Friday, February 12, 2010

Isu kalimah ALLAH - Majlis Raja-Raja pandang berat

Isu penggunaan kalimah Allah mendapat perhatian serius Majlis Raja-Raja Melayu yang turut mengambil kira pandangan dan luahan perasaan rakyat, khususnya umat Islam.

Majlis itu mahukan isu kalimah Allah segera diselesaikan sambil menegaskan bahawa ia bertanggungjawab dan diamanahkan oleh Perlembagaan Malaysia untuk mempertahan kedudukan Islam selaku agama rasmi negara.

Kita sedia maklum bahawa Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa:

(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang diPertuan Agong mewakilinya.

Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menunjukkan bahawa bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kedudukan sebagai Ketua ugama Islam diberi kepada Yang diPertuan Agong.

Oleh itu, amat tepat bagi Majlis Raja-Raja mengambil berat dan mempertahan kedudukan Islam selaku agama rasmi negara dan isu penggunaan kalimah Allah tidak boleh sama sekali diasingkan daripada agama Islam dalam apa jua bentuk.

Oleh yang demikian, tindakan pihak Gereja Katolik untuk mengguna kalimah Allah dalam penulisan kitab Injil mereka mahupun dalam sebuah penerbitan dalam bahasa Melayu tidak boleh dibenarkan sama sekali.

Mereka mahu menggunakan kalimah Allah atas alasan terjemahan untuk perkataan 'God' sedangkan hujah itu tidak boleh diterima atas beberapa sebab.

Faktor bahasa Melayu:

Hujah saya berkisar kepada bahasa Melayu kerana itulah tujuan atau alasan pihak Gereja Katolik untuk membolehkan mereka mengguna kalimah Allah dalam penerbitan risalah atau akhbar mereka.

Pertama sekali, perkataan atau kalimah Allah bukan bahasa Melayu. Ia adalah bahasa Arab. Oleh itu hujah mereka untuk menulis dalam bahasa Melayu sudah jauh menyimpang.

Perkataan dalam bahasa Melayu yang memberi maksud 'God' ialah Tuhan, bukan Allah. Oleh itu, pihak Gereja Katolik ataupun penganut Nasrani pada umumnya, hendaklah menggunakan perkataan tuhan dan bukan Allah.

Kita akui bahawa di negara Arab, penganut Nasrani menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan mereka dan ia tidak pula dibantah oleh ilmuan atau sarjana Islam di sana kerana mereka menggunakan bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Pemimpin Gereja di Malaysia turut menyatakan bahawa mereka mahu menggunakan kalimah Allah kerana mereka ingin menjalankan upacara keagamaan termasuk sembahyang dalam bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

Kita sambut baik niat mereka itu tetapi kita juga ingin bertanya kenapa kalimah Allah dan tidak perkataan Tuhan? Bukankah perkataan Tuhan itu datangnya daripada bahasa Melayu?, bukan kalimah Allah.

Lebih 15 tahun lalu, ilmuan dan tokoh akademik Islam terkemuka, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas pernah bersemuka dengan ketua paderi (Archbishop) Pulau Pinang dan ketua paderi Kuala Lumpur mengenai persoalan yang sama.

Beliau bertanya kenapa mereka mahu mengguna kalimah Allah dan mereka menjawab kerana nak jalankan sembahyang dalam bahasa Malaysia.

Prof. Syed Naquib bertanya lagi, kenapa nak tukar bersembahyang dalam bahasa Malaysia sedangkan mereka telah, selama ini, bersembahyang dalam bahasa Inggeris. Kenapa dengan tiba-tiba nak tukar ke bahasa Malaysia?

Mereka berkata mereka hendak berbuat demikian kerena ingin lebih patriotik dan Prof. Syed Naquib menjawab dengan demikian, kenapa tidak guna perkataan Tuhan apabila bersembahyang dalam bahasa Malaysia.

Prof. Syed Naquib menegaskan bahawa "Allah" bukan berasal dari bahasa Malaysia. Ia bukan bahasa kebangsaan. Kalimah itu adalah kepunyaan umat Islam seluruh dunia.

Alasan yang tidak tepat:

Hujah pihak Gereja Katolik untuk mengguna kalimah Allah tidak tepat dan kena dengan konsep Tuhan yang mereka amalkan. Ini kerana "Allah" tidak mempunyai anak, Ia juga bukan satu daripada tiga (Trinity).

Dalam bahasa Melayu pun perkataan tuhan bukanlah terjemahan untuk kalimah "Allah", dan sebab itulah orang Melayu menyebut ".....tiada Tuhan melainkan Allah" dan bukan "...tiada Tuhan melainkan Tuhan".

(Perkataan Arab "Illah" bermaksud Tuhan manakala "Allah" adalah nama Tuhan bagi umat Islam).

Sekiranya pihak Gereja nak dibahasa Melayukan kitab Injil tulisan mereka, maka perkataan yang tepat ialah "Tuhan" bukan "Allah".

Sekolah mubaligh tak pernah guna kalimah Allah:

Pengalaman bersekolah menengah selama enam tahun di sebuah sekolah yang ditadbir oleh pihak Gereja Katolik di Pulau Pinang juga menunjukkan bahawa perkataan atau kalimah "Allah" tidak pernah diguna untuk merujuk kepada Tuhan.

Perlu dijelaskan bahawa semasa saya bersekolah, pentadbiran sekolah mubaligh Katolik itu terletak sepenuhnya di bawah mereka dan pengetua atau disebut sebagai "Director" adalah seorang paderi berasal dari Ireland dan kebanyakan guru juga paderi yang berjubah putih dan dirujuk sebagai "Brother". Mereka adalah guru-mubaligh yang berkelulusan sebuah maktab dikenali sebagai St Joseph Novitiate, Jalan Kelawai, Pulau Pinang (sekarang ditutup) atau maktab-maktab lain di luar negara.

Di sekolah berkenaan juga terdapat sebuah "chapel" atau tempat beribadat dan selama enam tahun mengikuti pelajaran di sekolah itu, saya tidak pernah mendengar mereka menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada Tuhan. Perkataan atau kalimah yang lazim digunakan ialah "Lord" atau "Lord Jesus" atau "God".

Oleh itu, kenapa sekarang nak guna kalimah "Allah"?


Malaysia tak boleh disamakan dengan negara lain:

Gereja Katolik mahupun mazhab-mazhab Nasrani lain di Malaysia tidak boleh dan tidah harus menyamakan diri mereka dengan penganut Nasrani atau Kristian Koptik dan Ortodoks di negara-negara Arab yang menggunakan kalimah "Allah". Mereka berbahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Mereka juga tidak boleh samakan dengan Indonesia kerana dari mula lagi dan atas kepentingan perpaduan politik, mereka mengamalkan Pancasila. Bukan asing bagi orang Islam menikahi penganut Kristian atau sebaliknya. Itu amalan dan budaya mereka. Kita bukan begitu dan kita di Malaysia tidak boleh disamakan dengan mereka di Indonesia.

Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui.

4 comments:

Anonymous said...

Those are just the views of the Rajas but to date the constitution did say that. Sorry.

Syed Imran said...

What are you trying to say? Please be specific.

Mat Jerman said...

Saya pun sebagai seorang Islam memandang berat. Majlis Raja-raja pandang berat pun tak mencukupi, kenalah buat something sebab dah ketua agama Islam di Malaysia.

Sekadar pandang berat, no action, tak guna jugak.

Isu ni dah dipolitikkan pula oleh banyak pihak sampai dah bercelaru. Takkan nak biarkan sampai orang terlupa baru nak buat something.

Clearly, we have no capable leaders that are willing to forsake their popularity.

Anonymous said...

Saya Kristian dan kami mempunyai pendapat tersendiri tentang agama kami, tetapi kami tidak pernah membenci saudara kami yg berlainan agama, kami tidak akan mengkritik agama lain kerana setiap agama memang berbeza kepercayaannya....agama utk kebaikan bukan diperdebatkan siapa hebat....amalannya yg penting, tak perlu jadi jaguh agama.....peace.