Thursday, October 20, 2011

Sampai bila nak kempen bulan bahasa?

Sejak Malaya atau Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, kita dihidangkan kempen demi kempen dan salah satu daripadanya ialah kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Kita masih ingat kata-kata semangat yang terkandung dalam lagu berkenaan... Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai...

Setelah Tanah Melayu, khususnya, merdeka 54 tahun, kita masih mengadakan kempen tersebut. Kenapa? Adakah kita gagal dalam pelaksanaan dan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, dalam bukan sahaja urusan pentadbiran tetapi dalam pengucapan dan penggunaan harian?

Kita harus sedar bahawa dalam rangka pembinaan sesebuah negara, bahasa kebangsaan menjadi perkara penting selain ekonomi, undang-undang, kebudayaan dan politik. Oleh itu, dari sudut politik, negara telah mewujudkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Dalam kerangka DBK, amat jelas cakupannya iaitu dari sudut perancangan bahasa, pelajaran atau pendidikan, undang-undang dan ekonomi. Dasar itu ditetapkan melalui proses undang-undang dan kita ada Akta Bahasa Kebangsaan selain termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam Akta Bahasa Kebangsaan, amat jelas ditegaskan iaitu bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu, bukan bahasa Malaysia,  hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi. Di sinilah letaknya kelemahan kerana sering kali diabaikan termasuk oleh barisan kepimpinan negara yang lebih selesa berbahasa Inggeris. Jika pemimpin tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada majlis rasmi,  termasuk merasmi persidangan atau mesyuarat agung parti-parti politik,  jangan salahkan rakyat jika mereka pun keberatan mengguna bahasa kebangsaan. Bak kata orang tua-tua, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Ada pihak yang menuding jari kepada Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) atas apa yang berlaku kerana DBP adalah agensi perancangan bahasa yang utama dan bertangungjawab melaksanakan matlamat tertentu dalam Akta Bahasa Kebangsaan. 

Beranikah ketua pengarah DBP, umpamanya, menegur Perdana Menteri kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada sesuatu majlis rasmi?  Sudah tentu tidak. Inilah masalahnya.

Mari kita lihat tugas dan tanggungjawab DBP:-

* untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;

* untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;

* untuk mencetak atau menerbit atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;

*untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya bahasa itu akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Kita harus akui bahawa DBP telah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan baik dan  ia tidak boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku. DBP telah melakukan segala-gala yang mampu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi ia tidak boleh berbuat apa-apa jika pemimpin atau pentadbir negara sendiri memilih untuk tidak mengguna bahasa kebangsaan.

Selain pemimpin, media penyiaran turut berperanan penting dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Media penyiaran seharusnya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Penggunaan bahasa Melayu yang betul yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris seperti yang berlaku hampir setiap hari sekarang,  mesti diutamakan bukan sahaja oleh stesen penyiaran milik kerajaan dan agensinya seperti Bernama TV,  tetapi oleh semua stesen yang dikendalikan oleh Astro, Media Prima dan Al-Hijrah.

Bahasa adalah alat perhubungan utama dalam dunia penyiaran dan jika ia tidak diguna dengan betul, maka ia akan menjadi ikutan terutama oleh golongan muda. 

Petugas-petugas media elektronik mesti sedar betapa pentingnya peranan mereka untuk menyebar penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan oleh itu, jauhilah daripada mengguna perkataan-perkataan asing seperti 'happening',  'syiok gila', 'live'  dan sebagainya.

BAHASA JIWA BANGSA


   

3 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya sering mengikuti ramalan cuaca yang disiarkan oleh RTM.
Ayat yang menarik perhatian saya ialah,"....hujan curah dijangka berlaku di....."
Betulkah ayat mereka itu?

PakTua.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya mendapati tajuk ini agak menarik.

Ingin saya ajukan pandangan saya kepada Tuan Syed.

Pernah saya belajar di luar negara selama beberapa tahun di negara barat. Saya kerap ke perpustakaan.

Negara Barat sangat mengambil berat berkenaan perpustakaan. Perpustakaan yang dibina begitu besar dan dipenuhi dengan bermacam-macam buku. Saya pernah membaca buku Agama Islam di Perpustakaan Birmingham dan saya masih ingat meminjam buku Sejarah Sayyidina Ali di perpustakaan Liverpool. Ini adalah selain daripada buku yang berkaitan dengan pengajian saya dalam bidang kejuruteraan.

Perpustakaan di Liverpool agak besar dan lama. Suasana amat senyap sehinggakan apabila membuka helaian mukasurat buku, bergema seluruh perpustakaan.

Saya merasakan amat tenang dan suka untuk untuk melawat perpustakaan untuk membaca di sana.

Mengapa mereka membina perpustakaan yang besar dan dibuka 7 hari untuk orang awam?

Pengunjung perpustakaan terdiri dari yang tua, pelajar universiti dan yang muda.Perpustakaan juga terletak di tengah-tengah bandar dan mudah di kunjung melalui bas dan keretapi.

Cubalah Tuan Syed melawati Perpustakaan Negara kita. Berapa ramai yang kunjung? Adakah laluan LRT berhenti di perpustakaan? Adakah datang ke perpustakaan untuk membaca atau untuk berpacaran?

Tidak perlu jauh, Tuan Syed boleh pergi ke negara jiran kita di Singapura dan lihat suasana perpustakaan kita dengan suasana perpustakaan di sana.

Sekiranya minat membaca tidak digalakkan samada dari segi infrastruktur atau dari galakkan pentadbiran setempat. DBP keluar buku apa pun tidak ada faedah sekiranya orang tidak baca.

Orang Johor

Syed Imran said...

Pak Tua,

Kita tahu bahawa curah bermaksud air mengalir turun dengan deras sedangkan hujan tidak mengalir turun.

Namun begitu, kita biasa dengan ungkapan 'hujan turun mencurah dari langit' tetapi jarang mendengar orang berkata hujan curah. Yang lazim disebut ialah hujan lebat, iaitu tanpa iringan ribut atau petir. Jika tidak, orang akan kata ribut petir. Mungkin itu yang dimaksudkan pihak jabatan berkenaan, iaitu hujan lebat. Saya kurang setuju dengan ungkapan hujan curah. Janggal bunyinya.

Orang Johor,

Seperti yang suadara ketahui, rakyat Malaysia kurang membaca apatah lagi ke perpustakaan. Salah satu faktor ialah kedudukan perpustakaan dan kemudahan pengangkutan untuk ke sana.

Saya setuju dengan hujah saudara. Lihat saja kedudukan Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak yang jauh dari kemudahan pengangkutan awam. Stesen LRT paling hampir di Kampung Baru dan stesen Monorel pula di Jalan Pahang, dekat Chow Kit dan sebuah lagi di Jalan Tun Razak berhampiran stesen LRT Titiwangsa. Semuanya jauh dari perpustakaan.