Sunday, January 18, 2009

KEKALAHAN BN BERPUNCA DARIPADA KESILAPAN BN SENDIRI

Seperti yang saya tulis sebelum ini - BN/UMNO melakukan kesilapan apabila memilih Wan Ahmad Farid Salleh sebagai calon. Inilah punca utama kekalahan BN. Calon ini tidak disukai bukan sahaja oleh orang ramai tetapi oleh ahli UMNO itu sendiri.


Selain itu BN kalah kerana melaksanakan kempen lapuk dan ketinggalan zaman. Ada orang yang marah apabila saya katakan demikian. Tetapi itulah kenyataan yang diterjemahkan oleh para pengundi Kuala Terengganu.

Sogokan pembangunan sudah tidak laku. Ia tidak ubah seperti satu umpan yang dimamah ikan tetapi tidak sehingga menelan pancing (mata kail). BN/UMNO lupa bahawa pelaksanaan projek-projek pembangunan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bukan umpan untuk memenangi pilihan raya kecil. Malangnya, BN/UMNO masih tidak sedar dan tidak mengambil iktibar daripada pengalaman lampau. Rakyat dak naik muak. Dah bosan. Dah meluat!



BN/UMNO turun padang dengan bermacam peruntukan dan sumbangan termasuk berbilion ringgit dalam bentuk wang royalti minyak dan peruntukan pembangunan lain. Sebegitu ramai menteri turun ke Kuala Terengganu untuk bermesra dengan rakyat dan menyalurkan bantuan dan sumbangan pembangunan. Kehadiran mereka tidak lebih daripada menyemarakkan lagi pesta termasuk di Coffee House hotel-hotel yang ada, melawat kawasan sekitar tidak ubah seperti melancong sambil meratah keropok lekor, membeli batik dan songket sebagai buah tangan apabila pulang ke KL dan tempat-tempat lain.



Kehadiran barisan kepimpinan UMNO semua peringkat pada hakikatnya bukan untuk membantu calon BN tetapi berkempen untuk pemilihan parti Mac depan termasuk calon-calon timbalan presiden, naib-naib presiden, ketua pemuda, ketua wanita, ketua puteri dan ahli majlis tertinggi. Ini jelas daripada wujudnya kem-kem tertentu yang berkempen untuk calon masing-masing bukan untuk calon pilihan raya kecil.


BN/UMNO juga mengamalkan politik yang cuba menakutkan pengundi bukan Islam apabila menjadikan hukum Hudud sebagai salah satu isu kempen. Ia jelas gagal kerana majoriti pengundi keturunan Cina di DUN Bandar menyokong calon PAS. Mereka matang dan bijak dan tidak mudah ditakuti dengan isu berkaitan agama.


Menteri UMNO juga melancarkan serangan peribadi ke atas calon PAS seperti yang dilakukan oleh Menteri Pelancongan Azalina Othman. Ini bukan cara dan budaya orang Terengganu.


Azalina tuduh calon PAS sebagai seorang yang tamak haloba kerana bertanding untuk kerusi Parlimen sedangkan dia (calon PAS) sudahpun menjadi wakil rakyat peringkat negeri. Azalina lupa bahawa dalam BN pun ada orang yang mewakili negeri dan juga pusat seperti dari Sabah dan Sarawak. Azalina juga lupa bahawa bosnya, Pak Lah juga melakukan perkara yang sama apabila dia melantik seorang wakil rakyat peringkat negeri (wanita UMNO) sebagai timbalan menteri melalui pelantikan sebagai Senator (Ahli Dewan Negara). Adakah perbuatan itu menunjukkan satu kegelojohan atau kehalobaan?


Kekalahan BN/UMNO adalah satu tamparan hebat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, panglima perang yang mengetuai pertempuran di Kuala Terengganu. Najib, yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara Mac depan mesti memahami hikmah di sebalik kekalahan BN itu. Ia adalah satu isyarat jelas untuk memulihkan UMNO jika Najib ingin melihat parti itu terus relevan. Perkara pertama dan terpenting yang perlu dilakukan oleh Najib ialah menangani rasuah politik dalam UMNO. Ia adalah pekong yang mampu membunuh UMNO.


Najib juga perlu melaksanakan banyak perubahan dalam UMNO termasuk menggantikan kayu-kayu buruk dan penumpang yang berada dalam Kabinet Pak Lah. Najib juga perlu kaji semula sama ada perlu atau tidak barisan "penasihat" yang dilantik oleh Pak Lah kerana ia dibuat bukan atas dasar satu keperluan tetapi sebagai satu habuan atau ganjaran.


Kuala Terengganu memberi isyarat kepada Najib supaya membawa pembaharuan bukan sahaja dalam UMNO tetapi dalam pentadbiran BN pada keseluruhannya. Najib mesti berani melakukannya. Jangan ulangi kesilapan Pak Lah jika Najib ingin kekal lama selaku pemimpin.


Sanak saudara dan keluarga Najib dan Rosmah Mansor tidak boleh dibenarkan "berkuasa" termasuk memegang jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran dan dalam politik. Kita sedar ada anggota keluarga Najib yang berjaya dalam bidang tertentu tetapi ia bukan kerana faktor Najib tetapi atas kemampuan, kebolehan dan kejayaan sendiri. Apa yang saya maksudkan ialah jangan pula muncul selepas ini anak atau menantu yang tiba-tiba berada di tempat tertentu selepas Najib jadi PM.


UMNO mesti pelajari dan membetulkan kesilapan-kesilapan yang terus diulangi. Sedarlah bahawa rakyat sudah jauh lebih matang, sudah jauh lebih berpendidikan dan sudah jauh lebih terdedah kepada faktor kesejagatan dunia. Rakyat tidak mudah dipengaruhi dengan soal-soal pembangunan (sogokan pembangunan) terutama golongan muda. UMNO perlu ingat bahawa penyokong-penyokong tegarnya semakin hari semakin kurang atas faktor usia dan ajal maut. Ini bermakna kekuatan UMNO sedang mengharungi penurunan dan UMNO mesti mencari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan golongan muda.


Untuk melakukannya, UMNO mesti berubah dalam erti kata sebenarnya. UMNO mesti kaji dan ambil tahu kenapa ramai anak muda Melayu/Islam yang berpendidikan tinggi menyokong dan memihak kepada PAS.


Najib akan menghadapi banyak ranjau dan rintangan apabila mengambil alih teraju kepimpinan UMNO dan kerajaan. Kita ucapkan selamat kepada Najib.

12 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,

Pandangan dan cadangan Tuan Syed kepada Datuk Seri Najib, UMNO dan BN memanglah baik dan amat positif TETAPI mahu tak mereka mendengar dan mengambil iktibar daripadanya??

Walau pun cadangan Tuan Syed memang baik tetapi ianya seolah-olah seperti menasihatkan "BUAYA" supaya duduk bersila dan makan secara bersopan..

Sudah menjadi resmi "BUAYA-BUAYA" dalam BN untuk makan secara menelan bulat-bulat tanpa memikirkan kesusahan orang lain. Apa yang mereka tahu ialah, keuntungan peribadi, keuntungan kaum kerabat dan keuntungan kroni-kroni mereka, itu sahaja Oleh yang demikian mereka menjadi anggota BN kerana itu sahaja cara yang paling efektif untuk mereka mengecapinya.... Susah senang rakyat, depa tak ada masa untuk fikirkan. Sekali-sekala terutamanya apabila musim pilihanraya tiba, mereka akan "Crocodile Tears".

Daripada berubah, saya rasa adalah lebih baik untuk kita semua rakyat Malaysia supaya kesemua BUAYA-BUAYA BN ini berkubur terus daripada permukaan bumi Malaysia secepat mungkin. Sekurang-kurangnya generasi Malaysia yang seterusnya akan hidup aman damai dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Apa pandangan Tuan Syed?

Sekian dan terima kasih.

Unknown said...

Betul. amat sukar untuk orang UMNO berubah. Sebab itulah saya katakan Najib akan menghadapi banyak ranjau dan rintangan dan ia termasuk dari dalam rumah tangganya sendiri.

Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad telah cuba sebaik mungkin untuk mengubati penyakit dalam partinya itu. Dia merayu, dia menangis, dia berdoa - semuanya gagal. Jika Tun gagal, usah diharap pemimpin lain untuk berjaya. Bukan tidak boleh, tetapi teramat sukar.

Tepat sekali kata-kata yang menyamakan golongan itu dengan buaya. Bak kata orang bijak pandai, buaya mana yang menolak bangkai!

Cokodok said...

Salam,

"Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad telah cuba sebaik mungkin untuk mengubati penyakit dalam partinya itu. Dia merayu, dia menangis, dia berdoa - semuanya gagal."

Bukankah penyakit ini berpunca dari pemerintahan beliau ker?? Agaknya, time duduk kat kerusi tu, tak perasan ek...

Unknown said...

Driver Miskin,

Tidak boleh dinafikan bahawa masalah rasuah politik atau politik wang cepat merebak semasa Tun M menerajui UMNO. Oleh kerana ia tidak ditangani pada peringkat awal, maka ia menjadi barah dan agak terlewat bagi Tun M untuk membanterasnya walaupun dia meratap dan menangis di hadapan para perwakilan. Jika Tun M gagal, saya tak nampak pemimpin lain akan berjaya. Sukar.

Rasuah politik dalam UMNO boleh dikatakan tidak berlaku sebelum UMNO diharamkan oleh Mahkamah. Ia mula merebak apabila kalangan orang berniaga atau lebih glamor disebut orang korporat hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru mula menyusup masuk atas kepentingan perniagaan. Kemasukan mereka yang membanjiri PWTC dengan kereta mewah masing-masing setiap kali perhimpunan agung diadakan membawa satu budaya baru ke dalam UMNO - budaya yang menyemarakkan politik wang atau rasuah politik.

Unknown said...

Rantong,

Anda cukup kreatif dalam usaha memperkenalkan urusniaga. Saya lebih tertarik kepada maksud ayat suci itu.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Macam mana keadaan Ros Mah? Betul kah, ia itu china dengan nama keluarga "Mah" itu? Jangan marah, saya tanya saja.

(N. Ajib)

Unknown said...

Ros Mah? Maaf, saya kurang tahu mengenai perkara itu. Mungkin ia, mungkin tidak.

Ramli Mohd Yunus said...

Tuan,
Saya setuju dengan anom 4.58 dan tuan Syed..agar sukar untuk kepimpinan berubah. Namun Tuan Syed sebagai salah seorang bekas pembantu Menteri dan saya juga sedikit sebanyak ada hubungan dengan rakan rakan pembantu menteri, mesti terus laksanakan amanah ini.

Teruskan beri pendapat dan kalau perlu kritikan membina kepada kepimpinan dengan apa cara sekali pun. Jangan takut dengan reaksi mereka.

Saya telah mencuba dan akan terus cuba. Kalau kita berhenti dan tinggalkan mereka...ramai yang akan bertepuk tangan kerana mereka boleh terus melakukan apa yang mereka suka lakukan walau pun jelas dibenci rakyat.

Mereka tak dengar tak apa..ceritakan kepada rakyat kalau mereka tidak mahu berubah. Biar rakyat menjatuhkan hukuman.

Tikmidina said...

semua orang cakap pasal masalah UMNO.Semua orang akui UMNo dan rasuah sudah sinonim. Orang yang bagi rasuah tu dan terima rasuah tu sendiri pon ikut cakap kita kena benteras. Dan dia tut.. tut dalam undi cukup n layak jadi calon. Sedih. Kemana lagi kami nak mengadu. Dah putus asa dah dengan UMNO ni. Dan kalau pasal hiburan plak bini pembesar2 perpakaian lebih dari selebtiti hiburan turut terkinja2. Nak suruh rakyat pilih mereka ke??? Bila terjumpa mereka di luar dari waktu berkempen...gaya hidup dan cara berpakaian mengalahkan orang barat. Make up tebal badan penuh dengan hiasan mahal2 , bulu mata palsu, beg tangan n kasut memempangkan jenama yang tak mampu dibli rakyat walau pon mereka menabung selama 2 tahun. Nak pilih mereka ke??? Insafla para pemimpin UMNO. Tolong jugak tunjuk ajar ahli keluarga terdekat pasal islamic values.community values. Jangan terlalu menonjolkan elitees lifesyle. Ramai mungkin waswas dengan kejujuran Anwar Ibrahim. Tapi ramai yang tertarik hati dengan pembawaan Wan Azizah dan anak2 nya. Sekarang ini rakyat tidak lagi terpengaruh bukan dengan ucapan tapi dengan pemerhatian. Gamabar2 diinternet jadi sumber maklumat tidak lagi yang ditunjuk di TV or akhbar2. Gamabar2 ini kadang diambil curi melalui handfon. Jadi kita perlu consistent dan tak perlu berlakon diwaktu2 dan dimajlis tertentu sahaja. Yang penting utamakan kejujuran. Alahi2 UMNO dan pemimpin balikla kepangkal jalan, sebelum negara ini jadi huru hara kerana rakyat terpaksa pilih parti caca merba kerana bencikan UMNO. Negara pulak terumbang ambing

Unknown said...

Tikimidina,

sayang sekali, walaupun dilanda tsunami politik, mereka masih tidak sedar akan kenyataan.

Anonymous said...

Tuan Syed

Dr. Mahathir dan kaedah pentadbirannya yang mengasuh dan mementingkan golongan korporat (kapitalisma kroni) adalah salah satu punca utama berlakunya korupsi berleluasa di dalam UMNO dan di perkhidmatan awam.

"Politik wang" wang itu tidak lain tidak beza dengan "korupsi" -- perkataan "politik wang" digunakan oleh kerajaan untuk memaniskan perkataan "korupsi".

Harus kita ingat bahawa Dr. Mahathir itu seorang pemain realpolitik yang mahir. Adegan beliau merayu, menangis dan berdoa itu andaikan lakonan untuk meraih sokongan atau simpati. Beliau tahu politik wang atau korupsi dan berleluasa di kalangan parti Barisan Nasional. Rhetorik "gagah" beliau menentang politik wang itu satu strategi yang bijak untuk menggambarkan diri beliau sebagai seorang yang tidak bersalah.

Oleh itu kita tidak harus membaca "wayang kulit" yang dimainkan orang politik UMNO seperti sedia ada, seolah-olah ianya satu jalan cerita satu dimensi; kita seharusnya selami (i) sejarah politik, (ii) mekanisma politik-ekonomi (iaitu hubung-kait kuasa politik dengan golongan berduit), dan (iii) realpolitik (penstrategian politik kasar) golongan politik Barisan Nasional.

Sekian.

Anonymous said...

Ingat saya UMNO tak akan dapat berubah kerana pimpinan diatas semua telah terpalit dengan rasuah.
Dari ketua cawangan ke ketua bahagian ke ketua negeri dan pusat
lebih 75% terlibat secara tak langsung dengan rasuah macam mana nak mengadakan perubahan fikir fikir lah