Friday, November 06, 2009

"Tauliah" bertentangan dengan Islam? Biar betul!

Pada mulanya saya tidak ingin mengulas mengenai kes mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Muhamad Asri Zainul Abidin yang ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengajar agama tanpa tauliah di negeri Selangor. Tetapi, apabila membaca kenyataan Dr Asri yang dibuat dalam temubual ekslusif dengan portal berita dalam talian, Malaysikini, bahawa penggunaan "tauliah" adalah bertentangan dengan ajaran Islam, maka saya rasa perlu untuk mengulas.

Menurut laporan Malaysiakini, Dr Asri menegaskan bahawa dia berkata demikian dengan alasan "hak untuk bercakap diberi oleh Tuhan (Allah)", oleh itu para penceramah agama atau pendakwah tidak boleh disekat dengan mengenakan syarat "tauliah" atau kebenaran untuk berbuat demikian.

Dr Asri juga mendakwa bahawa mereka yang cuba menyekat atau menghalang orang lain daripada menyuarakan pendapat secara bebas adalah mereka yang mempertahankan kepentingan diri, yang takut dan bimbang terhadap ancaman ke atas kedudukan atau kuasa mereka.

Oleh itu, Dr Asri menyifat sistem "tauliah" sebagai tidak "Islamik" dan sistem inilah yang cuba menyekat atau menghalang orang daripada menyuarakan pandangan mereka (mengenai agama).

Dr Asri juga berkata tiada sesiapapun berhak untuk merampas kebebasan yang diberikan oleh Allah kepada orang tertentu untuk menegakkan kebenaran.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipetik oleh satu lagi portal berita dalam talian, The Malaysian Insider, sebagai berkata bahawa syarat keperluan tauliah untuk menyampaikan ajaran Islam dan berdakwah hendaklah dimansuhkan.

Beliau berkata syarat itu lebih memudaratkan Islam daripada membawa kebaikan. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini.

Zulkifli juga berpendapat bahawa syarat untuk mendapatkan tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Berbalik kepada kenyataan Dr Asri, saya agak pelik kenapa selepas menghadapi masalah dengan JAIS baru dia menyatakan bahawa tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa pentadbir agama sebagai tidak "Islamik" dan menyekat kebebasan bersuara yang diberi oleh Allah?

Sebagai mantan Mufti Perlis, tentu Dr Asri sedar, atau dia sengaja buat-buat tidak tahu, bahawa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) juga mengenakan syarat yang sama dan Dr Asri sendiri pernah melarang tiga orang ulama Sunni dari Yaman daripada menghadiri majlis ilmu di Perlis.

Antara ulama yang dimaksudkan itu ialah pengetua Darul Mustafa, sebuah institusi pengajian Islam di Tarim, Yaman, iaitu Habib Umar Binhafiz. Bukankah tindakan Dr Asri itu menyekat "hak Habib Umar untuk bercakap" yang diberikan oleh Allah kepadanya?

Darul Mustafa adalah antara institusi pengajian tinggi Islam yang terkenal bukan sahaja di dunia Arab tetapi di seluruh dunia Islam. Dua orang mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Abdullah Ahmad pernah menziarahi institusi itu dan bertukar-tukar fikiran dengan Habib Umar Binhafiz. Malangnya, apabila Habib Umar datang berdakwah di Malaysia, dia dilarang daripada memberi ceramah di Perlis, iaitu semasa Dr Asri menjadi Mufti.

Negeri Perlis tidak terkecuali daripada mengenakan syarat untuk sesiapa sahaja yang ingin mengadakan ceramah agama dan syarat itu, yang kini nampaknya ditentang oleh Dr Asri sendiri, telah dilaksanakan untuk menyekat pendakwah yang mungkin tidak sehaluan dengan apa yang diamalkan di negeri Perlis.

Di bawah perkara PERMOHONAN KEBENARAN MENGADAKAN CERAMAH di Perlis, JAIPs mensyaratkan:-


1. Setiap ceramah yang akan diadakan perlu mendapat kebenaran JAIPs.

2. Permohonan untuk mendapatkan kebenaran ceramah hendaklah dikemukakan dua (2) minggu sebelum tarikh ceramah hendak diadakan.

3. Setiap penceramah perlu mematuhi syarat-syarat berikut iaitu:

(a) Tidak mengkritik dasar kerajaan/Majlis Agama Islam Negeri Perlis

(b)
Tidak menyentuh mana-mana fahaman politik kepartian

(c) Tidak menyentuh soal-soal khilafah

(d) Tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Selain daripada itu, JAIPs juga mensyaratkan bahawa setiap individu yang hendak mengajar agama Islam perlu mendapatkan tauliah mengajar terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam Perlis. Dr Asri kata sistem tauliah tidak Islamik.

Perlis juga menyatakan bahawa untuk mendapat tauliah mengajar, pemohon perlu memberi butir-butir peribadi; salinan sijil-sijil kelulusan dan dokumen berkaitan; dan tempat dan alamat kelas yang akan diadakan.

Kenapa sekarang Dr Asri berkata sistem tauliah itu tidak Islamik?

Menurut kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Negeri Perlis, sesiapa yang mengajar agama tanpa kebenaran (iaitu tanpa tauliah), boleh dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara enam (6) bulan atau kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Bilangan 29 Seksyen 33 Enakmen berkenaan.

Manakala di bawah ceraian Bilangan 30 Seksyen 34 Enakmen yang sama, sesiapa yang mengajar atau menjalankan sesuatu istiadat yang bertentangan dengan hukum syarak yang diamalkan di negeri Perlis, boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga (3) tahun atau kedua-duanya. (Catatan penulis: Antaranya doa qunut, membaca talqin dan majlis tahlil)

Jadi, peraturan yang ada di Selangor dan di Perlis adalah tidak banyak berbeza dan boleh dikatakan serupa kecuali dari segi hukuman.

Oleh itu, Dr Asri atau sesiapa sahaja yang ingin mengajar ataupun memberi ceramah berkaitan agama Islam di Selangor, mesti mematuhi syarat yang dikenakan oleh pihak yang berwajib. Begitu juga jika sesiapa yang ingin mengajar atau berceramah di Perlis, mesti mendapat kebenaran ataupun tauliah terlebih dahulu.

Syarat atau sistem tauliah tidak boleh dikatakan tidak Islamik atau sistem yang diwarisi daripada penjajah. Sistem sedemikian diamalkan atau dikuatkuasakan di semua negeri, bukan di Selangor sahaja.

Cuma, cara Dr Asri ditahan agak keterlaluan dan kedudukannya sebagai mantan Mufti dan tokoh agama seharusnya dihormati.

14 comments:

nooryahaya said...

ada bagusnya sistem 'tauliah' pada pendapat saya yg daif dan jahil ni. pertamanya kita perlu membendung ajaran salah dan org yg tak cukup belajar dari mengajar ilmu yg dia tidak arif.


http://nooryahaya.blogspot.com/2009/11/what-is-wahabi.html

Anonymous said...

Mungkinkah Dr Asri tidak setuju dengan syarat tauliah di perlis, dan lantas tidak menyambung kontraknya?

sri hartamas

Anonymous said...

kenapa mesti diletakkan syarat " TAULIAH" daripada jabatan agama. Dr Asri merupakan seorang Bekas Mufti dan juga seorang ahli agama yang hanya mempunyai satu tujuan iaitu berdakwah kepada orang ramai. Kalau dah benda wajib pun jadi kifayah... lain kali mesti akan wujud sifat " SORANG JERR YANG BUAT.. LAIN2 X PAYAH"... jangan kita nanti apabila ditanya tentang tanggungjawab kiter di akhirat kelak... pada ketika itu sudah mula nak teraba-raba nak mencari pihak yang berkenaan... SISTEM TAULIAH perlu dihapuskan kerana ianya melambangkan satu corak pemerintahan FEUDAL.. bukan demokrasi... seseorang itu telah diganggu hak mereka.. ADAKAH INI SALAH SATU CONOTH DALAM SISTEM PEMERINTAHAN DEMOKRASI yang dilaungkan oleh pihak tertentu untuk menggambarkan corak DEMOKRASI di negara ini????

Unknown said...

Anon 8.12pm:

Anda tanya Dr Asri kenapa di Perlis pun ada sistem tauliah untuk mengajar agama? Semasa Dr Asri jadi Mufti Perlis, kenapa dia tak hapuskan sistem tauliah?

Inilah yang dipersoalkan.

umar said...

Tuan,
Sistem tauliah ini adalah syarat yang sudah ditetapkan dalam enakmen agama Islam untuk setiap negeri dari zaman british lagi. Pemerintah British juga menenetapkan Sultan sebagai ketua agama Islam untuk negeri masing-masing. Semua enakmen ini tidak pernah di pinda atau dihapuskan walaupun kita sudah merdeka.
Sultan pula melantik mufti sebagai pakar rujuk untuk semua hal berkaitan agama. Sudah tentu yang dilantik jadi mufti mestilah orang yang berpendidikan tinggi dan tahu semua hukum-hakam agama.

Jadi tidak perlulah seorang mufti perlu dapat tauliah untuk mendakwah atau mengajar. Pendahwah bebas yang lain baik pensyarah,badan-badan tarikat dan sebagainya perlu tauliah seperti dikehendaki negeri masing-masing.
Siapa sahaja yang mengajar benda yang terang-terang sesat patut di dakwa dan dihukum.
Tetapi orang-orang yang sudah di tauliah sepatutnya boleh dibenarkan bebas berdakwah seluruh Malaysia.Tidak perlu minta izin dan kelulusan dari setiap Jabatan Agama.
Islam itu mudah. Kalau dah nikah sekali tak perlu didaftar di setiap negeri.
Memang Dr.Asri semasa jadi mufti dia tidak hapuskan atau pindakan sebarang enakmen yang sudah sedia ada. Beliau teruskan jawatannya seperti biasa.Benda yang beliau setuju atau tidak tetap dah termaktub dalam enakmen negeri. Pandangan beliau sahaja yang banyak kejutkan orang . Tetapi itu pandangan beliau bukannya sesat atau bertentangan dengan Syarak atau Sunah.Beliau tidak halalkan yang haram atau sebaliknya.
Jadi mengapa beliau di tangkap dan dimalukan oleh jabatan agama sendiri.
Malangnya tidak seorang sultan pun bersuara dalam hal ini, padahal merekalah ketua agama negeri masing-masing. Kalau seorang Mufti pun perlu minta 14 surat tauliah, apakata panel program agama yang mengajar di TV dan radio, apakah mereka sudah ada semua 14 tauliah untuk mentampaikan ilmu yang disiarkan di udara 14 negeri di Malaysia ?

Unknown said...

Umar,

Soal siaran tv tidak boleh disamakan dengan perkara yang diperkatakan. Ini bukan soal alam maya tetapi alam nyata di mana seseorng yang ingin mengajar agama atau berceramah soal agama di sesebuah negeri mesti ikut aturan dan peraturan yang ditetapkan.

Persoalannya tetap tertumpu kepada kenyataan Dr Asri bahawa sistem tauliah tidak Islamik.

Seperti yang saudara akui bab pentadbiran agama adalah kuasa negeri masing-masing, seperti kata orang tua-tua masuk kandang kambing mengembek dan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Soal mufti, saya setuju dengan ulasan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria iaitu Dr Asri bukan lagi seorang mufti.

benderamerah said...

Salam..wan..cucu-cicit sokongn 100% article wan takbir

umar said...

Tuan,
Kalau soal tauliah yang diperkatakan tidak Islamik, saya mempelawa tuan untuk bincang banyak lagi benda yang unIslamic di Malaysia seperti,

1. Islamic Banking, apa itu ?
Is there such thing as Islamic banking and Insurance ?
2. Siapa bagi Tauliah kepada bank
Standard Chartered, HSBC, CIMB,CITIBANK, OCBC,HONG LEONG to sell Islamic financial products when non-muslim managers are selling Mudarabah, musyarakah, Bituminajil, Bainah,Credit card Ittisnah dan macam-macam nama arabic ?
3. Now AIA, Great Eastern mahu lancarkan Takaful package..Apa dah jadi?
4. Non-muslim finacial houses want to champion Islam and at the same time they are not believing in the basic foundamentals of Islam.
5. Who gave them "tauliah" when they know nothing about halal and haram ?
6. BANK ISLAM dan Bank MUAMALAT tak cukupkah ?

If you insist that you need 14 tauliah letters to go around preaching in Malaysia either in mosques or private halls then don't you need any to appear 'live' on TV with bigger live audience ?
Nak muncul di TV dan Radio tak perlukah tauliah ? Kalau ia pun , cukupkah satu atau 14 ?
Perlukah Malaysia 14 mufti padahal JAKIM di pusat boleh selaraskan undang-undang dan semua hal agama ?Saya harap tuan dapat menulis bab ini pada masa depan supaya kita dapat pandangan meluas.

d'enricher said...

Saya setuju dengan komen Tuan tentang "Dr Asri kata tauliah tak Islamik". Ini memang biasa, semasa jadi Mufti, dan kemudian bukan mufti lagi.

Memandangkan memang ada enakmen, jadi biasalah pihak berwajib ambil tindakan. Yang dipersoalkan dan dipersetujui ramai, baik yang menyokong atau tidak, ialah cara tindakan dengan sebegitu ramai orang yang dikerah untuk menangkap Dr Asri, kalah penjenayah rasanya.

Tapi, isu agama ini, memang dah masuk bab "kronik." Aku betul engkau salah, aku ada kuasa aku boleh guna kuasa. Jadi, yang ada kuasa walaupun salah akan terus menyalah guna kuasa, lebih lebih lagi kalau ilmu singkat.

Islam ni dah sempurna, itu janji Allah, tapi manusia yang singkat akal sahaja yang ingat dia bagus sangat.

Kuasa kuat manapun,Bagus macammana pun, pandai dgn PhD bergulung pun, kalau apa yang diamalkan tidak mengikut apa yang Nabi Muhammad SAW ajarkan ... rugi. Maksud sabda Nabi :(Barang siapa beramal sebarang amalan, bukan dari perkaraku (Nabi) maka amalan itu ditolak)

Carilah yang HAQ, kerana setiap dari kita akhirnya akan menjawab sendiri-sendiri, baik dialam kubur maupun akhirnya didepan Allah nanti.

Tok Guru ke, Professor ke bukan boleh tolong pun.

sm_alkaff said...

salam ami,

sistem pentauliahan ini dah ada sejak zaman Rasululullah lagi.Kalo kita kaji sejarah bagaimana Rasulullah meng'interview' Muaz Bin Jabal semasa ingin dilantik menjadi gabenor Yaman pada ketika itu.antara soalan baginda, bagaimana kamu menjalankan pemerintahan kamu? maka jawab Muaz, aku menjalankan pemerintahan berdasarkan Alquran & Hadith.sila rujuk kitab sirah utk mengetahui dgn lebih lanjut.ini juga merupakan satu bentuk pentauliahan.Dizaman Khulafa' Rasyidin juga berlaku sedemikian.Jadi ana menyanggah kenyataan Dr Asri bahawa pentauliahan bertentangan dgn Islam.

RadhiAllah Huankum

Unknown said...

Umar,

Saya hanya menyentuh apa yang didakwa oleh Dr Asri, iaitu sistem tauliah. Oleh itu, tak parlulah mengajak berdebat mengenai soal lain. Dakwaannya itu mendapat liputan meluas dan ulasan-ulasan yang ada kalanya menghina Islam dalam laman-laman sesawang dan portal berita dalam talian, termasuk oleh yang bukan Islam. Mungkin ramai yang tidak menyedari perkara ini kerana perbahasan dalam bahasa Inggeris.

A.Alshukor,

Benar apa yang saudara katakan. Amat malang bagi umat Islam. Ada antara umat Islam di negara ini yang tidak tahu bahawa ramai insan di Barat yang bukan beragama Islam telah mendalami pengajian Islam sehingga memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) seperti Dr Asri, tetapi tujuan mereka lain sama sekali, iaitu menggunakan ilmu untuk menyerang dan mempersendakan Islam.

SM Alkaff,

Subhanallah. malangnya ramai yang masih tidak sedar dan tidak tahu.

cicit tok sheikh said...

betul ler tu pak tuan. kalau berdakwah kena tauliah, mungkin org melayu ni ramai dok pagan lagi. tok nenek kita yang mai berdakwah dulu saper yg beri tauliah agaknyer ye. jgn lar kita complicate matters sampai ilmu yg nak bawa mati pun nak sekat2. -- cicit tok sheikh

Unknown said...

Cicit Tok Sheikh,

Peraturan adalah peraturan. Mengikut JAKIM, semua negeri ada peraturan yang serupa.
Kenapa dia melenting bila kena pada diri sendiri sedangkan dia sendiri adalah sebahagian daripada sistem yang ada.

Sila baca ulasan SM Alkaff untuk mendapat jawapan mengenai sistem pentauliahan dalam sejarah awal Islam.

Ini bukan soal sekat-menyekat tetapi tugas mereka yang dipertanggungjawab oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Saya pernah mendengar ceramah Dr Asri yang jauh berbeza dengan ceramah-ceramah dalam tv dan penulisan dalam akhbar. Bak kata orang, di tempat-tempat tertentu lain nadanya.

Rizz Gyn said...
This comment has been removed by the author.