Thursday, January 22, 2009

Pengaruh blog menjadi taruhan orang politik




Apabila blog mula mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia, ramai orang politik termasuk mereka yang bergelar menteri, menjadikan wadah perhubungan dan perutusan alam maya itu sebagai bahan sergahan dan hentaman. Ada saja yang tidak betul dan tidak kena dengan blog.


Blog dan penulis blog yang lebih dikenali sebagai blogger, menjadi bahan serangan. Blog dilihat sebagai satu ancaman dan wadah yang menentang kerajaan atau anti-pentadbiran. Benar, ada blog yang berpendirian begitu kerana wadah itu sajalah yang membolehkan penulis atau pemilik blog meluahkan isi hati dan pandangan.

Tetapi, tidak semua pandangan atau buah fikiran yang ditulis dalam blog berkenaan tidak baik dan tidak membina bahkan memberi maklum balas secara terbuka kepada kerajaan. Malangnya, pemimpin kerajaan yang sering menghidapi penyakit "denial syndrome" atau sindrom penafian, tidak dapat menerimanya. Ia adalah satu kesilapan.




Blog dan kuasa atau pengaruh alam siber yang disebarkan melalui Internet telah dipergunakan dengan cukup berkesan oleh parti-parti politik terutama yang tidak menganggotai gabungan dalam Barisan Nasional (BN). Kemunculan laman-laman sesawang Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) telah sedikit sebanyak merobah suasana dan keberadaan pengaruh politik terutama di kalangan golongan muda dan terpelajar.


Parti-parti politik gabungan BN juga mempunyai laman sesawang masing-masing tetapi isi kandungan atau bahan yang dimuatkan jauh ketinggalan dari sudut bahan dan isu berbanding dengan parti-parti lawan utama seperti PAS, DAP dan PKR. Cuma laman sesawang MCA agak berkesan.
Golongan muda dan terpelajar mementingkan isu dan persoalan-persoalan kehidupan sedangkan laman-laman sesawang gabungan BN lebih menonjolkan tokoh atau pemimpin, ucapan-ucapan yang membosankan dan bermegah dengan isu pembangunan dan apa yang didakwa sebagai kejayaan. Perkara sedemikian sudah banyak dilaporkan oleh media arus perdana - cetak dan elektronik - dan tidak lagi menjadi faktor penarik. Inilah kelemhan dan kesilapan yang terus dilakukan oleh laman-laman sesawang BN.


Dalam pada menghentam dan mengkritik blog dan para blogger, atas kesedaran bahawa peranan blog adalah penting, maka muncullah blog yang dikendalikan oleh orang politik. Ada yang mendapat sambutan baik daripada para pelayar Internet dan ada yang hanya sekadar berada dalam awang-awangan alam siber.


Penulis-penulis blog tokoh parti bukan BN seperti Jeff Ooi dan Lim Kit Siang, terutamanya, mendapat sambutan dan antara yang paling popular. Keberkesanan blog mereka mempengaruhi tokoh-tokoh politik lain, termasuk daripada UMNO, membuka blog sendiri.



Blog, yang pada awalnya dijadikan "musuh" tiba-tiba menjadi "sahabat" dan alat untuk penonjolan tokoh politik berkenaan. Kementerian Penerangan juga tidak ketinggalan apabila RTM menerbitkan sebuah rancangan mingguan khusus mengenai blog yang diberi nama "Blog". Ini adalah atas kesedaran menterinya, Ahmad Shabery Chek yang mengambil sikap "berkawan" dan tidak "bermusuh" seperti yang diambil oleh menteri sebelumnya. Demikianlah hebatnya pengaruh blog.


Kehebatan wadah bernama blog yang dikatakan melebihi setengah juta di Malaysia, turut memberi peluang kepada penulis-penulis upahan mendapat habuan. Walaupun tidak ramai, namun ia adalah satu perkembangan yang tidak bagus terutama sekali atas faktor kewibawaan orang yang mengupah, blog yang dikendalikan dan orang yang menerima upah.


Antara orang yang mengupah penulis upahan atau "mercenary writer" adalah tokoh-tokoh politik termasuk yang berjawatan dalam kerajaan. Sebelum ini, penulis upahan dibayar untuk menghasilkan buku berbentuk autobiografi mahupun biografi tokoh-tokoh politik ataupun buku yang "menceritakan pengorbanan dan sumbangan" tokoh tertentu semata-mata untuk tujuan penonjolan diri.


Kini, blog dijadikan wadah untuk tujuan yang sama. Berbekalkan pengalaman "denial syndrome" maka perkara ini akan dinafikan. Biasalah tu!



4 comments:

Anonymous said...

blog - satu medium yang bagus untuk menyebarkan maklumat dan luahan hati.tetapi kena pada caranya juga lah.kalau benda yang kita letak itu benar dan bersandarkan fakta,jadi takde masalah.yang jadi masalah bila blog digunakan untuk menghina,mencaci dan menyebarkan fitnah tentang orang lain.itu salah dan memang tak patut.

dalam konteks blog politik,ada yang bagus dan ada yang entah apa-apa dan karut marut.blog politik yang bagus adalah blog yang menulis berdasarkan fakta yang sahih dan pemilik blog akan beritahu jika maklumat yang disiarkan benar-benar ada ataupun hanya sekadar khabar angin.bukannya dengan mendapat khabar dan kemudian menghebahkan seolah-olah ia adalah berita yang benar benar berlaku.

Unknown said...

dulu orang tak pandang sangat pada blog kerana berpandangan yang blogger hanyalah "picisan" dan suara mereka tidak sekuat mana.

tapi sekarang tidak lagi.

blog sudah jadi macam media alternatif untuk rakyat mengetahui tentang 1001 macam perkara.kalau dulu ahli politik pandang sebelah mata pada blog,sekarang sudah ada ahli politik yang ada blog dan laman web sendiri.bezanya samada ahli politik itu yang buat maintenance atau orang lain yang diupah.

suara blogger boleh dikatakan intimidating.sudah ada beberapa blogger yang ditahan berhubung kenyataan dan gambar yang mereka letak diblog.

tajudin said...

niat. yang penting niat ketika menhasilkan blog ini. ikhlaskan niat. semoga blog kita ada & membawa manfaat.

Anonymous said...

Sekarang ni blog dah menjadi rujukan alternatif utama berhubung isu-isu politik, ekonomi dan sebagainya. Malah ada juga yang menjadikannya media rujukan utama bagi yang tidak mempercayai sumber-sumber dari media arus perdana yang sedia ada... Apa yang mengecewakan ialah apabila ada blog yang tidak memaparkan info sebenar yang berlaku atau tidak memaparkan peristiwa yang sebenar atau yang telah diubahsuai atau yang telah ditokok tambah...