Mereka yang mempersoal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebenarnya tidak faham dan tidak peka akan maksud yang tersirat. Oleh itu, mereka berani mempersoal dan membuat andaian yang boleh menimbulkan tindak balas negatif daripada pihak lain.
Apabila orang politik mengungkit-ungkit Perkara 153 maka berlakulah perdebatan dan tuduh-menuduh antara orang politik dan mereka yang mewakili badan-badan bukan kerajaan, tetapi apabila pemimpin agama membangkitkannya, ia agak keterlaluan dan melampaui batas.
Isu berkaitan agama, iaitu semua agama, cukup sensitif dan mesti ditangani dengan hemat dan cermat.
Oleh itu, pemimpin-pemimpin agama harus sedar dan berhati-hati sebelum membuka mulut mempersoal atau melempar tuduhan yang boleh menyentuh perasaan dan sensitiviti pihak lain.
Perkara 153 sebenarnya melindungi dan memelihara bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi semua rakyat Malaysia. Inilah yang mesti difahami oleh ketua paderi yang membangkitkan kontroversi mengenainya. Jika dia tak faham dan tak erti maksud yang terkandung dalam perkara itu, duduk diam sajalah. Jangan usik sarang tebuan. Buruk padahnya!
Perkara 153 (1) cukup jelas dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak, politik mahupun agama. Iaitu:-
"Adalah menjadi tangungjawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini."
Yang diPertuan Agong sendiri diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk bukan sahaja memelihara dan melindungi kepentingan orang Melayu/Bumiputera tetapi semua kaum yang merupakan rakyat Baginda di bumi Malaysia.
Kenapa perlu mempersoalkan Perkara 153 jika ia sudah jelas dan mudah difahami?
Kepada ketua paderi berkenaaan dan semua pemimpin agama, hati-hatilah sebelum membuka mulut. Mereka sepatutnya menumpu perhatian sepenuhnya kepada masalah sosial di kalangan pengikut atau penganut agama masing-masing. Banyak masalah yang dihadapi dan sedang meresapi masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menanganinya.
Setiap bidang profesional termasuk kerohanian, ada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tumpukan kepada bidang yang diceburi atau yang menjadi kepakaran diri. Usah cerobohi bidang dan tugasan lain yang anda bukan pakar atau ahli.
Ingat, hak semua rakyat dijamin oleh Perlembagaan. Usah persoalkannya.
4 comments:
Tuan Syed,
Apabila kepmimpinan negara lemah dan kelihatan lemah, semua pihak akan cuba mengambil ksempatan demi kepentingan masing-masing walaupun ianya jelas tidak munasabah dan melampau.
Berhubung dengan Perlembagaan, semangat (spirit) Perlembagaan itu ketika ianya digubal perlu diambil kira dan difahami dalam membuat penafsiran ke atasnya. Saya setuju apabila Tuan Syed menulis tentang perkara yang 'tersirat' dalam Perlembagaan.
Sejajar dengan Artikel-Artikel dalam Perlembagaan ini, maka digubal pula undang-undang yang juga yang tidak mendiskriminasi mana-mana pihak, kumpulan, kaum, bangsa dan ugama.
ZMS
Lebih baik Ketua Paderi itu tumpukan perhatian pada ajaran-ajaran penyelewengannya itu.Dah ramai penganut Kristian hanyut bersama ajaran mereka.
Mungkin dia nak alihkan perhatian daripada masalah yang dihadapi oleh gerejanya.
ZMS,
Itulah akibatnya apabila kepimpinan negara lemah ataupun kelihatan lemah seperti yang saudara katakan.
Pemimpin terlalu bertolak ansur atas nama kesederhanaan dan apa yang disebut sebagai 1Malaysia
sehingga Perlembagaan berani dipertikaikan.
Tuan Syed,
Aswkum,
Nampaknya di akhir tahun 2011, negara digegarkan oleh pelbagai skandal dan kontroversi, terakhir melibatkan IIB. Belum ternampak sebarang penyelesaian yang tuntas - dan tentunya dibawa ke tahun 2012.
Oleh itu, tahun 2012 tidak akan akan menjanjikan suasana yang damai dan tenteram. Apatah lagi kalau PRU ke-13 diadakan pada suku pertama 2012. Keadaan tentu bertambah gawat dan memerlukan kebijaksanaan PDRM dalam menanganinya agar tidak berlaku sebarang insiden yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Apa pun saya penuh yakin dengan kemampuan dan profesionalisme PDRM asalkan tidak ada campur tangan oleh mana-mana pihak demi kepentingan politik mereka.
Saya ucapkan dengan tulus ikhlas Selamat Tahun Baru yang telah pun masuk ke minit 28.
ZMS
ZMS
Post a Comment