Sunday, March 11, 2012

Pengumuman pengunduran Shahrizat

Saya kembali menulis dan tidak pula menyangka bahawa perkara pertama yang disentuh adalah mengenai pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, untuk mengundur diri atau melepaskan jawatan Kabinetnya.

Bagi saya ia amat melucukan jika kita sedar kenapa Shahrizat memilih tanggal 8 April untuk 'bersara' dari jawatan Kabinet yang disandangnya melalui pintu Dewan Negara, atau kata orang melalui 'pintu belakang'.

Kenapa 8 April dan tidak sekarang atau lebih awal lagi jika benar Shahrizat seorang anggota pentadbiran yang bertanggungjawab?

Sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator, Shahrizat boleh berkhidmat selama dua penggal sahaja, atau selama enam tahun, itupun jika pelantikannya itu dilanjutkan setelah menamatkan penggal pertama selama tiga tahun. Tempoh penggal pertamanya tamat pada 8 April dan kerana itulah dia memilih tanggal tersebut untuk 'bersara'. 

Orang ramai boleh mengandaikan bahawa PM Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memperakukan lanjutan perkhidmatan Shahrizat selama satu penggal lagi dan dia boleh terus kekal sebagai anggota Kabinet. Itu hanyalah satu andaian kerana kita yakin dan percaya Najib tidak akan bertindak demikian memandangkan isu skandal 'cowgate' dan kedatangan pilihan raya umum yang disebut-sebut akan diadakan  Mei atau Jun depan.   

Jika tempoh perkhidmatan Shahrizat sebagai Senator tidak disambung, maka kedudukannya sebagai anggota Kabinet gugur secara automatik, ini bermakna Shahrizat tidak boleh memegang jawatan menteri. Oleh itu, pengundurannya pada tanggal 8 April adalah sesuatu yang kena dilakukan bukan atas pilihan sendiri. 

Seperti biasa, pengumuman Shahrizat disambut baik oleh Najib dan beberapa orang anggota Kabinet. Semuanya adalah lakonan atau sandiwara politik yang tidak lebih daripada tayangan filem P. Ramlee yang beratus kali diulang tayang oleh Astro,  Media Prima dan  RTM.

Sekurang-kurangnya, filem P.Ramlee masih diminati ramai dan orang tidak jemu menontonnya, tidak seperti sandiwara politik yang  membuatkan orang ramai meluat dan marah.


4 comments:

mahaza said...

hubaya hubaya gegak gempita langit bumi bertuah kononnya Sharizat bertanggungjawab. nak muntah pun tak keluo apa-apa. adakah dengan pengunduran tersebut kes NFC selesai? ini yang rakyat marhaen hendak tahu. bukan duit mak bapak tapi duit pembayar cukai.

Syed Imran said...

mahaza,

Adakah satu kebetulan suami Shahrizat yang juga bos National Feedlot Corporation (NFC), Dr Mohd Salleh Ismail, dihadap ke mahkamah atas empat pertuduhan, dua pertuduhan pecah amanah dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan dibawah Seksyen 132(3) Akta Syarikat hari ini?

Dr Salleh minta dibicarakan.

Orang yang kurang bijak pun dapat membuat agakan dan boleh membaca apa yang sedang berlaku.

Apa yang disebut oleh Shahrizat sebagai peletakan jawatannya hanyalah satu babak dalam lakonan yang layak dipentaskan dalam zoo.

Jika Shahrizat tak letak jawatan pada 8 April, dia dah tentu tak akan bergelar menteri jika penggal perkhidmatannya sebagai Senator tidak disambung tiga tahun lagi. Kita yakin PM Najib tak akan sambung kerana jika dia sambung, maka dia adalah PM yang paling tidak bijak (saya tak mahu guna perkataan bodoh kerana menghormati jawatannya).

Oleh itu, pengumuman yang dibuat oleh Shahrizat bukan sesuatu yang seharusnya mendapat tempat utama dalam media cetak mahupun media elektronik. Malangnya, pihak media lihat ini sebagai satu berita besar, berita hebat!

Kita percaya banyak lagi perkara akan di"londehkan" dalam mahkamah dan kita tunggu sama ada tiga orang pengarah lagi yang juga, bukan secara kebetulan tetapi kenyataan, anggota keluarga Shahrizat, akan menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Hubaya! hubaya!

ting tong guy said...

Tn Syed,

Kenapa Shahrizat tak letak jawatan serta merta masih jadi tanda tanya. Kenapa perlu, melalui keperitan turun naik mahkamah dengan status menteri sementara menunggu tarikh sebenar untuk berhenti? Adakah ini akan jadi satu 'trend' di Malaysia di mana penjawat tinggi jawatan awam tidak rasa terbeban dengan tanggungjawab moral dan etika jawatan itu, hingga sanggup memalukan diri sendiri, keluarga, kerajaan dan jawatan yang dipegang? Saya rasa seorang yang tidak berjawatan tinggi seprti seorang tukang kebun atau pemandu pun tidak akan sanggup melalui ini seperti Shahrizat kerana bagi kebanyakan orang air muka dan maruah adalah segala-galanya malah melebihi kehendak dunia, pangkat dan jawatan.

Syed Imran said...

ting tong guy,

Di Malaysia soal peletakan jawatan oleh orang politik adalah sesuatu yang boleh diibaratkan sebagai seksaan paling dahsyat. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu letak jawatan walaupun perlu dan mesti berbuat demikian. Akhirnya, apabila terpaksa atau dipaksa untuk meletak jawatan, maka ada saja 'alasan' yang kononnya memberi muka untuk mereka bertbuat demikian.

Dalam kes Shahrizat, dia memilih untuk 'menongkat dunia' dengan alasan tertentu. Dia rasa apa yang berlaku bukan berpunca atau membabitkannya sedangkan ia melibatkan seluruh anggota keluarganya. Lihat apa yang jadi sekarang! Suaminya dah dikenakan pertuduhan jenayah komersil dan besar kemungkinan anggota keluarganya yang lain pun akan diheret sama.

Dia memilih tanggal 8 April untuk letak jawatan. Ini sungguh melucukan kerana pada tarikh itu khidmat atau pelantikannya sebagai Senator berakhir. Dengan itu dia kena lepaskan jawatan Kabinet, tak perlu letak jawatan kecuali jika pelantikannya disambung untuk tempoh penggal kedua/akhir dan kita yakin PM Najib tidak akan memperakukan kepada SPB Agong untuk menyambung tempoh penggalnya itu.

Yang aneh dan pelik, rakan-rakan Kabinet termasuk PM dan TPM Muhyiddin dan partinya menyambut baik tindakan Shahrizat sedangkan mereka tahu khidmat atau pelantikannya sebagai Senator tamat pada 8 April.

Mereka menganggap semua rakyat Malaysia ini bodoh dan mudah percaya dengan lakonan paling jelek yang mereka persembahkan!