Wednesday, July 18, 2007

Helikopter Nuri dah melewati hayatnya

Berapa ramai lagi nyawa anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, khasnya, dan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang lain, amnya, perlu dikorbankan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menamatkan khidmat helikopter yang sudah berusia 40 tahun itu?

Setiap kali berlaku nahas udara membabitkan helikopter Sikhorsky buatan Amerika Syarikat itu berlaku, maka pemimpin kerajaan, terutama menteri pertahanan akan berkata penggunaan helikopter itu masih selamat dan masih boleh digunakan.

Sebanyak 17 buah helikopter Nuri telah menjadi korban dan entah berapa puluh atau ratus nyawa yang terkorban.

Saya ingin bertanya menteri pertahanan Datuk Seri Mohamad Najib jika benar helikopter Nuri masih selamat digunakan, kenapa Datuk Seri tak naik helikopter itu semasa menjalankan tugas rasmi dan tidak rasmi? Kenapa Datuk Seri menaiki sebuah helikopter eksekutif untuk VIP, kalau tak silap saya jenis Super Puma, yang jauh lebih moden dan baru berbanding dengan helikopter Nuri?

Nampaknya kerajaan lebih mengutamakan pembangunan fizikal yang jauh lebih mahal tetapi tidak begitu penting dan diperlukan oleh majoriti rakyat seperti keretapi laju antara KL dan Singapura atau kabel bawah tanah untuk mengalir kuasa elektrik dari Bakun ke Semenanjung daripada menggantikan helikopter tua dengan yang lebih moden dan maju untuk membantu menjaga dan mempertahankan keselamatan negara. Jelas sekali kerajaan memberi atau akan memberi keutamaan kepada perkara yang tidak betul.

6 comments:

Zukri Valenteno said...

Pak Tuan yang dihormati,

Helikopter Sikorsky S-61A4 yang dinamakan Nuri oleh TUDM sudah berusia lebih daripada 40 tahun. Ianya dikomisyen (bermakna dibeli) oleh Tentera Udara pada 1967, iaitu 40 tahun lalu manakala tahun pembuatannya biasanya lebih daripada 5 tahun lebih awal, atau mungkin lebih daripada itu.

Ini bermakna Nuri telah berusia lebih kurang 45 tahun dan bagi sebuah tentera yang mempunyai pesawat pejuang/tempur yang canggih seperti F/A-18 Hornet, MiG-29N Fulcrum dan Sukhoi kita sewajarnya sudah tidak lagi menggunakan Nuri sebagai pesawat pengangkut.

Ianya tidak lagi sesuai dan sudah ketinggalan zaman. Statistik yang ada boleh menjustifikasikan perkara ini.

Tentera Udara di dunia zaman moden ini tidak lagi menggunakan Sikorsky S 61-A4 yang sudah usang kerana memilih untuk menggunakan variant Sikorsky yang lebih moden dan baru untuk tugas aktif.

Di Malaysia kita masih menggunakan Nuri untuk serba macam tugas -- pengangkut anggota, cari dan menyelamat, penerbangan ehsan dan pelbagai lagi.

Nuri sudah tidak lagi selamat untuk kesemua tugas ini dan hanya layak di bersarakan ke Muzium Tentera Udara untuk tatapan umum.

Memanglah Sikorsky adalah nama besar yang amat diyakini sebagai pembuat helikopter namun model S61-A4 tidak lagi dibuat yang bermakna tidak lagi dalam permintaan yang juga bermakna ianya sudah diganti dengan variant yang lebih baru, canggih dan serba selamat.

Ada petikan di kalangan anggota Tentera Udara kita yang merujuk Nuri sebagai "The Flying Coffin" berdasarkan rekod perkhidmatan yang buruk.

Bukan buruk sebagai pesawat terbang yang tidak realiable akan tetapi disebabkan usianya dan tugasnya sebagai "work horse" TUDM untuk sekian lama, pesawat ini sudah menjadi semacam suatu hazard bagi mereka yang mengendali dan menaikinya.

Semasa berkhidmat sebagai wartawan dengan Bernama dan membuat liputan ketenteraan, saya dan seorang rakan pernah menolak untuk menaiki pesawat Nuri kerana khuatir akan keselamatannya dan sebaliknya memilih untuk menaiki kenderaan darat untuk ke Kuantan.

Tentera Udara Amerika Syarikat yang merupakan terulung di dunia tidak menggunakan model-model Sikorsky sebagai sandaran utama atau untuk barisan hadapan sebaliknya model-model yang lebih baru dan itu pun bukan untuk tugas aktif tentera udara akan tetapi bagi Pasukan Kawalan Pantai atau US Coast Guard dan National Defense atau Pertahanan Awam.

Sampai masanya TUDM menukar kepada pesawat terbang helikopter dari jenis yang lebih moden dan selamat seperti Agusta, Bell dan pelbagai lagi. Tentera Udara US yang menggunakan Bell UH-1D atau diberi nama "Huey" oleh pengendali dan mereka yang menaikinya.

Model ini adalah yang paling lama (bermakna tahan lama) dalam perkhidmatan mereka yang digunakan sejak Perang Vietnam. Hari ini mereka masih menggunakannya.

Ada pelbagai nama yang mantap dalam industri pesawat terbang sebagai pembuat helikopter dan ini termasuklah Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) Indonesia, Afrika Selatan, Russia, Britain dan Amerika Syarikat. Pilihan adalah cukup banyak.

Sebagai individu yang pernah menaiki Nuri yang usianya lebih daripada saya, adalah dicadangkan agar Kementerian Pertahanan menukar Nuri kepada jenis yang lebih menyakinkan.

Dahulunya kita pernah decommissioned McDonell-Douglas Skyhawk A4 PTM (peculiar to malaysia) yang kita beli sebagai pesawat terpakai selepas Perang Vietnam dan kita juga pernah decomissioned helikopter buatan Perancis Alloute dan pesawat pejuang Sabre yang kita namakan sebagai Tebuan, maka hari ini saya ingin mencadangkan Nuri decommissioned dengan segera untuk mengelak lebih ramai lagi anak Melayu terkorban.

Ya, yang ramai terkorban adalah anak Melayu dan persoalannya berapa ramai lagikah anak Melayu perlu dikorbankan sebelum kerajaan bercadang untuk menghentikan perkhidmatan Nuri untuk model pesawat terbang yang lebih selamat.

Kegunaan helikopter sebagai pesawat pengangkut adalah paling cekap, mudah dan selamat akan tetapi objektifnya tidak akan tercapai sekiranya TUDM masih menggunakan pesawat yang usianya sudah usang.

Sekiranya bapak menteri atau ksu berpendapat bahawa Nuri masih selamat mengapakah mereka tidak menggunakan Nuri sebagai pesawat pengangkut??

Dalam sejarah kegunaan Nuri, dua orang jeneral yang terkenal -- Mej-Jen Mustaffa Awang dan Brig-Jen Hasbullah Bond pernah terkorban pada kemalangan udara di Lundu, Sarawak.

Sejak itu, tiada lagi jeneral daripada ketiga-tiga perkhidmatan yang sanggup menaiki pesawat Nuri akan tetapi lebih rela menaiki pesawat pengangkut Hercules C-130H Charlie walaupun ianya perjalanan dari pangkalan udara Subang ke Kuantan. Mereka amat tahu bahana Nuri.

Namun mengapakah anggota-anggota lain masih kena detail untuk menaiki Nuri??

Pak Tuan,

Selian daripada media dan komunikasi dan bolasepak serta politik saya, zukri valenteno mempunyai sedikit pengetahuan mengenai Angkatan Tentera Malaysia dan mulai menaiki pesawat terbang TUDM sejak berumur 7 tahun disebabkan arwah bapa adalah seorang anggota TUDM. Pernah juga menuntut di Sungai Besi sebagai putera.

Anakbukit, Alor Setar, Kedah

Unknown said...

Setelah hampir 100 nyawa terkorban dek malapetaka dan kecelakaan helikopter Nuri, akhirnya kewarasan timbul di kalangan anggota Kabinet yang memutuskan hari ini untuk menamatkan perkhidmatan Nuri dalam tempoh dua/tiga tahun ini.

Takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam semua nahas helikopter Nuri.

Anonymous said...

...ada cerita hangat lagi sensasi kat Bernama.
But it stinks... tak terhidu ke?

Anonymous said...

begitulah hebatnya malaysia, apabila berlaku sesuatu bencana ataupun malapetaka, barulah semua pihak sibuk menuding jari. pihak-pihak tertentu di kementerian pertahanan seharusnya membaca laporan yang disediakan oleh pihak teknikal mengenai status nuri. jangan main sedap beri arahan sahaja, tanpa mengambilkira keselamatan anggota tudm. amalkan 'prevention is better than cure'.

alkerohi said...

salam pak tuan
itupun setelah ada cadangan supaya pak lah dan najib menggunakannya.

Anonymous said...

...kenapa cerita hangat lagi sensasi kat Bernama masa ini tidak lagi mendapat perhatian Sdra.???
...mugkinkah kerana ianya melibatkan sahabat Sdra?
...kalau ianya melibatkan Datuk GM, sudah tentu dia akan kena teruk... kenapa double standard? ...kemana perginya INTEGRITI Sdra???