada usia 10 tahun Dr Yusuf sudah hafal al-Quran. Dia menamatkan pendidikan di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi dan melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan lulus pada 1952.  Dia memperolehi ijazah kedoktoran pada 1972 melalui tesis yang kemudian dijadikan buku ilmiah 'Fiqh Zakat'.

Dr Yusuf meninggalkan Mesir pada 1961 kerana tidak tahan menerima sekatan dan tekanan oleh sebuah rejim yang kejam. Dia menuju ke Qatar dan di sana dia menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar dan kemudian Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi.

Dr Yusuf al-Qaradawi melalui pengalaman pahit dipenjarakan seawal usianya 23 tahun kerana terlibat dalam  Ikhwanul Muslimin pada 1949,  pada 1956 semasa revolusi Jun dia dipenjara selama dua tahun oleh rejim tentera.

Dia ditakuti kerana keberaniannya berkhutbah mengakibat dia dilarang sebagai khatib kerana isi khutbahnya yang menyentuh soal ketidak adilan rejim yang memerintah Mesir pada waktu itu.

Dr Yusuf al-Qaradawi adalah seorang Mujtahid zaman semasa, seorang ketua majlis fatwa dimana  banyak fatwanya dijadikan bahan rujukan atas permasalahan yang dihadapi walaupun banyak juga yang mengkritik fatwanya.

Namun begitu, adalah sesuatu yang tidak betul dan tidak adil untuk menuduh  Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai seorang pengganas, atau seorang yang menyokong dan mewajarkan keganasan. Mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian sebanarnya terpengaruh atau dipengaruhi oleh pemikiran pihak-pihak tertentu yang amat takut akan kebangkitan Islam.


 


 




Friday, February 25, 2011

Tengku Zafrul, Isa Samad dan Umno

Kritikan pedas yang dilemparkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan UMNO.

Mereka menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, mantan menteri wilayah persekutuan dan sebelum itu mantan menteri besar Negeri Sembilan.

Kenapa mereka marah sangat dengan kenyataan yang dibuat atas sifat peribadi Tengku Zafrul dan bukan sebagai mewakili kumpulan Maybank sehingga mendesak dia dipecat atau meletak jawatan?

Apakah pemimpin-pemimpin Umno tidak boleh atau tidak dapat menerima kritikan mahupun teguran semata-mata kerana ianya pahit untuk ditelan? Bukankah kritikan boleh dijadikan panduan atau pembuka mata untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul, tidak semestinya saya merujuk kepada kes Isa Samad, tetapi dalam banyak kes lain yang membabitkan pelantikan pemimpin politik yang sebelum itu ada masalah tertentu?

Semua orang tahu yang Isa Samad didapati terlibat dalam politik wang semasa pemilihan Umno dan dikenakan tindakan disiplin. Bukankah politik wang itu salah satu amalan rasuah? 

Apa yang dikatakan oleh Tengku Zafrul adalah pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda memberi isyarat yang salah kepada pasaran sehingga menyebabkan kebimbangan pelabur. Jika kritikannya itu tidak betul, tidak tepat dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, pihak kerajaan ataupun Felda seharusnya memberi penjelasan atau menangkisnya dengan berfakta.

Tetapi, muncul dua tiga orang pemimpin Umno mendesak tindakan diambil terhadap Tengku Zafrul atau mendesaknya meletak jawatan sedangkan mereka tidak menangkis pendapatnya itu dengan fakta yang memihak kepada kenapa pelantikan Isa Samad adalah tepat.

Nampaknya budaya sukar atau tidak boleh menerima kritikan masih tebal di kalangan mereka seolah-olah apa yang dibuat oleh pemimpin mereka, termasuk dalam beberapa pelantikan tokoh Umno mengetuai badan-badan berkanun, syarikat-syarikat milik kerajaan dan perbadanan-perbadanan kerajaan, adalah tepat dan tidak boleh dipersoalkan. 

Inilah masalahnya, iaitu tidak mahu menerima kritikan sama sekali. Kalau ada yang berani mengkitik, maka dia akan dihentam dan didesak dikenakan tindakan sama ada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, dipecat atau ditangkap dan didakwa di mahkamah sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau Kanun Acara Jenayah.

Kepada mereka, yang diutamakan ialah sokong, sokong dan sokong, ampu, ampu dan ampu atau apa yang dibuat oleh pemimpin besar mereka adalah betul belaka. Agaknya itulah budaya hidup mereka.

Saya tidak kenal siapa itu Tengku Zafrul tetapi saya tahu siapa ibunya dan siapa pula bapa saudaranya. Saya juga tahu bahawa Tengku Zafrul berkawan baik dengan Khairy Jamaluddin dan Kalimullah Masheerul Hassan. Tetapi itu bukan bererti yang dia tidak boleh mengkritik atau menegur tindakan kerajaan.

Sebagai warga negara Malaysia, dia juga berhak memberi pendapat sama seperti orang lain. Sama ada kita setuju atau tidak dengan pendapatnya tidak bererti kita mesti mendesak dia dipecat atau meletak jawatan. Itu tidak betul. 

Kita sedar bahawa ramai pemimpin politik yang terpaksa bertindak sebagai pengampu semata-mata kerana nak terus hidup mewah, nak jamin kedudukan tidak terjejas dan nak pastikan terus berada dalam senarai  bos. Kepada mereka yang penting adalah ampu dan terus ampu, pergi jahanam dengan apa orang lain nak kata, janji mereka selamat. Macam mana nak maju?

Masalah yang sama pernah wujud di kebanyakan negara Arab dimana pemimpin pembangkang ditahan dan dihumban dalam penjara, kebebasan bersuara disekat, media dikawal ketat dan hanya boleh menyiarkan laporan yang pro-kerajaan, orang tidak boleh mengkritik kerajaan ataupun pemipin dan sebagainya. Kita seharusnya jadikan teladan dan sempadan agar apa yang telah dan sedang berlaku di dunia Arab tidak akan berlaku di negara ini.

Saya bukan menyokong Tengku Zafrul, anak kepada mantan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Raja Zaharatun Raja Zainal Abidin dan anak saudara Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar  Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin,  tetapi menyokong haknya untuk memberi pendapat. 

Adalah sesuatu yang amat malang apabila pendapat seseorang yang tidak selari dengan pemimpin Umno atau kerajaan, maka timbul desakan demi desakan supaya dia dikenakan tindakan ISA atau dipecat. 




Wednesday, February 23, 2011

Anak Khir Johari dilantik SU Politik Lim Guan Eng

Anak allahyarham mantan Menteri Pelajaran dan tokoh UMNO sezaman almarhum Tunku Abdul Rahman, Tan Sri Khir Johari, hari ini dilantik sebagai setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP yang juga ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pelantikan Zairil Khir Johari diumum oleh Guan Eng di markas atau ibu pejabat parti di ibu negara. 

Pelantikan itu merupakan kali pertama membabitkan seorang yang bergelar Melayu.

Apa reaksi pemimpin UMNO? Apakah mereka akan berkata ini adalah satu lagi adegan meraih publisiti oleh Guan Eng?

Monday, February 21, 2011

Sunday, February 20, 2011

Pembantu dari neraka?

Kerana tertarik dengan tajuk perbincangan, 'Pembantu dari neraka', maka saya terus menonton rancangan 'Nasi Lemak Kopi O' terbitan TV9 hari ini.

Terlebih dahulu tahniah kepada TV9 kerana mengutarakan perkara yang penting tetapi jarang dilaporkan, iaitu penderaan ke atas kanak-kanak oleh pembanu rumah yang disifatkan oleh stesen tv milik Media Prima itu sebagai 'pembanu dari neraka'. 

Beberapa klip video yang dirakam melalui sistem CCTV yang dimuat naik dalam Youtube juga dipertontonkan dalam rancangan itu. Turut diundang sebagai tetamu dua orang majikan yang melalui pengalaman pahit dengan pembantu rumah masing-masing, iaitu Linda Helmi dan Wardiana.

Negara kita sering diherdak, dikritik dan dikutuk kerana penderaan yang dilakukan oleh majikan yang tidak berperikemanusiaan ke atas pembantu rumah sehingga ada yang meninggal dunia. Kita akui hakikat tersebut dan kita mengutuk sekeras-keranya perbuatan zalim itu, walaupun jumlahnya kecil berbanding dengan jumlah pembantu rumah di negara ini..

Dalam nada yang sama, kita juga mengutuk perbuatan pembantu rumah yang mendera, menganiaya dan menzalami anak kecil majikan mereka sehingga ada yang meninggal dunia. Kita seharusnya marah kepada sesiapa sahaja, terutama seorang wanita yang bergelar ibu atau yang akan bergelar ibu yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah atau babu, bertindak diluar batas kemanusiaan dengan mendera kanak-kanak termasuk bayi yang tidak berdosa. 

Kepada ibu mahupun bapa yang menggaji seorang atau dua orang pembantu rumah, bersyukurlah sekiranya anda memperolehi pembantu yang bertangungjawab dan pandai menjaga anak anda. Bukan mudah untuk mendapat seorang pembantu yang sedemikian rupa.

Kita mungkin tertanya-tanya kenapa perkara sedemikian, iaitu mendera kanak-kanak oleh pembantu rumah berlaku?

Jawapannya atau jawabannya kata orang Indonesia berada di pihak kita, iaitu majikan yang mengambil bekerja seorang pembantu dari negara jiran dengan begitu mudah,  mungkin kerana terdesak.

Kita tidak kisah sama ada pembantu yang diambil bekerja itu benar-benar layak dan berkemampuan untuk menjaga anak kecil kita. Saya tumpukan kepada penjagaan anak kerana inilah masalah yang dibangkitkan dalam rancangan 'Nasi Lemak Kopi O' oleh TV9.

Kebanyakan ibu bapa tidak menghiraukan sama ada pembantu itu berpelajaran atau tidak, berpengalaman atau telah melalui latihan khusus untuk menjaga anak-anak kecil dan sama  ada layak dari segi kesihatan termasuk kesihatan mental  untuk diberi tangungjawab berat itu. Jarang sekali kita memberi perhatian  serius kepada perkara-perkara tersebut.

Saya pernah menemui beberapa kes dimana pembantu rumah yang diambil bekerja tiada pelajaran formal sama sekali, pendek kata buta huruf,  iaitu tidak tahu membaca atau menulis. Bagaimana mereka boleh terlepas masuk dan diluluskan untuk bekerja di sini? Besar kemungkinan kerana berlaku amalan rasuah di kalangan pihak tertentu,  itu yang dapat dirumuskan.

Di Malaysia, majikan mensyaratkan kelulusan minima untuk membolehkan seseorang itu bekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, kecuali dia bekerja sendiri atau memilih untuk tidak mahu bekerja dan merempat di kaki-kaki lima, kompleks membeli belah atau di lorong-lorong belakang di bandar-bandar besar.

Kita ada had pelajaran minima untuk mengambil orang bekerja. Oleh itu, kenapa kita boleh menerima pembantu rumah dari negara jiran yang tiada pelajaran sama sekali?  Bayangkan orang seperti ini ditugaskan untuk menjaga anak kita.  Ada dikalangan anak kita yang bertutur mengikut loghat pembantu rumah kerana ibu bapa menyerah sepenuhnya beban menjaga dan mengasuh anak kepada pembantu rumah. Jika pembantu berpelajaran tidak mengapa tetapi jika sebaliknya?

Dalam hubungan ini, kita harus mencontohi negara jiran Singapura yang mengenakan syarat kelayakan ketat  dalam pengambilan pembantu rumah. Hampir semua pembantu rumah yang diambil bekerja adalah dari Filipina walaupun ada yang dari Indonesia. Syaratnya, mesti memiliki kelulusan setimpal dan kebanyakan yang diambil dari Filipina memiliki ijazah atau golongan profesional seperti jururawat.

Malaysia seharusnya mengenakan syarat kelayakan minima untuk warga asing bekerja sebagai pembantu rumah atau dalam sektor-sektor lain seperti perhotelan dan restoran.

Salah satu kelemahan ketara di negara ini ialah penguatkuasaan yang lemah. Kita ada undang-undang dan peraturan yang bagus, tetapi pelaksanaan atau penguatkuasaan tidak selari. Sebagai contoh, warga asing boleh memandu teksi sedangkan tidak memiliki lesen atau permit, warga asing boleh menjaja  di pasar awam dan pasar malam sedangkan tiada lesen dan warga asing boleh bekerja secara terbuka di restoran.    

Oleh kerana begitu mudah bagi warga asing untuk bekerja di Malaysia, maka berduyun-duyunlah mereka memasuki negara kita dari sejauh benua Afrika, Asia Selatan dan Asia Tenggara. 

Warga negara jiran sanggup bergadai nyawa menaiki bot-bot kecil atau sampan  menyeberangi samudera semata-mata untuk menjijak kaki di bumi bertuah bernama Malaysia kerana di sini semuanya boleh!



Wednesday, February 16, 2011

UMNO ketandusan penceramah hebat, sering lakukan kesilapan

Dalam usahanya untuk memenangi semula sokongan rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, Barisan Nasional atau BN, terutamanya UMNO, mula mengadakan ceramah dan taklimat politik atau yang mereka lebih suka menyebutnya sebagai 'road show'.

Begitu juga dengan Pakatan Rakyat atau PR yang menurunkan barisan peneraju-peneraju PAS, DAP dan PKR untuk berceramah mengenai kedudukan semasa. Kedua-dua pihak berbuat demikian dengan alasan untuk memberi 'penerangan sebenar' mengenai apa yang sedang berlaku dalam kancah politik tanah air.

Dua hari lepas, Pemuda UMNO mengadakan ceramah di Bukit Gadong, Sungai Ara, Pulau Pinang. Ceramah tersebut diadakan di bawah tajuk 'Ayat-ayat Cinta Pakatan Rakyat' dan penceramah utamanya ialah Lokman Nor Adam.  

Lokman ialah mantan setiausaha Angkatan Muda Keadilan yang melompat parti ke UMNO. Dia kemudian diserap ke dalam  jabatan ehwal khas dan dilantik sebagai ketua untuk melatih penceramah-penceramah UMNO.

Atas pelantikannya itu, kita boleh kata yang  Lokman adalah seorang yang hebat sehingga UMNO mendapati dia cukup layak untuk diletakkan dalam bahagian khas dan diberi amanah melatih bakal-bakal penceramah parti. Jika begitu, amat rugilah PKR.

Sejauh mana kehebatan Lokman selaku penceramah boleh dinilai daripada apa yang dibangkitkannya  semasa 'berpidato' di Bukit Gadong.  

Antara lain, Lokman membangkitkan  perkara yang begitu remeh, iaitu gaya hidup presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kepada Lokman, soal peribadi Wan Azizah  lebih penting daripada soal kehidupan hari-hari rakyat, soal ekonomi, soal kesihatan dan soal kebajikan.

Lokman 'mendedahkan' kepada kira-kira 80 orang yang hadir pada majlis ceramah itu yang hampir separuh daripada mereka adalah ahli parti-parti komponen BN dari luar kawasan Bukit Gadong,  bahawa semasa Anwar Ibrahim  menjadi Timbalan PM, Wan Azizah membelanjakan sehingga RM8,000 untuk sepasang pakaian. Dalam setahun Wan Azizah menempah 20 pasang pakaian.

Kepada Lokman, pendedahannya itu semestinya hebat dan boleh menumbangkan pentadbiran 'pembangkang' di Pulau Pinang berbanding dengan masalah-masalah lain yang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang, tak kira sama ada Melayu, Cina ataupun India.

Saya tertanya-tanya adakah ini yang seharusnya dibangkitkan dalam ceramah-ceramah UMNO ataupun BN untuk memenangi hati dan sokongan rakyat? Tentu tidak!

Apakah Lokman tidak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu bahawa  pihak 'lawan' boleh dengan mudah menangkis serangan peribadi itu dengan menghumbankan balik ke gelanggang BN atau UMNO  soal yang sama?

Saya pernah berkhidmat di JPM  sebagai salah seorang pegawai menteri dan saya tahu bahawa semua isteri menteri, dari PM hinggalah ke timbalan menteri, mengamalkan gaya hidup yang serupa seperti Wan Azizah, merekapun menempah pakaian mahal dan berjenama. Ia tidak menjadi persoalan atau satu kesalahan. Oleh itu, kenapa ia harus dibangkitkan dalam ceramah sedangkan ia adalah perkara biasa di kalangan isteri orang-orang kenamaan termasuk menteri?

Banyak pihak melihat tindakan Lokman membangkitkan soal gaya hidup Wan Azizah sebagai 'serangan peribadi' dan saya difahamkan bahawa Wan Azizah telah merujuk perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya, jika perlu.

Lokman harus sedar bahawa pihak lain boleh membangkitkan banyak persoalan berkaitan isteri PM  atau  isteri TPM  dan isteri para menteri lain sama seperti yang dibangkitkan olehnya. Umpamanya, berapa harga kalung mutiara yang sering dipakai oleh isteri PM? Berapa harga pakaian yang ditempahnya untuk ke majlis-majlis di dalam dan luar negeri? dan banyak lagi soalan berkaitan gaya hidup.

Saya tidak tahu sama ada itulah strategi yang diguna pakai oleh UMNO dan oleh Lokman sendiri selaku 'ketua pengajar atau pelatih' bakal penceramah parti untuk melemahkan lawan dan mendapat sokongan rakyat. jika benar, maka ia adalah satu kesilapan besar.

Jika UMNO mahupun BN ingin mendapat semula sokongan rakyat terutamanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh PR, ubahlah strategi dan pendekatan. Carilah isu yang benar-benar penting yang  memerlukan  pembelaan, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh Lokman.

Masalah besar yang dihadapi UMNO, terutamanya, ialah penceramah-penceramah yang handal dan hebat yang mampu membuatkan rakyat berfikir dan akhirnya kembali menyokong mereka. Bukan penceramah yang hanya pandai bermain kata-kata mempersenda pihak lawan, memburuk-burukkan  lawan dan mengungkit-ungkit hal-ehwal peribadi pihak lain. Itu bukan caranya untuk mendapat sokongan rakyat.

UMNO perlu mencari pemidato-pemidato hebat yang dapat memukau  khalayak dengan ucapan-ucapan berfakta, bersemangat dan yang mampu menyemai kesedaran dan keinsafan berkaitan isu-isu semasa dan kehidupan rakyat. UMNO perlu mencari pengganti almarhum Syed Jaafar Albar dan almarhum Ustaz Othman Abdullah,  kerana pada hakikatnya, UMNO ketandusan penceramah hebat.







Tuesday, February 15, 2011

Benar, kata Najib Malaysia bukan Mesir, tetapi,,,,

Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak dengan tegas dan penuh yakin berkata Malaysia bukan seperti Mesir yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat menumbangkan pemimpinnya. Keadaan di Malaysia tidak sama dengan Mesir, antara sebabnya kita ada 1Malaysia.

Kata-kata Najib pantas disokong oleh Menteri Di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon dan beberapa lagi rakannya dalam Kabinet.

Betul, Malaysia bukan Mesir ataupun Tunisia dan negara-negara Arab lain yang dipimpin secara autokrasi atau diktator. Benar, Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi ala England.

Walaupun demikian, kita tidak boleh terlalu yakin yang kebangkitan rakyat seperti yang sedang berlaku di dunia Arab tidak akan berlaku di negara kita. Kita seharusnya belajar dan selidiki sebab-musebab kenapa ianya berlaku.

Kita, yakni pentadbir negara, tidak boleh terlalu yakin yang semuanya berada dalam keadaan baik-baik belaka di negara ini. Mereka perlu melihat sama ada wujud persamaan punca-punca yang memberi kekuatan kepada rakyat Tunisia dan Mesir serta yang sedang berlaku di Algeria, Yeman, Bahrain dan Jordan.

Pemimpin-pemimpin negara berkenaan mengawal media agar menyokong pentadbiran, memutar-belit berita dan menyekat kebebasan bersuara, mereka menahan dan menghumban ke dalam penjara penentang politik, mereka mengamalkan pilih kasih atau kronisme yang jelas memperkayakan keluarga  dan pak-pak turut yang mengampu mereka, rasuah dan penyelewengan kuasa menjadi amalan biasa.

Itulah antara punca kebangkitan rakyat di dunia Arab yang sejak berpuluh tahun apabila pemimpin-pemimpin autokrasi dan kuku besi berkuasa.

Pemimpin di Malaysia perlu melihat sama ada wujud perkara-perkara tersebut di negara ini.  Telitilah dengan jujur, tulus dan ikhlas. 

Lihat kepada peranan media yang dikawal terutama media elektronik, lihak kembali kepada sekatan dan kekangan terhadap kegiatan politik, lihat kepada sekatan ke atas rakyat untuk bersuara walaupun dijamin oleh Perlembagaan tetapi dikawal pula oleh Akta Polis, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan sebagainya.  

Dari sudut pelaksanaan dasar, adakah ia dilaksana dengan betul, adil dan saksama kepada Ali yang bukan ahli parti politik tertentu, kepada kaum kerabat Ah Keong, kepada komuniti Raju, kepada suku kaum Tawi Seli, Langkau dan Bariang di Sarawak, kepada anak buah Kitingan, Bangkoi mahupun Datu Suluk di Sabah, kepada masyarakat pimpinan tok-tok batin di pinggir belantara.

Benar, Malaysia tidak sama Mesir. Bumi Anbia itu adalah negara yang hampir 100 peratus dihuni oleh bangsa Arab sedangkan Malaysia berbilang bangsa. Benar, rakyat Mesir mudah bersatu atas fakta satu bangsa sedangkan di Malaysia masih terikat dengan faktor kaum. Benar, dari sudut itu tidak wujud persamaan.  Tetapi dari sudut lain, banyak persamaan.

Walaupun begitu, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan yakin yang kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak mungkin berlaku. Kerajaan semestinya belajar dan jadikan iktibar akan peristiwa bersejarah di Tunisia dan Mesir. Lakukan perubahan dimana perlu, perbetulkan kesilapan, mansuhkan undang-undang dan peraturan yang dilapukkan oleh kemajuan Internet, pendek kata ubah sebelum diubah.


 

Tuesday, February 08, 2011

Tuesday, February 01, 2011

HAPPY CHINESE NEW YEAR

H A P P Y   C H I N E S E  N E W  Y E A R
To my Chinese friends - may the year of the rabbit brings peace and prosperity to one and all.