Monday, July 16, 2007

Talkin untuk PKR dan FAM

Dua perkara penting telah dan sedang berlaku di tanah air yang serba boleh ini. Kedua-dua perkembangan itu menarik minat ramai orang. Bilangan yang suka cukup banyak dan melebihi bilangan yang tidak suka.


Bagi saya, kedua-dua perkembangan itu tidak ubah seperti tibanya saat-saat akhir yang memerlukan perubahan mendadak. Jika manusia meninggal dunia, talkin akan dibaca (bagi yang beragama Islam) atau "last rites" untuk Nasrani.


Dalam arena politik, bacaan talkin atau "last rites" sudahpun disediakan untuk Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pimpinan YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail secara "proksi" untuk suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim. PKR akan menerima nasib yang jauh lebih buruk daripada Parti Melayu Semangat 46, satu lagi parti serpihan UMNO yang gagal menembusi benteng sokongan orang Melayu walaupun ia dipimpin oleh tokoh-tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Rais Yatim, Radzi Sheikh Ahmad, Zainal Abidin Zin dan Kader Sheikh Fadzir.


"Kematian" PKR sememangnya dijangka apabila beberapa orang kuat Anwar mula meninggalkan parti itu. Mereka adalah orang yang taat dan setia kepada Anwar sejak zaman Angkatan Belia Islam dan kemudian UMNO. Jadi, apabila mereka sanggup berpisah perjuangan dengan Anwar, ia merupakan satu "malapetaka" bagi PKR.


Orang kuat Anwar yang terpaksa "bercerai gelanggang" adalah hebat-hebat belaka. Kepemergian nama-nama besar seperti Mohamad Anuar Tahir, Saifudin Nasution, Mohamad Ezam, Abdul Rahman Ahmad dan Datuk Nala memberi kesan cukup mendalam kepada PKR. PKR menjadi lemah dan terus lemah. Ramai pemimpin peringkat bahagian turut keluar parti dan tidak kurang pula jumlah bahagian dan cawangan yang terbubar selepas itu.


Mungkin bekas ulama di Pulau Pinang yang turut menjadi orang kanan Anwar boleh memulakan bacaan talkin untuk PKR. Jika Pak Sheikh Azmi keberatan, panggil saja sahabat karib Anwar, mantan profesor UKM dan ahli perubatan alternatif, Datuk Harun Din membaca talkin.


Dengan terkuburnya PKR, orang Melayu/Islam mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada menyokong parti sekular bumiputera bernama UMNO atau menyokong Parti Islam Se-Malaysia atau PAS. Terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing untuk membuat pilihan.

Talkin harus dibaca untuk FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)


Sahabat baik saya, Sdr Zukri Valenteno Mohamad Ali adalah seorang yang lebih arif berkaitan arena bolasepak tanah air. Jadi, ulasan saya mengenai perkara ini mungkin tidak setepat dan sehalus beliau. Tetapi, saya yakin beliau akan bersetuju, sedikit sebanyak, dengan apa yang akan saya perkatakan.

Ketandusan mutu bolasepak Malaysia amat ketara. Ramai orang yang mempersalahkan jurulatih, tak kurang yang marahkan pemain dan segelintir tidak bersetuju dengan pentadbiran persatuan. Semuanya ada kebenarannya.


Bagi saya barisan kepimpinan FAM bertanggungjawab secara langsung. Presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha agung dan ahli majlis bertanggungjawab.


Sejak awal-awal lagi saya tidak setuju seorang raja menjadi presiden mana-mana persatuan. Kehadiran raja selaku presiden menimbulkan banyak masalah. Ya, mereka yang duduk dalam majlis FAM tidak akan bersetuju dengan pendapat ini kerana fakta "ampun tuanku". Siapa yang berani bertikam lidah dengan seorang sultan yang juga presiden sebuah persatuan sukan? Sultan tetap sultan. Soal sembah-menyembah tetap berlaku. Beranikah Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, ahli politik Pulau Pinang yang gagal dan kecundang dalam gelanggang menegur dan membantah "titah perintah" presiden FAM? Beranikah sahabat saya YB Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar membantah? Inilah persoalannya.


Sultan, Yang Dipertuan Besar atau Raja tidak seharusnya mengetuai mana-mana badan sukan atau persatuan. Mereka tidak seharusnya menurunkan lagi taraf kedudukan mereka ke setara dengan presiden persatuan sukan lain seperti kavadi, sepak takraw, ping pong, bola keranjang, renang atau bola jaring. Semuanya presiden persatuan sukan dan semuanya sama taraf. Sultan atau Raja mesti berada di atas iaitu selaku penasihat atau penaung dan bukan selaku presiden. Jika Sultan atau Raja melihat sesuatu tidak kena dengan persatuan tertentu, baginda boleh memberi nasihat atau membuat terguran untuk memperbetulkannya. Tetapi, jika baginda sendiri menjadi presiden, siapa yang nak berbuat demikian? Menteri Belia dan Sukan?

Perletakan jawatan timbalan presiden FAM yang juga Tengku Mahkota Pahang sepatutnya dah lama dibuat. Tetapi, biar lambat asal letak jawatan kerana itu adalah satu keputusan yang tepat. Kita sedang menunggu perletakan jawatan presiden FAM dan seluruh ahli majlis FAM terutama Ibrahim Saad.

FAM memerlukan tenaga dan kjhidmat bakti orang yang benar-benar dekat dengan sukan bolasepak. Salah seorang ialah Datuk Ahmad Basri Akil dari Kedah. Apa kurangnya Sdr Zukri Valenteno Mohamad Ali?

Dalam pada itu, marilah kita baca talkin untuk FAM.

5 comments:

Zukri Valenteno said...

Pak Tuan yang dihormati,

Aslkm dan Salam Sejahtera. Saya amat terharu di atas pujian yang Pak Tuan murahkan kepada saya yang kerdil ini dalam alam bolasepak (seperti mana kata sesetengah pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia semasa saya berkhidmat dengan mereka seketika dulu).

Jutaan terima kasih diucapkan namun saya merasakan bahawa Pak Tuan amat bermurah hati dengan puji-pujian ini dan saya belum layak dimartabatkan sedemikian.

Saya tidaklah punyai sebarang pengalaman dalam pengurusan sukan, apatah lagi untuk ditonjolkan sebaris dengan Dato’ Ahmad Basri Akil yang begitu arif akan bolasepak, khususnya Bolasepak Kedah Darulaman, negeri kelahiran saya. Namun saya pernah mengagumi kehebatan Basri seketika dahulu semasa beliau menyandang jawatan pengurus pasukan Hijau Kuning dan Timbalan Presiden KFA yang membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia pada 1991 dan 1993.

Saya adalah antara ribuan penyokong Kedah sejak 1985 apabila bermulanya Projek 1990 yang diilhamkan oleh Basri untuk membawa Kedah ke pesada bolasepak negara. Beliau berjaya dan gagal selepas itu dek campur tangan politik oleh segelintir pihak yang tidak pernah menyepak sebiji bola pun seumur hidup mereka akan tetapi tetap ingin menganggu Basri. Bolasepak Kedah Darulaman merudum untuk sekian lama dan hanya menunjukkan harapan untuk pulih semula sejak setahun dua ini. Hari ini mereka adalah Juara Piala FA, esok mungkin mereka berjaya sebagai Juara Piala Malaysia dan saya mendoakan agar Kedah berjaya. Saya tidak pernah mengenali Basri secara peribadi namun saya amat menghormati kewibawaan beliau.

Pengalaman saya dalam bolasepak tidaklah lama, hanya bermula sejak umur 12 tahun mewakili Sekolah Kebangsaan St John’s KL dan kemudiannya Sek Men St John’s untuk peringkat umur di bawah 14 tahun (dua tahun semasa berumur 13 tahun dan 14 tahun) dan 15 tahun (juga dua tahun semasa berumur 14 tahun dan 15 tahun). Setelah diterima masuk ke Sungai Besi sebagai putera saya bertukar sukan kepada ragbi kerana ianya adalah sukan tradisi Maktab Tentera DiRaja.

Namun semasa masih bermain untuk St John’s Institution, saya pernah dipilih sebagai budak pengutip bola atau ballpicker (takrifan rasminya ialah junior steward) bagi Pestabola Merdeka dan Sukan SEA dan saya pernah berada di Stadium Merdeka pada sekitar tahun lewat 70an untuk satu perlawanan yang begitu hebat di mana wira saya Allahyarham Mokhtar Dahari menjaringkan 6 gol iaitu double hattrick semasa Malaysia membelasah Burma 9-1. Itu adalah kejayaan individu yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan nampaknya tidak akanlah berlaku dalam masa terdekat atau terjauh ini. Begitulah hebatnya Supermokh dan sehingga kini kemeja-t yang saya pakai semasa menjadi pemungut bola itu yang ditandatangani oleh beliau masih disimpan oleh saya sebagai kenangan terindah.

Tidak seperti ramai rakan dan taulan, saya tidak begitu meminati bolasepak luar negara khususnya EPL atau yang setaraf dengannya lantaran minat saya yang begitu mendalam akan Bolasepak Malaysia yang saya yakin dan percaya bahawa ianya akan pulih suatu hari nanti, insyALLAH. Saya mengendalikan sebuah blog khusus mengenai bolasepak di www.macam2bolasepak.blogspot.com yang pernah dirujuk oleh Pak Tuan.

Dua tahun lepas saya adalah antara ribuan individu yang pernah memohon untuk mengisi jawatan Setiausaha Agung FAM setelah ianya diiklankan. Namun, saya tidak berjaya kerana mungkin resume saya tidak menyatakan bahawa saya pernah berkhidmat dengan badan sukan, apatah lagi bolasepak. Setelah saringan dilakukan, apa yang berlaku di FAM amat pelik kerana dua orang calon yang mempunyai credentials sukan yang begitu mantap dan sesuai untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung telah diketepikan dan Dato’ Ibrahim Saad yang merupakan antara ahli panel pemilih yang ditawarkan jawatan itu.

Mungkin kerana pengalaman lama beliau dalam bolasepak yang mewajarkan beliau dipilih oleh Presiden FAM dan mungkin pengalaman bekerja bersama-sama selama ini menjadi faktor penentunya. Dalam proses yang sama dua calon yang mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang pentadbiran sukan dan seorang yang pernah berjaya dalam pentadbiran sukan tidak menjadi pilihan manakala dua calon – seorang daripada pernah mewakili pasukan Malaysia dipilih sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM. Tahun lepas bekas pemain itu meletak jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM.

Dua bulan selepas perlantikan Setiausaha Agung FAM saya ditemui oleh seorang pegawai kanan FAM dan ditawarkan sebagai ketua pegawai eksekutif Malaysia Super League (MSL) Sdn Bhd, anak syarikat FAM yang dimandatkan untuk mendapatkan tajaan, memberi idea dan mengenai branding, komunikasi-pemasaran, perhubungan awam dan pengurusan acara.

Saya berkhidmat dengan tekun dan bekerja keras di atas kepercayaan yang diberi namun setelah setahun saya di situ, saya terpaksa meletak jawatan kerana tugas saya atau sebenarnya tugas MSL tidaklah begitu diperlukan. Ini adalah kerana sistem pengurusan dan kerja di badan induk agak pelik lagi cukup mengelirukan dan ianya adalah cerminan terhadap prestasi bolasepak negara yang kita semua sedia maklum.

Agaklah sukar bagi seorang pengurus muda yang berumur 40 tahun untuk berhadapan dengan mereka yang berumur melebihi 50 tahun, ramainya melebihi 60 tahun di badan induk yang bersikap “hang tau apa? Kanyiaq lagi…Kami lebih tau pasai bola…”.

Saya ingin nyatakan bahawa “pasai depa tau pasai bola la, bola kita lingkop sampai macam ni…”

Sebenarnya jaringan 5-1 dan 5-0 adalah cukup sesuai sekali dengan perayaan sambutan ke 50 tahun kita Merdeka tahun ini!

Beberapa idea yang saya berikan semasa berkhidmat dengan anak syarikat itu tidak diterima namun tiada sebab dan alasan diberikan mengapa idea itu tidak diterima. Antara idea yang dikemukakan ialah untuk menjenamakan sebuah bangunan 10-tingkat bersebelahan Hotel Mirama di Jalan Maharajalela yang merupakan ibu pejabat Malaysia Super League (MSL) Sdn Bhd untuk sekurang-kurangnya memberitahu kepada orang ramai bahawa ini adalah Wisma Bolasepak Malaysia. Sebenarnya di sinilah bermula kegemilangan Bolasepak Malaysia.

Namun ianya tidak diterima dan hari ini sekiranya Pak Tuan melalui jalan berkenaan, akan kelihatan sebuah bangunan baru 10 tingkat akan tetapi ianya kelihatan seperti sebuah pusat menjual kelengkapan memancing kerana penyewanya yang menduduki bahagian bawah bangunan mengiklankan dirinya sebegitu besar sedangkan tuanpunya bangunan tidak berbuat demikian.

Yang kelihatan di luar bangunan ialah iklah sebuah syarikat telekomunikasi dan orang ramai tidak boleh dipersalahkan sekiranya tidak mengetahui bahawa itu adalah bangunan milik FAM. Menurut Sdra Hishamuddin Aun itu adalah sebenarnya ibu pejabat pertama FAM sebelum ianya berpindah ke Kelana Jaya.

Meneliti episod mutakhir di FAM, sebenarnya saya tidak sedikitpun terkejut dengan pengunduran Tengku Mahkota Pahang daripada jawatan No 2 FAM, malahan berpendapat bahawa ianya sepatutnya dilakukan sekian lama.

Begitu juga dengan perletakan jawatan Ibrahim sebagai Setiausaha Agung FAM. Ianya juga sepatutnya berlaku sekian lama apabila “kami tidak boleh deliver apa yang kita janjikan.”

Yang sedang ditunggu-tunggu ialah perletakan jawatan para pegawai kanan badan induk bolasepak Malaysia yang masih ada maruah dan rasa malu di atas DUA KEMALUAN BESAR yang dilakukan oleh China dan Uzbekistan di Piala Asia 2007.

Ada seorang pegawai kanan persatuan yang membuat kenyataan semalam bahawa “saya bukan pengecut” dan tidak akan melepaskan jawatannya.

Saya ingin bertanya apakah ini bermakna bahawa Tengku Mahkota adalah seorang pengecut? Sebenarnya Tengku Abdullah telah membuat sesuatu yang paling terhormat dengan berundur setelah menerima tanggungjawab bahawa beliau gagal sebagai pegawai kanan badan induk itu.

Yang lain perlu juga mempunyai maruah untuk berbuat demikian demi Bolasepak Malaysia kerana anda semua telah gagal, noktah!

Sekiranya beliau tidak mempunyai harga diri untuk meletak jawatan, jurulatih Norizan Bakar yang taktiknya hanya sesuai untuk sekolah menengah di Perlis wajar dipecat serta merta kerana kekalahan itu.

Tidak cukup dengan kekalahan yang memalukan apakah wajar seorang jurulatih memberi komen bahawa “Piala Asia bukan taraf skuad negara”. Ianya satu komen yang amat memalukan dan sekiranya ianya benar keluar daripada mulutnya maka apalah yang hendak diharapkan sangat daripada jurulatih yang hanya pandai menyalahkan orang lain dan bukan dirinya yang tidak punyai idea.

Sekiranya Pak Tuan bertanyakan kepada saya apakah sepatutnya dibuat sekarang?

Persatuan Boalsepak Malaysia perlu dirombak segera sekiranya ingin bernafas semula. Berikutnya kita perlukan Rancangan 5 Tahun untuk memulihkan maruah pasukan kebangsaan dan pemulihan ini hendaklah seiring dengan pemulihan standard bolasepak Liga Malaysia.

Kepada dunia kita katakan bahawa pasukan bolasepak kita masih dalam status "work in progress" atau sedang dalam pembinaan. Untuk itu, saya pernah menyiapkan satu cetakan biru (blueprint) untuk Rancangan Pemulihan 5 Tahun Bolasepak Malaysia dan sasaran yanga saya tetapkan ialah membina sebuah pasukan kebangsaan Malaysia ke Piala Dunia 2014 di England.

Pasukan kebangsaan ialah perjalanannya manakala WC2014 England adalah destinasinya. Hari ini mereka di persatuan bolasepak kita hanya menyiapkan sebuah pasukan bolasepak sebagai destinasinya! Justeru jadilah cacamarba dan haru biru seperti yang kita semua sedang menonton.

Tidaklah mengapa untuk selama 5 tahun kehadapan ini kita tidak mempunyai sebuah pasukan kebangsaan yang benar-benar berwibawa kerana sekarang pun kita punyai ntah apa-apa, bukan ka?

Kalau ditanyakan kepada saya lagi, jawapan saya ialah “saya tahu apa hendak dibuat dan bagaimana hendak dibuatnya.”

Masa sudah tiba untuk mereka mengundur diri dan membiarkan orang yang lebih muda untuk meyahut cabaran untuk memulihkan Bolasepak Malaysia. Ianya tidaklah sukar sangat sekiranya kita tahu apa nak dibuat dan bagaimana hendak dibuatnya...

Saya, Zukri Valenteno sanggup menyahut cabaran ini.

Anakbukit, Alor Setar, Kedah

Unknown said...

SdrZukri,

Hanya seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan mengenai dunia atau alam bolasepak Malaysia mampu memberi komen seperti yang saudara berikan.

Oleh kerana saya tahu yang saudara ada pengalaman dan ada pengetahuan luar dan dalam "institusi bolasepak negara" maka saya catatkan sedemikian. Benar tetap benar.

Orang akan lebih memahami kedudukan bolasepak negara dengan membaca ulasan saudara. Ianya datang daripada pengalaman dan pengetahuan.

Saya cukup menghormati Datuk Paduka Basri Akil dari Kedah sama seperti saya menghormati allahyarham Mohamad Mydin, Jalil Che Din dan allahyarham Datuk Harun Idris, tiga nama besar yang cukup berjasa kepada pentadbiran dan kejurulatihan bolasepak tanah air. Para pemimpin yang ada sekarang jauh kebelakang jika nak dibandingkan dengan mereka.

Saya amat tidak setuju dengan pimpinan FAM sekarang yang begitu bangga dengan kemudahan yang diadakan oleh kepimpinan beliau. Apa guna kemudahan canggih, agam dan tersergam jika mutu permainan bolasepak terus merudum dan menjunam?

Negara termiskin di Asia Tenggara seperti Laos yang tiada kemudahan kelas lima bintangpun mampu mengalahkan pasukan Malaysia.

Zukri Valenteno said...

Pak Tuan,

Bukanlah susah sangat merungkaikan kekusutan minda yang dilaporkan berlaku di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tidaklah sesukar yang disangka, hanya mereka yang “tahu apa hendak dibuat dan bagaimana hendak dibuatnya” sahaja yang boleh. Ianya tidaklah mustahil dan bukanlah Mission Impossible.

Pertamanya sekiranya kita sudah sesat di tengah jalan, kembalilah ke pangkal jalan dan dalam kes ini bermakna bahawa kita hendaklah menilai semula apa yang telah dilakukan selama ini dan “back to the drawing board”. Kita kena betulkan perimudi atau navigation persatuan semula.

Tindakan susulan adalah merombak keseluruhan barisan jawatankuasa persatuan dan melakukan audit terhadap pegawai-pegawai persatuan dan pegawai-pegawai yang bergaji yang mungkin selama ini tidak melakukan kerja mereka dengan betul ataupun senario "square peg in a round hole". Kita mulakan dengan audit organisasi dan kemudiannya dengan audit sukan.

Budaya “hire dan fire” dengan matlamat untuk mendapat hasil yang mantap hendaklah diterapkan dan sasaran yang pertama ialah jurulatih pasukan kebangsaan yang kelihatan lebih banyak bercakap dan kerap menyalahkan orang lain daripada mengakui bahawa beliau ketandusan idea untuk melakukan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Justeru, singkirkan Norizan Bakar dan gantikan beliau dengan Roberts Alberts, bekas jurulatih Kedah yang kini berkhidmat dengan persatuan sebagai Pengarah Teknikal.

Sesuai dengan perletakan jawatan beberapa pegawai kanan persatuan yang berlaku, maka para pegawai kanan persatuan yang lain hendaklah berbuat demikian untuk membenarkan persatuan memilih barisan jawatankuasa yang baru yang sekiranya boleh berumur di bawah 50 tahun untuk memberi makna sebenar kepada ungkapan “menyuntik semangat baru dan darah baru”.

Kekalkan jawatan setiausaha agung sebagai ketua pegawai eksekutif persatuan (yang bergaji tetap)akan tetapi beliau tidak boleh lagi membuat kenyataan akhbar sesuka hati seperti selama ini kerana hanya presiden persatuan adalah wajah dan suara persatuan.

Jawatan-jawatan penting hendaklah disandang oleh mereka yang benar-benar berminat dan berkeupayaan dan jauhkanlah persatuan sukan ini daripada dua golongan – istana dan politik kerana eksperimen yang dilakukan selama ini telah gagal dengan teruknya.

Lihat sahaja akan Persatuan Skuasy Kebangsaan dan Persatuan Badminton Malaysia yang melahirkan Jaguh Dunia Nicol David dan Juara All-England.

Perhatikan bahawa disebabkan tiada penyertaan kedua-dua golongan berkenaan maka persatuan berjaya memenuhi indeks petunjuk prestasinya atau kpi.

Saya ingin menyanggah tanggapan bahawa Malaysia tidak boleh melahirkan jaguh dunia, persoalannya “apakah kita mahu dan tahu?”.

Sekiranya kita mempunyai jaguh dunia dalam skuasy dan badminton tidaklah mustahil kita mempunyai sebuah pasukan bolasepak bertaraf dunia, setidak-tidaknya bertaraf Asia yang semestinya tidak akan menjadi “budak belasahan” dan semestinya a la budah sekolah menengah seperti yang kita lihat selama ini.

Semasa saya di Malaysia Super League, saya pernah melakarkan Rancangan 5 Tahun Bolasepak Malaysia dengan matlamat membawa Malaysia ke Piala Dunia.

Ini adalah Cetakan Biru Bolasepak Malaysia yang masih saya simpan selama ini. Kita jadikan Piala Dunia 2014 England sebagai destinasinya dan untuk itu kita mempunyai 7 tahun dari sekarang untuk merealisasikan rancangan ini.

Tidak mengapalah untuk selama 5 tahun ini kita tidak akan mempunyai sebuah pasukan yang berkeupayaan sebaliknya pada badut yang menyarung jersi Kuning-Hitam yang kita semua lihat amat letih, tiada cita-cita, lebih berjalan daripada berlari dan tidak kreatif semasa mereka diperkosa 5-1 dan 5-0 di stadium nasional tempoh hari.

Saya tetapkan bahawa Piala Dunia adalah sasaran kita kerana ini adalah pentas terbaik yang perlu ditandingi manakala pasukan kebangsaan itu adalah perjalanannya.

Yang menjadi masalah hari ini adalah mereka di persatuan menganggap bahawa pasukan kebangsaan itu sendiri adalah matlamat mereka sedangkan dalam perkiraan saya ianya adalah perjalanan, BUKANnya destinasi.

Ini adalah kerana sikap "jangan takdak national team cukuplah!". Sebenarnya kalau ada namun tidak boleh ke mana pun tidaklah memadai.

Berikan saya dan rakan-rakan selama 5 tahun untuk membentuk sebuah pasukan bertaraf Piala Dunia dengan peruntukkan sebanyak RM 1 juta setahun, ataupun RM 80,000 sebulan. InsyALLAH kami akan buktikan bahawa kita semua boleh sekiranya diberikan peluang.

Kepada mereka yang masih tidur bersama mimpi indah di persatuan, berundurlah demi Bolasepak Malaysia kerana ianya adalah milik kita semua, bukanlah domain anda kerana anda telah gagal dengan pernuh cacamarba dan haru biru.

Mesej ini ditujukan terutamanya mereka yang sudah berusia maghrib iaitu lewat 50an dan 60an yang masih berilusi bahawa "sumbangan kami masih diperlukan". Kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka.

Masa anda semua sudah berlalu, kini adalah masa kami untuk buktikan apa yang diperkatakan selama ini. Anda perlu banyak berehat dan bermain dengan cucu di rumah daripada memalukan diri sendiri dan negara.

Saya, zukri valenteno dan rakan-rakan sanggup menyahut cabaran ini.

Anakbukit, Alor Setar, Kedah

Unknown said...

Sdr Zukri,

Benar, kalau nak maju mesti ada perubahan. Bukan perubahan ala kadar tetapi satu perubahan mendadak.

Sekarang bukan zaman bercorak permainan berikut:- goalkeeper, right back, left back; right half, centre half, left half; right wing, right forward, centre forward, left forward, dan left wing. Zaman itu dah lama berlalu. Bentuk dan mutu bola juga dah lama berubah. Kasut bola juga semakin canggih.

Malangnya di Malaysia, pengurusan dan pentadbiran bolasepak yang tak berubah!

Anonymous said...

Pasai apa nak ghaplah dengan hal bola sepak? Kita yang dok kena sepak merata-rata lagi la ghaplah!