Friday, January 30, 2009

Pemimpin UMNO mula gelabah

Ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencegah dan membanteras perbuatan rasuah, terutama rasuah politik, nampaknya membuatkan para pemimpin UMNO di semua peringkat mula gelabah, resah dan ketakutan.



Mereka mula mempersoalkan tindakan SPRM yang diketuai oleh Ketua Pesuruhjayanya Datuk Ahmad Said Hamdan. Bahkan, segelintir penyokong pemuda UMNO berhimpun di perkarangan Menara Dato' Onn malam tadi untuk menyatakan bantahan mereka. Kenapa sampai begitu? Adakah anda menyokong perbuatan rasuah?

Ugutan dan gertakan supaya SPRM tidak mencampuri urusan dalaman UMNO tidak diperdulikan oleh Ahmad Said. Beliau menegaskan bahawa rasuah, dalam apa bentuk sekalipun, adalah tugas dan amanah yang mesti dipikul oleh SPRM. Bak kata orang, ia adalah hak mutlak perundangan SPRM. Atas ketegasan itu, kita harap SPRM akan terus bertindak dan bertindak terhadap perasuah-perasuah dan penerima-penerima rasuah.

Kita juga berharap dan berdoa agar SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan-tekanan politik yang mula kelihatan sekarang.

Seperti kata orang bijak pandai, berani kerana benar dan takut kerana salah. Jika anda tidak mengamalkan rasuah politik untuk mendapat tempat dalam parti atau untuk mendapat habuan termasuk projek, kenapa takut?

Perbuatan atau amalan rasuah politik boleh dikatakan sudah menyular luas ke dalam UMNO, dari peringkat Cawangan, Bahagian hinggalah ke Majlis Tertinggi. Ahli-ahli UMNO juga harus dipersalahkan kerana menerima sogokan.

Ingat, tangan yang menerima adalah lebih keji daripada tangan yang memberi. Jika ahli UMNO menolak sogokan wang ringgit, sesuatu yang agak susah tetapi tidak mustahil dilakukan, maka masalah rasuah politik akan dapat ditangani.

1 Februari adalah Hari Wilayah Persekutuan dan mulai tahun ini, ada penganugerahan bintang dan pingat sempena hari tersebut. Sama-samalah kita lihat berapa ramai orang politik yang mendapat anugerah. Kita ingin tahu sama ada anugerah kepada orang politik itu boleh dilihat sebagai satu ganjaran atau habuan politik.

Bagaimanapun, saya mendapat tahu bahawa tidak ramai orang politik, maksud saya yang bertaraf pemimpin, diberi penghargaan. Ramai tokoh korporat dan pengamal media mendapat perhatian.

Saya difahamkan bahawa tidak kurang daripada 15 orang akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri termasuk mereka yang kini bergelar Tan Sri.

Antara pengamal media yang bakal menerima anugerah, saya difahami, adalah Azman Ujang (pesara Bernama), Abdul Aziz Ishak (Utusan Melayu) dan Wong Choon Wai (The Star).


6 comments:

mn said...

Salam Tuan Syed,

1. Saya harap SPRM juga boleh beroperasi di masjid dan surau-surau seluruh negara.

2. Bagaimana sekiranya para Ustaz-ustaz yang kebanyakannya pro-PAS menjalankan aktiviti 'menyelam sambil minum'. Maksudnya mereka menjalankan aktiviti perniagaan DALAM masjid ketika menyampaikan kuliah?

3. Jika amalan rasuah dalam UMNO itu salah & haram, apakah amalan oleh para ustaz PAS ini halal?

Unknown said...

SUKJ,

Salam hormat

Andai kata perbuatan mereka menyalahi undang-undang, sewajarnyalah diambil tindakan. Tidak kira parti atau fahaman politik. Jika terlepas hukuman atau undang-undang buatan manusia, mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang Yang Maha Berkuasa kelak. Itu saja yang boleh saya katakan.

Anonymous said...

sesiapapun yang ambil rasuah kita sumbat mereka ke dalam penjara.. tak kira samada dia siapa.. datuk atau tan sri atau tuan guru.. Allah lebih adil..

saya dapat baca norza zakaria terdesak dengan mereka reka cerita tak tentu hala.. Allah saja yang akan laknat manusia ini..

semua anggota SPRM akan dilindungi Allah selalu.. kita hancurkan penyakit busuk yang merosakkan negara ini.

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Itu sebabbya UMNO tidak sokong hukum hudud, kerana mereka takut kenan potong tangan. Yang Terima pun kena potong dan yang memberi juga kena potong. yang cakap bohong kena potong lidah. Semua tabiat negatif ini banyak diamalkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sekarang. Harap SPRM tidak gentar dan takut bertindak e atas siapa saja.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Mereka membantah tindakan SPRM kerana secara rasmi dan tidak rasmi mereka pun mengamalkan rasuah.

Konsep rasuah sebenarnya merupakan "oksigen" untuk Umno/BN untuk terus bernafas. Mereka hidup mewah kerana rasuah tetapi mengaburi mata rakyat dengan berselindung di sebalik isu agama dan kaum. Kalau bukan disebabkan keuntungan daripada rasuah, sudah lama UMNO/BN tutup kedai.

UMNO/BN adalah seumpama satu syarikat gergasi seperti Microsoft dan sebagainya, sekiranya peralatan komputer adalah barang dagang untuk Microsoft maka bumi yang bernama Malaysia adalah barang dagang untuk UMNO/BN.

Hampir setiap tahun bumi yang bernama Malaysia menjana pendapatan >< RM200 billion, jadi wang ini seolah-olah keuntungan syarikat UMNO/BN.

Jadi untuk "menggelapkan" sebahagian besar daripada RM200 billion dengan cara mereka yang tersendiri, bermacam-macam taktik digunakan oleh "pemegang-pemegang saham besar atau pun B.O.D.dan ahli-ahli biasa di "syarikat UMNO/BN".

Jadi untuk wang tersebut bertukar tangan, merasuah adalah teknik yang paling berkesan di kalangan ahli-ahli UMNO/BN. Contohnya untuk mendapat satu kontrak bernilai RM2 juta daripada "syarikat UMNO/BN" mungkin seseorang ahli yang juga merupakan kontraktor kena korbankan 10% atau pun RM200,000 kepada pemberi kontrak tersebut dan sebagainya. Jadi kedua-dua dapat merasa keuntungan daripada RM200 billion tadi.

Jadi Tuan Syed, macam mana ahli-ahli biasa tadi akan berdiam diri dengan tindakan SPRM. Berdiam diri bermaksud, mereka akan kehilangan sumber pendapatan mereka. Jadi beramai-ramailah mereka membantah tindakan SPRM supaya mereka dapat terus berurusniaga dengan syarikat induk tadi yang bernama UMNO/BN.

Untuk mereka terus berurus niaga dengan "syarikat UMNO/BN", mereka perlukan pemimpin yang sesuai dan serasi dengan kehendak mereka untuk menjadi B.O.D di dalam "syarikat UMNO/BN". Jadi sekali lagi rasuah menjadi jalan penyelesaian kepada kehendak kedua-dua di mana calon kegemaran mereka terus menerajui "syarikat UMNO/BN".

Tuan Syed, selagi sistem untuk memilih pemimpin negara menggunakan sistem yang sedia ada iaitu sistem di mana pemimpin dipilih oleh parti selagi itu gejala ini agak susah untuk dibasmi.

Kita perlukan satu sistem mirip seperti sistem pemilihan pemimpin yang digunakan di USA untuk kita rakat Malaysia memilih secara PERIBADI pemimpin yang paling layak untuk menerajui negara. Dengan sistem sebegini barulah pemimpin akan takut kepada kuasa rakyat tetapi sekarang pemimpin hanya lebih menitikberatkan parti mereka kerana parti yang memilih mereka. Jadi untuk menjagi hati ahli-ahli penting parti, pemimpin tersebut membuat sebarang keputusan mengikut kehendak dan selera ahli-ahli parti tersebut dan bukannya dengan mengambil kira nasib rakyat.

Mudah-mudahan kita rakyat Malaysia, akan dapat mengujudkan sistem pemilihan pemimpin negara seperti di USA secepat mungkin.

Apa komen Tuan Syed?

Terima kasih

Unknown said...

Saya setuju. Inilah penyakit besar yang negara hadapi.