Wednesday, November 18, 2009

Krisis MCA dah tenat, perlu campur tangan pihak ketiga

Apa yang sedang dilalui oleh parti kedua terbesar dalam gabungan Barisan Nasional (BN) iaitu Persatuan Cina Malaysia (MCA), adalah tenat dan jika tidak diselesaikan segera akan mengakibatkan parti itu berpecah dan mungkin berkubur tanpa nisan.

Presiden MCA Ong Tee Keat nampaknya menggunakan segala yang dibolehkan di bawah Perlembagaan parti, termasuk mencantas dan merombak Majlis Presiden, untuk terus memperkukuhkan kedudukannya manakala sekutu yang kini menjadi seteru utamanya, Liow Tiong Lai, naib presiden parti yang terus terasing dan terpinggir.

Pemecatan daripada keanggotaan Majlis Presiden yang dikenakan ke atas Ketua Pemuda Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Chew Mei Fun, iaitu penyokong kuat Tiong Lai, dan digantikan dengan penyokong Tee Keat dan timbalannya Dr Chua Soi Lek, mengeruhkan keadaan.

MCA nampaknya sedang menuju kehancuran. Peneraju utama BN perlu segera bertindak jika ingin menyelamatkan parti yang menjadi sekutu sejak zaman Perikatan itu terus relevan dan benar-benar mewakili kepentingan orang Cina Malaysia dalam perkongsian politik.

Mereka yang berkepentingan dalam MCA tidak dapat menafikan hakikat bahawa kedudukan parti mereka kini berada pada tahap tenat menunggu nazak. MCA memerlukan seorang tabib yang luar biasa atau suatu keajaiban untuk pulih.

Apa yang sedang berlaku pada MCA sekarang jauh lebih teruk daripada apa yang dialami oleh parti itu pada tahun 1983. Keadaan agak beruntung pada waktu itu kerana adanya seorang insan jujur dan beramanah bernama Abdul Ghafar Baba (Allahyarham Tun) yang memiliki kebijaksanaan dan kepercayaan pihak-pihak yang bertelagah untuk menyelesaikan kemelut selaku orang tengah.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar sudah tiada untuk menolong MCA. Tokoh yang dapat berperanan untuk menyelesaikan perbalahan sekarang, pada pendapat saya, hanya tiga orang iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tiga tokoh ini yang memiliki sesuatu yang boleh diterima oleh puak Tee Keat dan puak Tiong Lai. Tokoh-tokoh lain, termasuk veteran MCA itu sendiri, dikhuatiri mampu bertindak selaku orang tengah untuk menyelesaikan kemelut paling buruk dalam sejarah moden parti itu.

Pada tahun 1983, MCA menghadapi 'pergaduhan' besar apabila seorang tokoh perniagaan Tan Koon Swan mahu merebut jawatan presiden parti daripada Neo Yee Pan. Antara perkara yang menjadi isu hangat adalah 'ahli-ahli hantu' atau "phantom members".

Kedua-dua pihak yang bertelagah masuk-keluar mahkamah tetapi masalah tidak dapat diselesaikan.

Akhirnya BN terpaksa campur tangan dan orang yang dipertanggungjawabkan adalah Setiausaha Agung BN Abdul Ghafar Baba. Bukan senang bagi beliau untuk menyelamatkan MCA dan semasa usahanya berjalan, puak-puak yang bertelagah sekali lagi ke mahkamah. Hakim Tan Sri Harun Hashim menasihatkan mereka supaya cuba selesaikan masalah di luar mahkamah.

Pada 31 Ogos 1983, Abdul Ghafar berjaya mendamaikan kedua-dua pihak yang bertelagah dan satu perjanjian damai ditandatangani. Tun Ghafar telah menyelamatkan MCA daripada berpecah dan hasil usahanya itu membolehkan MCA kembali kuat dan mendapat sokongan dan kepercayaan orang Cina.

Kejayaan Tun Ghafar telah diulas oleh The Straits Times Singapura yang bermaksud: "Orang Melayu ada Ali Baba, orang India ada Sai Baba dan orang Cina (MCA) ada Ghafar Baba". Begitulah hebatnya insan bernama Abdul Ghafar Baba, bahkan ada orang yang secara berseloroh merujuk kepadanya sebagai Presiden MCA.

Itu masalah pada tahun 1983 dan pada waktu itu ada Tun Ghafar Baba. Sekarang lain pula ceritanya dan Setiausaha Agung BN yang ada sekarang mungkin tidak dapat diterima oleh kedua-dua puak yang bertelagah selaku orang tengah. SU Agung BN sekarang tiada kewibawaan seperti Allahyarham Tun Ghafar untuk bertindak selaku pendamai atau orang tengah.

Saya percaya Tee Keat dan Tiong Lai boleh menerima sama ada Najib, Tun Mahathir ataupun Muhyiddin selaku orang tengah. Ketiga-tiga tokoh itu cukup dihormati oleh mereka atas sifat selaku ketua dan timbalan ketua BN manakala Tun Mahathir selaku mantan PM dan negarawan yang berpengaruh dan dihormati.

MCA mesti diselamatkan atas kepentingan BN itu sendiri. Sehingga kini, belum ada parti lain dalam BN yang benar-benar mewakili kepentingan orang Cina kecuali MCA.

5 comments:

Anonymous said...

Mungkin Najib boleh menyahkan MCA daripada BN dan mempelawa DAP yang disokong kuat oleh kaum Cina sebagai komponen baru BN. Dengan itu, BN akan kembali kukuh dan PRK 13 boleh dibuat serta merta.

Unknown said...

DAP pun OK untuk dijadikan rakan politik. Kenapa tidak? PAS pun dah terima DAP sebagai kawan. Dalam arena politik, apa saja boleh berlaku.

setulangdaing said...

Tak perlu campurtangan sesiapa. Biarlah MCA terjun dengan labu-labunya..

d'enricher said...

Sebenrnya apa masaalah nya? Kalau kita baca dari mula situasi MCA ni, ada orang yang nak kenakan Ong Tee Kiat.

Dari apa yang saya baca di akhbar dan beberapa komen, isunya secara tidak langsung adalah kerana usaha OTK dalam perkara berkaitan dengan PKFZ. Sekarang ni dah senyap sesenyapnya. Ada pula kes, RM 10JUTA, DMU & KTM, kalau ada kes apa gunanya SPRM, lebih lebih lagi dibawa oleh MP BN pula.

Dah lah OTK gaduh dengan CSL, bila dia orang nak berbaik dan dah berbaik dengan Greater Unity Plan, orang tak setuju pula.

Sebenarnya yang dah kemarok nak kuasa adalah Liow Tiong Lai, dah pasang angan-angan nak jadi Presiden MCA secara "short cut". Kalau dah dasar "OPPORTUNIST", cari peluang. Bila geng nya kena cantas, dia bising. OTK kan Presiden, kalau dia buat tak menguntungkan MCA dan BN selepas usaha GUP, sampai masa orang MCA kan boleh elect Presiden lain??

Yang orang melalut tak tentu pasal tu kenapa??

Yang menarik nya, si Wee & Chew sampai keluar air mata sedih sangat tak masuk Presidential Council tu kenapa???

Unknown said...

A. Alshukor,

tangisan mereka tidak lebih daripada nak tagih simpati. Saya setuju dengan pendapat saudara mengenai Liow Tiong Lai, jelas dia mabuk kuasa.

Setulangdaing,

dalam politik perkongsian kuasa seperti yang diamalkan oleh BN, setiap komponen dalah penting dan sekiranya ada yang menghadapi masalah, maka komponen yang menjadi ketua kenalah bertindak untuk menyelamatkan keadaan. itu saja.