Nampaknya setiap kali berlaku perubahan dalam kepimpinan pentadbiran negara, maka akan berlakulah perubahan-perubahan dalam sama ada syarikat-syarikat milik kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perubahan pengerusi badan-badan atau agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, FAMA, Majuikan, MARA, LPP, Lembaga-lembaga pelabuhan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan lembaga-lembaga tender adalah biasa. Pengerusi yang dilantik adalah orang politik yang tiada jawatan dalam sektor lain dan orang yang dikatakan "orang presiden".
Ianya tidak sama dengan orang yang dilantik sama ada sebagai ahli lembaga pengarah mahupun ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat milik kerajaan mahupun GLC. CEO lazimnya orang profesional dan bukan orang politik.
Antara syarikat milik kerajaan yang mendapat perhatian ialah Petronas. Perbadanan Petroliam Nasional itu adalah lubuk, iaitu sumber utama yang mengisi dana pembangunan negara dan selama ini ia diurus dan ditadbir oleh golongan profesional dan pentadbir kanan perkhidmatan awam yang benar-benar berwibawa.
Mereka yang pernah menduduki kerusi pengerusi juga orang yang berwibawa, beramanah dan bertanggungjawab. Begitu juga dengan tokoh yang dilantik selaku ketua eksekutif atau presiden.
Berkat kepimpinan yang berwibawa selama ini, Petronas muncul sebagai satu-satunya syarikat milik kerajaan yang berjaya bukan sahaja di peringkat negara, tetapi serantau dan antarabangsa.
Petronas mendapat kepercayaan banyak negara dan syarikat minyak asing sama ada untuk menjalin kerjasama ataupun diberi amanah untuk mencari gali dan menjalankan kegiatan berkaitan termasuk di Asia Tengah, Timur Tengah dan Afrika selain di negara-negara serantau.
Kejayaan Petronas adalah berkat kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab.
Oleh itu, kita agak gusar dan bimbang sekiranya barisan kepimpinan Petronas, terutama lembaga pengarahnya yang ada sekarang diganti oleh orang yang tidak sepatutnya menduduki kerusi itu. Petronas bukan sebuah entiti yang boleh disamakan dengan badan-badan niaga lain yang berkaitan kerajaan.
Petronas adalah harta atau aset terpenting negara yang telah beberapa kali menjadi penyelamat termasuk memulihkan MISC, MAS dan institusi kewangan.
Andai kata kerajaan meletak orang yang tidak sepatutnya berada dalam Petronas, kita bimbang akan masa depan bukan sahaja Perbadanan itu tetapi sumber kewangan utama negara. Kita sedar kerajaan mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja menduduki lembaga pengarah Petronas atau mana-mana jawatan utama, tetapi orang yang hendak dilantik itu hendaklah benar-benar bertepatan dengan keperluan Petronas dan yang lebih penting, dia hendaklah orang yang beramanah, bertanggungjawab dan tiada kepentingan perniagaan lain.
Sebarang perlantikan turut diikuti dengan penuh minat oleh rakan-rakan niaga Petronas di luar negara dan andai kata orang yang dilantik itu tidak kena, maka padahnya akan diterima oleh Petronas. Keyakinan rakan niaga antarabangsa tidak kurang penting dalam melakar kejayaan Petronas.
Petronas adalah amanah rakyat. Jangan ganggu dan rosakkan amanah itu.
11 comments:
Semua nak amik sangat....amiklah.
Semua nak tunjuk pandai, bila salah tanak mengaku.
Bercakap pun tak guna, semua dah besar panjang, dah tahu halal haram.
Esok petang nak register UMNO la pulak. Saya pun nak jadi kaya.
Kita harap orang-orang lama atau veteran Petronas akan bersuara. Kalau tak sekarang, bila lagi?
Salam sejahtera,
Saya sangat bersetuju dengan tuan,
saya tidak mau mendengar petronas suatu masa kelak, dimomokkan sebagai PETRO NAAS di seentero dunia!
-makan gaji
Pak Syed,
Setuju Petronas jangan diusik>
Sebuah agensi kerajaan yang perlu diberi perhatian, ialah BERNAMA. Sejak kebelakangan ini, BERNAMA kelihatan semakin tenat, baik dari sumber berita mahupun kewangan. Sejak Anuar Zaini jadi Pengerusi BERNAMA, Agensi Berita Nasional Malaysia,hampeh. High time to replace the chairman,
Sdra,
Saya amat hairan, kenapa tak ada yg menimbulkan soal "conflict of interest" jika benar apa yg dibincangkan oleh rakan2 bloggers akan berlaku.
Spesifiknya ura-ura perlantikan Omar Ong sebagai seorang pengarah Petronas.
Setahu umum, pengarah Petronas, selain kakitangan Petronas, adalah terdiri dari pegawai2 kerajaan atau pesara awam yg berkaliber. Mereka ini dilantik pengarah Petronas untuk menjaga kepentingan kerajaan dalam sebuah syarikat milik kerajaan.
Omar Ong ialah seorang "businessman". Kalau betul2 dilantik pengarah Petronas, kepentingan siapakah yg akan dijaga oleh beliau? Kepentingan dirinya sendiri, atau kepentingan proksi-proksi tertentu...?
Saya kurang paham...
Wetbenang
Assalamualaikum,
Tak ada seorang pun rakyat Malaysia yang mengharapkan kemunduran untuk negara tercinta ini. Semuanya mahukan kemakmuran. Saya dengan seikhlas hati berharap perlantikkan yang di buat dalam pentadbiran negara dan juga dalam mana-mana GLC dibuat secara telus dan tiada kepentingan politik. kita seharusnya melantik pemimpin yang betul-betul berwibawa untuk mengharumkan lagi nama negara, tak kira dari parti mana sekali pun. Barulah kita boleh maju dan tidak dianggap kebudak-budakkan. Wallahua'lam...
Sdr. Md. Kota
suara mereka ditenggelami suara2 "orang2" PM kita dan "orang2" isteri PM kita. suara mereka (veteran PETRONAS) ibarat suara rakyat. jerit kuat mana sekalipun, kerajaan buat bodoh je. selagi kita dipimpin orang yg tak bertanggungjawab, perkara seperti ini tidak dapat dielakkan. saya tak tuju orang UMNO atau BN sahaja kerana saya rasa orang PR pun sama juga. kalau ada calon bebas yg layak jadi pemimpin (PM) kita, maka kita patut pertimbangkan. yg penting dianya dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yg diberikan dgn baik. mmg susah nak cari pemimpin seperti itu, lebih2 lagi dizaman ini. namun, saya rasa masih ada yg layak. dlm UMNO pun ada, dlm PAS pun ada, cuma tidak diberi peluang. siapa yg rugi? kita dan negara kita. saya yakin dlm PETRONAS pasti ada calon yg layak namun adakah PM kita akan pertimbangkan secara adil? hanya ALLAH sahaja yg Maha Mengetahui.
Kita tidak mahu Petronas mengalami nasib yang serupa dengan Pertamina di Indonesia.
diharap pihak tuan dapat juga berita mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana banyak kontrak-kontrak diserahkan terus kepada Boustead Holding dan seterusnya kepada kroni kroni tertentu
Salam Sejahtera Tuan Syed,
Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campurtangan politik yang melampau. Kini, saya rasa tidak sedap hati kerana berdasarkan cakap-cakap dan bisik-bisik di sana sini, Petronas mungkin berhadapan dengan nasib yang sama.
Semuanya gara-gara khabar angin di ruang siber, melalui penulisan beberapa bloggers yang mendakwa seorang "budak berhingus tetapi bercita-cita tinggi" akan dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Petronas. Individu ini dikatakan mempunyai kaitan yang rapat dengan orang-orang penting kepimpinan terkini. Secara peribadi, saya merasakan ini satu langkah yang merbahaya kerana individu yang dimaksudkan turut memiliki syarikat perniagaannya sendiri yang boleh mencetuskan "conflict of interest". Lagipun, semua sedia maklum bahawa anggota-anggota Lembaga Pengarah Petronas terdiri daripada Presiden Petronas sendiri, beberapa orang Naib Presiden Petronas dan wakil-wakil kerajaan Persekutuan yang merupakan pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU. Ketua Penasihat Undang-Undang Kumpulan Petronas pula bertindak sebagai Setiausaha Syarikat. Semuanya cukup berkaliber dan memiliki kredibiliti yang tinggi.
Saya amat bimbang sekiranya benar individu yang disebut-sebut ini dibenarkan "menyusup" ke dalam Petronas. Walaupun anggota Lembaga Pengarah tiada kuasa-kuasa eksekutif, apa juga kemungkinan boleh berlaku. Segala maklumat yang dikategorikan sebagai "sulit dan persendirian" akan diketahui oleh beliau dan entah siapa lagi kerana ia lazimnya dibawa ke Lembaga Pengarah untuk perbincangan dan keputusan. Selama ini, Petronas sudah membuktikan ia mampu membuat keputusan-keputusan perniagaan yang bijak dan menguntungkan tanpa gangguan atau campurtangan politik. Cukup sekadar melapor terus ke Perdana Menteri dan kementerian-kementerian yang berkaitan.
Saya amat berharap YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memastikan Petronas terus dibenarkan beroperasi seperti biasa kerana syarikat tersebut telahpun membuktikan berkali-kali saban tahun bahawa ia adalah berwibawa dan dinamik. Hasilnya dinikmati oleh seluruh warga Malaysia, samada kita sedar atau tidak.
Orang Amerika ada satu pepatah berbunyi "If it ain't broken, don't fix it." (Kalau benda itu tidak rosak, tidak perlu ia dibaiki). Saya rasa pepatah ini amat sesuai sekali untuk Petronas yang tidak pernah menghampakan apabila setiap tahun, ia melaporkan keuntungan yang besar, yang membolehkan ia memberikan pulangan yang besar juga kepada kerajaan dan rakyat.
Kalau kita sayang Petronas, kita mesti percaya dengan pengurusan yang ada untuk terus memajukan syarikat kebanggaan negara ini. Memanglah orang-orang seperti Tan Sri Hassan tidak boleh menerajui Petronas buat selama-lamanya, namun sekurang-kurangnya, biarlah generasi pelapis yang telah dididik oleh beliau meneruskan legasi syarikat tersebut untuk kemakmuran jangka panjang negara.
Afterburner73,
Kebimbangan yang saudara luahkan adalah kebimbangan kita bersama. Yang akan rugi adalah negara dan rakyat.
Salah satu rahsia kejayaan Singapura adalah pentadbirnya, iaitu pemerintah, tidak mencampur-aduk politik dengan perniagaan. Orang politik tidak dilantik sama sekali menerajui syarikat-syarikat milik pemerintah mahupun menduduki lembaga pengarah. Malangnya, di Malaysia orang politik sering diberi tempat walaupun mereka yang dilantik tidak bijak dan tidak tahu menahu mengenai selok-belok bidang berkenaan.
Inilah hasil daripada amalan politik naungan dan politik ampu-mengampu.
Post a Comment