Friday, November 20, 2009

Kuasa pendakwaan di tangan Peguam Negara perlu dikaji semula

Saya tertarik dengan episod dalam mana Peguam Negara memutuskan bahawa tiada tindakan atau pendakwaan akan dibuat terhadap peguam V.K. Lingam berkaitan isu percutian ke New Zealand oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara dan isu berkaitan dia mempengaruhi perlantikan hakim.

Kata putus sama ada hendak mendakwa atau tidak dalam apa-apa kes di negara ini diletakkan di bahu Peguam Negara. Pendek kata Peguam Negara seorang sahaja yang membuat keputusan berkaitan pendakwaan.

Kita tidak boleh mempersalahkan Peguam Negara kerana kuasa itu diberi oleh Perlembagaan di bawah Perkara 145, iaitu kuasa mutlak terletak pada Peguam Negara seorang sahaja.

Ini bermakna terpulanglah kepada budi-bicara Peguam Negara sama ada sesuatu kes itu perlu dihadapkan ke mahkamah atau tidak. Dalam kes V.K. Lingam, tiada pendakwaan dibuat dan keputusan itu mendapat bantahan banyak pihak termasuk Majlis Peguam dan ahli Parlimen.

Malah, Ahli Parlimen Bukit Glugor, Pulau Pinang yang juga seorang peguam, YB Karpal Singh meminta kebenaran untuk bertindak selaku pendakwa raya, bagi pihak kerajaan, untuk mendakwa Lingam. Permintaan Karpal Singh disokong oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz yang akan berbincang dengan Peguam Negara.

Banyak pihak berpendapat bahawa pendakwaan tidak seharusnya atau semestinya dilaku atau ditentukan oleh seorang sahaja. Demi keadilan dan kesaksamaan undang-undang, kuasa itu hendaklah diberi kepada lebih daripada seorang, iaitu sebuah panel sekurang-kurangnya tiga orang.

Perkara ini seharusnya diberi perhatian oleh Ahli-Ahli Parlimen kerana merekalah yang ada kuasa untuk meminda Perlembagaan jika ia dilihat sebagai perlu.

Ahli Parlimen perlu peka mengenai isu-isu yang besar dan penting seperti kuasa penentuan pendakwaan yang mutlak berada di tangan Peguam Negara.

Mereka harus mengkaji semula Perkara 145 dalam Perlembagaan dimana Peguam Negara sahaja yang boleh putuskan atau tentukan sama ada hendak mendakwa atau tidak. Ia bukan keputusan kolektif tetapi sebaliknya keputusan seorang individu yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Kita tidak tahu sama ada sejak Merdeka hingga sekarang, sama ada orang yang diberi tanggungjawab selaku Peguam Negara melakukan kesilapan dalam menjalankan kuasanya selaku pendakwa raya. Yang kita bimbang ialah kemungkinan sesuatu keputusan oleh Peguam Negara, sama ada mendakwa atau tidak mendakwa, merupakan satu kesilapan yang dengan sendirinya menjejas atau mencacat perajalanan dan pelaksanaan keadilan dan kesaksamaan.

Menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal undang-undang dan urusan Parlimen juga harus memikirkan untuk mengusulkan pindaan Perlembgaan kepada Jemaah Menteri berhubung kuasa pendakwaan Peguam Negara.

Dalam usaha untuk menegak dan meletakkan keadilan di puncak perdata, kuasa untuk sama ada mendakwa atau tidak itu tidak boleh diberi kepada seorang individu tetapi kepada sekurang-kurangnya tiga orang ahli panel yang termasuk Peguam Negara.


4 comments:

fs-86 said...

Setuju!!!

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
AFRAR YUNUS said...

salam pak tuan,
cadangan yang baik tu.

d'enricher said...

Saya rasa, kita kena kaji banyak perkara. Sistem sedia ada ni ada banyak baik nya, tetapi tidak kurang dengan kelemahannya.

Cuba kita kaji "SEPARATION of POWER" Kita ada

1. Legislator(Pembuat Dasar)
2. Executive (Pemerintah)
3. Judiciary (Kehakiman)

Kalau sekiranya, setiap badan ini melakukan tanggung jawab yang di amanahkan, masaalahnya tak kan timbul. Tetapi apabila yang diberi amanah itu tidak bertanggungjawab, maka dengan sendirinya setiap yang berlaku akan jadi porak peranda.

Saya rasa, memang tak masuk akal, seseorang mempunyai kuasa yang sangat luas untuk menentukan kes mana yang akan didakwa dan fail mana yang boleh ditutup.

Kalau kita kaji bilamana setiap pihak dan Ajensi berkait menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan tidak akan timbul masaalah.

Persoalannya, adakah kita benar-benar "SERIOUS" ????