Wednesday, July 04, 2007

Insiden di Batu Kawan, siapa yang harus dipersalahkan?

Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah tanah air, apatah pula sejarah bolasepak. Kesesakan lalulintas mungkin perkara biasa tetapi apa yang berlaku di Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang pada malam 30 Jun amat memalukan.

Belum pernah terjadi seorang ketua negeri yang juga timbalan ketua negara, DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, yang merupakan jemputan khas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan, terpaksa berjalan sejauh dua kilometer untuk ke stadium.

Sultan yang amat dihormati dan disanjungi oleh bukan saja rakyat Kedah malahan rakyat Malaysia, yang akan menjangkau usia 80 tahun, kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Alor Star. Baginda dilaporkan gering kerana flu dan keletihan. Kita tidak boleh menolak punca kegeringan baginda, terutama keletihan, adalah kerana peristiwa Batu Kawan.

Saya bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang membidas FAM kerana kelemahan yang begitu ketara dalam beberapa aspek penganjuran termasuk soal keselamatan dan kawalan lalulintas.

Selain FAM, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) selaku tuan rumah dan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang turut sama bertanggungjawab.

Mungkin keterlibatan FAP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak begitu ketara berbanding dengan pihak polis tetapi peristiwa ini melibatkan Timbalan Yang Dipertuan Agong, iaitu timbalan ketua negara dan dari segi protokol, kerajaan negeri bertanggungjawab.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telahpun memohon ma'af kepada Sultan Kedah dan Raja Muda Perlis. Begitu juga dengan FAM melalui naib presidennya Datuk Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar yang turut hadir di stadium.

Bagi saya, pihak polis telah gagal sama sekali untuk mengawal keadaan apabila menyedari kesesakan serius mula berlaku pada pukul 4.30 petang, iaitu kira-kira empat jam sebelum perlawanan akhir dimulakan. Jika pihak polis dapat mengawal lalulintas dan mengambil tindakan sewajarnya, saya percaya Sultan Kedah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzudin Jamalullail tidak akan mengalami apa yang mereka lalui.

Bagi saya, FAM telah gagal dan kegagalan itu telah mengakibatkan Sultan Kedah dan Raja Muda Perlis melalui sesuatu yang sama sekali tidak dijangkakan.

Laluan ke Stadium Batu Kawan dari utara (Kedah dan Perlis) hanya satu dan jalan masuk ke stadium juga satu. Jalan yang sama digunakan untuk masuk dan keluar. Bayangkan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan itu pada hari perlawanan akhir.

Kenapa FAM tidak mencontohi penganjur perlumbaan F1 di Sepang? Setiap kali perlumbaan diadakan, hanya kereta yang mempunyai pelekat khas di benar masuk, penganjur juga menyediakan tempat letak kereta yang jauh dari litar lumba dan menyediakan bas transit untuk membawa penonton ke litar.

Sekiranya FAM dengan kerjasama Kerajaan Negeri, penguasa tempatan dan polis menyediakan tempat khas untuk meletak kereta dan mengadakan perkhidmatan bas percuma untuk membawa penonton ke stadium, masalah kesesakan lalulintas boleh diatasi dan ditangani.

FAM dan pihak polis telah gagal dari segi pengurusan trafik. Kelemahan inilah yang mengakibatkan kesesakan serius berlaku dan lalulintas menjadi kucar-kacir dan tidak bergerak.

Setiausaha Agung FAM Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, orang yang mencadangkan perlawanan akhir diadakan di Stadium Negeri Batu Kawan juga merupakan orang kuat UMNO Bahagian Batu Kawan. Saya belum dengar atau terbaca dalam media permohonan ma'af daripada Ibrahim Saad.

3 comments:

ah_zan said...

Ada hikmah disebalik kejadian di Batu Kawan ialah orang kenamaan akan sedar betapa sukar & susahnya keadaan bagi org kebiasaan dalam menghadapi kehidupan seharian. Kenapa tidak Sultan Kedah membonceng motosikal seperti Raja Muda Perlis? Kan lebih senang! Ada hikmah disebalik kejadian tersebut. Saya tertanya-tanya apakah respon Sultan Perak Sultan Azlan Shah jika beliau terpaksa berjalan?Saya rasa bukan respon seperti yang Sultan Kedah akan berikan... Siapa yang harus dipersalahkan?

Anonymous said...

Ada hikmah...

Ini juga menunjuk kan satu kebenggapan di PDRM kerana jelas gagal menjalan kan tugas yang amat sangat mudah walau pun sudah di beri kan kenaikan gaji...

PDRM amat jelas memerlukan 'leader' yang berjiwakan Polis and Rakyat - itu sifat yang sebaik nya ada di dalam seseorang Polis itu.

Sultan Kedah sememangnya Sultan Berjiwa Rakyat; saya ada beratur semasa Sultan di hari Pertabalan Menjadi DYMM Seri Paduka DiPetuan Agong... tahun akhir 70-an.

Anonymous said...

jangan dibesar-besarkan isu di batu kawan. apalah sangat 2km? banyak orang susah yang berumur lagi tua dan masih bekerja sepanjang hari. orang biasa yang sejak muda mempunyai pekerjaan dan hidup dalam susah.

sepatutnya mereka yang patut diminta maaf. ini belanja kan rm 1.3 billion untuk istana baru. akhirat nanti nak jawab macam mana bila ditanya jika kebajikan rakyat didahulukan daripada kebajikan sendiri?