Sunday, November 29, 2009

Padahnya melantik ahli keluarga dalam pentadbiran

Apa yang berlaku di Negeri Kelantan Darul Naim yang membabitkan Menteri Besar dan menantunya sepatutnya tidak berlaku sekiranya Surat Pekeliling Perdana Menteri kepada anggota pentadbiran turut meliputi pentadbiran di peringkat negeri.

Dalam Surat Pekeliling bertarikh 1 Mac 1988 yang masih berkuatkuasa kerana ia tidak dibatal atau ditarik balik, PM melarang para menteri dan timbalan menteri daripada melantik ahli keluarga terdekat selaku pegawai di pejabat masing-masing.

Pekeliling itu menyebut antara jawatan yang dilarang dipegang oleh ahli-ahli keluarga terdekat termasuk menantu adalah setiausaha sulit kanan, setiausaha sulit, setiausaha akhbar, pembantu khas atau pegawai khas dan jawatan yang berhubung kait rapat dengan anggota pentadbiran.

Pekeliling itu juga memaksa mantan PM Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad (sekarang Tun) menasihati menantunya, Khairy Jamaluddin (sekarang YB Rembau) melepaskan jawatan nombor tiga yang disandangnya di Pejabat Perdana Menteri.

Dalam senarai pegawai Pejabat Perdana Menteri yang diedarkan oleh Pejabat PM kepada pejabat anggota pentadbiran bertarikh 26 Disember 2003, nama Khairy Jamaluddin diletak pada nombor tiga daripada 24 jawatan yang diwujudkan, iaitu selaku selaku Timbalan Ketua Setiausaha Sulit II.

PM Abdullah telah dimaklumkan oleh salah seorang menterinya sendiri mengenai adanya Surat Pekeliling yang melarang perlantikan ahli keluarga terdekat selaku pegawai di pejabat anggota pentadbiran (Menteri dan Timbalan Menteri). Selepas itu, menantunya terpaksa meletak jawatan.

Sekiranya perkara yang sama dipanjangkan ke pentadbiran negeri, maka MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) mungkin tidak akan melantik menantunya, Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan mengelak masalah yang berlaku sekarang.

Berpunca daripada perlantikan menantunya itu juga mengakibatkan perlucutan jawatan mantan Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi bin Syed Abdul Aziz oleh Ariff Fahmi atas alasan tertentu. Ariff Fahmi sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Syed Azidi dituduh ada kaitan dengan siasatan itu.

Masalah yang dihadapi oleh Tok Guru juga memberanikan ahli-ahli PAS termasuk anggota EXCO Kelantan mendesak Tok Guru menamakan penggantinya, sesuatu yang tidak disuarkan secara terbuka sebelum ini.

Semuanya ini berlaku akibat apa yang berlaku dalam PMBK itu sendiri dan isu perlantikan menantu Tok Guru ke jawatan tertinggi yang mempunyai kaitan begitu dekat dengan pentadbiran negeri.

Apa yang dihadapi oleh Tok Guru ekoran daripada perlantikan ahli keluarga terdekatnya itu seharusnya dijadikan teladan oleh pihak lain, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan bahawa mereka tidak boleh melakukan perlantikan yang serupa.

Masalah yang dihadapi Tok Guru nampaknya mengakibatkan beberapa perkara lain sehingga dia agak mudah melatah dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar Tok Guru.


No comments: