Monday, September 13, 2010

Suasana Aidil Fitri di Pulau Pinang

Saya tidak pernah tidak pulang ke kampung di Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang untuk berhari raya bersama-sama keluarga dan saya dapat merasai dan melihat suasana orang Tanjong berhari raya. Masih ada rumah orang Melayu Tanjong yang dihiasi dengan bintang yang diperbuat daripada buluh dan kertas berwarna warni serta bermandikan cahaya lampu pada waktu malam. Hiasan bintang bercahaya itu adalah sesuatu yang unik di Pulau Pinang sebelum penggunaan lampu berkelip-kelip ala-krismas. Namun demikian, hiasan bintang berkenaan semakin kurang mungkin kerana kemahiran untuk membuatnya kian tandus.

Walau apapun, suasana sambutan hari raya tetap meriah terutama di kampung-kampung Melayu dalam dan sekitar bandar raya Georgetown seperti Kampung Makam, Tanjong Tokong, Kampung Rawana, Kampung Dodol, Kampung Melayu Ayer Itam, Jelutong dan perkampubngan-perkampungan tradisional di daerah Barat Daya atau lebih dikenali sebagai Balik Pulau.

Satu perbezaan yang jelas kelihatan ialah kebersihan. Amat nyata Pulau Pinang, khususnya kawasan bandar, kini jauh lebih bersih jika dibandingkan empat hingga 10 tahun lepas.

Di sekitar kampung saya di mukim Kelawai, satu kelainan berlaku sejak tahun lalu yang belum pernah dilakukan sejak Merdeka. Saya diberitahu bahawa perkara yang sama berlaku di kawasan-kawasan lain.

Apa yang saya maksudkan ialah kehadiran wakil rakyat ke rumah orang Melayu untuk mengucap selamat hari raya dan menyumbang 'hamper' kepada warga emas. Boleh dikatakan setiap sebuah rumah mendapat satu hamper. .

Walaupun hamper itu tidaklah sesuatu yang mewah tetapi ia adalah sesuatu yang dihargai oleh para penerima kerana sekurang-kurangnya mereka dapat melihat dari dekat dan mengenali wakil rakyat dan ada yang mengambil kesempatan itu untuk mengadu sesuatu kepada wakil rakyat berkenaan.

Di kampung kami khususnya kunjungan wakil rakyat dari rumah ke rumah tidak pernah dilakukan sejak Merdeka, iaitu semasa pentadbiran parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional. Ia adalah satu kenyataan atau fakta. 

Tahun lepas, apabila wakil rakyat mengunjungi kampung saya, berlaku sedikit ketegangan ekoran daripada tindakan penuh emosi oleh penyokong sebuah parti politik yang kalah dalam pilihan raya lepas. Alhamdulillah, kali ini tiada bantahan ataupun tentangan kerana perbuatan mereka (orang politik berkenaan) pada tahun lepas tidak disenangi oleh penduduk kampung.

Kehadiran wakil rakyat dari DAP dan dua orang pemimpin PAS setempat diterima dengan baik kerana penduduk kampung tidak mengamalkan sikap bermusuh dengan orang yang sudi mengunjungi mereka dan orang kampung menerima dan menghormati tetamu lebih-lebih lagi sempena menyambut Aidil Fitri.

Pendekatan yang digunakan oleh wakil rakyat DAP, seingat saya, tidak pernah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat pada zaman parti Perikatan dan kemudian BN. Inilah hakikat dan inilah kenyataan. 

Saya percaya BN tidak dapat 'menawan' semula Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang kerana pemimpin-pemimpin mereka masih di awang-awangan dan terus mengada-adakan isu tertentu dengan bantuan media tertentu untuk memburuk-burukkan pentadbiran negeri. Rakyat Pulau Pinang tahu akan kedudukan sebenar.



 

18 comments:

-thethinker- said...

saudara tampak penyokong BN .. tapi pandangan saudara tuu bebas dan berdasarkan fakta. Laa nii Penang memang lain dah , yg plg nyata ialah kebersihan dan jalanraya yg dah kurang berlopak , lampu jalan dan lampu isyarat laa ni pun kalu rosak , sat jaa depa mai repari. Hari raya pun depa mai kutip sampah . Aktiviti kat masjid pun dah bertambah. YB pun rajin turun padang ... tapi yg tak syioknye ,parti yg kalah mainkan isu kaum pulak .. kalau depa buat cara gentleman , pantau dasar kerajaan , korek kesalahan yg jelas , mungkin ada peluang ..tapi depa main kotor beb.

Anonymous said...

Rindu kat kampung (Kampong Melayu Ayer Itam) bila baca posting Tuan Syed. Nak balik kampung lepas ni walaupun suasana Raya mungkin dah kurang.

sri hartamas

Unknown said...

-thethinker-

Benar, ia berdasarkan fakta. Yang betul tetap betul. Apa yang saudara ulas juga betul.

Mengenai sokongan kepada parti politik, saya lebih berkecuali kerana kini saya tidak menganggotai mana-mana parti politik mahupun memberi sokongan. Saya akui pernah menganggotai Umno dan pernah dipilih ketua pemuda cawangan, ketua penerangan cawangan, ajk pemuda bahagian dan ajk biro peringkat bahagian. Semuanya di bahagian Jelutong zaman Datuk Seri Yusof Latif.

YB yang datangnya bukan dari Umno ataupun BN di P Pinang nampaknya lebih 'mesra rakyat' dan mudah didekati. Inilah gambaran yang saya dapati walaupun sesekali pulang ke P Pinang. Saya pernah utus e-mel kepada seorang YB DAP P Pinang dan mendapat jawapan keesokan harinya. Begitulah cekapnya mereka bekerja. Lain pula ceritanya jika kita berurusan dengan YB BN terutama Umno.

Sri Hartamas, jika saudara pulang ke Kampung Melayu Ayer Itam, saya yakin saudara dapat lihat perbezaan.

Anonymous said...

Minta tolong beri sedikit gambaran perubahan jelas di Kpg Melayu sebelum saya pun nak pulang ke sana. 5 tahun lepas saya terkejut cipan tengok pembangunan di kawasan Farling(betul ke?) berbanding kpg melayu yang terpinggir. Permandangan sedih ini masih macam tu ke atau dah berubah?

Anonymous said...

Salam Pak Syed .. terlebih dahulu saya ingin Mengucapkan Selamat Hari Raya w/pun sudah masuk syawal yg ke-5. Saya berharap Kampung2 Melayu yg Pak Syed nyatakan akan "KEKAL" sehingga ke Generasi akan datang, dan tidak akan pupus Melayu di PP.
Sekian.

Kuda semetot.

Anonymous said...

Betul2,

Baru baru ini saya pergi melihat tanjung.....dah nak dekat dua tahun saya tak ke sini.
Memang tak dapat dinafikan, pulau pinang dah berubah daripada dulu, kawasan bandar dah jadi bersih, memang susah nak jumpa sampah sarap terbiar, tak macam dulu.
Jalan-jalan pun cantik....tak tau nak describe, tapi tak macam waktu saya kecil dulu.
Cuma, bila ke batu feringghi...saya terasa macam kat hong kong pulak, banyak apartment mewah kat tepi pantai. :p

*saya rasa jelutong masih kureng. sama jer macam dulu...kelam kabut.

Unknown said...

Terima kasih kepada semua yang sudi mengulas dan memberi pendapat mengenai topik ini. Berikut adalah ulasan balas saya:-


Perubahan berlaku dalam banyak bentuk tetapi biasanya orang melihat dari sudut fizikal. Contoh, pembangunan Farlim sebagai sebuah bandar baru.

Perkampungan Melayu boleh kekal sekiranya pemilik atau tuan tanah adalah orang Melayu dan tanah tersebut tidak pula di jual kepada orang lain. Sebagai contoh, banyak tanah yang dahulunya menempat kampung Melayu seperti di Jelutong, telah berubah wajah semata-mata kerana tanah milik Melayu telah dijual kepada orang lain. Pemilik tanah sudah tentu nak bangunkan tanahnya dengan projek besar-besaran yang bakal membawa untung besar kepadanya.

Di Tanjong Tokong, lihat saja apa yang berlaku ke atas Kampung Haji Mahmood. Tanah dijual kepada bukan Melayu dan kini berdiri megah kondo mewah yang hasmpir siap berharga berjuta ringgit yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu. Nama Haji Mahmood pun hilang.

Perkara yang sama berlaku di Tanjong Bunga, Batu Feringgi (BF) dan Telok Bahang (TB). Semasa berkhidmat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat cawangan Balik Pulau sekitar tahun 1970/71, saya sering ke TB dan BF atas urusan kerja dan ketika itu masih wujud perkempungan nelayan di tempat yang kini dipenuhi hotel mewah seperti Mutiara Beach dan Rasa Sayang Resort. Puncanya, pemilikan tanah oleh orang lain dan bukan penghuni kampung.

Apabila pemilikan tanah bertukar tangan, maka berlakulah perubahan fizikal. Tanah milik orang Melayu terlalu sedikit dan apabila tuan tanah nak majukan tanahnya, tiada siapa boleh sekat kerana itu haknya mengikut peruntukan undang-undang.

Hampir semua projek pembangunan di kawasan pantai utara Pulau Pinang termasuk bukit-bukau diluluskan semasa pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Khoon. Tiada sura yang membantah ketika itu kerana kepentingan politik masing-masing. Apabila hilang kuasa dan terpaksa duduk di kerusi pembangkang, baru nak buka mulut, kenapa? Sumber kekayaan dah terlepas, agaknyalah

Orang Islam seharusnya bersyukur kerana datuk nenek mereka, terutama India Muslim dan Arab, telah mewakafkan tanah dan di tanah wakaflah akan kekal penempatan orang Melayu/Islam kerana tanah tersebut tidak boleh dijual, digadai atau dipajak kepada pihak lain.

Satu ketika yang tidak berapa lama dahulu, semasa Dr Ibrahim Saad menjadi timbalan ketua menteri, ada usaha untuk mengambil alih harta wakaf untuk dimajukan. Satu contoh, masjid Simpang Enam yang nak diambil alih, diroboh dan dibangunkan sebuah kompleks dalam mana satu lantai atau satu tingkat dikhaskan untuk masjid. Waris pewakif, iaitu anak-anak almarhum Sheikh Abdul Rahman Azzubaidi, mencabarnya di mahkamah dan mereka menang. Maka selamatkan masjid tersebut yang masih berdiri kukuh di hadapan Komtar dan restoran Craven 'A'. Bayangkan apa akan jadi kepada harta wakaf yang lain sekiranya pentadbiran negeri ketika itu (BN) memenangi kes tersebut.

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) melalui Lembaga Wakaf selaku pentadbir harta wakaf, bukan pemilik seperti yang didakwa mereka, seharusnya mengambil daya usaha untuk membangunkan harta-harta wakaf di Lebuh Pantai (Beach Street), Lebuh Chulia, Lebuh Buckingham dan Lebuh Carnavon yang ada di antaranya disewakan kepada bukan Islam. Beberapa tahun lepas saya pernah mengutus surat kepada Majlis mengenai perkara ini tetapi tidak mendapat jawapan positif walaupun surat saya dibalas.

Jika MAIPP pro-aktif, apa yang sering disebut sebagai 'peminggiran orang Melayu' dalam kawasan bandar raya Georgetown, dapat diatasi. Dalam soal 'peminggiran' kita tidak boleh menyalahkan pihak lain sebelum melihat kelemahan dan ketidakcekapan kita dan agensi-agensi yang diamanahkan untuk membantu kita. Orang politik dan parti politik Melayu telahpun mengecewakan harapan orang Melayu di Pulau Pinang.

-thethinker- said...

ada sebidang tanah di tepi Shell Sg Nibong, dekat je ngan Beyond Car Wash bukit jambul ,milik MAIPP , dulunya disewa dan dijadikan hawker centre .. tetiba je , diambil alih , last last , tanah tu terbiar camtu je.. kan membazir namanya tu.

UMNO dan the gang dok komplen yg bangunan mahal , rumah mahal , orang melayu tak mampu beli , eleh .. masa jual tanah , tak pulak kata jual mahal , mintak lagi mahal ada laa.. awat depa tak pikir betul betul . Tanah kat batu feringghi dan tj tokong tu , ada ke yg kena paksa jual tanah . Takkan developer beli tanah , pastu kekalkan macam tu je . baik tak yah beli kalu camtu

Unknown said...

Itulah masalahnya. MAIPP, Yayasan Bumi, Mara, UDA, Tekun, Umno semuanya sama saja. Nak tengok Melayu bergaya, sila kunjung rumah ketua-ketua Umno terutama yang di bahagian pulau. Di situlah letak jawapannya.

johnsilver said...

bro syed,
elok la tu walaupun dah jadi orang kl, masih tak lupa kampung halaman walaupun kedua-dua orang tua dah tak ada lagi. tak pi merbok ka tengok tanah pak mertua?

Unknown said...

Ah ha John Silver, hang dok ada lagi...lama tak dengark cerita. Kampung laman mana boleh lupa. Tempat jatuh lagi di kenang... bab Merbok, lebih tepat Semeling dalam kawasan Lembah Bujang bersebelahan UiTM, sesekali pi juga tapi tak sama semasa almarhum pak mentua ada. La ni sunyi walaupun kawasan sekeliling dah membangun.

Anonymous said...

Assalamualaikum Sdr SIA!

Kesimpulan kisah Melayu Pulau Pinang ni sudah lama terungkap melalui pantun dua kerat:

Balik Pulau Bayan Lepas
Sana terpelau sini terlepas

--Balanglama

Anonymous said...

Macam Selangor, selagi Khalid Ibrahim MB selagi tulah Selangor PR yang punya.
Kalau tak, takkan Khir Toyo 'give up' nak jadi MB Selangor.
Selagi Lim Guan Eng KM selagi tulah Pulau Pinang PK yang punya.
Jangan mimpilah BN nak ambil balik.
Silap-silap Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Trengganu dan Perlis jatuh ke pangkuan PR.
Khabarnya, kini BN dah nazak.

Anonymous said...

Tuan Syed,
siti/s concert cannot go on or else she will be the *pengkianat bangsa* -
even artist can/t escape the
pressure fr those politikus.

CT fan

Unknown said...

Usah khuatir, rakyat sekarang tidak mudah dipergula-gulakan. Rakyat tahu apa yang sedang berlaku termasuk laporan berat sebelah oleh media tertentu. Rakyatlah yang akan menentukan segala-galanya apabila mereka menggunakan kuasa mengundi pada pilihan raya kelak.

Anonymous said...

Bertuahlah orang-orang Pulau Pinang yang mendapat pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat.

Unknown said...

Tidak ada pemimpin yang berjiwa rakyat kerana pemimpin itu sendiri adalah rakyat. Ungkapan 'berjiwa rakyat' tidak boleh dirujuk kepada pemimpin tetapi kepada raja atau sultan.

Yang penting adalah pemimpin mesti bertanggungjawab kepada rakyat tak kira dari parti politik mana. Pemimpin mesti menjalankan tugas dengan penuh amanah, cekap, bersih dan tidak mengamalkan rasuah, menyalahguna kuasa dan memperkayakan kroni.

Hambali ® said...

cukup setuju dengan apa yang pak syed ulas panjang lebaq berkenaan tanah di pulau pinang

selaku orang luaq yang menetap di penang la ni, saya teringin sangat nak bersembang panjang dgn pak syed