Friday, October 21, 2011

Muammar Gaddafi - di sebalik propaganda Barat

Allahyarham Muammar Gaddafi yang menerajui Libya selama 42 tahun akhirnya menemui ajal ekoran pemberontakan yang disokong Barat selama lapan bulan. Walau apapun yang dikatakan oleh Barat melalui media yang dikuasai mereka, sebagai seorang Muslim, saya mendoakan semoga Allah merahmati ruhnya, mengampuni  dosa-dosanya dan menerima semua amal ibadahnya.

Kematian, atau lebih tepat mati syahidnya, menjadi tanda tanya sama ada ditangan pemberontak atau akibat serangan jet pejuang NATO. Pihak pemberontak mendakwa Muammar mati setelah cedera akibat serangan pasukan mereka tetapi yang jelas pemimpin Libya itu mati akibat serangan NATO.

Kematian Muammar Gaddafi menambah bilangan pemimpin dan pejuang beragama Islam di tangan kuasa Barat yang dikepalai  Amerika Syarikat dan disokong oleh Zionis Yahudi.  Satu demi satu negara Islam, terutama yang kaya dengan hasil maksul bumi seperti minyak dan gas, dikuasai oleh golongan yang dicucuk hidung oleh Barat.

Kita hairan kenapa kebangkitan rakyat di Bahrain tidak disokong oleh Barat sedangkan mereka (Barat)  begitu cepat mencampuri dan memberi sokongan kepada kebangkitan di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan  Suria atau Syria?

Pemimpin Bahrain yang benar-benar zalim sehingga sanggup memenjara dan menghukum para doktor dan petugas hospital semata-mata kerana memberi rawatan kepada rakyat yang bangkit menentang kezaliman itu terus di sokong Barat dan tali barut utamanya, Arab Saudi.

Apa yang berlaku di Bahrain dilihat oleh Barat sebagai satu peperangan proksi antara pengaruh Iran (Syiah) dengan Arab Saudi (Suni/Wahabi) dan memandangkan Iran menjadi musuh utama Amerika Syarikat dan Barat, maka Bahrain tidak diganggu gugat walaupun ia menzalimi rakyatnya sendiri.

Lain pula ceritanya dengan Libya atau Muammar Gaddafi.  Barat, terutama Itali, Perancis dan United Kingdom dengan bantuan logistik Amerika Syarikat, melancar serangan bom dan peluru berpandu ke atas negara tersebut sedangkan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanyalah menguatkuasa zon larangan terbang, bukan menyerang bertubi-tubi. 

Dunia saban hari dihidangkan berita yang memberi gambaran bahawa Muammar Gaddafi adalah seorang pemimpin atau diktator yang zalim. Dia mesti diguling atau dihapuskan atas nama 'demokrasi' yang diterima Barat. Yang peliknya, kenapa 'demokrasi' yang sama tidak dikenakan ke atas Bahrain? 

Oleh kerana begitu hebatnya propaganda media Barat mengenai 'keburukan' Muammar Gaddafi, maka dunia mempercayainya, termasuk kita di Malaysia. Media Malaysia menerima bulat-bulat apa yang disaji oleh media Barat.

Kita tidak menafikan bahawa sebagai seorang manusia biasa, Muammar Gaddafi tidak sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi,  kita tidak boleh lupa jasa dan sumbangannya kepada rakyat dan negara Libya yang tidak dilaporkan oleh media Barat. 

Ramai daripada kita yang tidak tahu bahawa di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi, rakyat Libya mendapat bekalan letrik secara percuma, bank-bank milik kerajaan tidak mengenakan faedah atas pinjaman (sifar riba), pelajaran/pendidikan dan rawatan perubatan adalah percuma, kerajaan memberi subsidi 50 peratus untuk pembelian kereta, dan kadar celik huruf mencapai 83 peratus.

Libya juga tidak menanggung beban hutang luar negeri dan jumlah rizabnya mencecah 150 bilion dolar Amerika atau RM470 bilion.

Muammar Gaddafi juga membina projek pengairan terbesar di dunia bukan untuk bermegah tetapi  memastikan rakyatnya mendapat bekalan air untuk keperluan hidup. Kebajikan rakyat menjadi keutamaannya termasuk memberi 'gaji setara' kepada para graduan yang menganggur sehinggalah mereka mendapat pekerjaan.

Jika benar Muammar Gaddafi seorang diktator yang zalim seperti yang disebar fitnah oleh Barat,  sudah tentu dia tidak akan melaksanakan semuanya itu. 

Adalah sesuatu yang amat menyedihkan untuk melihat musibah yang menimpa Iraq akan turut dirasai oleh Libya.  Hasil maksul bumi Iraq kini dikuasai oleh Amerika Syarikat dan perkara yang sama akan berlaku ke atas Libya.  Barat melakukannya atas nama 'demokrasi' dan hak asasi manusia mengikut acuan mereka sendiri. 

Dunia Arab dan dunia Islam hanya mampu melihat.       

      

8 comments:

Anonymous said...

Dah lupa Lockerbie Bomb ke? Padan muka le, jawapannya.

Ni le balasan balik Barat sokong mereka yang menentang Ghaddaffi.

Tak kan tak faham tu?

Anonymous said...

Tuan Syed,

Dinamik politik di Bahrain mungkin adalah berlainan. Kebanyakkan rakyat memberontak adalah puak Syiah yang merupakan majority penduduk Bahrain.

Bahrain adalah negara beraja sekutu kuat Arab Saudi yang juga sekutu kuat Amerika.

Setakat ini belum lagi negara Arab yang beraja yang mana raja digulingkan. Mungkin belum lagi.

Saya menjangkakan selepas ini giliran Abdullah Salleh di Yaman.

Mungkin ada juga aspek positif dari peristiwa yang berlaku setelah tumbangnya diktator satu persatu digantikan dengan demokrasi.

Hashimoto

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya menuntun video-clips di BBC dan lain-lain cable network yang menunjukkan pemberontak Libya yang dihasut, ditaja dan diperalatkan NATO mengheret dan melakukan kekejaman ke atas Gadaffi yang cedera parah sebelum jenazahnya dibaringkan di atas stretcher dan dipertuntunkan kepada orang ramai.

Saya hampir-hampir tidak terpandang akan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan. Dan saya tidak jadi membeli Kosmo (yang menjadi pilihan saya dari semi-porno Harian Metro) hari ini kerana muka surat depannya penuh dengan gambar jenazah Gadaffi.

Maka dengan megahnya Obama mengisytiharkan tidak seorang pun anggota tenteranya terkorban. Manakala Ketua Nato juga megah mengumumkan objektifnya tercapai membantu rakyat Libya menyingkirkan seorang diktator yang kejam with limited civilian casualities and after having flown ? sorties menggunakan jet pejuang yang canggih.


Tetapi soalnya apakah rakyat Libya di bawah Gadaffi betul-betul menderita dan hidup papa kedana. Berdasarkan apa yang Tuan Syed paparkan dan apa yang saya lihat bagaimana orang ramai yang meraikan penyingkiran Gadaffi dengan memandu kereta-kerata baru berbeza dengan apa yang ada di Mesir, saya tidak percaya Gadaffi begitu orangnya.

Libya oh Libya! Atas nama kebebasan dan hak asasi, rakyatnya sanggup diperalatkan. Libya akan tercampak ke dalam kancah perpecahan justeru mempunyai masa depan yang tidak menentu.

Pastinya yang menang dan ketawa besar bukan rakyat Libya yang kononnya baru memperolehi kebebasan TETAPI adalah kuasa-kuasa barat pimpinan AS.

ZMS

Syed Imran said...

Kepada pengulas yang tidak bernama, Lockerbie, ya itulah gambaran Barat kepada dunia. Sama seperti musibah World Trade Centre, New York. Siapa sebenarnya yang melakukan serangan itu terus diperdebatkan tetapi yang musnah adalah Iraq dan Afghanistan, dua buah negara yang tiada kaitan dengan serangan tersebut. Jangan mudah terpedaya dengan dakyah dan tipu muslihat Barat.

Hashimoto, benar dan sebab itu saya katakan ia adalah peperangan proksi antara Iran dengan Arab Saudi. Negara-negara Arab yang diperintah oleh keluarga 'di-raja' berkiblat kepada Washington untuk mempertahan kedudukan dan kuasa masing-masing. Arab Saudi dan Bahrain antara negara Arab yang membuka pintu seluas-luasnya kepada tentera Amerika untuk berpangkalan bagi menyerang Iraq dan selepas ini besar kemungkinan Iran.

ZMA, sayapun melihatnya menerusi stesen-stesen tv satelit dan Youtube. Inilah kemanusiaan atas nama demokrasi, mungkin begitu agaknya.

Saya setuju dengan ulasan Dr Chandra Mudzaffar, iaitu Libya akan menerima nasib yang sama seperti Iraq.

Anonymous said...

memang sudah terang lagi bersuluh tangan ghaib dalam permainan berdarah ini adalah kuasa barat.

satu satu negara islam dijatuhkan

tapi aku secara peribadi merasakan satu hari jerat barat ini akan makan tuan

dengan cara menjatuhkan satu satu negara islam dan memusnahkan sistem dalam negara itu sama sekali, dengan secara tak langsung semangat nasionalisme semakin terhakis semangat cintakan negara sudah ada maknaya lagi,

negara yang kehilangan diktaktor dan raja mereka tak akan aman lagi dan tidak menjumpai pemimpin yang boleh menerajui negara mereka lagi, sehingga munculnya imam mahadi menyatukan keseluruhan negara Arab dan islam keseluruhanya

ketika ini tiada lagi sempadan negara hanya ada daulah khalifah sahaja

nampaknya kita harus menerima apa yang terjadi didunia islam sekarang ini, kita antara umat yang ditakdirkan menyaksikan kebesaran dan janji2 Allah. kita memang sedang melalui zaman peakhiran dunia

apa yang boleh kita lakukan adalah sentiasa menguatkan iman kita, memperkasakan rohani dan jasmani kita

semoga kita antara umat yang memilih jalan yang lurus

Syed Imran said...

Saya ingin menambah dengan ulasan seorang yang diiktiraf sebagai "Father of Reaganomics" dan mantan ketua Department of Treasury (Perbendaharaan) Amerika Syarikat, seorang penulis ruangan dan mantan editor Wall Street Journal, Dr. Paul Craig Roberts.

Ulasan Dr Roberts sejurus selepas pembunuhan Muammar Gaddafi seharusnya membuka mata dan hati mereka yang masih mempercayai pembohongan dan dakyah Barat.

Dr Roberts menulis:-

"Now that the CIA's proxy army has murdered Gaddafi, what next for Libya?

(Selepas tentera proksi CIA membunuh Gaddafi, apa seterusnya untuk Libya? < Dr Roberts menggunakan perkataan 'murdered' atau membunuh >

"If Washington's plans succeed, Libya will become another American puppet state."

(Jika rancangan Washington berjaya, Libya akan jadi sebuah lagi negara boneka Amerika)

"Most of the cities, towns, and infrastructure have been destroyed by air strikes by the air forces of the US and Washington's NATO puppets."

(Hampir semua bandar raya, pekan dan prasarana telah musnah akibat serangan tentera-tentera udara Amerika Syarikat dan NATO iaitu boneka Washington)

"US and European firms will now get juicy contracts, financed by US taxpayers, to rebuild Libya. The new real estate will be carefully allocated to lubricate a new ruling class picked by Washington. This will put Libya firmly under Washington's thumb."

(Firma-firma Amerika dan Eropah akan mendapat kontrak-kontrak istimewa, dibiayai oleh pembayar cukai Amerika, untuk membangun semula Libya. Hartanah baru akan diberikan secara teliti untuk mewujudkan satu kelas pemerintah yang dipilih oleh Washington. Ini akan meletakkan Libya kukuh dibawah telunjuk Washington)

Ulasan Dr Roberts menarik perhatian saya kerana ia bukan datang dari seorang pengkritik dunia Arab atau Islam. Dr Roberts tentu mempunyai pengetahuan dan maklumat yang kita tidak perolehi. Ia telah membuka pekong di dada walaupun ramai daripada kita sedar akan muslihat, penipuan dan fitnah yang disebar oleh Barat melalui media yang dikuasai mereka.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya tidak beberapa setuju dengan pandangan bahawa apa yang terjadi adalah perancangan Amerika.

Permulaannya adalah di Tunisia kerana rakyat negara berkenaan tidak boleh terima lagi pimpinan diktator lebih 30 tahun.

Ini merebak di Mesir. Hosni Mubarak juga sudah perintah begitu lama. Israel sebenarnya lebih senang dengan pentadbiran Mubarak berbanding dengan sekarang. Regim Yahudi sekarang ini juga amat bimbang dengan perkembangan di Syria.

Selepas Mesir merebak pula kepada Libya. Gaddafi perintah paling lama,lebih 40 tahun. Negara Yaman juga diperintah begitu lama.

Kerajaan Amerika tidak boleh tidak mesti campur tangan dengan revolusi di Libya dan di Timur Tengah kerana mahukan pengaruhnya terus kekal di Timur Tengah. Sekiranya revolusi di Libya berjaya tanpa kehadiran Barat maka Barat khuatir kerajaan baru yang timbul dengan hasil minyak yang besar mempunyai polisi yang negatif dengan Barat, terutamanya Israel, sekutu kuat Amerika.

Saya yakin pihak Barat sendiri tidak menduga apa yang terjadi di Timur Tengah ketika ini.

Hashimoto

Syed Imran said...

Hashimoto,

Saya menghormati hujah saudara. Saya setuju mengenai apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Tidak di Libya. Pihak ketiga mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir untuk menghasut pemberontakan di Libya. Pembabitan CIA amat ketara.