Tuesday, November 05, 2013

PRK SUNGAI LIMAU - TAHNIAH ATAS KEMENANGAN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) Sungai Limau walaupun menghadapi serangan dan gempuran jentera raksasa Barisan Nasional (BN). 

Kemenangan PAS sudah diagak walaupun BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperolehi PAS pada PRU 13 lalu sebanyak 1,690.

Calon PAS Ustaz Mohamad Azam Abdul Samad memperolehi 12,069 undi manakala calon UMNO/BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim 10,985 undi untuk memberi majoriti 1,084 kepada PAS. Peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab ialah 85.5 iaitu 23,249 daripada 27,222 pemilih berdaftar.

Seperti yang saya tulis sebelum ini,  PRK Sungai Limau sebenarnya antara PAS dan "Kerajaan BN" kerana jentera kerajaan telah dikerah melalui "acara rasmi" oleh Menteri Kabinet untuk "berkempen". Berjuta ringgit telah dicurahkan dalam bentuk bantuan,  peruntukan dan sumbangan kepada penduduk DUN Sungai Limau. 

Kehebatan dan keraksasaan jentera BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pada saat-saat akhir, iaitu sehari sebelum hari mengundi, khidmat dan pengaruh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikerah ekoran daripada maklumat risikan yang menyatakan BN ketinggalan dibelakang PAS.  Kehadiran Tun Mahathir mungkin telah mempengaruhi beberapa orang pengundi sahaja. 

Laporan berat sebelah oleh media "rasmi"  sedikit sebanyak membantu BN menambah undi, itu sahaja. 

Taktik kotor yang diguna sehari dua sebelum hari mengundi seperti menggantung "kaki palsu" yang dipotong dan ditulis perkataan "ustaz" dan penyebaran SMS "palsu"  daripada balu almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menyeru pemilih supaya mengundi calon BN, juga gagal meraih sokongan (kemenangan) untuk BN.

Seperti biasa, UMNO menggunakan satu lagi muslihat, iaitu kemasukan beramai-ramai "ahli PAS" ke dalam UMNO tetapi kali ini ia "terkantoi" kerana "penipuan" itu terbongkar apabila ada ahli PAS yang tampil memberi penjelasan dan kenyataan sebenar. Nampaknya, UMNO masih belum belajar daripada kesilapan taktik yang sering diguna pakai apabila menghadapi pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. Ia adalah satu tamparan hebat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama) Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom yang terlibat dalam isu kemasukan ahli PAS itu. Bukankah penipuan dilarang oleh Islam? Sudah tentu mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) itu tahu akan kenyataan ini.

Walaupun sebilangan rakyat berjaya digula-gula dan dipengaruhi melalui janji-janji manis pembangunan dan bantuan, termasuk kepada beberapa buah sekolah agama rakyat,  namun ia masih gagal membawa kemenangan kepada BN. Semuanya ini kerana rakyat, terutama orang kampung seperti petani dan nelayan di Sungai Limau, sudah lama membuka mata dan telinga. Mereka tahu apa yang berlaku dan bijak membuat pilihan. 

Kepada petugas kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang "terpaksa" ke Sungai Limau atas "tugas rasmi" kerana "menurut perintah", selamat pulang ke tempat masing-masing dan bersedia untuk  kemuka  tuntutan-tuntutan yang berhak dibuat semasa "bertugas" di Sungai Limau.
   
  

1 comment:

nick said...

Masih adakah lagi orang melayu yang yakin bahawa UMNO dan BN adalah kerajaan yang bagus untuk Malaysia (untuk orang melayu)? Rakyat khususnya orang melayu semakin miskin tetapi pemimpin UMNO sibuk melakukan penyelewengan keatas harta negara! Masih adakah lagi umat Islam Malaysia yang yakin bahawa menyokong UMNO dan BN adalah benar disisi Islam? Bukankah banyak penyelewengan, rasuah, penindasan serta kebobrokan yang telah dipertontonkan oleh UMNO untuk rakyat melihat sejelas2nya?

Membenarkan pemimpin yang rasuah berkuasa dan berleluasa (walaupun menggubakan istilah politik wang) tetap berlawanan degan ajaran Rasulullah! Masih adakah lagi rasa sangsi dan curiga bahawa kerosakan negara dan agama serta bangsa, banyak di lakukan sendiri oleh UMNO terutamanya. Islam mengharamkan umatnya dari menyokong maksiat, kezaliman dan penyelewengan. Malah Rasulullah sendiri tidak akan mengakui sebagai umatnya, mana2 orang islam yang menyokong para pemimpin yang melakukan kezaliman, maksiat rasuah dan menganiayaan.

Janganlah kerana "Ketuanan Melayu" kita sanggup menggadai akidah dan jangan kerana taat membuta tuli kepada golongan bangsawan membuatkan kita ditempelak dan dipinggirkan oleh Rasullullah di akhirat nanti! Sesal didunia kecil nilainya tetapi sesal diakhirat tiada penghujungnya!

Nick.