Jawapan bertulis menteri mentor Singapura kepada surat PM Pak Lah yang dihantar melalui beg diplomatik dan diserahkan kepada Wisma Putra oleh Pesuruhjaya Tinggi republik itu, dan salinannya diedarkan kepada media Singapura dan kepada Bernama, memperlihatkan kepintaran Kuan Yew bermain dengan kata-kata dan fakta tertentu.
Sebenarnya Kuan Yew tidak memohon maaf. Dia mempergunakan perkataan maaf sama seperti yang dipergunakan oleh pope Benedict XVI yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam. Kuan Yew menggunakan muslihat yang serupa dengan pemimpin gereja mazhab Roman Katolik itu. Kedua-duanya memperbodohkan pihak yang sepatutnya dipohon maaf.
Kuan Yew juga mempergunakan peluang keemasan itu untuk mengheret dan mempermain-mainkan nama Tun Mahathir Mohamad disamping memuji kebijaksanaan Pak Lah membatalkan pembinaan jambatan untuk menggantikan tambak Johor.
Saya tidak nampak kaitan antara pembinaan jambatan dan isu-isu lain yang berbangkit semasa pemerintahan Tun tetapi dapat menghidu niat jahat Kuan Yew yang menyebut dalam suratnya bahawa dia dan Singapura menghadapi sedekad masalah semasa pemerintahan Tun. Ini adalah satu strategi untuk melaga-lagakan kepimpinan Melayu.
Benar, kita menghadapi banyak masalah dalam hubungan dua hala dengan Singapura. Tetapi siapa yang banyak menimbulkan masalah? Malaysia atau Singapura?
Kuan Yew sedar bahawa semasa dia memerintah Singapura, dia telah tewas dalam gelanggang apabila berdepan dengan Tun Mahathir, yang dianggapnya sebagai seorang tok guru silat yang handal. Sebab itulah dia melihat Tun Mahathir sebagai penimbul masalah semata-mata kerana dia gagal mengatasi kepintaran Tun Mahathir.
Nah! sekarang dia cuba memperlihatkan taringnya yang sudahpun tumpul apabila mendapati kepimpinan Malaysia tidak sehandal dan segagah yang pernah dihadapinya.
Satu pengajaran yang boleh kita ambil dalam isu semasa ialah keberkesanan bahagian penyelidikan dan perisikan di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. Mereka cekap dalam pengumpulan data dan maklumat yang dikumpul melalui media massa dan melalui saluran tali barutnya di seluruh Malaysia. Saya tidak pasti sama ada Kalimullah Masheerul Hassan dan Brendan Pereira termasuk dalam senarai tali barut Singapura. Kedua-duanya dikatakan telah dilatih oleh agensi tertentu di Singapura dan pernah berkhidmat untuk akhbar Straits Times (Singapura) yang dikuasai oleh pemerintah (PAP).
Kita tidak tahu sama ada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura memiliki keupayaan dan kecekapan yang serupa.
Malaysia mesti mengkaji semula kebergantungan kita kepada pelabuhan Singapura, yang masih berlaku, walaupun kita telah membangunkan pelabuhan Tanjong Pelepas, Pasir Gudang dan Tanjong Langsat selain Pelabuhan Klang. Dengan memiliki prasarana yang baik seperti lebuh raya dan pelabuhan, kenapa pengeksport kita masih bergantung kepada pelabuhan Singapura? Kenapa Singapura masih menjadi sumber utama sebahagian negara dunia untuk mendapatkan beberapa bahan eksport Malaysia seperti lada hitam, minyak kelapa sawit, bunga orkid dan hasil pertanian yang lain? Semua bahan itu tidak dikeluarkan oleh Singapura tetapi dia yang mendapat nama dan meraih keuntungan. Malaysia tidak boleh terus membiarkan Singapura menjadi orang tengah dalam urusan dagangan dan import-eksport kita.
1 comment:
Benar apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Lee Kuan Yew seorang yang angkuh, besar kepala dan iri hati melihat kejayaan Malaysia.
Masalah yang berbangkit antara Malaysia dan Singapura berpunca daripada sikap Kuan Yew - Singapore's God of No Mercy unlike Kuan Yin - The Goddess of Mercy.
Post a Comment