Sunday, July 15, 2012

Isu indeks kes jenayah, mantan IGP lawan arus

Apakah kedudukan sebenar kadar jenayah di Malaysia? Pihak kerajaan dan PDRM berkata ia telah menurun semenjak kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melalui Unit Pencegahan Jenayah berkata, dalam langkahnya untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, bahawa perangkaan kadar jenayah menurun sebanyak 10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini. Dari 2010 sehingga tahun lalu, indeks jenayah turun sebanyak 11.1 peratus manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Tetapi, mantan Inspektor-Jeneral Polis Tan Sri Musa Hassan yang berkhidmat selama 40 tahun dan memimpin PDRM selama empat tahun mulai 2006, berkata kadar jenayah di Malaysia sememangnya meningkat.

Yang lebih menarik perhatian saya adalah apabila Musa berkata pihak berkuasa, iaitu kerajaan dan PDRM itu sendiri, tidak seharusnya 'menyorok' atau menyembunyi fakta kepada orang ramai.

"Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah," Musa memberitahu The Malaysian Insider.

Menurut Musa kadar jenayah pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan. 

"Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.

Sindiran Musa amat tajam dan pada saya ada kebenarannya.

Tetapi, KPN yang mengganti Musa, Tan Sri Ismail Omar berkata Musa tidak mempunyai maklumat terkini dan tidak tahu kedudukan sebenar. Untuk membuktikannya, Ismail 'turun padang' sebagai menandakan ianya selamat.

Ismail tidak pula memberitahu berapa ramai anggota polis tidak beruniform yang berada sekelilingnya semasa dia 'beramah mesra' dengan orang ramai.  Kepada mereka yang mengetahui, mereka tahu akan kehadiran detekif Cawangan Khas (SB) dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di lapangan untuk memberi 'perlindungan keselamatan' kepada bos mereka itu. 

Saya menumpang hidup di sebuah taman perumahan yang turut didiami oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein. Oleh itu, saya sering melihat 'rombongan' beliau keluar dan masuk untuk bekerja atau bertugas.

Jika keadaan selamat dan tidak membimbangkan, maka tidak perlulah bagi Hisham untuk diiringi oleh sekurang-kurangnya dua anggota UTK berjaket hitam dan  bermotosikal berkuasa tinggi, sebuah kereta peronda dan anggota trafik bermotosikal.

Rumah Hisham dan semua anggota kabinet  dikawal 24 jam oleh anggota battalion khas Pasukan Gerakan Am (PGA).

 Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Musa Hassan, "jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.

Rakyat amat menghargai khidmat bakti anggota keselamatan terutama PDRM, mereka sentiasa menjalankan tugas sebaik mungkin untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Hakikat yang perlu diterima ialah PDRM tidak berkeupayaan berada di semua tempat untuk mencegah jenayah.  

Kadar jenayah di seluruh dunia meningkat ekoran kemerosotan ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Musa Hassan. Malaysia tidak terlepas daripada hakikat tersebut.

Dunia tanpa sempadan turut membawa masuk penjenayah berprofil tinggi dari benua Afrika, Amerika Selatan dan Asia. Kepada mereka, Malaysia adalah 'lubuk' dimana mereka boleh meraih 'habuan' melalui kegiatan jenayah. 

Oleh itu, seperti yang disarankan oleh Musa Hassan, PDRM perlu membuat penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah terutama dari sudut perolehan risikan.

Penjenayah semakin cerdik dan canggih, PDRM mesti lebih cerdik dan lebih canggih untuk memerangi penjenayah. 

    




4 comments:

Anonymous said...

Satu cara yg berkesan utk perangi jenayah...balik semula kpd islam kerana agama ada jln penyelesaian yg Allah swt dah bagi. Tapi manusia yg serba lemah dan kurang kenapa masih sombong dan degil?? Solat dan puasa je ingat tuhan lain hal ikut nafsu, itulah islam yg diamalkan sekarang. Nah jawab dan tanggung sendiri bila hidup tak selamat.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Tidakkah Ismail Omar belajar sesuatu daripada Musa cara dan kaedah memerangi jenayah semasa beliau menjadi T/KPN?

Pada saya sama ada Ismail bukan pelajar yang baik atau sememangnya tidak ada ilmu yang diturunkan Musa.

ZMS

Anonymous said...

Menteri tak baca Metro ke. Kami rakyat memang dlm ketakutan. Perompak dtg mcm tetamu. 10.30 mlm waktu org tgh tengok tv. Datang 6.30 pagi waktu org sebuk nak pergi kerja.

Anonymous said...

Pada saya kadar jenayah mmg makin tinggi...kadang2 org malas nak laporkan...bukan apa dah dpt jwp skema dr polis..'biasa le tu...' masa balik kg masa raya pun malas nak bg tau polis tinggai rumah kosong...sbb jwb skema ..'ramai org bg tau polis...tak tau sempat ke tak p melawat rumah tuan...' dah tu wat per ronda 24 jam..jgn dok perabih duit gomen saja..