Tuesday, November 10, 2009

Isu royalti/wang ihsan ke mahkamah?

Sama ada ia dirujuk sebagai royalti minyak, wang ihsan ataupun sedekah (seperti yang didakwa oleh ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa), ia sekali lagi menjadi satu persoalan yang dipertikaikan antara sebuah kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

Jika pada tahun 2001, Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui PAS menyaman Petronas dan Kerajaan Persekutuan berkaitan isu yang sama, kini Kerajaan Negeri Kelantan berkemungkinan besar akan mengambil tindakan yang sama.

Walau bagaimanapun, kes saman yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, jika tidak silap saya, telah ditarik balik oleh Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional yang ada sekarang.

Saya percaya sekiranya kes itu tidak ditarik balik dan pihak Mahkamah membuat penghakiman, mungkin ia boleh dijadikan rujukan dan episod mana-mana kerajaan negeri nak saman Petronas ataupun Kerajaan Persekutuan mungkin tidak berulang.

Setahu saya, perkataan "royalti" minyak tidak terdapat dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri. Begitu juga dengan perkataan "wang ihsan" yang diguna pakai apabila Kerajaan Persekutuan "membeku" pemberian wang berkenaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu selepas PAS berkuasa.

Mengikut Petroleum Development Act, 1974 (Akta Kemajuan Petroleum, 1974) bayaran kepada mana-mana kerajaan negeri disebut sebagai "cash payment" atau bayaran tunai, bukan royalti, wang ihsan atau seperti yang disebut oleh Husam Musa, sedekah.

Bayaran itu sepatutnya dibuat jika sumber minyak diperolehi di dalam (daratan) atau berhampiran pantai sesebuah negeri dan bukan di luar pantai atau pelantar benua negara. Minyak yang diperolehi di Laut China Selatan adalah di luar kawasan perairan Terengganu.

Dalam kes Kelantan, kedudukan yang serupa iaitu sumber minyak diperolehi dalam kawasan pelantar benua negara dan di luar kawasan perairan negeri.

Akta Kemajuan Petroleum dengan jelas menyebut bahawa bayaran tunai akan dibuat sekiranya minyak diperolehi di daratan atau di kawasan perairan negeri, iaitu tidak melebihi tiga batu nautika dari pantai.

Oleh itu, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak, Kerajaan Terengganu tidak berhak mendapat bayaran tunai kerana minyak yang diperolehi adalah di luar kawasan perairan negeri. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Kelantan kerana sumber minyak diperolehi di luar perairan negeri itu.

Tetapi, atas sesuatu pertimbangan, Kerajaan Persekutuan membayar wang tunai (yang disebut secara meluas sebagai royalti minyak) kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan BN. Dalam tempoh 1978 hingga Mac 2000, Petronas membayar sejumlah RM7,129,413,373.00 kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan PAS mengambil alih pemerintahan Negeri Terengganu, Kementerian Kewangan mengeluarkan satu kenyataan media, iaitu pada 5 September 2000, berkaitan cadangan pemberian "wang ihsan" dan ia disusuli dengan sepucuk surat bertarikh 7 September 2000 yang memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Terengganu bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengagihkan "wang ihsan" kepada negeri itu.

Seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib, Kerajaan Persekutuan akan membayar "wang ihsan" kepada Negeri Kelantan melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat negeri itu setelah berunding dengan Kerajaan Negeri. Ini bermakna Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan menerima apa-apa bayaran tunai secara langsung tetapi seperti yang di laung-laungkan oleh pentadbiran Najib, rakyat di dahulukan.

Pengumuman PM itu mendapat reaksi yang berbeza termasuk ungkapan "sedekah" oleh Husam Musa dan rasa kurang senang di satu pihak dan gembira di pihak yang lain. Walau apa pun, kita tidak ingin melihat pengagihan "wang ihsan" itu di seleweng, disalahguna untuk tujuan politik atau dijadikan "habuan" atau "ganjaran" kepada mana-mana pihak yang menyokong mana-mana parti politik dalam bentuk pemberian kontrak, lesen atau hak tertentu.

Saya percaya isu "wang ihsan" kepada Negeri Kelantan tidak akan selesai begitu mudah tetapi akan berlarutan ke Mahkamah kerana ia membabitkan takrif undang-undang berkaitan perairan negeri dan ungkapan "luar pesisir".

7 comments:

borhan said...

Setahu saya segala hasil dalam tanah atau tanah adalah hasil kerajaan negeri tak kira lah sama ada minyak atau balak. tak kira juga berapa jauh dari pantai, berapa dalam dalam bumi atau berapa tinggi atas langit ia adalah hasil kerajaan negeri. Beberpa lama selepas Sabah dan sarawak masuk Malaysia dan petrolium dijumpai dengan banyak di luar pantai Terengganu maka dibuatlah Akta Pembangunan Pertroleum pada tahun 1974 kerana kerajaan pusat nak kontrol emas hitam ni.
Negeri yang ada petrolium telah diminta (paksa ?) menyerahkan hak petrolium kepada kerajaan pusat.Ini mtak termasukemas, perak , bijih timah dll hasil galian yang munkin ditemui di luar pantai. Sebagai saguhati maka diberilah 5% untung nkepada kerajaan negeri. Tak dengarlah lagi cerita mengatakan sempadan negeri hanya terhad kepada 3 kilometer diluar pantai. Kalu gitu bila Singapura keluar Malaysia sempadan lautnya hanya 3 kilometer di luar pantai saja ke ?

Syed Imran said...

Borhan,

Itulah perjanjian yang ada. Suka atau tidak kena terima sebab dah dijadikan undang-undang. Yang menandatangani perjanjian antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri dan hampir semua adalah dari BN melainkan Kelantan. Jadi kesahihan undang-undang dan perjanjian tidak sepatutnya dipersoalkan.

Tolonglah bersikap realistik dalam penghujahan kerana isu sempadan air/laut dengan Singapura adalah soal lain dan ukuran sempadan perairan air mahupun jarak pelantar benua di bahagian Selat Tebrau tidak berbangkit. Begitu juga antara Singapura dengan Indonesia di kepulauan Riau (Pulau Batam, Bintan dan Penyengat). Mustahil nak wujudkan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sejauh 150km. Jadi, jangan samakan soal perairan negeri mahupun pelantar benua atau ZEE dengan Singapura. Ada kaedah lain dalam menentukan sempadan laut dalam keadaan sedemikian dan tak perlulah membangkitkan isu yang tidak relevan.

Fazli Salleh said...

Teringat kata Salahuddin Ayub, jika tiada Negeri Kelantan, petrol yang dijumpai itu bukan milik Malaysia.

Teringat pula kata Najib Tun Razak, kawasan tersebut ialah kawasan bertindih. Bertindih dengan kawasan siapa?

Teringat pula kata Nik Aziz, jika betindih, kenapa Kerajaan Pusat dapat, Kerajaan Negeri tak dapat?
Sepatutnya, dua-dua tak dapat.

Isu ini timbul semasa kerajaan negeri Terengganu diambil alih oleh PAS. Kemudian jumpa petrol di Kelantan. Jika UMNO ikhlas menolong Melayu, berikan sahaja kepada Kerajaan PAS Kelantan. Mereka dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi acuan Barisan Nasional.

Teringat kata Che Alwi dan Nazri Aziz, tak boleh bagi PAS takut PAS tak dapat belanjakan duit dengan baik. Peduli apa? Adakah selama ini PAS iktiraf Barisan Nasional bijak mengurus duit rakyat?

Mungkin ramai ahli UMNO akan kata, tugas memajukan Melayu Kelantan adalah PAS. Okey, fine. Jangan gunakan media arus perdana mempropagandakan bahawa UMNO adalah pejuang Melayu yang tulen. UMNO hanya memperjuangkan beberapa kerat orang Melayu yang UMNO.

Minta maaf Syed Imran, emosi sikit kerana tak sanggup melihat Melayu menindas Melayu.

Syed Imran said...

Fazli Salleh,

Tiada masalah dengan ulasan saudara. Saya menghargai orang yang memberi ulasan kerana ia menunjukkan keprihatinan terhadap sesuatu isu. Terima kasih.

Saya menurunkan pendapat saya berlandaskan aspek undang-undang dan perjanjian yang ada. Oleh itu, terpulanglah kepada pembaca untuk menilai dan memikirkan sama ada ianya adil dan saksama.

Terfikir juga, jika tiada negeri masakan wujud negara.

Anonymous said...

Tuan Syed

Saya mohon ulasan Tuan mengenai perkara berikut supaya saya dapat melihat isu ini dengan lebih jelas:

- perjanjian Petronas dengan sabah dan Sarawak adakah berbeza (mengenai tafsiran jarak pantai dengan sumber minyak?)berbanding dengan negeri2 lain?
- keputusan memberi wang (royalti?ehsan/sedekah sepatutnya dibuat oleh Petronas atau Kerajaan Persekutuan?
- adakah Tuan Syed memberi pendapat Tuan Syed berasaskan perspektif yang tidak berat sebelah> atau untuk menutup ketidaksaksamaan keputusan Kerajaan Persekutuan terhadap dua negeri yang berbeza pucuk pimpinan politiknya?

sri hartamas

Syed Imran said...

Sri Hartamas,

Saya memberi ulasan berlandaskan apa yang ada - perjanjian dan akta.

Saya tidak memihak kerana tiada faedah untuk saya berbuat demikian. Yang membayar wang tunai (inilah yang disebut dalam perjanjian) adalah Petronas, iaitu melalui Kerajaan Persekutuan selaku pemilik Petronas. Kita harus sedar Petronas adalah syarikat milik kerajaan 100 peratus; dan jika berpandukan perjanjian Terengganu tidak layak menerima apa-apa bayaran seperti yang disahkan oleh Najib sendiri baru-baru ini (Najib guna perkataan tidak ada hak). Tetapi Petronas diarah bayar kerana pada waktu itu yang berkuasa di Terengganu adalah BN dan kedudukan negeri itu amat daif. Apabila BN kalah, lain pula ceritanya. Maka bangkitlah terma "wang ihsan". Ini adalah kenyataan dan ianya ada kaitan dengan isu politik.

Benar, ada perbezaan dalam terma perjanjian untuk Sabah dan Sarawak.

Anonymous said...

sebenarnya tuan syed,pm ni jahat,di kelantan ni hampir semuanya melayu.Kerajaan pas kelantan paling kurang korup,saya percaya mereka kan memajukan orang melayu dengan duit royalti.kalau bagi kat umno melalui Jpp hancus seperti di T'ganu.stadium roboh,masjid runtuh,gelanggang hoki retak dsb.T,ganu la masih negeri no 2 miskin di negara.Kalau nak melayu bagi saja tanpa kira fahaman politik,depa juga melayu islam satu bangsa.