Monday, October 01, 2007

Kehebatan V.K. .Lingam

Ada orang yang ingin tahu siapa itu V.K. Lingam, peguam yang dikatakan "hebat" sehingga mampu mengatur atau menjadi broker perlantikan para hakim di Malaysia. Kenyataan ini dibuat ekoran daripada tersebar luasnya klip video perbualan telefonnya dengan Tun Ahmad Fairuz, Ketua Hakim Negara yang ketika itu Hakim Besar Malaya.

Lelaman web dan blog dalam wadah Internet yang menjadi saluran penyebaran klip video itu menerima lawatan atau kunjungan beratus malah beribu pelayar untuk menonton perbualan tersebut. Andai kata tiada Internet, maka episod yang amat memalukan itu mungkin terkubur begitu sahaja.

Nama Lingam mula dikenali ramai apabila gambar dia sekeluarga bercuti dengan Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin di New Zealand tersebar dalam Internet. Turut dipaparkan dalam Internet gambar Lingam bersama-sama towkay besar bernama Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Mohtar Abdullah, mantan peguam negara, yang dirakamkan di Itali.

Mohtar, yang selepas bersara dilantik terus menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, bergambar bersama-sama Lingam dan anak guamnya Vincent Tan dan isteri masing-masing sekitar tahun 1994, sedang meikmati percutian di Itali.

Saya ingin membawa anda ke tahun 1996 apabila Tun Eusoff Chin ditanya sama ada mahkamah Malaysia akan mengikut undang-undang Komanwel, iaitu menghadkan kadar bayaran ganti rugi atas saman malu. Tun Eusoff berkata Malaysia tidak akan menghadkan bayaran ganti rugi. Lebih tinggi jawatan seseorang itu, lebih tinggilah bayaran ganti rugi yang akan diputuskan oleh mahkamah.

Kenyataan ini cukup menarik kerana pada masa itu, Lingam terlibat atas sifatnya sebagai peguam kepada beberapa pihak di dalam beberapa kes yang mana tuntutan yang dibenarkan menjadi satu rekod, bukan sahaja di Malaysia bahkan antara yang tertinggi di dunia. Dalam erti kata lain, bayaran ganti rugi tiada hadnya.

Persahabatan antara Tun Eusoff dengan Lingam di dalam dan di luar mahkamah bukan sahaja tidak wajar tetapi memberi kesan negatif terhadap kewibawaan dan kebebasan institusi kehakiman.

Penghakiman yang diperturunkan oleh Tun Eusoff berkaitan kes Ayer Molek yang memihak kepada Lingam yang mewakili Vincent Tan boleh diambil sebagai contoh.

Dalam begitu ramai hakim mahkamah tinggi, seorang daripada mereka tidak sanggup melihat amalan-amalan yang tidak seharusnya menjadi makanan seharian oleh para hakim. Beliau menulis satu dokumen setebal 32 muka surat yang dilabel sebagai surat layang dan diketepikan begitu sahaja oleh Peguam Negara (Mohtar Abdullah) dengan alasan tiada bukti. Dalam dokumen itu, hakim berkenaan yang kemudiannya "terpaksa" meletak jawatan, menghuraikan dengan terperinci perbuatan rasuah oleh Tun Eusoff Chin dan beberapa tuduhan lain yang mencemar institusi kehakiman negara.

Tan Sri Mohkar dan pembantu kananya di Jabatan Peguam Negara menafiksn segala tuduhan yang dilemparkan dalam surat layang itu termasuk penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan yang dilakukan. Anda tentu dapat agak kenapa Mohtar berbuat demikian.

Beginilah kedudukan institusi kehakiman selepas pemecatan Tun Salleh Abas.

Persoalannya, adilkah penghukuman yang dijatuhkan oleh Eusoff Chin dalam kes-kes saman malu yang diwakili oleh Lingam termasuk saman Vincent Tan ke atas mendiang M.G.G. Pillai, wartawan veteran yang gigih memperjuangkan keadilan?

Apakah wajar persahabatan yang jelas kelihatan akrab antara seorang Ketua Hakim Negara, dan Peguam Negara dengan seorang peguam?

Mungkin dari sudut inilah maka Majlis Peguam mahukan kerajaan menubuh sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kesahihan klip video berkenaan kerana ia merupakan episod sambungan kepada isu percutian di New Zealand dan di Itali serta beberapa penghakiman yang dibuat membabitkan Tun Eusoff Chin.

Kerajaan tidak seharusnya menolak permintaan itu sebagai sesuatu yang dipengaruhi politik pembangkang. Alasan ini cukup remeh kerana tidak kurang ramai peguam yang turut sama dalam perarakan aman dari Istana Keadilan hingga ke Jabatan Perdana Menteri menyokong kerajaan. Ini bukan isu politik dan tiada kena mengenai dengan politik!

Mereka bukan menentang kerajaan tetapi meminta kerajaan mewujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja semata-mata untuk membersihkan nama dan mengembalikan kewibawaan, kepercayaan dan kebebasan institusi kehakiman negara.

Janganlah asyik menuding jari kepada pembangkang semata-mata kerana ada pemimpin pembangkang yang 'tumpang sekaki' dalam perarakan aman anjuran Majlis Peguam. Cubalah lihat isu ini dalam ruang likup yang lebih luas demi kesaksamaan dan keadilan.

3 comments:

A Voice said...

DI zaman knowledge economy dan kononnya era keterbukaan, kita masih lagi dengan cara murah untuk mengalih pandang.

Dalam saya sedang mmbaca dan mencari bahan mengenai isu ini, teringat satu babak di bahagian akhir cerita wayang The Winslow Boy. Berikut adalah babak tersebut yang saya transkrpsikan setelah mengulang tayang cerita tersebut dari koleksi VCD haram saya:

Sir Robert: ... I wept today because right had been done.

Catherine: Not justice?

Sir Robert: No. Not justice. Right. It is easy to do justice -- very hard to do right.

Saya harap kita jangan di buai slogan dan dogma disebalik tunjuk perasaan itu. Sering kali slogan, dogma dan pidato yang hebat menyembunyi niat yang berlainan sekali.

Mari kita berusaha kearah yang benar dan betul, bukan yang palsu dan mengelirukan agar keadilan untuk semua (Justice for all).

Rockybru said...

saya nak cuba translate artikel ni. sikit punye padu.

Anonymous said...

bila orang cakap mahkamah kanggaroo
ada yang terasa