Tuesday, March 13, 2012

Pegawai Awam dan politik

Kebelakangan ini timbul semula tindakan pihak ketua jabatan tertentu untuk 'menyungkil' kecenderongan politik pegawai awam atau kakitangan kerajaan, terutamanya para pendidik atau guru. 

Kita masih ingat apa yang dilakukan oleh pegawai atasan Jabatan Pelajaran Johor semasa satu pilihan raya kecil di negeri itu tidak berapa lama dahulu. Tekanan telah dikenakan terhadap calon bukan UMNO dan suaminya kerana bertanding menentang calon Barisan Nasional sedangkan wanita berkenaan sudah pun meletak jawatan.

Tekanan dan tindakan yang tidak lebih daripada mengampu oleh segelintir ketua jabatan bukan perkara baru. Ia sering berlaku terutamanya apabila menjelang pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil. Mereka inilah yang paling layak digelar "Little Napolean" atau kata orang PAS "Firaun Kecil". 

Semua kakitangan awam sedar akan adanya Perintah Am Bab 'D" yang mengupas mengenai peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib).  Oleh itu, tidak perlulah mana-mana ketua jabatan untuk cuba mencungkil mengenai pendirian politik pegawai bawahan kerana itu adalah hak mereka. Yang dilarang adalah perkara-perkara tertentu dan khusus, bukan hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik di luar waktu pejabat. Yang penting mereka menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan penuh bertanggungjawab.

Peraturan 21 dalam Perintah Am Bab 'D' menyentuh mengenai kegiatan politik.

Pegawai Kumpulan Pengurusan Tinggi dan Kumpulan Pengurusan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik khususnya tidak boleh:-

1)  Membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik;
2)  Menerbit/mengedar buku/artikel/risalah mengenai politik;
3)  Merayu undi;
4)  Agen pilihan raya tempat mengundi;
5)  Bertanding apa-apa jawatan; dan
6)  Memegang apa-apa jawatan.

Peraturan tersebut cukup jelas dan ditujukan kepada pegawai-pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam. Ini bermakna kakitangan awam yang bukan tergolong dalam dua kategori yang disebut dalam Peraturan 21 itu tidak terikat dengan larangan berkenaan. 

Oleh itu, tidak perlulah mana-mana ketua jabatan untuk memandai-mandai mendapatkan maklumat mengenai pendirian atau kecenderongan politik kakitangan bawahan yang tidak tergolong dalam kategori berkenaan. 

Bahkan pegawai tinggi termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berhak dan bebas menyokong mana-mana parti politik kerana mereka hanya dilarang melakukan atau terlibat dalam enam perkara yang disebut dalam Peraturan 21 itu. Cuma, mereka tidak boleh menyuarakan secara terbuka pendirian peribadi masing-masing. Ianya sama seperti hak atau kebebasan mereka untuk mengundi, mereka bebas memngkah mana-mana prti politik yang disukai, tidak semestinya parti yang membentuk kerajaan.

Semasa berkhidmat di JPM, saya sedar dan tahu sebilangan  kakitangan awam tidak menyokong parti yang memerintah dan ia bukanlah satu rahsia. Yang penting, mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan secara jujur dan amanah. 

Pendirian dan sokongan politik adalah hak masing-masing dan tidak boleh dipaksakan oleh sesiapapun.

        

4 comments:

d'enricher said...

Tuan syed,

Saya sentiasa percaya kalau kita benarkan semua pihak Penjawat Awam menjalankan tugas yang diamanahkan tanpa gangguan, sikap "Profesionalisma" mereka akan terserlah. Kerajaan yang memerintah perlu menyediakan Polisi yang baik untuk mereka laksanakan. Kita tidak boleh nafikan arah mana condongnya minat mereka dalam politik, tapi peratus yang jujur dan ikhlas saya rasa lebih tinggi.

Yang nak bodek tu mesti ada ... baik yang condong kearah Kerajaan BN atau Kerajaan PR.

Sekiranya Penjawat Awam dibenarkan menjalankan tugas mengikut kaedah yang betul dan memang jelas tanggung jawap mereka, apa nak susah. IGP boleh tangkap sesiapa sahaja termasuk Menteri dan PM juga (Raja2 saya tak pasti lah)kalau cukup bukti.

Tak begitu Tuan Syed?

Macam sekarang, dimana Negeri yang PR menjadi kerajaan, polis sentiasa bertindak cepat. Bagus sebenarnya, masa baru jadi kerajaan, kalau ada niat nak kebas tak berani.

Bayangkan lah Penjawat Awam seperti AG, IGP, MACC dan para Hakim semuanya menjalankan tugas dengan sikap "PROFESIONALISMA" yang tinggi dan dinamik, tak kira siapa, cukup bukti untuk didakwa, bawa mereka ke mahkamah, ada pendakwa, ada defence lawyer, kemukakan bukti.

Hakim ... buat keputusan dengan ADIL. Insyaallah semua ok.

Sekarang ni dah mula dipertikaikan ...

Baling Selipar .... 12 bulan

Beli Banglo semasa berkuasa dengan harga yang tidak masuk akal ... 12 bulan

Curi (tak pasti apa) ... 24 bulan


Sekali pandang tak ke orang akan hilang kepercayaan.


Cinta Alam Malaysia
A.Alshukor

Anonymous said...

mohon Tuan Syed komen sikit tentang samseng-samseng politik yang menggunakan kekerasan untuk menghalang rakyat dari bersuara.

demokrasi.

Unknown said...

A.Alshukor,

Saya setuju dengan pendapat anda.

Majoriti penjawat awam jalankan tugas seperti yang diamanahkan. Mereka ketepikan fahaman dan pendirian politik.

Tetapi, malangnya tidak kurang pula yang sering menghadapi campur tangan kepimpinan politik, terutama di peringkat atasan. Mereka terpaksa akur kerana "saya yang menurut perintah" yang menjadi cogan kesetiaan perkhidmatan awam kepada "kerajaan sedia ada" atau "government of the day".

Cuma, apa yang berlaku bukan sebenarnya arahan kerajaan tetapi parti politik yang menguasai kerajaan.

Seperti kata d'enricher dalam ulasannya di atas, yang nak bodek tu mesti ada, baik yang condong kepada BN mahupun PR. Ini kita terima kerana itulah tabiat dan perangai manusia yang mementingkan diri sendiri.

Walau apapun, kita hormat kakitangan awam yang majoritinya menjalankan tugas dengan jujur dan amanah.

Anonymous said...

Bagaimana pula kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional diarahkan untuk melakukan kerja-kerja parti pemerintah seperti pengiraan undi Pemilihan sebuah parti pemerintah. Bukankah ia bertentangan dengan arahan di dalam Perintah Am? Kenapa ia berlaku?