Friday, February 12, 2010

KTMB nak dinaikkan taraf tapi mesti menyeluruh

Usaha pihak berkuasa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mempertingkat dan memperbaiki perkhidmatan disambut baik oleh para pengguna.

Keretapi atau sekarang disebut tren adalah pengangkutan awam yang penting sama ada untuk perjalanan jauh atau antara bandar mahupun dalam bandar seperti Komuter, LRT dan Monorel.
Keretapi antara bandar seperti Ekspres Rakyat, Ekspres Wau mahupun Ekspres Langkawi turut menjadi pilihan para pelancong dalam dan dari luar negara.

(Keterangan gambar: sebuku roti berinti kacang yang diberi kepada penumpang Kelas Premier atau dahulunya Kelas 1)

Perjalanan dengan keretapi, walaupun mengambil masa berbanding dengan perkhidmatan bas ekspres melalui lebuh raya, namun ia membolehkan penumpang menikmati keindahan di kiri kanan landasan yang dilalui termasuk alam semula jadi.

Oleh kerana sebegitu lama, iaitu melampaui 30 tahun tidak menaiki keretapi, saya dan isteri begitu teringin untuk 'menikmati' perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth, Pulau Pinang.

(Keterangan gambar: Notis dalam koc yang memaklumkan sistem AV tidak dapat berfungsi)

Selaku warga emas, saya mendapat diskaun dan hanya membayar RM38 dan isteri RM44 (harga pesara kerajaan) untuk menaiki Ekspres Rakyat (Premier Class) dari KL ke Butterworth pada 12 Disember 2009. Kami begitu ceria dan teruja untuk menaiki keretapi. Malangnya, apa yang diharap dan dijangka tidak menjadi.

Ekspres Rakyat (ER2) yang dijadual bertolak dari stesen KL Sentral pada pukul 2.29 petang, tidak muncul dan kami terpaksa menunggu hampir dua jam. Ini kerana penumpang diminta berada di stesen 30 minit sebelum jadual perjalanan. Kami sampai di KL Sentral pukul 1.50 petang.

(Keterangan gambar: Keadaan dalam koc "Premier Class" Ekspres Rakyat (ER2)

Pihak KTMB membuat tiga pengumuman memaklumkan kelewatan tren dari Singapura itu. Mula-mula diumumkan tren akan tiba pada pukul 3.45 petang, kemudian 4.00 petang. Akhirnya tren tiba pukul 3.50 petang dan bertolak ke Butterworth pukul 4.07 petang. Tiada alasan diberi mengenai kelewatan tersebut. Selain sebuku roti, kami diberi sebotol air minuman (air mineral). Untuk itu, terima kasih KTMB.

Apabila memasuki koc, kami dapati pekerja kontrak yang sebelum itu memasuki koc untuk kerja-kerja pembersihan semasa tren berhenti di stesen KL Sentral, menggantung dua bungkus teh susu pada penyangkut baju/langsir.

(Keterangan gambar: dua bungkus teh ditinggal tersangkut pada penyangkut baju/langsir dalam koc)

Bayangkan apa kata penumpang atau pelancong luar negara mengenai perbuatan menggantung bungkusan teh dalam koc! Mereka boleh membuat bermacam andaian mengenai sikap buruk rakyat Malaysia sedangkan perbuatan itu dilakukan oleh pekerja kontrak yang bukan rakyat Malaysia. Saya tidak perlu sebuat dari negara mana, saya sendiri melihat mereka menunggu tren untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Pengurusan KTMB seharusnya peka dan semestinya memastikan yang perbuatan sedemikian tidak berulang demi menjaga bukan sahaja nama baik KTMB tetapi imej negara.

Seperkara lagi yang ingin saya ketengahkan ialah berkaitan penggunaan perkataan "ekspres" oleh KTMB. Ekspres lazimnya bermaksud segera, cepat atau pantas. Bagi bas atau keretapi, penggunaan perkataan ekspres bermakna perjalanan yang tidak singgah-menyinggah atau yang cepat tiba dalam perjalanan jauh.

Ianya tidak demikian apabila kami menaiki Ekspres Rakyat KTMB. Dalam perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth, Ekspres Rakyat yang kami naiki berhenti atau singgah di lapan stesen iaitu Tanjong Malim (5.23 petang); Sungkai (5.55 ptg); Kampar (6.21 ptg); Ipoh (6.51 ptg); Kuala Kangsar (7.55 ptg); Taiping (8.40 mlm); Parit Buntar (9.37 mlm); dan Bukit Mertajam (10.15 mlm) sebelum tiba di Butterworth pada pukul 10.42 malam.

Perkhidmatan itu tidak seharusnya dinamakan Ekspres Rakyat kerana ia bukan satu perkhidmatan yang sedemikian rupa.

Oleh kerana melalui satu pengalaman yang amat mengecewakan itu, kami tidak mengguna atau menaiki Ekspres Langkawi (EL7) untuk perjalanan dari Butterworth ke KL Sentral walaupun telah menempah tiket untuk perjalanan pada 15 Disember 2009 pukul 9.00 malam. Sebaliknya kami menaiki bas ekspres Transnasional dari perhentian Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Hentian Duta, Kuala Lumpur.

Adalah diharapkan KTMB dapat benar-benar memperbaiki dan mempertingkatkan perkhidmatan apabila landasan berkembar siap sepenuhnya dan apabila perkhidmatan keretapi elektrik beroperasi untuk perjalanan jauh.

Pengurusan KTMB juga harus mempastikan syarikat-syarikat yang diberi kontrak membersih atau membekal makanan/minuman menjalankan tugas dan amanah dengan sempurna. Kejadian menyangkut bungkusan teh dalam koc tidak boleh berulang dan kontraktor berkenaan seharusnya ditegur dan diberi amaran sewajarnya.



13 comments:

john silver said...

bro syed,
setiap kejadian itu ada hikmahnya. saya menghormati kesabaran saudara yang terpaksa melalui kelewatan ktmb pada hari tersebut. bukan semua orang dapat melalui pengalaman 'pahit manis' seumpama itu.
bayangkan sekiranya saudara memandu seorang diri dengan hanya ditemani oleh isteri tersayang, saudara terpaksa melalui lebuh raya yang banyak dengan kenderaan di atasnya (itu tak diambilkira pelbagai karenah pemandu di atas jalan raya) dan keletihan yang perlu dilalui. tetapi, apabila saudara menggunakan keretapi, saudara tidak perlu lagi memikirkan tentang itu semua, saudara boleh rehat ataupun memikir mencari bahan-bahan untuk blog saudara (termasuk karenah ktmb)!

Unknown said...

John Silver,

Nice to hear from you. Hope you are in good health, physically and spiritually.

Betul setiap kejadian ada hikmahnya. Apa yang menyedihkan saya ialah selepas lebih 30 tahun tak naik keretapi, terpaksa pula lalui pengalaman yang tidak menyenangkan.

Selalunya, apabila nak balik kampung di P Pinang, saya pandu sendiri dan lazimnya mengambil masa tidak sampai empat jam untuk tiba di rumah. Terima kasih kepada kerajaan yang mewujudkan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pada hari itu, masa yang diambil untuk sampai ke rumah ialah 10 jam.
Bayangkan 'keletihan' yang diharungi.

Berbekalkan pengalaman kerja, saya catit dalam buku 'hitam' pengalaman itu dan apabila membaca dan mendengar laporan mengenai janji KTMB untuk mempertingkat dan memperbaiki perkhidmatan, saya ambil peluang untuk menulis pengalaman itu. Semoga ada orang KTMB yang membacanya.

john silver said...

bro syed,
cuba naik firefly pula bila nak pulang ke penang. tapi saya tidak pasti firefly ke penang atau tidak. saudara boleh tengok bagaimana anak syarikat mas beroperasi dari subang. saya dan keluarga telahpun mencubanya dan saya suka kerana airport subang tidak busy seperti di klia.

alhamdulillah, saya bersyukur kerana sihat walafiat di tahun 2010 ini walaupun dibebani dengan tugas harian yang semakin mencabar.

saya juga berdoa agar saudara sihat dan masih boleh meneruskan penulisan di blog saudara kerana saya kerapkali mengikuti perkembangannya.

tak ada khabar berita ke dari tempat lama saudara bertugas (bernama)? bekas boss saudara juga nampaknya selalu mendapat publisiti dari media.hebat tu kerana saya melihat beliau sahaja selain dari pm dan tpm yang banyak bercakap mengenai 1malaysia.

Anonymous said...

This KTMB must be closed down. Over the last 50 years they cannot even keep the carrages clean. The Stations all like failing business houses and the manner in which the station was planned in the ultra modern Sentral Station would be the perfect epithph for this icon. Sorry to be so harsh. What did you expect. The Station in Singapore does not fit the surrounding environment and stick out like a sore thumb in an othewise clean city. The Malysian style food court is nothing short of a disgrace.

But I sure that loyalist have heaped praise on KTMB for a long time. I was one who belonged to that category. But I realised that I was being deceived by my own deception. KTMB for the amount of money that has been poured into your enterprise you are nothing but a poor advertisement for this country.Ramalx

Unknown said...

John Silver,

Saya belum cuba perkhidmatan Firefly kerana belum perlu. Isteri saya pernah dan dia kata, OK.

Bab mantan bos saya yang kini mendapat publisiti agak ketara terutama dalam media elektronik (RTM), tak menghairankan. Sesiapa saja yang jadi menteri di kementerian yang kawal RTM pasti dapat liputan lebih daripada menteri lain.

Anon 10:11pm.,

It is due to lower than a third world management standard, if I may say so.

I hope under the new management (MD that is), things will improve.

Anonymous said...

Salam sejahtera Tuan Syed,

Tuan Syed, kalau dapat chan sekali lagi, mahu tak Tuan Syed bersama isteri naik KTMB untuk balik kampung???

Daripada pengalaman yang Tuan Syed harungi, kalau free ticket pun saya rasa saya tak mahu menaiki KTMB dan merana dalam diam selama 10 jam untuk jarak yang boleh kita sampai dalam masa +- 4 jam menaiki bas express atau pun dengan memandu sendiri.

Apa komen Tuan Syed?

Unknown said...

Saudara,

Dalam keadaan sekarang saya tidak akan menaiki keretapi, kecuali tiada pilihan lain, iaitu sesuatu yang agak mustahil.

Seperti yang dinyatakan, saya dan isteri tidak pulang dengan KTMB walaupun dah beli tiket. Kami naiki bas ekspres. Kami anggap harga itu sebagai sumbangan kepada KTMB.

Jika dipanjangkan umur dan dengan izin Allah, saya akan menaiki KTMB apabila projek landasan berkembar siap dan beroperasi. Entah bila? Tak tau sebab di Malaysia bukan semua projek yang dilaksanakan siap mengikut jadual. Faham-faham sajalah.

Anonymous said...

Salam Pak Syed

Teh yang tersangkut tu sebenarnya untuk Pak Syed sebagai "welcoming drink" sebab dah lama tak guna perkhidmatan KTMB..

Anonymous said...

Pak Syed

Saya pernah menggunakan perkhidmatan KTMB pada kadar yang kerap pada tahun lalu.

Pengalaman yang dilalui oleh Pak Syed adalah sama seperti yang dilalui oleh saya. Notis skrin LCD yang tidak berfungsi, pekerja pembersih yang kurang berdisplin (sepatutnya menggunakan warga tempatan), bangku dan langsir yang berbau hapak walaupun di kelas 1, terdapat sebahagian bangku di mana tempat meletak minuman/makanan telah patah(Kelas 1), Tandas rosak dikunci tidak boleh digubakan. Masa berlepas dan ketibaan yang selalu tidak menentu.

Acap kali maklumat atau pengumuman yang kurang tepat mengenai ketibaan atau berlepas dari pegawai KTMB.

Ini merupakan sebahagian dari masalah yang saya hadapi semasa menggunakan perkhidmatan KTMB pada tahun lepas.

Pak Syed, pada hemat saya penswastaaan KTMB akan melonjakkan lagi produktiviti dan kualiti perkhidmatan KTMB kepada rakyat malysia.

Walaubagaimanapun, setelah KTMB diswastakan, kualiti perkhidmatan yang diberikan tidak seperti yang diharapkan dan cuma perubahan dari segi kosmetik iaitu lokomotif serta seragam baru tetapi terdapat peralatan yang kadang-kadang tidak berfungsi.

Saya juga ingin mencadangkan agar sistem hawa dingin di dalam gerabak boleh diselaras secara individu seperti di dalam bas. Ini kerana sistem secara berpusat tidak mewajarkan individu melaraskannya bergantung kepada keperluan masing-masing. Bayangkan perjalanan malam yang panjang dalam kedinginan malam akan bertambah sejuk sehingga menggigil kerana alat hawa dingin tidak boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.

KTMB juga tidak menyediakan gerabak kafeteria seperti dahulu, cuma seorang pekerja dengan troli yang dipenuhi dengan pelbagai makanan dan minuman akan bergerak dari satu gerabak ke gerabak. Cara ini kurang sesuai dan sewajarnya KTMB mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali gerabak kafeteria seperti dahulu demi keselesaan penumpang.

Rakyat Didahulukan
Pencapaian diutamakan

Unknown said...

Anon 11:06am,

"Welcoming drink" itu setara dengan taraf perkhidmatan yang diberikan...


Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan,

Terima kasih atas ulasan dan maklum balas saudara. Ia menunjukkan bahawa apa yang saya alami bukan sesuatu yang asing dalam perkhidmatan KTMB.

saya benar-benar harap Pengarah Urusan baru KTMB yang sebelum ini menerajui ERL dapat melakukan sesuatu untuk memperbaiki khidmat KTMB.

Anonymous said...

Salam sejahtera Tuan Syed,

Apa yg Tuan Syed harapkan adalah seperti mimpi di siang hari atau pun menuang air ke daun keladi..

Ianya akan tinggal sebagai harapan sahaja... Izinkan saya menceritakan satu insiden mengenai KTM.

Ianya terjadi di KTM Tanjong Pagar, Singapura beberapa tahun yang lalu. Pada satu hari saya dan rakan-rakan sekerja saya melalui Lebuhraya ECP yang berada betul-betul di hadapan KTM Tanjong Pagar.

Pada ketika itu saya terlihat satu Tangga Kayu ditinggalkan di atas bumbung KTM tersebut. Tangga kayu tersebut mungkin telah digunakan untuk kerja penyelenggaraan di atas bumbung KTM tersebut

Selepas itu setiap kali saya melalui Lebuhraya ECP, saya akan toleh ke arah KTM Tanjong Pagar dan untuk pengetahuan Tuan Syed dan rakan-rakan lain, TANGGA KAYU tersebut tetap berada di posisi di mana kali pertama saya melihatnya.

Untuk pengetahuan semua, TANGGA KAYU tersebut berada di posisi yang sama tanpa berganjak untuk
BEBERAPA TAHUN dan akhirnya saya dapat melihat TANGGA KAYU tersebut telah pun reput dan condong dan pada kali seterusnya saya melalui lebuhraya tersebut, saya dapati tangga tersebut telah tumbang dan hancur di tempat di mana ianya "berdiri" dengan "megah" selama beberapa tahun.

Tuan Syed, selagi sindrom "ITU BUKAN KERJA SAYA", "KALAU SAYA BUAT, APA SAYA DAPAT", "LANTAK PI MAMPUI" dan sebagainya masih tebal di dalam sanubari pekerja-pekerja kita, selagi itulah insiden-insiden seperti yang saya nyatakan, dan lain-lain insiden seperti yang dilalui oleh Tuan Syed dan lain-lain rakan akan tetap berlaku.

Selagi, satu sistem yang tegas di mana staf daripada apa kategori/peringkat pun boleh diambil tindakan tegas sehingga boleh menyebabkan kehilangan jawatan mereka sekiranya mendapat complain daripada pengguna diwujudkan, selagi itu kita semua boleh bermimpi disiang hari.

Tuan Syed, ini adalah satu kebudayaan, kebudayaan pentingkan diri sendiri. Mereka sedar mereka berada di ZON SELAMAT atau pun ZON SELESA, jadi mereka tak peduli apa yang dilalui orangramai kerana JAWATAN mereka tidak tergugat. Mereka hanya akan berubah sekiranya jawatan mereka tergugat apabila ada aduan daripada pengguna macam kita dan aduan tersebut akan dipandang serius oleh pihak pentadbiran.

Apa komen Tuan Syed?

Unknown said...

Anon 9:47pm,
Terima kasih atas maklum balas saudara mengenai mutu perkhidmatan KTM.

Tak sangka seteruk macam tu! Perbuatan membiarkan tangga kayu tersadai sebegitu lama dan sampai reput cukup memalukan. Lebih-lebih lagi di stesen Tanjong Pagar yang terletak dalam kawasan CBD Singapura. Imej Malaysia yang terpalit najis!

Inilah sikap atau tabiat buruk yang mesti ditangani oleh Pengarah Urusan KTMB yang baru. Sama ada beliau mampu berbuat demikian... sukar dijawab!

Kita harap semua teguran, kritikan dan luahan yang dibuat melalui blog ini dilihat sebagai sesuatu yang positif untuk memulih imej dan meningkatkan mutu perkhidmatan KTM.

Anonymous said...

Salam sejahtera Tuan Syed,

Terima kasih di atas komen Tuan Syed bersabit TANGGA KAYU yg ditinggalkan di atas bumbung KTM Tanjong Pagar sampai ianya hancur sendiri ditelan zaman (Panas, Hujan dan Angin).

Minggu lalu, sekali lagi saya berkesempatan melalui di hadapan KTM Tanjong Pagar. Percaya atau tidak, secara otomatik, kepala saya tertoleh ke arah di mana tangga tersebut "bersemadi". Walau bagaimana pun seperti yang saya nyatkan terdahulu, tangga kayu itu sudah tidak kelihatan lagi.

Ada satu lagi perkara berkenaan KTM Tanjong Pagar yang saya rasa saya boleh kongsi dengan Tuan Syed dan lain-lain rakan.

Ianya juga terjadi beberapa tahun yang lalu. Untuk pengetahuan Tuan Syed di Singapura, pada kebiasaannya rakyat mereka lebih mengemari utk menalipon dahulu untuk mendapatkan maklumat atau pun buat tempahan sebelum ke lokasi tersebut.

Jadi, rakan kerja saya yang agak kerap menggunakan perkhidmatan KTM untuk ke rumah sanak-saudara dia di KL pernah menyatakan kepada saya yang setiap kali beliau menalipon NOMBOR HOTLINE KTM Tanjong Pagar, talipon tetap berbunyi tetapi sesiapa pun tidak akan angkat.

Pada mulanya saya tidak begitu percaya tetapi setelah saya sendiri mencuba mendial nombor tersebut baru saya tahu yang SESIAPA PUN DI KTM TANJONG PAGAR, tidak langung memperdulikan panggilan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat atau pun mungkin ingin membuat tempahan dan sebagainya.

Untuk tidak menuduh membabi buta, selepas insiden tersebut saya tetap mencuba mendail nombor hotline tersebut untuk beberapa hari malangnya hanya ganggang talipon dan telinga saya sahaja yang jadi "hot", sampai ke sudah tidak ada sesiapa pun daripada KTM Tanjong Pagar berminat untuk mengangkat ganggang talipon mereka.

Walau bagaimana pun insiden ini terjadi beberapa tahun yang lalu, sama era dengan insiden Tangga Kayu. Saya tidak tahu bagaimanakah situasi/kualiti perkhidmatan pelanggan atau pun "Customer Service" di KTM Tanjong Pagar hari ini...

Sekian dan terima kasih. Sama seperti Tuan Syed, saya pun berharap agar pihak yang terlibat akan menggambil iktibar daripada insiden-insiden yang telah kita semua kongsi di blog ini.